Sunday, August 26, 2012

FRAGMEN 11: GERAK GEMPAR



Photo credit: panoramio.com

Dataran Masjid Nabawi, Madinah
                                                                                                                              
SUDAH jam 10.00 malam waktu Madinah. Malam Jumaat. Dataran Masjid Nabawi masih terang benderang. Cahaya lampu-lampunya yang terpasang di tiang-tiang sekitar dataran ini menerangi segenap sudut. Simbahan cahayanya akan terus terpancar ke langit hingga ke siang esok.  Menepati makna Madinah al-Munawwarah sebagai kota yang bercahaya.
            Meskipun sudah sepertiga malam, para jemaah yang mengunjungi masjid ini masih ramai. Pada satu-satu ketika, beratus-ratus manusia dari merata pelosok dunia kelihatan berduyun-duyun berarak di dataran ini menuju atau meninggalkan masjid.
            Yang sedang melangkah pulang, menapak dengan perlahan menuju ke hotel akibat keletihan setelah melaksanakan ibadah. Yang bergegas menuju ke masjid pula kelihatan teruja. Mungkin masing-masing ingin mencari peluang untuk bersolat di kawasan Raudhah, yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w laksana taman syurga di masjid ini.
            Kerana itu, tidak hairanlah kawasan Raudhah sentiasa penuh sesak dengan para jemaah yang ingin beribadah. Beruntunglah sesiapa yang dapat bersolat waktu di sana. Namun, jikalau berpeluang bersolat sunat, ia adalah suatu kebaikan.

