Saturday, June 23, 2012

FRAGMEN 3: GERAK GEMPAR


Photo credit: seawayblog.blogspot


Lautan India, Perairan Somalia

DATUK RAUZAH tidak sedar sejak bila Kapten Johari sudah kembali menghampirinya. Matanya menyusur ke hujung telunjuk kapten yang terarah ke langit. Dia nampak lampu kecil berwarna merah yang berkelip-kelip.
            “Heli TLDM!” kata Kapten Johari. “Saya dah kontak kapal KD Gempur. Mereka memang bersedia dengan Ops Fajar di perairan ini! Mereka datang untuk membantu!”           
            “Alhamdulilah! Agaknya, sebab itulah lanun-lanun itu tidak menyerang! Mereka takut dengan TLDM yang nak bantu kita,” ujar Datuk Rauzah seraya tersenyum.
            Kapten Johari  turut tersengih lalu menarik nafas lega.

SEKETIKA sahaja lampu kecil yang berkelip-kelip itu kian menghampiri. Muncullah sebuah helikopter hingga angin kuat dari kipasnya mengibarkan pakaian mereka. Kapten Johari  terpaksa memegang topinya kerana tidak mahu ia melayang ke laut.
            “Kapten! Itu… itu bukan kapal Super Lynx TLDM!” jerit Datuk Rauzah seraya mengunjuk ke arah helikopter yang menghampiri. Suaranya hampir tenggelam dek deruan angin dan kuatnya bunyi kipas helikopter yang berputar.
            “Apa?” soal Kapten Johari  kerana tidak dengar apa yang diucapkan Datuk Rauzah.
            Namun dia turut mendongak dan mengamati helikopter yang mengambang di atas kepalanya. Matanya mencerlang kerana bentuk helikopter itu bukan daripada jenis yang dimaksudkan Datuk Rauzah.
            “Good evening, gentlemen!” kedengaran suara daripada hailer yang digunakan oleh seseorang yang berdiri di pintu helikopter.
            Kapten Johari dan Datuk Rauzah kehairanan. Tidak tahu siapakah yang bersuara itu.
            “I am the chief of the Somalian pirates! And, I am hijacking your ship!” kata suara itu lagi.
            “Apa? Lanun pakai helikopter?” kata Kapten Johari.
            “Nampaknya, kita kena menyerah!” cadang Datuk Rauzah.
            “Tunggu dulu, Datuk! Tengok!” gesa Kapten Johari  yang mengunjuk ke ufuk langit. Kelihatan dua buah helikopter Super Lynx kepunyaan TLDM menghampiri.
            “PASKAL datang!” jawab Datuk Rauzah. “Alhamdulilah! Kita akan selamat.”

PASKAL adalah Pasukan Khas Laut. Ia dikenali sebagai pasukan komando TLDM. Sebagai orang yang gemar membaca, Datuk Rauzah dapat menelah apa yang bakal dilakukan oleh pasukan dari TLDM itu.
            “Drop your weapons! I repeat, drop your weapons or we will shoot!” kedengaran suara daripada hailer helikopter TLDM yang paling hampir.
            Angin tiga buah helikopter yang begitu dekat dengan kapal membuatkan suasana di atas dek kapal seperti dihembus ribut taufan. Membuatkan Kapten Johari  dan Datuk Rauzah tertunduk-tunduk mengelak tiupan angin kencang. Helikopter lanun kelihatan tidak berganjak. Malah, ia semakin menurun ke permukaan dek kapal.
            “Move off or we will shoot! I repeat! We will shoot you!” pekik suara daripada helikopter TLDM lagi memberi perintah agar helikopter lanun itu beredar atau menghadapi ancaman ditembak.
            “Shoot us down! Shoot us down and this helicopter will burn and your ship will burst into flames!” balas lanun yang masih berdiri di pintu helikopter.
            Buat beberapa saat, ketiga-tiga helikopter itu masih terumbang-ambing di atas kapal tangki minyak itu. Tiba-tiba kedua-dua buah helikopter TLDM itu bergerak menjauhi helikopter lanun itu.
            Melihat keadaan itu, lanun yang berdiri di pintu helikopternya terkinja-kinja lalu menari.
            “Hahahahahaha…” dia melaungkan tawanya menerusi hailer. Suara gelaknya cukup membingit dan menimbulkan rasa meluat Datuk Rauzah dan Kapten Johari.
            Kapten Johari menggeleng kecewa melihat kedua-dua helikopter TLDM yang terbang semakin jauh. Di saat-saat cemas itu, dia tidak terfikir pihak TLDM terpaksa berundur demi keselamatan mereka di atas kapal Lancang Kuning. Bertindak begitu untuk mengatur strategi berikutnya.
"Mari kita ke bawah bersama anak-anak kapal, Datuk,” ujar Kapten Johari  dengan suara yang lemah. “Kita kena tenangkan mereka sebelum lanun-lanun itu naik ke kapal ini.”
Datuk Rauzah tersenyum tawar lalu mengekori kapten melangkah menuruni anak-anak tangga menuju ke kabin. Sejurus dia menoleh dan menyasarkan pandangannya. Tercari-cari kelibat helikopter TLDM yang kian menjauh dalam kelam senja.
‘Kau akan kembali… aku tahu kau semua akan kembali…’ Datuk Rauzah menaruh harapan.

