Sunday, November 25, 2012

FRAGMEN 24: GERAK GEMPAR



Photo credit: ehow.com

SUARA dari dalam bilik itu membuat Fariz mengubah fikiran. Lalu dia melangkah kembali ke rumah itu. Dia menguak daun pintu. Matanya mencerlang bila mendapati bilik itu dilengkapi dengan tiga buah komputer. Sebuah skrin TV juga terletak tinggi menghampiri siling di dinding.
Di kiri kanan tembok bilik itu terdapat berpuluh-puluh keping foto dan kertas-kertas dengan contengan rajah-rajah. Fariz tidak memfokuskan pemerhatiannya. Kehilangan fonsel masih mengganggu fikirannya. Kotak-kotak minuman dan makanan juga kelihatan terperuk di dalam sebuah kotak besar yang dijadikan tong sampah.
  Seorang lelaki duduk menghadap dinding sambil menulis sesuatu di komputernya. Fariz terpempan kerana berasa dia kenal tubuh siapakah itu.
“Apasal lambat?” tanya lelaki itu seraya menoleh menghadap Fariz.
Mata Fariz mencerlang memandang lelaki itu. Lantas dia tersenyum. “Hei, Suren! Engkau ke ni?”
“Abis tu, engkau ingat ini hantu Suren ke? Ha, ha! Selamat datang ke Somalia!”
Sambil bersalaman, Suren memandang Fariz dari atas ke bawah. Kemudian temannya itu tergelak-gelak. Membuatkan Fariz berasa tak senang. Dia tahu Ketua Penyelidikan BISIK itu mentertawakan pakaiannya.
“Hei, ni apa kena ni… pakai baju macam warna badut!”
“Bukan ke, engkau orang jugak yang suruh aku pakai baju warna-warni macam ni?”
“Sejak bila warna baju jadi kod rahsia, bro? Engkau ni biar betul, Fariz!”
“Betul. Aku terima mesej yang mintak aku pakai baju warna macam ni supaya mudah dikenali… Okey, kalau engkau tak percaya…” jawab Fariz seraya meraba poket seluar mencari fonsel untuk menunjukkan mesej yang diterimanya. Lantas teringat kembali fonselnya baru hilang.
“Aduh, Suren… aku dah hilang fonsel. Ada budak hitam yang kebas! Elok-elok aku tengah hendak ambil gambar sendiri, dia sambar fonsel dari tangan aku!”
Suren tidak menyahut. Dia sudah menumpukan kembali perhatiannya mencari sesuatu maklumat di internet.
“Suren!”
“Hmm…”
“Engkau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?”
“Aku bukan pekak. Orang tengah sibuk ni. Tak nampak ke, bro?”
“Okey. Kalau engkau tak mau tolong, aku nak pergi cari jugak budak tu!” kata Fariz lantas bergegas keluar bilik.
 “Budak tu berseluar pendek dan tak pakai baju ke?”  tanya Suren walaupun matanya masih terfokus ke skrin komputer.
Langkah Fariz terhenti. “Engkau kenal ke budak tu, Suren?”
“Tak.”
“Habis tu?”
“Aku pun pernah terkena macam engkau jugak. Semalam. Kalau engkau hilang fonsel, aku pulak… hilang dompet. Tapi aku sempat rampas balik dompet aku tu dari budak tu.
Budak tu memang lari ke kawasan ini. Lepas aku dapat balik dompet aku, terus aku jumpa rumah ini. ”
“Habis tu?” soal Fariz ingin tahu lebih lanjut.
“Habis tu, three lah! Ha, ha!” Suren melawak.
Fariz berasa bengang bila Suren tergelak-gelak. Seolah-olah kehilangan barangan peribadi bukan satu benda yang besar buat rakan sepejabatnya itu.  Lantas dia melangkah ke pintu hadapan. Mulutnya mula memuncung. Sakit hati kerana Suren mempermainkannya. Dia berkira-kira hendak keluar dari situ mencari si pencuri cilik.
Tombol pintu diputar. Pintu ditolak. Tetapi daunnya tersekat tidak boleh dibuka. Ada seseorang di luar sana! Naluri Fariz sebagai ejen terus menerjah ke dadanya. Adrenalin meluncur di pembuluh darahnya. Fariz menginjak ke balik pintu. Bersedia untuk menerpa orang yang muncul itu.
“Fariz! Apa yang nak dipanikkan, tu? Keluarlah dari belakang pintu tu!”
“Eh? Kak Mala?”
Matanya mengekori Normala yang menonong masuk tanpa menoleh ke arahnya. Fariz mengorak senyuman. Tiba-tiba dia berasa begitu teruja bila mendapati Suren dan Normala kini berada di bumi Somalia. Dia tidak sendirian melaksanakan operasinya di sini. Dapat juga dia meluahkan masalah yang sedang dihadapinya.
“Bila sampai sini, kak?”
“Akak naik satu penerbangan dengan Fariz,” jawab Normala sambil membuka peti sejuk.
“Sori. Kalau saya tahu, mesti saya cari akak dalam kapalterbang tadi.”