JAUH di hujung dataran, Fariz duduk bersandar di salah sebuah tiang. Tiang yang sebesar dua pemeluk itu mempunyai ruang untuk bertenggek. Sambil memerhati suasana sekeliling, dia memamah sebutir kurma yang dibawa bersamanya. Suhu di waktu ini sudah menurun hingga ke 29 darjah selsius.
            Tiba-tiba angin berpuput kencang menyapu wajahnya. Fariz lekas-lekas menyibak kain keffiyeh menutupi lehernya. Sesekali tubuhnya menggigil. Sejuknya angin persis berdiri di depan alat penyaman udara yang  berhembus kuat. Sejuknya bisa membikin gigi berlaga. Lantas Fariz beralih di balik tiang untuk mengelak tubuhnya disapu angin.
            Fariz memerhati empat orang kanak-kanak sedang bermain bola. Suara mereka yang terjerit-jerit hilang dibawa angin dingin yang bertiup kencang. Sepasang ibu bapa muda kelihatan sedang bersiar-siar di dataran ini.
            Secara tidak sengaja, bola yang ditendang kanak-kanak itu singgah ke jubah si suami. Dengan tersenyum, si suami menggelecek bola di depan kanak-kanak yang tertendang bola ke arahnya hingga yang lain tertawa mengekek. Si isteri pula turut tersengih sambil berjalan perlahan menolak kereta sorong. Di dalam kereta itu, bayinya sedang nyenyak tidur. Tidak sedar dengan kebisingan di sekitarnya.
            Fariz turut tersenyum melihat insiden itu. Sesekali dia tertoleh-toleh ke hala masjid. Mengintai dan cuba mengecam kalau-kalau neneknya sudah keluar daripada masjid. Oleh kerana sebahagian besar para jemaah menyarung jubah dan telekung putih, dari jauh mereka kesemuanya kelihatan sama. Hanya cara berjalan yang boleh dicam.
            Fariz mengeluh perlahan kerana kelibat Nek Tijah masih belum kelihatan lagi. Dia bimbang kalau-kalau Nek Tijah tersesat atau mendapat halangan. Sebentar tadi, Nek Tijah  mengikuti dengan para jemaah wanita daripada kumpulan umrah mereka.
            “Lepas solat, saya tunggu di tempat yang sama, ya nek? Hati-hati, tau?”
            Fariz teringat pesanannya kepada Nek Tijah sebentar tadi ketika mereka ingin berpisah. Jemaah lelaki memasuki melalui pintu King Fahd di sebelah kiri sementara jemaah perempuan pula memasuki mengikut pintu An-Nisa di sebelah kanan.
            Wanita tua itu hanya mengangguk. Dia hanya melontarkan sekilas pandang ke arah Fariz sedangkan mulutnya terkumat-kamit berzikir. Fariz berasa tidak puas hati. Dia bimbang kalau-kalau Nek Tijah tidak perasan akan pesanannya.
            “Nek...” ujar Fariz seraya menyentuh lengan Nek Tijah.
            “Iyalah... iyalah, Paris. Nek tau,” jawab Nek Tijah dengan wajah yang mencuka.
            Membuatkan Fariz lantas menarik tangannya dari lengan Nek Tijah. Mungkin orang tua itu kecil hati diperingatkan seolah-olah tidak tahu menjaga dirinya. Mulut Fariz  berkerinyut kesal bila terkenang apa yang dilakukan terhadap neneknya.
            Sungguh. Dia tidak mahu melukakan hati satu-satunya wanita yang paling disayangi ini. Lebih-lebih lagi di tanah suci Madinah, tempat mereka melakukan ibadah umrah bersama. Kalau neneknya terus berkecil hati kerana kebimbangannya, Fariz risau jika itu akan mengganggu tumpuan ibadah neneknya pada malam ini.
            Seharusnya dia tidak perlu lagi mengingatkan Nek Tijah. Wanita berusia itu sudah lima kali melakukan ibadah umrah dan sudah dua kali menunaikan haji. Sepatutnya Farizlah yang harus berhati-hati kerana ini adalah kali pertama dia menjejakkan kakinya di bumi penuh barakah ini.
            Bunyi enjin sebuah kenderaan mengganggu lamunannya. Fariz tertoleh ke sisi. Melihat sebuah lori kecil yang membawa tong-tong air zam-zam berhenti tidak jauh daripadanya. Lori itu membawa dua gerabak kecil. Tiap satu boleh mengisi sepuluh buah tong besar sepemeluk.
            Air zam-zam yang disediakan di banyak tempat di dalam masjid ini perlu ditambah pada setiap masa kerana para jemaah tidak putus-putus datang mengerjakan ibadah. Sebentar tadi, Fariz perasan lori ini dipandu ke hulu ke hilir di dataran ini membawa tong-tong air zam-zam. Pasti petugas yang membawa air zam-zam ini kerja tiada henti. Dan, pahala baginya tentu tidak putus-putus juga. Mengalir seperti air zam-zam dari telaganya.
            “Assalamualaikum...” tegur satu suara.
            “Waalaikumsalam,” Fariz menjawab seraya menoleh lalu tersenyum.
            Si pemandu lori mengangkut air zam-zam melangkah menghampirinya. Sejurus dia bersalam dengan Fariz.
            “Izinkan saya bersolat di sini, ya?” kata lelaki itu seraya terus berdiri dan mengangkat takbir tanpa menanti jawapan Fariz. Seolah-olah ayatnya tadi bukannya meminta izin, bahkan hanya memberitahu yang dia ingin bersolat di sini.
            Kerana tidak mahu menganggu lelaki itu bersolat, Fariz berensot kembali ke ruang yang menghadap ke masjid. Sekali lagi angin deras menyapu wajah dan tubuhnya. Fariz menggigil kesejukan. Cepat-cepat dia menggeser kedua-dua tapak tangannya untuk memanaskannya. Kemudian tapak tangannya itu diraup ke seluruh wajahnya. Kini wajahnya terasa sedikit membahang.
            Seketika kemudian, Fariz menyorotkan lagi pandangannya ke arah para jemaah wanita yang melangkah ke arahnya. Namun, kelibat Nek Tijah tiada lagi kelihatan. Ke mana pula wanita itu? Rasa bimbang mula menyelinap di sanubarinya.

Bersambung Ahad akan datang, insya-ALLAH...

Thursday, August 16, 2012

UCAPAN SELAMAT



SALAM AIDILFITRI
kepada semua rakan-rakan 
khususnya anda yang mengikuti blog ini. 
Maaf di atas segala kekasaran bahasa, 
terlepas kata, tak cantik aksara. 

Maaf, maaf,
maaf zahir dan batin daripada saya.

Saya turut memaafkan anda
kesemuanya... segalanya...