Biro Risikan Negara, JPM, Putrajaya

SELURUH Dewan Operasi Biro Risikan Negara yang dikenali sebagai BISIK gempar bila menerima pancaran satelit perisik Mysat-4 kepunyaan Majlis Pertahanan Negara. Imej kapal Lancang Kuning, sebuah kapal minyak milik Petromal terpampang di skrin gergasi. Para petugas yang melihatnya berlari menghampiri skrin itu untuk menatap paparan yang lebih jelas. Imej yang besar memaparkan keadaan yang mencemaskan!
            Kelihatan berbelas anggota lanun menaiki kapal daripada lima buah bot. Masing-masing mengacu senjata yang kelihatan seperti rifel. Ada juga yang menghunus pisau. Mereka memekik mengarahkan kesemua anak kapal berhimpun di dek. Kelihatan juga anak-anak kapal yang ditolak dan dihalau berkumpulan bagai binatang ternakan.
            Ketua lanun kelihatan turun daripada helikopter yang telahpun mendarat di helipad. Lelaki yang menggunakan hailer itu tampak mengarahkan kepada mereka yang ditawan.
            Datuk Rauzah yang berada di antara anak-anak kapal terus meluru ke arah lelaki itu. Dia kelihatan marah apabila bercakap sambil menuding jarinya. Tanpa apa-apa amaran,  ketua lanun itu menendangnya. Datuk Rauzah jatuh tersungkur. Ketua lanun lantas menghampiri lalu menghunus pistolnya.
            Kelihatan Kapten Johari menarik tangan Datuk Rauzah. Sejurus, dia pula yang berdiri melindungi Ketua Pengarah Operasi Petromal itu sambil merayu kepada ketua lanun itu agar bertenang. Semua para petugas BISIK di Dewan Operasi itu  terpaku menyaksikan drama yang terjadi beribu-ribu kilometer dari Malaysia itu.

DI BILIK rehat kediamannya, Tuan Aziz Tuan Ghani duduk tersandar dengan jejari bersilang.  Memandang skrin TV yang menayangkan imej yang serupa. Meskipun wajahnya kelihatan tenang, fikirannya sedang berkecamuk. Pelbagai tafsiran, andaian dan tanggapan berlumba-lumba singgah di minda sedarnya.
            Tuan Aziz menoleh dan menekur ke arah telefon di tepi mejanya. Nalurinya mengatakan pada bila-bila masa telefonnya akan berdering.
            ‘Tritt-tritt… tritt-tritt…” Betul kata nalurinya. Telefonnya berdering.
            “Ya, Datuk Seri.” Tuan Aziz terangguk-angguk mendengar arahan si pemanggil. “Baik… saya ke sana sekarang.”
            Sejurus meletakkan telefon ke gagangnya Tuan Aziz menyarung kot. Dia perlu segera ke bilik mesyuarat Majlis Pertahanan Negara di JPM.  Bersedia untuk memerah otak bersama-sama ahli majlis mesyuarat. Mencari jalan bagaimana untuk menyelamatkan Lancang Kuning dan semua anak-anak kapalnya.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, June 17, 2012

