Saturday, July 28, 2012

FRAGMEN 8: GERAK GEMPAR



Photo credit: starstills.com
Weynee Restaurant, Baraawe, Somalia

BANDAR pelabuhan yang terletak di tenggara Somalia ini mempunyai pantainya yang cantik. Sayangnya, pantai yang indah ini nampaknya tidak terbela. Rumput rampai dan bangkai bot terdampar di merata tempat di persisiran pantai ini. Menggambarkan pihak berkuasa tempatan tiada wang untuk mencantikkan pantainya bagi tujuan pelancongan. Apa yang hendak diperkatakan lagi pada sebuah negara yang miskin ini?
            Sudah jam 2.00 petang sekarang. Lima jam sebelum ini, Jeffrisampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Mogadishu. Dari sana, beliau menaiki teksi ke bandar pelabuhan ini. Tugasannya agak mudah. Cari perkampungan Wehliye dan dapatkan maklumat di mana abangnya Saleem berada kini.
Dengan helahnya, seorang saudara Wehliye datang ke restoran ini mencarinya. Dengan mudah juga orang yang datang menemuinya akan memberitahunya mengenai Wehliye. Dia ada cara mudah untuk memperoleh maklumat itu dengan cepat dan tepat. 
Jeffri Zain mendongak ke langit yang tiada berawan dari tingkap restoran yang menghadap ke laut ini. Namun ekor matanya masih mengawasi lelaki yang duduk di hadapannya. Lelaki tua berkulit hitam yang berambut kusut masai, berjambang dan berwajah cengkung itu tampak gugup.
Nafas lelaki itu bagai tertahan-tahan. Dia merenung Jeffri yang duduk di hadapannya. Tekaknya mula berasa haus akibat terkejut. Gelas di atas meja dipandangnya. Dia ingin mencapai gelas itu. Mahu meneguk air dari gelas itu hingga habis dengan sekali nafas. Perlahan-lahan tangannya menggagau.
‘Klik!’ bunyi pelantun peluru pistol terpasang.
Lelaki itu menarik kembali tangannya. Jejarinya kini menutup mulutnya.  Menyesal dengan tindakannya. Dia menelan liur. Perlahan-lahan matanya menurun ke bawah meja lalu menjeling ke celah pahanya. Dia tahu, ke situlah sasaran pistol yang sedang digenggam Jeffri. Tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi bila pistol Jeffrimeledak dan meletup di celah kelengkangnya!
Pagi tadi, lelaki itu mendapat khabar ada seseorang yang datang ke kampungnya mencari saudara-mara Wehliye Amare. Khabarnya, orangnya itu datang membawa pesan dan wang dari Wehliye. Ketika itu, dia ke pekan.
Sebaik sahaja berita itu dikhabarkan oleh orang kampung kepadanya, dia bergegas ke restoran ini. Ingin sangat bertemu dengan orang yang membawa khabar mengenai Wehliye yang sudah berbulan tidak pulang. Risau hatinya bukan kepalang memikirkan untung nasib Wehliye. Mana tidaknya. Dia adalah ayah saudara Wehliye yang membela lelaki itu sejak kecil.
Namun, tidak menyangka bertemu dengan lelaki gila ini. Sebaik sahaja dia duduk, Jeffri menempeleng pipinya. Belum sempat dia bertanya mengapa, Jeffri sudah mengacukan pistol ke kepalanya. Sungguh tidak masuk akal apa yang dia hadapi. Fikirnya, tentulah kedatangannya disambut dengan baik. Sebaliknya, dia berdepan dengan situasi yang mendebarkan.
“Saya… saya datang untuk dapat berita tentang Wehliye. Tapi… tapi… kenapa buat saya macam ni?” Lelaki tua itu bertutur perlahan. Hampir-hampir tidak terkeluar suaranya. Mujurlah restoran kecil ini tidak ramai pelanggannya. Jika tidak, suara lelaki itu tidak kedengaran.
Jeffri Zain menoleh. Menyasarkan pandangannya tepat ke wajah lelaki tua itu. Membuatkan dia gugup dan tersandar kerana benar-benar takut. Persis melihat singa merenungnya.
“Di mana Wehliye?” soal Jeffri.
Mata lelaki itu terbelalak. “Tapi, saya dapat tahu, tuan ke kampung ini sebab hendak sampaikan pesan daripada Wehliye kepada keluarganya. Tentulah tuan tahu di mana Wehliye. Dan, sayalah, keluarganya. Nama saya Abdi, bapa saudara yang menjaga Wehliye sejak kecil. Kenapa tuan tanya saya pula di mana Wehliye?”
“Kau jawab sajalah soalan aku… Di mana Wahliye?” kata Jeffri seraya mengetap bibirnya.
Abdi mula merintih. Entah apa yang diperkatakannya. Kalau boleh dia ingin menjauhkan dirinya daripada Jeffri. Takut sangat dengan cara Jeffri memandangnya. Gerun dengan pistol yang tersasar ke anunya. Semakin bingung dengan apa yang diingini oleh Jeffri.
“Di mana Wehliye?” jerkah Jeffri.
“Dia ke laut. Jadi nelayan!” jawab Abdi, spontan.
Nampaknya Abdi tidak tahu, Wehliye sebenarnya menjadi lanun, bukannya nelayan. Itu maklumat yang Jeffri terima daripada BISIK. Mana mungkin seorang anak hendak memberitahu penjaganya yang dia bekerja sebagai lanun?
 “Kau tak bohong?”
“Tak. Betul.”
“Apa yang betul, apa yang tidak?”
“Tak. Aku tak bohong!”
“Kau tak bohong?”
“Ya…”
“Ya, kau bohong?”
“Tidak! Tidak! Aku berbohong! Ahh…”