“Fariz ni kelakarlah. Kita bukannya pegi melancong sampai nak bertegur sapa,” kata Normala seraya mengeluarkan dua botol minuman.
Sambil memegang botol minuman itu, dia berpaling menghadap Fariz. Berkira-kira hendak memberi sebuah botol minuman kepada ejen muda itu. Namun, demi terpandang pakaian Fariz, Normala terus tertawa mengekek.  Suren yang serius bertugas pun tertawa kembali kerana tahu apa yang menggelikan hati Normala. Membuatkan Fariz semakin memuncung.
“Siapa yang suruh engkau pakai macam ni?” tanya Normala sambil menghabiskan sisa tawanya.
“Saya dapat mesej dari kontak yang suruh saya pakai macam ini supaya dia mudah kenal.”
Wajah Normala bertukar serius. “Mana kontak Fariz tu?”
“Entah. Saya tak tahu. Tapi ada budak kecil berseluar pendek yang kebas fonsel saya. Saya kejar dia sampai ke mari. Mungkin kontak itu gunakan budak untuk bawa saya ke mari sebab ada persamaan modus operandinya antara saya dengan Suren.”
“Apa maksud Fariz?”
“Semalam, ada budak mencopet dompet Suren. Suren kejar budak tu sampai ke mari. Hari ini, saya pulak yang hilang fonsel. Yang peliknya, budak itu bawa saya ke mari jugak. Mungkin budak yang sama buat kerja tu. Saya tak rasa ini kebetulan.”
“Aku pun tak rasa ini kebetulan,” sampuk Suren.
“Mungkin kontak itu sengaja sembunyikan diri kerana suasana bahaya kat sini. Mungkin dia tak akan muncul sampai ke sudah, sebab yang penting dia dah bawa saya ke mari,” jelas Fariz.
“Mungkin dia sengaja nak mengusik aku semalam. Hari ini, dia nak uji engkau pulak, Fariz.” Suren mengeluarkan pendapatnya.
 “Walau apa pun, kontak ini hendak merahsiakan identitinya daripada kita. Dia tak perlu muncul pun tak mengapa, asalkan tugasnya membawa Fariz ke mari selesai, itu sudah memadai,” kata Normala pula.
“Mungkin juga dia informer biasa. Tak penting untuk kita kenal, pun,” jawab Fariz.
“Siapa kata, dia tak penting?” kedengaran satu suara dari luar.
Fariz, Suren dan Normala kenal dengan suara itu. Mereka mendengar bunyi tapak kasut menghampiri. Pintu pun terkuak. Muncul Tuan Aziz dengan potret wajah biasanya. Serius.
            “Orang yang awak semua sebut sebagai kontak atau informer tu adalah orang penting,” katanya sambil melangkah masuk.
“Tiada siapa dalam BISIK yang pernah jumpa kontak ini. Saya kira, awak bertiga bertuah dapat berjumpa dengan dia nanti. Dia sudah bertugas dengan BISIK sejak ia ditubuhkan. Dia juga seorang pakar. Pakar memusnah yang tak ada tolok bandingnya dalam BISIK.
CIA dan MI6 pernah mendapat khidmatnya.  Malah, CIA dan MI6 pernah melamar dia menjadi ejen mereka. Dah berbelas tahun dia tak balik ke Malaysia. Dah  dua tahun dia tidak diaktifkan kerana tiada keperluan.
Tapi sejak dia menerima tugasan, kontak kita ini sudah bergerak pantas seperti bayang-bayang, menyusup ke kawasan musuh. Dia akan bantu kita dalam Ops Lancang Kuning ini,” jelas Tuan Aziz panjang lebar.
‘Dum!’ kedengaran bunyi di luar bilik.
Normala, Fariz dan Suren menoleh ke pintu.
“Oh, nampaknya kontak kita tak sabar-sabar nak tunjukkan diri… Jeff! Jeffri… masuklah!”
Masing-masing terpaku menanti kemunculan kontak bernama Jeffri yang dikatakan oleh Tuan Aziz. Pandangan mereka tersorot ke pintu masuk rumah itu. Bila-bila masa sahaja Jeffri akan muncul. Selepas beberapa ketika, Jeff masih tidak kelihatan.
Lantas Fariz menjeling kepada Tuan Aziz. Memohon agar dia menyiasat mengapa Jeff tidak muncul-muncul. Tuan Aziz mengangguk tanda memberi keizinan. Dan Fariz melangkah ke luar bilik. Masing-masing menunggu.
“Hei!” kedengaran suara Fariz setelah beberapa ketika.
“Kenapa, Fariz?” tanya Normala dengan suara sedikit bimbang. “Fariz…”
“Ya…” jawab Fariz sambil melangkah masuk. “Tengok apa yang saya dapat, ni!”
Fariz mengangkat tangannya sambil tersenyum. Menayangkan fonselnya dalam genggaman.
“Hmm…” ujar Tuan Aziz. “Mungkin sekali Jeffri yang dapatkan fonsel itu untuk Fariz. Tapi, mungkin Jeffri belum bersedia untuk jumpa kita hari ini.”
Fariz, Normala dan Suren saling berpandangan bila mendengar komen Tuan Aziz.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, November 18, 2012