FRAGMEN 2: GERAK GEMPAR



Photo credit: true-wildlife.blogspot
Lautan India, Perairan Somalia

DATUK RAUZAH asyik memandang ikan lelumba berenang-renang bagai mengejar kapal minyak, Lancang Kuning yang dinaikinya. Cahaya mentari senja menjadikan panorama lautan yang terbentang luas ini begitu indah. Dari atas dek kapal, beliau berasa begitu seronok berdiri melihat lautan lepas sambil menghirup oren segar.
            Sebagai Ketua Pengarah Operasi, dia boleh sahaja memantau pelayaran kapal ini dari bilik pejabatnya di Malaysia atau Ganezuela. Namun kelebihannya yang jarang ada di kalangan kebanyakan tokoh korporat yang lain ialah sikapnya yang hands-on. Datuk Rauzah gemar sekali turun padang untuk bersama anak-anak buahnya. Di hutan tropika Ganezuela, Datuk Rauzah berpanas, berhujan atau bermandi selut dengan mereka dalam proses carigali minyak.
            Tidak hairanlah, walaupun kapal ini sudah belayar lebih dua minggu, Datuk Rauzah mengambil kesempatan untuk turut sama belayar dengan anak-anak buahnya. Malam tadi, dia terbang daripada Ganezuela ke Kenya untuk menguruskan proses persiapan penghantaran minyak.
            Pagi tadi, setelah selesai segala urusan, beliau berlepas pula dengan helikopter daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Eldoret, Kenya ke lautan ini untuk menyonsong Lancang Kuning ke pelabuhan Mombasa, Kenya. Dia mahu melihat setiap detik yang bersejarah ini dengan mata kepalanya. Bukan hanya dari bilik operasi pelabuhan. Inilah yang membezakan dirinya daripada tokoh-tokoh korporat yang lain.

SAMBIL menyedut oren, Datuk Rauzah mengimbau kembali suasana pelancaran pelayaran kapal ini di pelabuhan Bahara dua minggu sebelum ini. Sebaik sahaja Presiden Ganezuela, Alberto Chimo dan Perdana Menteri Malaysia melepaskan beratus-ratus belon yang beranika warna ke udara, perasaannya bagai turut terbang riang ke angkasa.
            Hatinya berasa begitu puas sekali kerana sekali lagi Petromal, sebuah syarikat dari Malaysia telah berjaya merebut peluang perniagaan di negara asing. Sekali lagi anak Malaysia mengatasi syarikat-syarikat antarabangsa lain yang lebih berpengalaman dalam mengendalikan usaha sama petroliam.
            “Apa yang Datuk tengok, tu?” kedengaran satu suara dari arah belakangnya.
            Datuk Rauzah menoleh. Lantas tersenyum kerana tidak sedar sejak bila Kapten Johari menghampirinya.
            “Itu...” jelas Datuk Rauzah. “Banyaknya ikan lumba-lumba kat sini, ya?”
            “Oh, itu ikan lelumba jenis bottlenose tursiop. Datuk nampak tak, muncungnya macam muncung itik...” jawab Kapten Johari seraya mengunjuk ke arah berbelas ekor ikan lelumba yang sekejap tenggelam, sekejap melompat dan meluncur di permukaan air.
            “Ada banyak ke jenis ikan lelumba ni, kapten?” soal Datuk.
            “Ada 32 jenis kesemuanya, Datuk. Tapi jenis bottlenose tursiop inilah yang terkenal sebab nampak lebih cantik daripada lain-lain jenis ikan lelumba. Sebab itu ikan lelumba jenis ini kerap terpilih dalam penggambaran filem. Muncung ikan lelumba lain lebih kontot daripada jenis bottlenose tursiop ni...”
            “Subhanallah... kayanya ciptaan Ilahi,” nyata Datuk Rauzah seraya mengunjuk ke arah ikan-ikan yang melompat di permukaan air. “Tengok, tu! Cantiknya. Di tengah-tengah laut begini pun Allah hiasi dengan pertunjukan yang menghiburkan hati kita sebagai makhluk-Nya.”
            Kapten Johari terkelip-kelip memandang Datuk Rauzah. Dia takjub dengan kepantasan wanita ini mentafsirkan apa yang dipandangnya dengan kebesaran ALLAH. Mereka berdua terdiam kerana sama-sama asyik mengekori pergerakan ikan-ikan lelumba  yang kian menjauh.
            “Apa tu, kapten? Banyaknya bot...” tanya Datuk Rauzah sambil menuding ke arah beberapa buah bot di ufuk timur. “Macam bot nelayan!”
            Kapten Johari  melontarkan pandangannya ke arah yang diunjuk Datuk Rauzah. Kelihatan kurang lima buah bot sedang bergerak menuju ke kapal. Ikan-ikan lelumba yang berenang-renang sebentar tadi sudah entah ke mana. Tiba-tiba semboyan kapal berbunyi! Bergaung bunyinya bertali arus membingitkan telinga.
            “Ya, ALLAH!” Nama Agung itu terpacul dari bibir kapten itu.
            “Kenapa, kapten?”
            “Itu bukan bot nelayan! Itu bot lanun! Lanun Somalia!” jawab Kapten Johari. Bimbang.
            Raut wajah Datuk Rauzah turut berubah cemas.