Abdi menghantukkan kepalanya ke meja. Berdentum bunyinya. Dia meratap dan bergumam entah apa-apa. Bahunya terhenjut-henjut. Melihatkan itu, Jeffri hendak tertawa. Mahu sahaja dia meledakkan suaranya kerana geli hati melihat lelaki di depannya ini sudah stres. Namun, dia mengulum senyumnya. Perlahan-lahan, Jeffri menyisip kembali pistol ke belakang pinggangnya.
“Hei… hei… pandang sini…” seru Jeffri dengan suara yang sehabis lembut. Bagai seorang jejaka berbisik kepada kekasihnya.
Abdi mendongak perlahan-lahan. Namun dia masih tidak berani bertentang mata dengan Jeffri. Takutnya persis tikus yang berdepan dengan kucing.
“Aku percaya kata kamu…” kata Jeffri seraya menepuk lengan lelaki itu perlahan.
Mendengarkan itu, Abdi merenungnya. Dia meneguk liur kerana berasa lega. Ombak di dadanya kian teratur.
“Sebenarnya, aku bergurau aje tadi. Wehliye kata, dia akan pulang tak lama lagi. Dia beri aku wang untuk disampaikan kepada kamu,” bisik Jeffri seraya menepuk-nepuk poket seluarnya yang kembung. Sengaja menukar taktik dengan cara lembut agar dia memperoleh kerjasama dari lelaki itu.
“Ye, ke?” Lelaki tua itu bertanya inginkan kepastian. Wajahnya kelihatan berseri riang.
“Hmm… Wehliye adalah kawan lama aku. Kamu pasti haus. Minum. Minumlah…” pelawa Jeffri lalu duduk bersandar.
Lelaki itu tersengih-sengih lalu mencapai gelas minuman. Rakusnya dia menelan minuman hingga kedengaran bunyi berdegup-degup air mengalir di tenggoroknya. Mungkin dia haus. Mungkin sahaja dia kering tekak kerana hilang semangat bila digempar Jeffri sebentar tadi.
“Berapa adik beradik Wehliye?”
“Tuan tak tahu? Bukankah tuan kata, tuan kawan lama Wehliye? Tak mungkin Wehliye tak ceritakan mengenai abangnya?” kata lelaki itu seraya menjeling perli.
Darah Jeffri menyirap ke  mukanya kerana ditempelak begitu. Namun, dia tidak mahu menggertak lelaki itu semula. Biarlah dia menahan sabar sekejap kerana dia boleh sahaja  menggentarkan lelaki itu pada bila-bila masa.
“Ah… Wehliye cukup berahsia dengan aku. Dari mana asal dia pun aku tak tahu. Kalau tidak kerana dia ada hal, dan minta aku berikan duit untuk perbelanjaan keluarganya di sini, mungkin dia tak akan beritahu aku di mana kampung halamannya. Wehliye ada ramai adik beradik? Cantikkah adik perempuannya?” tanya Jeffri seraya mengenyitkan matanya.
Orang tua itu tertawa besar. Lama juga dia tertawa kerana memahami gurauan Jeffri. Setelah berhenti tergelak, dia mengangkat jari telunjuknya.
“Seorang. Wehliye hanya ada seorang abang. Namanya Saleem.”
“Ye, ke? Aku ingat dia sebatang kara,” Mata Jeffri mencerlang kerana dia memperoleh maklumat baru. “Di mana Saleem sekarang?”
“Saleem dah lama tak balik kampung. Sejak dia serahkan bot nelayannya pada Wehliye, dia buka syarikat bawak jemaah haji dan umrah dari Somalia ke tanah suci. Perniagaan dia dah maju. Sekarang, dia dah ada syarikat haji dan umrah di Mekah dan Madinah.”
“Oh… jadi… semua bot Wehliye itu asalnya kepunyaan Saleem?” Jeffri bertanya mahukan kepastian.
Abdi menggangguk.
“Kamu pernah dengar nama Bad Holac?” soal Jeffri mengenai kumpulan lanun yang diketuai Wehliye.
Mata orang tua itu mencerlang. Tampak wajah ketakutan di mukanya. “Saya dengar, itu kumpulan lanun yang ganas!  Saya dengar. mereka semua berasal dari kampung yang jauh di sebelah utara kampung ini.”
Keterangan Abdi mengesahkan orang kampung Wehliye tidak tahu aktiviti sebenar lanun itu. Mereka masih menganggap Wehliye adalah nelayan. Bukan ketua lanun yang kini menjadi perhatian.
Jeffri bangun seraya membetulkan bajunya. Poketnya diseluk dan dikeluarkan sekeping syiling lima euro. Wang itu dijentiknya. Syiling itu jatuh berputar dan terhenti betul-betul di hadapan lelaki itu.
“Aku perlu berangkat sekarang. Terima kasih.”
 “Bukankah tuan ada bawa wang dari Wehliye… untuk kami?” Abdi teringat pesanan yang dikhabarkan oleh orang kampung kepadanya sebelum dia bergegas ke restoran ini. “Wehliye biasa beri wang yang banyak kepada kami. Apa yang kami nak makan dengan duit lima euro ini?”
“Itu saja wang yang Wehliye berikan kepada aku…” jawab Jeffri seraya melangkah.
“Nanti dulu! Mana cukup belanja dengan wang sebanyak ini?” lelaki itu pula menjerkah seraya berdiri.  Membuatkan Jeffri berhenti melangkah. Kemudian dia menoleh dan merenung lelaki itu. Reaksi Jeffri itu membuatkan lelaki itu terduduk semula. Perutnya kecut kembali.
“Kata Wehliye, wang itu cukup untuk belanja minum kita! Kalau tak cukup, kamu tambah, ya?”
Dengan kata-kata itu, Jeffri melangkah meninggalkan lelaki yang terpinga-pinga itu. Kemudian, dia perlu sampaikan maklumat yang diperolehinya kepada Tuan Aziz. Sebelum itu, dia harus lakukan sesuatu walaupun ia bukan arahan bosnya. Ya, dia akan menyusup masuk ke dalam kumpulan Bad Holac!