Dari saya:


NORDEN MOHAMED


@ EYMAN HYKAL

Sunday, August 12, 2012

FRAGMEN 10: GERAK GEMPAR



Photo credit: oobject.com

BISIK, Putrajaya

MESKIPUN masih berkampung Majlis Pertahanan Negara, dia keluar seketika ke halaman untuk menghirup udara merehatkan minda. Namun, hatinya bagai terpanggil untuk singgah juga ke BISIK yang terletak tidak sampai 400 meter dari pejabat Perdana Menteri itu.
            Tuan Aziz dan tugasnya sudah sebati. Mendarah daging. Kerja sudah menjadi kehidupannya. Jika tidak ke luar negara, tidak boleh tidak Tuan Aziz pasti berada di BISIK sama ada siang mahupun malam.
            Tanggungjawab. Itulah yang menjadikan dia bagai terperap di BISIK. Malah, kemudahan teknologi membolehkan dia memantau setiap inci bironya dan setiap ejen perisik di merata dunia 24-7 walau di mana pun dia berada.
            Dia puas dengan kerjanya. Puas dengan apa yang dilakukan demi negara dan agamanya yang tercinta. Pada usianya yang sudah menghampiri 60 tahun, tenaganya masih seperti lelaki 40 tahun. Pandangannya masih tajam, telinganya masih peka, akalnya masih cergas mengalahkan orang yang separuh usia darinya.

DIA menghembus nafas bangga apabila melihat kesibukan di Dewan Operasi BISIK. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, Dewan Operasi ini tidak pernah tidur. Matanya memantau ke sekeliling dewan. Melihat para petugasnya tekun menghadap komputer berskrin lebar masing-masing. Memerhati imej yang dipancarkan oleh Skuad Peninjau BISIK di seluruh dunia.
            Skuad Peninjau adalah ejen yang bertugas menghantar laporan dalam bentuk audio mahupun visual dari kawasan hotspot atau titik panas. Apabila sasaran dan operasi dikenalpasti, baharulah ejen perisik dihantar ke situ untuk melaksanakan tugas.
            Tuan Aziz mendongak dan memandang pula skrin besar di hujung dewan. Skrin itu kini memaparkan operasi yang menjadi fokus BISIK buat waktu ini iaitu insiden Lancang Kuning yang ditawan lanun.
            Pandangan dari udara melalui satelit perisik Mysat 4 jelas memaparkan Lancang Kuning di tengah Lautan India, Perairan Somalia. Tiada aktiviti yang jelas berada di sekeliling kapal. Seperti sabut, Lancang Kuning kelihatan teroleng-oleng di tengah malam.
            Imej dari bawah laut juga dilihat dari skrin berikutnya. Imej yang dipancar itu mungkin dari kapal selam Haruan yang sentiasa memantau Lancang Kuning. Atau mungkin sekali dari kamera mudah alih unit Paskal yang berada di bawah kapal.
            Tuan Aziz mengeluh perlahan kerana tidak puas hati dengan tahap kemajuan operasi. Itu semua gara-gara ketua lanun, Wehliye Amare yang belum mahu mengemukakan apa-apa tuntutan setelah menawan Lancang Kuning.
            Ia sebenarnya menjadikan suasana semakin tegang. Biasanya, perampas pasti terus meminta apa-apa pampasan untuk melepaskan tebusan. Bila ada tuntutan, baharulah ada perundingan. Bila ada perundingan, baharulah helah dan muslihat boleh dirangka. Sebaliknya, jika tiada apa-apa desakan, keadaan regang inilah yang lebih merunsingkan kerana tiada rancangan itu lebih buruk risikonya.
            “Assalamualaikum… bos tak balik lagi?” satu suara menegur.
            “Waalaikumsalam… hmm… belum, Mala. Awak pun tak balik lagi?” balas Tuan Aziz seraya menoleh memandang Normala Mustakim, ejen perisiknya.
            “Saya kerja malam, bos,” jawab Normala seraya melangkah lalu.
            “Mala…”
            Normala berhenti menapak. Dia menoleh. Memandang Tuan Aziz yang berkerut dahinya. Tentu dia sedang berfikir.
            “Awak tahu insiden Lancang Kuning?” kata Tuan Aziz.
            Normala hanya mengangguk.
            “Saya mungkin perlukan awak untuk Operasi Lancang Kuning. Standby…”
            “Okey, bos. Saya tunggu arahan bos,” jawab Normala penuh tertib seraya menoleh kembali untuk melangkah pergi.
            “Err… Mala…”
            Normala menoleh semula. Keningnya diangkat. Menanti kata-kata seterusnya dari Tuan Aziz.
            “Mana Fariz?”
            “Dia cuti. Pergi umrah.”
            “Dah lama?”
            “Dah lebih seminggu. Isnin minggu depan dia masuk kerja.”
            Tuan Aziz terangguk-angguk. Kemudian dia melangkah seraya bertanyakan sesuatu kepada seorang petugas yang berhampiran dengannya. Melihatkan itu, Normala terus beredar.