SUASANA mula tegang. Bot-bot lanun Somalia kian menghampiri. Anak-anak kapal dipinta segera mencari perlindungan. Sebahagian besar daripada mereka sudah bergerak ke bahagian kabin. Masing-masing berdoa tiada serangan  akan tercetus. Satu percikan kecil api di tangki minyak boleh mengakibatkan sebuah letupan besar yang membakar kapal ini.
            Kapten Johari  sudahpun ke bilik operasi untuk mendapatkan bantuan. Walaupun dinasihatkan melindungi diri, namun Datuk Rauzah masih tidak berganjak. Sebaliknya dia menggunakan teropong untuk memantau lanun-lanun Somalia yang berada di bot masing-masing. Tidak puas hati jika dia bertindak pasif dengan bersembunyi. Sesungguhnya, dia seorang tokoh korporat yang bukan sahaja komited dengan tugasnya, malah dia juga seorang insan yang berani.
            “Ya, ALLAH… apa yang kau orang nak buat, ni?’ gumam Datuk Rauzah. Matanya tidak lepas menyorot bot-bot yang semakin jelas. Kelihatan beberapa lembaga manusia di atas setiap bot. Mereka kelihatan sibuk berkomunikasi sesama mereka sambil mengunjuk ke arah Lancang Kuning.
            Satu dentuman kuat kedengaran. Menggegar kapal. Mengejutkan Datuk Rauzah. Dia lekas-lekas meniarap di atas dek. Lalu menoleh ke arah bunyi letupan dan terpandang lubang kecil di dinding state room atau bilik tamu tempat dia menginap.
            ‘Letupan dari pelancar roket!’ katanya di dalam hati.
            Belum pun dia sempat bangun, sebuah lagi letupan dari pelancar roket kedengaran berhampiran dengan tempat yang sama sebagai sasarannya. Memaksa dia tertiarap kembali. Dia mengerti, melalui tontonan video dan pembacaannya mengenai serangan lanun Somalia, Datuk Rauzah dapat menjangka modus operandi lanun-lanun itu.  
            Mereka akan melepaskan tembakan menggunakan pelancar roket sebelum mendekati dan menyerang sesebuah kapal yang dijadikan sasaran. Bila-bila masa, lanun-lanun itu akan menaiki kapal untuk menawannya. Datuk Rauzah memandang kembali ke arah bot-bot lanun itu. Tidak kelihatan sebuah bot pun yang menghampiri. Sebaliknya bot-bot itu kelihatan seperti berlabuh di hadapan anjungan kapal hanya untuk menyekat laluan Lancang Kuning.
            “Datuk! Tengok tu!” kedengaran suara Kapten Johari.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, June 10, 2012

FRAGMEN 1: GERAK GEMPAR



Photo credit: geocaching.com

Salam kepada semua,
Setelah MENITI MAUT dan DETIK DEBAR, saya meneruskan pengkaryaan dengan konflik emas hitam atau petroliam di antara Malaysia-Amerika. Bagaimana kejayaan Petromal Malaysia mendapat kontrak mengeluarkan minyak di Ganezuela menimbulkan rasa dengki Extron dari Amerika. Saya akan cuba  menggelegakkan minda  anda dengan karya terbaru saya ini.
Terimalah...