FRAGMEN 23: GERAK GEMPAR



Photo credit: traveladventures.org

Banda Merca, Somalia

KAWASAN perniagaan di selatan bandar Merca begitu sibuk. Asap dan debu  berterbangan di mana-mana. Fariz terpaksa menutup mulutnya dengan skaf. Namun, sebahagian besar daripada mereka kelihatan selamba dan bersahaja menjalankan urusan seharian sambil menghirup udara yang kotor ini.
Fariz bersandar di tiang kaki lima. Memerhati jalanraya yang berdebu. Melihat kereta-kereta buruk melintasi hadapannya. Mereka yang lalu lalang di sekitarnya tidak nampak sibuk seperti mereka di mana-mana bandar lain di Asia. Masing-masing seperti bersantai sahaja ke sana ke mari.
Cuaca yang amat panas ini ditambah dengan pakaian warna-warni penduduk tempatan. Warna-warna yang garang, merah, kuning, oren dan hijau memenatkan mata Fariz. Kalaulah dia boleh berkacamata hitam, memang dia hendak menyarungnya.
Tetapi dia diarahkan untuk tidak memakai kacamata hitam. Arahan? Ya, arahan BISIK agar dia mudah dikenali bila tidak berkacamata. Arahannya pelik. Tetapi Fariz mengikut sahaja tanpa soal kerana banyak lagi persoalan seperti mengenai Lancang Kuning, Datuk Rauzah, Bad Holac, Wehliye Amare dan Saleem Amare yang belum terjawab.
Persoalan-persoalan itu sudah begitu besar dan banyak. Soal diarah tidak berkacamata hitam hanya perkara kecil. Mujur juga Fariz baru sahaja menunaikan umrah di Makkah dan Madinah. Jadi, matanya boleh tahan dengan sinar matahari panas terik begini.
Fariz terfikir, bukankah mudah sahaja kalau dia berkomunikasi dengan orang yang hendak ditemuinya dengan fonsel? Mengapa mesti ikut acara lama bertemu kontak dengan mempamerkan pakaian yang dikehendaki sebagai klu kepada kontak?
Fariz menekur memandang pakaiannya pula. Dia terpaksa mengenakan baju kemeja lengan panjang. Memang memanaskan. Tetapi terasa lebih panas lagi kerana baju ini berwarna merah, berseluar hijau  dengan skaf berwarna kuning! Menyarung pakaian yang berwarna-warni ini juga arahan! Seingatnya dalam bertugas dan menyamar, inilah penyamaran yang paling kelakar baginya.
Kalau dia berpakaian begini di Malaysia, memang sah dia akan ditertawakan. Mujurlah dia memperaga begini di Somalia. Warna garang dan ceria sepertinya kini berada di mana-mana di sekelilingnya. Fariz tertawa sendirian bila dia menoleh ke cermin kedai gunting yang membalik imejnya yang berfesyen seperti orang Afrika.
Puas memerhati ke kawasan sekeliling, dia teringat sesuatu. Lalu dia menyeluk poket seluarnya. Fonselnya dikeluarkan. Ikon ‘kamera’ di fonselnya disediakan.  Perlahan-lahan dia menghalakan lensa kamera ke wajahnya. Fariz memandang kedai gunting rambut di belakangnya.
‘Cantik jugak untuk latar buat kenang-kenangan…’ katanya di dalam hati.
Fariz menelengkan wajahnya untuk berposing di depan kamera fonselnya. Tangannya didepakan. Dia membetul-betulkan senyumnya sebelum suis dipetik. Tiba-tiba…
“Woi!” jerit Fariz.
Fariz sempat melihat tapak tangannya. Fonselnya sudah tiada di situ! Dia terpempan seketika. Bila menoleh, Fariz terpandang seorang budak berseluar pendek dan tidak berbaju sudah berlari menjauhinya. Budak yang berusia sekitar sepuluh tahun itu menggenggam fonselnya.