FONSELNYA bergetar sebaik sahaja Tuan Aziz memutar tombol pintu biliknya. Sambil membuka kot dan menekan alat kawalan jauh pendingin hawa, dia melekapkan fonselnya ke telinga.
            “Assalaaaaaamualaikum, bos!” Kedengaran ucapan salam yang panjang.
            “Walaikumsalam. Hmm… apa cerita?” jawab Tuan Aziz.
            “Bila bos nak datang sini? Tempat ni best sangat. Tak sangka bandar Baraawe ni ada pusat pelancongan… ada marina… ada hotel lima bintang… ada dusun buah-buahan kat belakang hotel. Seronok saya sebab bos beri saya tugas kat sini. Rasa tak nak balik. Lepas bertugas, saya nak bercuti pulaklah!”
            “Banyaklah engkau tu! Aku dah sampailah kat bandar kering kontang, panas dan berdebu Baraawe tu. Jangan kelentonglah, Jeff!”
            Kedengaran suara Jeffri Zain tertawa mengekek. Dia suka mengusik Tuan Aziz. Dahulu, mereka rakan sepasukan di Unit Tindakan Khas PDRM. Takdir memisahkan kedudukan tugas mereka. Tuan Aziz yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang perang psikologi terus menyertai bidang pengurusan PDRM sebelum dipindahkan untuk mengepalai BISIK.
            Jeffri yang lebih gemar beraksi pula sentiasa memperbaiki kemahiran tulang empat keratnya dengan mengikuti pelbagai kursus praktikal. Dia sentiasa berada di medan ~ di bawah terik panas mentari, di dalam kegelapan malam, di bawah kolong atau di puncak menara bangunan tinggi untuk menjalankan tugas merisik dan membanteras. Akhirnya, Jeffri Zain juga terpilih untuk menyertai BISIK.
            Di bawah organisasi yang sama,  mereka berdua sentiasa berhubung sewaktu menjalankan tugas. Kerana sudah lama mengenali di antara satu sama lain, mereka biasa bergurau dan menyakat sesama sendiri.
            Namun, di hadapan anggota BISIK yang lain, Jeffri Zain adalah perisik yang mempamerkan hormat dan patuh yang tidak berbelah bahagi kepada Tuan Aziz. Begitu istimewanya perhubungan mereka kerana tahu membezakan batas perhubungan; ketika formal dan tatkala tidak formal.
            “Bos… saya dah dapat maklumat tentang Wehliye…”
            Tuan Aziz hanya diam sambil menanti. Tidak mahu mengganggu Jeffri  memberi laporan seterusnya.
            "Sekarang ni saya berada di Kalunle, Merca. Ini perkampungan nelayan yang dah dah jadi macam perkampungan lanun. Ada banyak kumpulan lanun kat sini termasuk kumpulan Bad Holac. Keahliannya tak ramai, macam jugak kumpulan lain. Tak sampai 50 orang anggota lanun. Tapi inilah kumpulan yang paling ganas.
Ramai yang asalnya nelayan. Tapi ada juga bekas tentera, graduan menganggur dalam bidang logistik, IT, pengurusan, kejuruteraan dan perniagaan. Penganalisis saham pun ada dalam kumpulan ini. Macam pasukan perompak professional, bos!
Helikopter yang mereka pakai itu pun dipasang jurutera dalam kumpulan itu dari serpihan bangkai helikopter terhempas yang bersepah kat Somalia ni. Bos tahu, kan? Dia orang kat sini masih perang saudara,” jelas Jeffri Zain panjang lebar.
"Apa maklumat Wehliye yang engkau dapat?” Celah Tuan Aziz.
“Dia pun asalnya nelayan macam abang dia...”
"Abang? Wehliye ada abang?”
"Yup! Sebenarnya bot-bot nelayan Bad Holac asalnya kepunyaan Saleem Amare, abang Wehliye. Saleem jugak nelayan yang kemudiannya jadi lanun. Tapi dah setahun dia tinggalkan dunia lanun dan jadi usahawan pulak.
Khabarnya perniagaannya maju. Sekarang ni dia ada syarikat haji dan umrah yang bawak jemaah ke Mekah dan Madinah. Dia ada pejabat kat sana."
“Mekah? Madinah?" gumam Tuan Aziz. Wajah Fariz menerpa di layar mindanya. "Tapi apa sebab Saleem tak mau jadi lanun?"
"Hahaha..." kedengaran tawa Jeffri pecah berderai.
"Apasal pulak kau ketawa?"
"Agaknya Saleem tu macam saya jugak, bos! Dia dah taubat tak nak buat jahat lagi sebab dah tua. Hehehe."
            Tuan Aziz hanya tersenyum kecil mendengar andaian rekaan ejen yang juga sahabat lamanya itu.  