Bersambung Ahad depan, insya-ALLAH...

Saturday, July 21, 2012

FRAGMEN 7: GERAK GEMPAR



Photo credit: Barzey.com
Hotel Hyatt Regency, Sharm El Sheikh

KEHIDUPAN sebagai perisik bukannya sentiasa menarik seperti ejen perisik fiksyen James Bond yang hidup penuh aksi. Sebagai ejen yang ditugaskan di zon timur tengah, tidak banyak aktiviti perisikan yang boleh dibuat  melainkan sebagai pemberi maklumat mengenai aktiviti kumpulan-kumpulan jihad yang disyaki mempunyai rangkaian di Malaysia.
Demonstrasi yang menjatuhkan pemimpin-pemimpin negara Arab yang dikenali sebagai Arab Spring turut menjadi perhatiannya. Jeffri ditugaskan untuk memantau samada terdapat rakyat Malaysia yang terlibat dalam demonstrasi itu. Kerja-kerja memerhati tanpa aksi amat membosankannya. Malah, Jeffri tidak suka melakukan kerja-kerja sebegitu.
Setelah berbulan terperap di negara Mesir, Jeffri semakin jemu bertugas di sana. Bila suasana di negara-negara Arab kembali tenang, Jeffri mati kutu kerana hidupnya terlalu relaks. Jadi, apabila Tuan Aziz menghubunginya lalu memberi arahan supaya segera ke Somalia, Jeffri dapat mencium sesuatu yang penuh aksi dan debar akan diharunginya.
Sambil menghirup kopi sejuk, Jeffri membuka TV dengan alat kawalan jauh. Matanya mencerlang bila terpandang nama ‘Lancang Kuning’ terpapar di skrin. Fokus kamera mula zoom-out dan mempamerkan kapal minyak Petromal itu.
Jeffri meninggikan suara TV. Ulasan pemberita saluran WorldLiveLine didengar dengan teliti. Laporan terkini keadaan kapal minyak yang ditawan lanun Somalia dilaporkan oleh pemberita.
Meskipun imej-imej di skrin hanya memaparkan video rakaman majlis pelancaran penghantaran minyak dari Ganezuela ke Kenya di pelabuhan Bahara dua minggu lalu. Kemudian, foto Presiden Ganezuela, Alberto Chimo dan Perdana Menteri Malaysia dipaparkan sebagai back-story sebelum kejadian. Foto Menteri Minyak Ganezuela Quando Jabuti pula terpapar diikuti dengan foto Datuk Rauzah Paiman, Ketua Pengarah Operasi Petromal.
Nafas Jeffri terhenti sesaat. Wajah Datuk Rauzah menyentap hatinya. Memorinya mula berlari-lari menayangkan imej-imej Datuk Rauzah dalam pelbagai mood. Jeffri menggeleng untuk menghentikan tayangan wajah-wajah Datuk Rauzah yang bersilih ganti di layar mindanya kerana ada satu lagi perkara yang lebih penting yang sepatutnya dia fikirkan sekarang ini.
“Eh! Mana dia gambar lanunnya? Tak mungkin dia orang tak dapat gambar ketuanya untuk hebahan?” gumam Jeffri.
Jeffri menukar saluran TV. Pelbagai saluran TV dibuka untuk melihat kalau-kalau ada menayangkan wajah lanun-lanun itu secara dekat. Pada setiap saluran yang dibuka, Jeffri menanti kalau ada yang memaparkan saat-saat serangan lanun itu. Namun, tiada satu pun yang menayangkannya.
“Semua saluran TV tak ada montaj video peristiwa tu. Yang ada foto aje. Hmm… mungkin saluran-saluran TV belum lagi dapat videonya,” Jeffri bergumam.
Jeffri menutup TV. Dia mengeluh dan menekur ke lantai. Berfikir sejenak. Kini Jeffri semakin yakin arahan bosnya Tuan Aziz, agar segera ke Somalia itu ada kaitan dengan peristiwa rampasan kapal minyak Malaysia. Tugasan di Somalia nanti tentunya akan mengubah pola kehidupannya yang rutin, yang lembab dan yang lesu itu kepada kehidupan yang penuh cabaran, penuh debar dan penuh aksi. Akhirnya, apa yang diidam-idamkannya bakal menjelma.