“Woi!”
Kanak-kanak itu terus berlari melintasi jalan raya. Fariz mengejar. Tidak menyedari sebuah motorsikal yang dinaiki oleh empat orang lelaki tiba-tiba membrek di hadapannya. Akibat membrek dengan mengejut, motorsikal itu tumbang. Keempat-empat lelaki itu jatuh bergelimpangan.
“Adiga dogon!” jerit salah seorang lelaki yang bangun dan menunjuk-nunjuk ke arahnya. Jelas sekali dia begitu marah dalam bahasa Somali.
‘Alamak! Dia kata aku bodoh!’ kata Fariz yang baharu belajar sepatah dua bahasa Somali dalam kapalterbang sebentar tadi.
 “Sorry! Masaamax! Masaamax!” ujar Fariz sambil mengangkat tangannya memohon maaf dalam bahasa Somali juga. Kemudian dia menoleh dan berlari mengejar budak yang sudahpun di seberang jalan.
Tidak peduli dengan orang ramai yang tertoleh-toleh memandangnya. Tidak peduli juga dengan bunyi hon kenderaan yang menjerit bila pemandunya terkejut dengan kehadiran Fariz secara tiba-tiba di jalanraya, Fariz terus mengejar.
Budak itu kini membelok memasuki lorong yang sempit lagi hapak. Sambil berlari, Fariz sempat menjeling ke kanan dan kirinya. Dia nampak pintu-pintu berdebu yang bertutup menandakan dia sedang merentasi bahagian belakang kawasan rumah kedai. Fariz menyasarkan pandangannya ke hadapan. Penghujungnya tidak kelihatan.
‘Woi, budak! Jalan mati! Mana engkau nak lari?’ kata hati Fariz.
Benar jangkaannya. Budak itu terhenti berlari dan berpaling ke arahnya. Dia terkinja-kinja sambil menanti kedatangan Fariz. Mula tersengih-sengih menayangkan sebaris gigi yang putih semakin Fariz menghampirinya. Lalu dia menjulurkan kedua-dua tapak tangannya. Kosong. Tiada apa-apa.
“Maxay fal ku rab?” soal budak itu sambil melenggang lenggok kepalanya.
“Aku nak kamera akulah,” Fariz menjawab pertanyaan budak itu dalam bahasa Melayu meskipun dia tahu budak itu tidak faham dengan bahasanya. “Mana dia?”
Budak itu mengangkat bahunya seraya tersengih lagi. Hati Fariz mula membengkak. Mahu sahaja dia melempang kanak-kanak ini andainya dia tidak memulangkan fonselnya. Sebaik sahaja Fariz mahu menyentap lengan kanak-kanak itu, budak itu menunjuk ke pintu yang paling hampir dengan Fariz.
“Kubisha kwamba mlango,” katanya.
‘Ketuk? Ketuk pintu?’ tanya Fariz dalam hati. ‘Apasal?’
“Kubisha kwamba mlango,” ulang kanak-kanak itu seraya mengangguk-angguk.
Fariz melangkah dan mengetuk pintu itu. Beberapa kali mengetuk, namun tiada jawapan. Dia memulas tombolnya. Dan pintu itu terbuka. Ruang di dalamnya gelap, tidak bertingkap. Tetapi di dalamnya, ada sebuah pintu bilik yang sedikit terbuka. Membiaskan sedikit cahaya terang dari celah daunnya.
“Masuklah, Fariz.”
Kedengaran satu suara lelaki.
‘Eh, siapa pulak yang panggil aku? Biar betul…’ tanya hatinya sedikit keliru.
Fariz mahu melangkah masuk. Tetapi kemudian dia teringatkan fonselnya. Lantas dia menoleh. Namun kanak-kanak itu sudah menghilang!
‘Mana budak tu? Mana fonsel aku?’ Fariz menyumpah di dalam hati sambil tertoleh kanan dan kiri mencari kelibat kanak-kanak itu.
“Oi, kau buat apa kat luar tu, Fariz?” panggil suara itu lagi.