Pelabuhan Bahara, Ganezuela, Amerika Selatan

DARI jauh, sebuah belon udara berwarna oren kelihatan terapung-apung di angkasa pelabuhan. Langit membiru yang tiada berawan menyerlahkan kehadirannya. Belon yang tertulis dengan warna hitam huruf-huruf G-O-C atau singkatan kepada Ganezuela Oil Company kelihatan jelas dan boleh dieja dari jauh.
            Dari dalam kenderaan, Datuk Rauzah Hamdi memandang belon itu dengan senyuman. Perlahan-lahan, dia menarik nafas dalam-dalam. Ya, wanita berusia 45 tahun ini berbangga kerana terlibat secara langsung dengan GOC. Pada petang ini, dia yang mewakili Petromal Malaysia akan menghadiri majlis pelancaran kapal Lancang Kuning yang membawa 70,000 deadweight ton gas asli dari Ganezuela ke Kenya, di barat benua Afrika. Inilah eksport pertama GOC.
            Sebagai Ketua Pengarah Operasi Petromal Malaysia, sudah tiga tahun Datuk Rauzah mengendalikan operasi carigali minyak bersama GOC di hutan tropika negara ini. Kepakaran carigali pasukan Petromal bersama tenaga muda GOC telah berjaya memproses minyak yang boleh membekalkan hasil untuk 5% pasaran dunia. Meskipun ia kecil, namun penemuan minyak di perut bumi Ganezuela ini hanya di peringkat permulaan. Masih banyak lagi wilayah di buminya yang belum diterokai.
            Ganezuela adalah sebuah negara yang baru merdeka. Terletak di timur Amerika Selatan, penemuan minyak jauh di dalam hutan tropikanya berpotensi menjadikan negara ini kaya raya. Sebagai negara yang tiada pengalaman dalam industri carigali minyak, banyak syarikat-syarikat carigali daripada pelbagai negara yang menawarkan diri untuk menjalankan usaha sama dengan Ganezuela.
            Meskipun, minyaknya ditemui oleh Extron, sebuah syarikat petroliam Amerika, namun Ganezuela mempelawa pelbagai syarikat carigali minyak antarabangsa untuk mengeluarkan hasilnya. Akhirnya mereka memilih Petromal, sebuah syarikat carigali minyak dari Malaysia dan bukannya Extron untuk mengeluarkan hasilnya.
            Kabinet Ganezuela mendapati Petromal bukan sahaja menjanjikan perkongsian keuntungan yang berpatutan, malah Petromal bersetuju untuk membangunkan industri minyak Ganezuela serta memindahkan kepakaran teknologi carigali minyak kepada rakyat Ganezuela.
            Perkongsian menang-menang inilah yang membuat Petromal menjadi syarikat carigali minyak favourite bagi Ganezuela, sedangkan Extron dan lain-lain syarikat minyak hanya mahu berkongsi hasil pengeluaran semata-mata.