“Somalia? Yes!” Jeffri menjerit secara tiba-tiba.
Senyuman terukir di bibirnya. Selimutnya ditolak. Gebar itu terkibar dan melayang ke sudut tilam. Jeffri melonjak bangun dan melompat ke lantai. Dia hinggap ke situ dalam kedudukan kedua-dua tangan dan kakinya melekap ke lantai. Senaman pumping terus dilakukan bertubi-tubi.
Jeffri mahu mengalirkan hormon adrenalin ke pembuluh darahnya. Otot-otot di tubuhnya perlu diregang supaya mantap semula. Sudah terlalu lama otot-ototnya kendur. Dia perlu bersedia mempercepat dan mempertepat berfikir. Caranya ialah dengan bersenam secara pantas.
Seketika sahaja peluh merembes dan mengalir di tubuhnya meskipun pendingin udara di bilik ini masih menderu-deru meniupkan angin sejuk. Sambil melakukan senaman sit-up pula, Jeffri sempat tersenyum melihat susuk tubuh sasanya yang tidak berbaju. Menampakkan otot-otot pejal yang masih kelihatan berselirat dengan urat meskipun usianya hampir menjangkau ke separuh abad.
Jeffri berhenti bersenam. Lalu mengambil sebotol air mineral di meja sisi katilnya. Sebentar sahaja 500ml airnya berpindah dari dalam botol ke kerongkong langsung ke dalam perutnya. Tanpa menoleh, dia membaling botol plastik itu ke arah bakul sampah.
Dia tidak menoleh pun. Bunyi gemersik plastik yang disentuh botol itu cukup menandakan balingannya tepat masuk ke bakul sampah. Jeffri menghembus nafas melepas lelah.  Perlahan-lahan dia melangkah ke jendela. Langsir dikuak. Menampakkan lampu-lampu yang menghiasi persekitaran taman hotel itu. Dia memandang ke kejauhan. Kerlipan-kerlipan lampu kapal yang berlabuh di Laut Merah bagai bintang-bintang dalam kegelapan.
Wajah Datuk Rauzah menjelma kembali. Memaparkan sebuah insiden yang seolah-olah baru terjadi semalam. Jeffri melihat dirinya pula melangkah menghampiri wanita itu. Mereka kelihatan berkata-kata. Serius. Mereka tidak bertukar senyuman pun. Jeffri nampak Datuk Rauzah berpaling dan melangkah pantas meninggalkannya. Hati Jeffri tersentap kembali. Dia teringat bila dan mengapa insiden itu terjadi. Nafasnya bagai tertahan-tahan bila memorinya mengetuk sanubarinya.
Bunyi deringan fonselnya menarik perhatian Jeffri ke suasana kini dan di sini. Wajah Rauzah dan dirinya hilang dari layar mindanya. Jeffri segera melangkah ke katilnya. Fonselnya digapai. Ada mesej dari Tuan Aziz.
Imej Lancang Kuning terpapar. Jeffri menekan punat video. Kelihatan insiden serangan lanun Somalia ke atas kapal itu. Kini, dia mendapat gambaran yang lebih jelas bagaimana serangan itu terjadi. Jeffri meneliti video itu dengan teliti.
Video kini menayangkan wajah seorang lelaki kulit hitam yang sedang berdiri di pintu helikopter sambil terjerit-jerit memerintah. Daripada gaya lelaki itu mengarah, Jeffri dapat mengagak lelaki itu adalah ketua lanun. Video dihentikan. Jeffri memperbesar imej wajah lelaki itu. Muka lelaki itu terus dicam dan dirakam ke kotak ingatannya.
“Mana aku nak cari Pak Hitam, ni?” gumam Jeffri.
Sekali lagi fonselnya berlagu. Menandakan ada sebuah lagi mesej dari Tuan Aziz yang tiba ke telefonnya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, July 14, 2012

FRAGMEN 6: GERAK GEMPAR



Photo credit: wales.ac.uk
Bilik Mesyuarat, Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya

SESI mesyuarat malam tadi disambung lagi pada pagi ini. Kesemua ahli majlis tidak pulang ke rumah kerana mereka memang disediakan bilik menginap. Kes-kes besar seperti bencana alam, malapetaka dan soal keselamatan memerlukan mereka berada di Kompleks Perdana di sepanjang waktu. Selagi tugas tidak selesai, selagi itulah mereka akan berkampung di sini.
Kesemua ahli majlis membetulkan duduk apabila skrin mula diturunkan dari celah siling. Pada sesi ini, Ketua Setiausaha Negara mengambil tempat Perdana Menteri untuk meneruskan mesyuarat. Lampu-lampu di bilik ini mula diredupkan. Menjadikan suasana yang sudah sedia dingin menjadi sejuk. Kesemua mata tertumpu ke wajah yang terpancar di skrin.
Raut seorang lelaki kulit hitam yang berikat kepalanya dengan kain berwarna-warni menarik perhatian para hadirin. Lelaki berkaca mata hitam itu kelihatan tersenyum, menampakkan barisan giginya yang memutih. Di tangan kanannya tergenggam sebuah pistol, sementara tangan kirinya pula memegang seketul paha ayam goreng.
“Inilah Wehliye Amare… Ketua lanun Somalia dari kumpulan Bad Holac atau bermaksud, Api Lautan. Pihak Interpol baru hantar maklumat ini pada saya.” Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas PDRM memulakan taklimat.
Kedengaran suara mereka di dalam bilik ini berbisik-bisik.
“Muka dia nampak baik, aje… macam badut pun, ada!” komennya lagi hingga mengundang mereka di dalam bilik ini tertawa serentak. “Tapi jangan tak tahu, ya? Dia inilah ketua lanun yang paling licik. Dah lapan buah kapal dagang ditawannya. Kapal Jepun, Perancis, Amerika, Filipina, India, Korea, Australia dan Malaysia kesemua dibahamnya.
Modus operandi Bad Holac tak pernah sama. Selain daripada menyamar sebagai kumpulan nelayan sebelum menyerang, dia orang pernah menyamar seolah-olah kapal yang mereka naiki mengalami kerosakan. Bila kapal dagang yang menjadi sasaran itu mendekat, mereka tawan kapal itu.
Masa mereka serang kapal dagang Australia bulan lepas, mereka hampiri kapal itu dengan menggunakan kapal Korea yang ditawan sebelum itu. Memang kapal dagang Australia tertipu kerana tidak menyangka kapal Korea yang datang mendekat itu sebenarnya dinaiki anak-anak buah Wehliye yang licik.
Serangan ke atas Lancang Kuning adalah modus operandi Wehliye Amare yang pertama menggunakan helikopter. Dia dah kaya… sebab itulah dia ada stail bila melanun! Setakat ini, itu saja yang saya dapat bentangkan…”
“Saya pun baru dapat video dari heli TUDM…” celah Datuk Amsyairi, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM. “Izinkan saya tayangkan video ini di skrin, Tan Sri…” katanya lagi seraya menekan butang di komputernya.
 Tayangan slaid di skrin besar kini bertukar kepada tayangan video. Memaparkan adegan mencemaskan dari udara. Kelihatan helikopter Wehliye Amare mula mengambang dan meninggalkan Lancang Kuning. Semakin lama, lampu merah yang berkelip-kelip di perut helikopter itu kelihatan semakin menjauh.
Kamera video segera bergerak menghampiri kapal. Lensa visi malam mula menayangkan imej-imej mereka di atas dek.
“Kalau tuan-tuan perhatikan… terdapat imej-imej merah di atas kapal,” ujar Datuk Amsyairi. “Imej-imej merah itu menunjukkan ada lapan orang lanun di atas kapal itu.”
“Macam mana Datuk tahu?” soal Ketua Setiausaha Pemakanan.
“Kamera khas kita akan memaparkan imej berwarna merah ke atas mereka yang hampir dengan sulfur iaitu komponen utama peluru. Lanun-lanun itu membawa rifel yang mempunyai belerang.
Dalam keadaan-keadaan di mana kita pasti mereka adalah musuh, kita boleh sahaja tembak mereka. Tapi, buat masa sekarang, pantauan kamera hanyalah untuk membantu kita mengenalpasti kekuatan musuh,” jelas Datuk Amsyairi lagi dengan panjang lebar.
Seiring dengan kata-kata itu, lampu bilik mesyuarat dicerahkan kembali. Skrin yang terbentang perlahan-lahan menaik dan bergulung secara automatik. Mereka kini menumpukan perhatian kepada Tan Sri KSN yang kini duduk tersandar memerhati mereka seorang demi seorang. Matanya tercari-cari siapakah di kalangan anggota mesyuarat yang akan mula bersuara memberi idea.
            “Apa status terkini?” soal KSN.
“Tan Sri… ada maklumat menarik, ni…” Datuk Badruldin menyampuk. Jejarinya menekan-nekan komputer tab peribadinya. “Interpol baru saja kirim maklumat terbaru.” jelas Datuk Badruldin.
 “Interpol dapat maklumat, kampung asal Wehliye ialah di Baraawe, sebuah kampung nelayan kat Somalia,” jawab Datuk Badruddin.
 “Nampaknya, maklumat kita ni sikit sangat. Ada maklumat lain?” soal KSN seraya memantaukan pandangannya ke setiap mata yang memandangnya.
“Ya, ada…” kedengaran suara Tuan Aziz perlahan memulakan bicara.
Kesemua mata menoleh ke arahnya. Masing-masing ingin tahu apakah idea Tuan Aziz sebagai bos BISIK.
“Enam jam daripada sekarang…” ujar Tuan Aziz seraya menekur ke jam tangannya sebelum menyambung kata, “… ejen BISIK akan tiba di Somalia. Saya akan arahkan dia terus ke kampung Wehliye di Baraawe untuk mendapat maklumat tentang kumpulan Bad Holac.”
“Wah, awak memang cekaplah…” puji Datuk Badruddin.
“Memang hebat…” sampuk Datuk Amsyairi pula.
“Hmm…” ujar Tan Sri KSN seraya mengangkat keningnya. “That’s good news… but I want to hear better news. I want to know the results in 24 hours!”
“Okey. Saya terima cabaran itu,” jawab Tuan Aziz. Serius.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, July 7, 2012