Bersambung Ahad hadapan, in sya Allah...

Sunday, November 11, 2012

FRAGMEN 22: GERAK GEMPAR



Photo credit: awdalnation.com
Majlis Pertahanan Negara, JPM, Putrajaya

AHLI-AHLI Majlis Pertahanan Negara kini sudah makan tengahari di bilik rehat. Mereka masih lagi berkampung di kompleks Majlis Pertahanan Negara untuk menangani krisis rampasan kapal Lancang Kuning kepunyaan Petromal Malaysia di lautan Somalia.
Ada di antara ahli-ahli majlis duduk tersandar sambil bersembang. Ada di antara mereka sedang menyuap betik sebagai pembasuh mulut. Tidak kurang juga yang sedang menghubungi pejabat masing-masing dengan fonsel atau 1Pad masing-masing.
‘Assalamualaikum. Minta perhatian. Minta perhatian,’ kedengaran pengumuman dari alat siaraya.
‘Tan Sri KSN meminta tuan-tuan ke Bilik Gerakan. Saya ulangi… Tan Sri KSN meminta tuan-tuan ke Bilik Gerakan sekarang! Ada berita tergempar! Ada berita tergempar!’
Masing-masing bercakap sesama sendiri sebelum bergegas memasuki dewan. Di kerusi hadapan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ramlee Awang Murshid sudah menanti. Sambil menuju ke tempat duduk masing-masing, pandangan mereka semua tertumpu ke arah skrin yang perlahan-lahan bergerak turun dari celah siling. Semakin lampu disuramkan, degupan jantung di dada masing-masing semakin melaju. Tertanya-tanya kerana tidak tahu apakah yang bakal ditayangkan sebentar lagi.
            “Assalamualaikum,” ucap Tan Sri KSN. ‘Ini maklumat terkini. Secara langsung. Akhirnya pihak lanun beritahu kita mereka hendak katakan sesuatu. Mari kita tengok sama-sama…”
Imej dari atas dek Lancang Kuning kini terpancar di skrin. Kelihatan dua orang lanun berwajah bengis sedang berdiri berpeluk tubuh di kiri dan kanan sebuah kerusi yang kosong. Imej kamera beralih ke sisi untuk merakam imej seorang lelaki yang melangkah dengan wajah angkuh lalu duduk di kerusi itu.
            “Wah. Dia nak buat video conference macam al-Qaeda pulak!” komen Setiausaha Keselamatan Kementerian Luar Negeri.
            “Lanun sekarang dah canggih,” celah Setiausaha Keselamatan Kementerian Kewangan pula.
            “Nampaknya mereka tiru teknik perang psikologi al-Qaeda,” sampuk Tan Sri KSN. “Mungkin ada pihak yang ajar mereka guna teknik yang macam tu.” 
Masing-masing mengangguk mengiyakan pandangan Tan Sri Ramlee Awang Murshid itu. Bad Holac bukan calang-calang kumpulan lanun. Gerakan mereka nampaknya tersusun. Mereka merompak dengan taktik yang kemas. Mereka gempar dan kemudiannya gempur sebelum menawan.
Pandangan mereka terus tertumpu ke skrin melihat Wehliye Amare duduk tersandar ke kerusi dengan wajah seriusnya.
“Salam sejahtera kepada dunia,” seru Ketua Lanun itu dengan wajah yang bengis. Bibirnya tercebir dan matanya dibeliakkan apabila kamera memfokus shot close-up wajahnya. Kemudian, kamera mengundur dan memaparkan Wehliye bersama dua orang pengawalnya. Beberapa orang pengawal yang lain turut berdiri sebaris di belakangnya.
Benar seperti andaian awal Tan Sri KSN. Jelas sekali, kumpulan Bad Holac adalah lanun canggih yang menggunakan teknologi untuk menarik perhatian. Mereka menggunakan medium elektronik untuk mempermain emosi penontonnya.  
“Salam sejahtera kepada semua pengamal media yang sedang melihat sidang akhbar ini dari seluruh pelosok dunia. Saya berada di atas kapal Lancang Kuning kepunyaan Syarikat Petromal dari Malaysia.
Sudah 48 jam saya tawan kapal yang bawa minyak bernilai US50 juta ini. Saya tahu dunia ingin tahu berapa banyak yang saya mahu. Berapa banyak yang saya mahu? Sebenarnya saya pun tak tahu… he, he!”
“Ceh! Apa ni? Dia nak permainkan kita!” kata Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM. “Cepatlah bagi tahu! Jangan menyusahkan orang!”
Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara terpaku memandang skrin. Wajahnya yang serius pada mulanya boleh berubah riang. Tidak percaya Wehliye Amare melengah-lengahkan pula permintaan wang tebusan. Biasanya lanun Somalia akan segera meminta sejumlah wang dengan segera kerana tahu, proses menyediakannya juga memakan masa.
“Pihak Petromal jangan bimbang,” ujar Wehliye dengan wajah yang besahaja. “Saya akan beritahu berapakah jumlah yang saya mahu pada hari esok. Jangan risau. Jumlahnya tak sebanyak yang anda sangkakan.
Anda semua boleh siarkan kenyataan saya ini. Saya nak tengok muka saya terpapar di seluruh dunia. Sekian!”
Dengan kata-kata itu, siaran media itu ditamatkan dan skrin pun terpadam. Meninggalkan Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara dalam keadaan yang terpinga-pinga kerana belum memperoleh klu untuk bertindak.
“Nampaknya, kita berdepan dengan sekumpulan lanun yang bukan sembarangan.” Begitulah reaksi Tan Sri KSN.
“Sepatutnya, kitalah yang cuba lengah-lengahkan masa. Tapi mereka pulak yang cuba bermain tarik tali. Apa hal?” kata Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas.      
“Mereka releks aje. Macam menunggu sesuatu. Soalnya, apa yang mereka tunggu? Siapa yang mereka nantikan? Mereka nak bermain teka-teki dengan kita!” kata Datuk Amsyairi Ismail
“Mana Tuan Aziz? Mungkin dia boleh bagi input. Pagi tadi, dia ada. Tapi, bila makan tadi, dia dah tak ada. Dia ke mana? ” ujar Datuk Badruldin seraya memandang ke sekeliling.
“Dia ada urusan.” Ringkas sahaja jawapan Tan Sri KSN.
Masing-masing malas bertanya lanjut. Fikiran mereka masih tertumpu pada percaturan yang ditimbulkan Wehliye.