SORAK-SORAI kanak-kanak sekolah yang mengibar bendera di sepanjang kanan dan kiri jalan menuju ke pelabuhan sungguh menguja perasaannya. Datuk Rauzah memandang bendera Ganezuela yang berjalur merah hati dan hijau yang berselang-seli dengan warna merah putih jalur gemilang. Riang sekali wajah-wajah mereka mengibar bendera sebaik sahaja kenderaan yang dinaiki Datuk Rauzah melewati kawasan itu.
            Mindanya segera memutar imej dirinya bersama murid-murid sekolah yang lain mengibar bendera ketika lawatan Sultan Johor ke daerah Mersing ketika dia di darjah lima. Dia teringat, dirinya juga riang mengibar bendera seperti kanak-kanak sekolah di sepanjang jalan yang dilaluinya. Ah, kanak-kanak mana yang tidak sukakan bendera?
            Bunyi siren dari kereta peronda polis yang berada di hadapan konvoi mengembalikan ingatannya ke suasana sekarang dan kini. Datuk Rauzah memandang bontot kereta Rolls Royce Phantom berwarna hitam di depan kenderaannya. Itulah kereta yang dinaiki Perdana Menteri Malaysia bersama Presiden Ganezuela, Alberto Chimo.
            Mereka semua dalam perjalanan ke pelabuhan Bahara. Pada pagi ini, Ganezuela akan diisytihar sebagai negara pengeksport minyak dari benua Amerika Selatan. Meskipun ia berada di tempat ke sebelas selepas Brazil, Venezuela, Argentina, Equador, Peru, Bolivia, Guatemala, Chile, Uruguay dan Paraguay, ia cukup membanggakan kerana mulai hari ini, Ganezuela akan berubah wajah dari sebuah negara miskin dan mundur kepada sebuah negara yang kaya di rantau ini.
            “Datuk... tahniah di atas kejayaan awak.” Terngiang-ngiang bisikan PM sebaik sahaja menemuinya di lapangan terbang semalam.
            “Datuk Seri... sebenarnya ini kejayaan Petromal... untuk Malaysia.” Datuk Rauzah cuba mengalihkan pujian itu kepada pihak yang sewajarnya mendapat pengiktirafan.
            PM mengangguk seraya tersenyum.
           
TEPUKAN bergemuruh para hadirin semakin jelas kedengaran sebaik sahaja Datuk Rauzah membuka pintu kereta. Mereka yang menyambut kian galak mengibar bendera-bendera kecil Malaysia dan Ganezuela. Datuk Rauzah mendongak melihat suasana sekeliling. Kelihatan bendera-bendera Jalur Gemilang dan Ganezuela beratur secara berselang-seli berkibaran. Meriah dan penuh dengan warna-warni.
            Pancaran terik sang mentari menyerlahkan lagi suasana cerianya. Ada tujuh buah kanopi besar yang terkembang. Di bawahnya tersusun barisan kerusi para jemputan yang kebanyakannya sudah tiba  untuk majlis pelancaran ini. Mereka yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh politik, korporat dan ahli-ahli akademik Ganezuela sendiri kelihatan begitu gembira. Mereka begitu teruja menghadiri peristiwa yang paling bererti buat negara ini.
            “Ladies and gentlemen. It is a pleasure to announce the arrival of The Prime Minister of Malaysia, accompanied by our beloved President... Alberto Chimo” umum juruacara majlis.
            Hebahan ketibaan Perdana Menteri Malaysia bersama Presiden Ganezuela mendapat tepukan gemuruh para hadirin. Mereka kesemuanya berdiri untuk memberi standing ovation. Datuk Rauzah yang melangkah di belakang Perdana Menteri menyusur ke kerusi bersebelahan di sudut sebelah kiri. Dia disambut oleh Quando Jabuti, Menteri Petroliam Ganezuela yang menantinya dengan penuh senyuman.

Ibupejabat Extron, Houston, Amerika

ABRAM William duduk tersandar di kerusinya. Matanya tidak berkelip-kelip menekur ke skrin TV yang menayangkan suasana meriah majlis pelancaran kapal Lancang Kuning yang membawa minyak daripada pelabuhan Bahara, Ganezuela ke Kenya. Sesekali dia mendengus. Sesekali mulutnya tercebir.
            Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Extron, dia benar-benar berasa kecewa kerana gagal menguasai pengeluaran minyak di Ganezuela. Tawarannya untuk memberi peratus keuntungan jualan minyak yang diproses ditolak mentah-mentah oleh Presiden Ganezuela, Alberto Chimo.
            Bagi Abram, semua ini gara-gara Menteri Petroliam negara itu, Quando Jabuti yang menasihati presidennya untuk menolak cadangan Extron. Mulut Abram memuncung sebaik sahaja wajah Quando Jabuti tertayang di skrin TV. Mulutnya berkerinyut pula apabila kamera memfokus pula ke wajah Datuk Rauzah Hamdi yang kelihatan berbual mesra dengan Quando Jabuti. Bagi Abram, wanita itulah punca angkara kegagalannya!

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...