FRAGMEN 5: GERAK GEMPAR



Photo credit: panoramio.blogspot.com


Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya


“BERI saya tempoh 24 jam, Datuk Seri.  Saya akan dapatkan maklumat latar belakang lanun-lanun tu,” jawab Tuan Aziz.
            “24 jam terlalu lama tu. Di mana ejen BISIK yang paling dekat?”
            Sekali lagi Tuan Aziz terdiam. Dia tertunduk seraya menghembuskan nafasnya dalam-dalam. Dalam keadaan yang genting itu, PM tidak mahu rasa terkilan menerawang lama di hatinya. Lantas beliau mengalihkan pandangannya ke arah Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM pula kerana terkilan, Tuan Aziz tidak dapat memberinya apa-apa maklumat yang boleh membantu rancangan operasi menyelamat.
            “Kita dah dapat pintas komunikasi mereka, Datuk Seri. Kita dapat tahu ada tiga anak kapal kita yang cedera. Cedera ringan,” kata pegawai tentera itu.
            “Datuk Rauzah? Apa dah jadi dengan dia?” soal PM.
            “Menerusi percakapan ketua lanun tu, kita dapat maklumat Datuk Rauzah kini dikurung di biliknya.”
            “Apa tuntutan lanun-lanun tu?”
            “Belum ada tuntutan, Datuk Seri. Kami tak dengar apa-apa permintaan jumlah wang tebusan samada melalui perbualan ataupun pengumuman daripada mereka.”
            “Pelik!” kata PM.
            “Kami sentiasa terima laporan berkala daripada ibupejabat Petromal, Datuk Seri. Mereka pun tak terima apa-apa gesaan daripada lanun. Mungkin lanun-lanun tu sedang menanti pengumuman daripada ketua mereka,” celah Setiausaha Keselamatan Kementerian Tenaga dan Komunikasi.
            “Yang berdiri di pintu helikopter tadi itulah ketuanya. Dia yang patut minta Datuk Rauzah suarakan pada Petromal jumlah yang dia hendak!” celah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ramlee Awang Murshid.
            “Dah sejam berlalu. Tapi dia tak minta apa-apa. Apa sebabnya? Apa yang mereka hendak?” bebel PM.
            “Kita sedang mengawasi kapal itu, Datuk Seri. 24/7. Anggota Paskal pun sudah ada berhampiran dengan kapal itu. Menanti masa bertindak sebaik sahaja mendapat arahan,” jelas Datuk Amsyairi.

DI SEPANJANG perbincangan itu, Tuan Aziz menekur ke komputernya sambil mencari lokasi ejen-ejennya. Setelah tidak dapat memberi maklumat terkini kepada PM, dia berasa tercabar. BISIK adalah agensi perisikan yang terkenal dengan kehebatannya mendapat maklumat dan menumpaskan musuh. Tuan Aziz tidak mahu BISIK menjadi agensi yang tercorot mendapat maklumat.
            Setelah mengklik ikon ‘medan’ di laman web BISIK, terpapar  bintik-bintik merah yang menunjukkan lokasi ejen-ejen BISIK di merata dunia. Afrika bukanlah benua yang ada kepentingan buat negara. Kerana itu, BISIK hanya menempatkan seorang ejen di sana.  Namun, tiada titik merah di situ.
            ‘Ke mana pulak engkau pergi, ni?’ rungut Tuan Aziz di dalam hati.
            Tuan Aziz menekan butang ‘F5’ untuk refresh laman di komputernya. Mengharapkan agar komputernya segera membuka halamannya. Tiba-tiba kelihatan sebutir bintik merah yang baru kelihatan terkelip-kelip di peta negara Mesir. Tuan Aziz mengeluh lega. Ejen yang dicarinya masih ada di benua Afrika. Dia mengklik bintik itu dan skrin terus memapar wajah seorang ejen BISIK. Perlahan-lahan bibirnya mengorak senyuman.
            ‘Hmm. Aku ingat engkau dah mati!’
            Tuan Aziz terus mendail sambil menanti dengut nada panggilan. Tiada jawapan. Dia mencuba sekali lagi. Tiada jawapan juga. Akhirnya Tuan Aziz mengeluh seraya meletak fonselnya di sisi. Lantas menghalakan kembali perhatiannya pada perbincangan dalam mesyuarat khas itu.
           