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, August 4, 2012

FRAGMEN 9: GERAK GEMPAR



Photo credit: allvoices.com

Lautan India, Perairan Somalia

SEMUA mata tertumpu ke arahnya. Imej wajah-wajah yang serius itu terpapar secara langsung dari Bilik Gerakan, Majlis Pertahanan Negara.  Meskipun skrin komputernya kecil, Datuk Rauzah tahu mereka kesemuanya bimbang. Bimbang akan keselamatan Lancang Kuning dan seluruh anak-anak kapalnya. Pasang-pasang mata yang membulat memandangnya juga menzahirkan kerisauan mereka kerana dia seorang perempuan. 
            Bila memikirkan itu, Datuk Rauzah hanya mampu tersenyum di dalam hatinya. Mereka kesemua bukannya kenal akan dirinya secara dekat. Mereka hanya tahu dia sebagai seorang tokoh korporat. Tetapi mereka tidak tahu satu-satunya anak perempuan bekas anggota polis, Korporal Paiman ini lasak bagai anak lelaki.
            Meskipun dia anak bongsu, Datuk Rauzah biasa diheret ke sana ke mari oleh abang-abangnya yang berlima terjun sungai, melastik burung, memanjat pokok jambu, malah mencuri sayur di kebun Cina di hujung Kampung Sawah Dato, Mersing. 
            Ketika di alam persekolahan, Datuk Rauzah adalah Ketua Pengawas, Ketua Patrol Pandu Puteri, pelumba lari jarak jauh 10 ribu meter, pelontar lembing dan pemain bola tampar yang mewakili daerah.
            Hanya setelah membesar, Datuk Rauzah belajar memakai baju kurung untuk ke kuliah, berkawan dengan lebih ramai pelajar perempuan daripada pelajar lelaki dan mengenal erti kasih sayang di antara lelaki dan wanita.
Seluruh keluarganya bagai tak percaya apabila pada suatu hari, Datuk Rauzah menyuarakan hasratnya untuk berkahwin! Dia masih ingat akan raut wajah terkejut ayahnya kerana tidak percaya dia akan menamatkan zaman bujang. Dia terimbau wajah ibunya yang tersenyum bangga kerana akhirnya Rauzah yang jantan ini sudah ingin menjadi wanita sebenar.
            Layar memorinya mula menayangkan wajah suaminya Datuk Fazli, dan Azlena, anak remajanya. Kedua-duanya sudah tahu apa yang terjadi terhadapnya. Malah, mereka telah menghubunginya melalui Skype sebentar tadi. Mereka bimbang akan keselamatannya. Datuk Rauzah mengetap bibirnya. Perlahan-lahan dia menghela nafas yang panjang. Kemudian dia menekur ke skrin dan merenung tajam ke wajah-wajah yang masih memerhatinya dengan mata yang tidak berkelip-kelip.

Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya

DI DEWAN ini, seluruh mata tertumpu ke arah Datuk Rauzah yang berada di dalam bilik eksekutif Lancang Kuning. Sebaik sahaja mendapat khabar mengenai tawanan kapal minyak itu dan masalah TUDM menghalang tindakan lanun, sebuah mesyuarat tergempar diadakan untuk mencari strategi menyelamatkan Lancang Kuning dan anak-anak kapalnya.
Mereka berasa lega kerana dapat menghubungi Datuk Rauzah melalui Skype, perisian video maya  yang kemudiannya dipancar ke skrin layar lebar  bilik mesyuarat ini. Kini mereka semua menatap wajah Ketua Pengarah Operasi Petromal itu. Pelbagai persoalan bersimpang-siur di fikiran mereka. Kesemua persoalan itu perlukan jawapan. Jawapan adalah maklumat untuk membuat pelan tindakan.
“Ceritakan apa yang terjadi,” ujar Tan Sri Ramlee Awang Murshid, Ketua Setiausaha Negara.
“Saya rasa tak perlu, Tan Sri!”
Jawapan itu mengundang rasa tidak selesa mereka. Ditambah pula dengan bibirnya yang tercebir ketika menjawab soalan itu. Maklumlah Datuk Rauzah bercakap begitu kepada KSN yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pertahanan Negara. Mengapa dia tiada rasa hormat kepada pegawai tertinggi kerajaan itu? 
“Saya percaya TUDM dah kirim video lengkap mengenai serangan lanun tu. Apa lagi yang perlu saya cakapkan?”
Tan Sri Ramlee tersenyum seraya tergeleng-geleng. Bukannya dia tidak menonton video yang dikirim TLDM semalam. Cuma dia ingin mendengar versi serangan lanun-lanun itu dari mulut Datuk Rauzah sendiri. Namun, dia tidak marah kepada wanita itu kerana mengerti Datuk Rauzah kini dalam keadaan tertekan. 
“Lanun-lanun tu ada mintak apa-apa wang tebusan ke, Datuk?” soal Tuan Aziz pula. Suaranya sengaja dilembutkan agar Datuk Rauzah terheret untuk berbual dengannya.
“Tak ada apa-apa,” jawab Datuk Rauzah dengan suara yang mengendur.
“Tak ada apa-apa? Luar biasa, tu.”
“Itulah yang saya hairan, tuan. Setahu saya, lanun-lanun Somalia ni tak menyempat nak mintak wang tebusan. Wehliye tak nampak nak mintak apa-apa selepas membelasah saya,” jawab Datuk Rauzah.
Tuan Aziz menjeling ke arah KSN apabila nama Wehliye disebut oleh Ketua Pengarah Operasi Petromal ini. Jelingan yang membawa maksud, hebat juga wanita ini kerana dapat berkomunikasi dengan ketua lanun hingga dapat mengetahui namanya.
“Ada apa-apa yang dia cakap selain dari mintak wang tebusan?” soal Tuan Aziz lagi.
Datuk Rauzah menggeleng beberapa kali. “Dia suruh saya masuk ke bilik ini dan tunggu sampai dia datang.”
“Kalau macam tu, kita kena tunggu sampai dia beritahu apa yang dia mahu,” ujar Tuan Aziz.
“Nak tunggu sampai bila?” Datuk Rauzah tiba-tiba menyoal. Suaranya tegang kembali. Mukanya didekatkan kepada kamera. Kini wajahnya memenuhi skrin layar lebar yang sebesar 6 X 4 meter itu. Mempamerkan rupanya yang garang.
“Kita kena tunggu…” jawab Tuan Aziz.
“Apa? Pihak Majlis Pertahanan Negara tak nak buat apa-apa ke, selain menunggu?”
“Ya, kita kena tunggu sampai kita dapat maklumat lengkap sebelum bertindak.”
Datuk Rauzah berdiri tegak. Kemudian bergerak ke hulu dan ke hilir di dalam biliknya. Mereka yang memerhati pegawai tinggi Petromal ini hanya mampu terjeling sesama sendiri dengan wajah kesal. Tak lama kemudian dia menghampiri kamera semula. Wajahnya memenuhi skrin kembali.
“Tuan-tuan semua…” katanya seraya mengetap bibirnya. “Apakah tuan-tuan tak peka dengan keadaan saya dan Lancang Kuning ini? Tak peka dengan imej Petromal yang kini terjejas dan akan menjatuhkan sahamnya? Tak peka imej kerajaan negara Malaysia yang berdaulat sebagai pemegang saham terbesar Petromal?