Photo credit: teleport-city.com

Hotel Hyatt Regency, Sharm El Sheikh

HOTEL yang terletak di kawasan seluas 35 hektar di kawasan pantai Laut Merah ini adalah destinasi popular untuk aktiviti sukan laut dan menyelam. Para pelancong yang ke mari lazimnya adalah dari kalangan ekspatriat. Selepas bermesyuarat, mereka bersantai di hotel ini untuk bermandi manda di laut terutamanya pada waktu petang.
Di bilik Sea View, seorang lelaki berusia 47 tahun duduk berlunjur di katil sambil memangku kepala sambil menonton TV. Sesekali,  dia mengeluh kerana bosan. Kerana matanya semakin layu, dia terus menekan alat kawalan jauh lalu mematikan TV. Selimut terus ditarik menutup seluruh tubuhnya kerana dia hendak menyambung tidur. Tiba-tiba matanya terkelip-kelip bila terasa getaran fonselnya. Tangannya teraba-raba ke bawah selimut. Mencari fonselnya yang entah di mana.
“Helo…” sapanya dengan suara yang parau sebaik sahaja fonsel itu dalam genggamannya.
“Jeff… Jeffri Zain…”
Suara itu membuatkan dia mengeluh perlahan. Dia kenal suara itu. Skrin fonselnya ditatap. Benar seperti agakannya. Keningnya terangkat apabila wajah Tuan Aziz terpapar dengan wajah yang berkerut seribu. 
“Bos…” gumam Jeffri.
“Engkau, apa khabar?” tanya Tuan Aziz. Dengan ejen yang senior, Tuan Aziz hanya ber’aku’ dan ber’engkau’ sahaja.
“Baik aje, bos.”
“Aku call engkau semalam, pagi tadi, tengahari tadi… Tapi engkau tak jawab pun. Mana pergi?”
“Saya tidur, bos.”
“Boleh percaya, ke?”
“Saya dah tak buat kerja-kerja yang pelik sejak pergi Haji, bos. Dah taubat… betul, bos. Saya ni dah tua… macam bos jugak! Ha, ha!”
“Hmm. Kau buat apa kat Sharm-el-sheikh, tu. Sepatutnya engkau kat Dataran Tahrir!”
“Kat dataran tu dah tak ada kerja penting, bos. Balik-balik berdemo. Dah tak membahayakan keselamatan macam ketika Mubarak masih berkuasa. Lebih baik saya bercuti kat sini. Releks aje. Goyang kaki. Makan gaji buta!”
 “Hmm. Engkau tu, dah banyak sangat rehat. Aku ada tugasan menarik…” ujar Tuan Aziz.
“Mana ada tugasan menarik, kat negara Arab ni, bos? Kalau setakat nak tolong bawak rombongan dari Malaysia pegi shopping, macam selalu tu, pegawai kedutaan pun boleh buat, bos. Saya dah penatlah. Balik Malaysia, lagi bagus.” Jeffri membebel.
“Straight to the point. Engkau kena terbang ke Somalia!”
“Somalia?” Mata Jeffri terus mencerlang. “Nak buat apa? Nak suruh saya risik tentang perang saudara kat sana ke?”
“Bila sampai kat Somalia esok, aku akan beri maklumat seterusnya,” kata Tuan Aziz.
“Dekat sini, dah nak tengahari, bos. Tak sempat nak ke airport,” Jeffri memberi alasan seraya menguap panjang.
“Engkau jangan kelentonglah, Jeff. Airport Sharm-el-sheikh tu 10 minit aje perjalanan dari hotel tu. Aku pernah duduk kat sana.”
“Tak ada tugasan kat tempat lain ke, selain daripada Somalia? London ke… Paris ke, Hawaii…” Jeffri sengaja menyakat bosnya.
“Jangan banyak songeh, Jeff. Bila engkau tiba di airport, pegi aje ke kaunter. Tiket ke Somalia dah aku tempah.”
“Apa kes, bos?”
“Aku akan beri arahan bila engkau sampai kat sana.”
Mata Jeffri mencerlang. Dia memandang wajah Tuan Aziz yang tersengih di skrin fonselnya. Tidak percaya yang Tuan Aziz sudah mengatur kesemuanya. Pasti ada misi penting yang akan tiba ke tangannya sebentar lagi.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, July 1, 2012

FRAGMEN 4: GERAK GEMPAR




Majlis Pertahanan Negara, JPM, Putrajaya

1.30 PAGI. Meskipun bilik ini sunyi dan dingin, suasananya sudah membahang. Berikutan dengan berita tawanan Lancang Kuning oleh lanun Somalia, ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara dipanggil untuk menghadiri sebuah sidang tergempar.
            Kini, kesemua ahli majlis sudah berada di tempat masing-masing. Mereka sibuk mendapatkan maklumat terkini melalui komputer yang terpasang di meja mereka. Ada yang mencatat sesuatu di komputer tablet peribadi. Tidak kurang juga yang sedang membaca mesej pesanan ringkas daripada fonsel masing-masing.
            Wali Sembilan. Inilah gelaran yang diberi oleh PM kepada mereka. Di tangan sembilan orang ahli Majlis Pertahanan Negara inilah terletaknya keselamatan negara. Mereka mengetuai bahagian masing-masing untuk melaksanakan fungsi mempertahankan negara daripada ancaman musuh dalam bentuk fizikal, mental, spiritual mahupun siber.
            Ketua Setiausaha Negara, Setiausaha Keselamatan Kementerian Kewangan, Setiausaha Keselamatan Kementerian Tenaga dan Komunikasi, Setiausaha Keselamatan Kementerian Luar, Setiausaha Keselamatan Kementerian Dalam Negeri, Setiausaha Keselamatan Kementerian Pemakanan, Ketua Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia, Ketua Pengarah Operasi Khas Angkatan Tentera Malaysia dan  Ketua Pengarah Biro Risikan Negara adalah pasukan tindak cepat yang diilhamkan oleh PM.
            Majlis yang mendapat arahan dan mandat terus daripada PM ini ternyata dapat bergerak pantas menggembleng tenaga daripada unit masing-masing pada bila-bila masa. Jika soal-soal politik memerlukan tindakan yang penuh diplomatik dan berhemah, soal-soal keselamatan pula memerlukan tindakbalas yang pantas, jitu dan padu. Ia merentasi sempadan jabatan yang penuh birokrasi.
            “Assalamualaikum…”
            “Waalaikumsalam!” Mereka menjawab salam PM secara spontan sebelum mengangkat kepala seraya membetulkan duduk masing-masing.
            Kerana asyik tertunduk-tunduk dengan tugas, mereka tidak menyedari sejak bila PM masuk ke bilik mesyuarat ini. PM memandang wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Ada garis senyuman di wajahnya kerana bangga melihat pasukan harapannya. Dia tahu Wali Sembilannya sudah bersedia untuk sekian kalinya memerah dan mencerah minda.
            “Mari kita mulakan…” ujar PM perlahan.
            Mereka semuanya tertunduk perlahan. Bibir mereka terkumat-kamit membaca ummul kitab. Perlahan-lahan seorang demi seorang mendongak semula setelah menamatkan bacaan.
            “Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh,” PM menterjemah Surah as-Saff, ayat 4 dengan perlahan dalam suasana yang hening.
            Masing-masing memejam mata. Menghayati apa yang dilafaz PM. Ayat al-Quran bukan sahaja penyembuh penyakit. Ia juga adalah ayat-ayat penenang mereka yang berbolak-balik hatinya. Ayat 4, Surah as-Saff itu membarakan semangat dan memperteguh minda ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara kerana mereka akan berbincang dan membuat keputusan penting untuk memacu sebuah misi menyelamat.
            “Saudara-saudara sekalian… sekali lagi kita berdepan dengan peristiwa serangan lanun Somalia. Selama ini, kita berjaya menumpaskan mereka. Bagaimana pula kali ini? Modus operandi serangan dan tawanan mungkin sama, tetapi lanun-lanun yang terlibat adalah orang yang berbeza. Kerana itu, kita mesti bersedia.
            Kita harus melihat peristiwa ini di luar paradigma. Rekod kejayaan terdahulu atau pola tindakan menyelamat kita mesti berlainan daripada yang sebelum ini. Cabaran kita ialah mengekalkan rekod kejayaan tanpa ada nyawa rakyat kita yang melayang!”
            Sekali lagi PM memandang wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Masing-masing mengangguk apabila mata mereka bertentang dengan PM. Tanda setuju dan akur dengan iltizam Perdana Menteri.
            PM menekan butang tetikus. Dan skrin besar di bilik itu terus memaparkan secara langsung imej kapal Lancang Kuning di peraiaran Somalia melalui pancaran satelit perisikan Mysat-4. Kesemua ahli MPN memandang ke arah skrin dengan mata yang tidak berkelip-kelip.
            “Kejadian berlaku pada jam 7.30 malam waktu tempatan atau jam 12.30 pagi waktu Malaysia. Lima buah bot lanun Somalia yang dilindungi sebuah helikopter menyerang kapal Lancang Kuning,” jelas Setiausaha Keselamatan Kementerian Luar tanpa menanti PM memberi isyarat.
            “Lanun sekarang dah guna helikopter. Hebatnya mereka!” ujar PM secara sinis. “Kenapa tak ada pasukan komando yang bertugas di atas kapal itu?”
“Masalah logistik, Datuk Sri…” celah Datuk Amsyairi.
“Maksud Datuk?”
“Kita tak dapat maklumat awal daripada Petromal yang mereka perlukan bantuan anggota kita.”
“Maksud Datuk?”
“Pelayaran kapal Lancang Kuning itu diputuskan tanpa pengetahuan kita.”
“Kenapa macam tu?”
“Kami tak pasti, Datuk Sri. Pelayaran itu tampaknya seperti tergesa-gesa. Kami pun tak ada maklumat kontrak di antara Petromal dan GOC telah ditandatangani.”
PM menggeleng kesal. “Kita nak jaga mereka sebaik mungkin, mereka pulak tak mahu beri kerjasama. Sekarang, siapa yang susah?”
Kata-kata PM itu turut dipersetujui oleh ahli majlis. Mereka sama sekali tidak menyangka Petromal akan membelakangkan soal keselamatan dengan belayar tanpa penyertaan anggota TLDM sebagai pengawal keamanan.
            “Ada maklumat lain?” tanya PM seraya menjeling ke arah Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas.        
            “Saya masih hubungi pihak Somalia untuk dapatkan maklumat latar belakang kumpulan lanun yang terlibat. Agak sukar mendapat kontak, Datuk Seri,” kata Badruldin dengan wajah gusar.
            “Kat Somalia tu tak ada ke, cawangan risikan?” soal PM.
            “National Secret Service Somalia dah bubar sejak 1990. Masalah perang saudara, Datuk Seri. Sebab itu kita sukar nak dapat maklumat.”
            “Interpol?”
            “Masih belum ada jawapan, Datuk Seri…”
            “CIA? Mereka kan, ada perisik di merata dunia? Dia orang tak ada info, ke?”
            “Dengan CIA pun, kita sedang cuba, Datuk Seri…” jawab Badruldin.
            “BISIK? BISIK ada maklumat?” soal PM seraya memandang Tuan Aziz.
            Tuan Aziz dan PM bertentang mata. Ketua Pengarah BISIK itu masih belum memperoleh  apa-apa maklumat. Kerana itu, dia mengeluh dalam. Menyedari keadaan itu, PM berpaling ke arah layar lebar.
            Merenung kapal minyak yang terapung-apung di laut bagai sabut yang terbiar. Hatinya tersayat bila memikirkan untung nasib anak-anak kapal Lancang Kuning. Dan jiwanya juga tersentap apabila Tuan Aziz tidak dapat menjawab soalannya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...