Dunia dah tahu kapal kita ni ditawan lanun. Kita dah tempatkan TLDM untuk menjaga kapal Malaysia di samudera. Kini dah dekat 36 jam kapal ini dirampas. Tapi tak ada tindakan yang dibuat. Apakah TLDM pengecut?”
“Dum!” kedengaran bunyi permukaan meja ditumbuk. Masing-masing tersentak dan menoleh ke arah Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM yang kini sedang menuding ke arah skrin.  Dia berasa sungguh tercabar dengan kata-kata Datuk Rauzah. “Jaga mulut tu! Jangan sekali-kali kata TLDM pengecut!”
“Saya tak kata TLDM pengecut. Saya hanya tanya apakah TLDM pengecut? Itu soalan saya, bukannya kenyataan!” jawab Datuk Rauzah dengan lantang berapi.
“Soalan ke… kenyataan ke… saya tak ada masa nak fikir. Yang penting awak dah ada persepsi  buruk terhadap TLDM!” selar Datuk Amsyairi. Gelaran ‘datuk’ sudah tidak disebut lagi oleh pegawai ATM itu kerana amarahnya.
“Terpulang pada datuk sama ada nak anggap saya ada persepsi buruk terhadap TLDM. Saya tak kisah. Yang saya hendak tahu ialah kenapa TLDM tak buat apa-apa sejak semalam?” jawab Datuk Rauzah.
“Tak buat apa-apa? In the first place… kenapa awak tak beritahu kami jadual pelayaran Lancang Kuning? Kalau kami diberitahu, kami boleh iring Lancang Kuning sampai selamat. Kerana tindakan awak, kita semua susah!”
“Ada sebab mengapa kami tak beritahu TLDM rancangan kami. Tapi, sebagai pasukan keselamatan, kenapa tidak terus hubungi kami atau pintas pelayaran kami?” soal Datuk Rauzah kembali.
“Eh… dia yang tak ikut peraturan… kita pulak yang salah?” bantah Datuk Amsyairi.
“Saya rasa, tak elok kira salah menyalah pada saat ini. Pihak TLDM nampaknya hanya memerhati tapi tak buat apa-apa!”
“Mana awak tau kita tak buat apa-apa?”
            “Then, tell me! Beritau saya supaya saya dapat sampaikan pada kesemua anak-anak kapal Lancang Kuning! Mereka kesemuanya dalam ketakutan, tau tak?”
Ada nada getaran dalam suara Datuk Rauzah. Datuk Amsyairi terdiam seketika. Baharu dia tersedar, kemarahan Datuk Rauzah itu datang dari ketakutan, bukannya kerana geram. Begitu juga mereka yang lain di dalam bilik mesyuarat itu. Rasa simpati mula menjalar di hati mereka.
“Kalau dah cakap macam tu, bersabar ajelah!” kata Datuk Amsyairi dengan nada suara yang kendur.
“Sampai bila?”
“You’ll all be back in one piece. I promise!” tegas Datuk Amsyairi.
“Insya-ALLAH…” Tan Sri Ramlee mencelah. Tidak selesa dengan janji Datuk Amsyairi yang tidak berlapik dengan keizinan-Nya.
“Insya-ALLAH…” Datuk Amsyairi memperbetul kata-katanya.
“Bersabarlah, Datuk,” KSN bersuara perlahan dengan nada memujuk. “Pihak kami perlu tahu apa yang Wehliye mahu. Memang kita ada pelan tindakan. Tapi, alangkah lebih baik kalau apa yang lanun itu mahu dapat kita pertimbangkan sebelum kita bertindak?”
 “Kami tahu semua anak-anak kapal Lancang Kuning dalam ketakutan. Tapi tindakan kita umpama menarik rambut dalam tepung… rambut tak putus, tepung tak berselerak. Bersabarlah, Datuk ya?”
Datuk Rauzah terkelip-kelip mendengar penerangan Tan Sri Ramlee. Ada bayang ketenangan di wajahnya. Pernafasannya kelihatan teratur bila dia mengeluh dalam. Mungkin dia sudah tenang kembali. Malah, mereka yang mendengar pujukan Tan Sri Ramlee pun turut berasa lega. Hanya Datuk Amsyairi sahaja kelihatan masih belum dapat bersikap normal. Dia hanya tersenyum sendirian seraya menggeleng.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...