Kapal Lancang Kuning, Lautan Somalia

WEHLIYE mengangkat punggungnya lalu meninggalkan kawasan dek kapal yang dijadikan set sidang media. Wayar yang berselirat di lantai dikuis sahaja dengan kakinya ketika melangkah. Membiarkan jurukamera tertunduk-tunduk mengemas kawasan itu. Beberapa orang pengawalnya bergegas mengekori.
Seketika melangkah, dia berhenti. Kemudian menoleh ke pintu kamar Datuk Rauzah. Daun pintu dihampiri. Tanpa mengetuk, dia menguak pintu itu. Datuk Rauzah tampak terkejut dengan kehadiran yang tidak diundang itu. Lantas dia berdiri. Wajahnya masam mencuka. Mempamerkan rasa benci terhadap lelaki itu. Tidak rela Lancang Kuning ditawan lebih lama.
“Helo, puan okey ke?” sapa Wehliye.
“Kenapa awak tak sebut berapa yang awak mahu?” tengking Datuk Rauzah. Sidang media Wehliye telah ditonton dari komputernya.
“Relakslah puan. Saya belum dapat ilham berapa saya nak mintak dari syarikat puan. Tunggulah esok,” jawab Wehliye seraya tersengih-sengih.
“Kenapa lambat sangat? Sebutkan berapa yang awak mahu. Kami akan bayar. Kami berniaga. Tiap saat penting buat kami. Awak jangan buang masa kami!”
Wehliye tertawa tanpa suara. Para pengawalnya turut tergelak-gelak. Membuatkan Datuk Rauzah semakin meluat.
“Okey, kalau kau tak ada apa-apa nak cakap… keluar sahaja dari bilik aku ni! Keluar!” pekik Datuk Rauzah seraya menuding jari ke arah pintu.
Wehliye tertawa besar mendengar arahan Datuk Rauzah itu. Sesuatu telah menarik perhatian Wehliye bila dia menghampiri ke meja tulis Datuk Rauzah. Di sisi komputer itu terdapat sebuah bingkai foto dirinya bersama suami, Datuk Fazli dan anaknya Azlena.
Menyedari apa yang dipandang Wehliye, wajah Datuk Rauzah terus berubah. Dia dapat mengagak niat jahat Wehliye. Benar. Wehliye mencapai bingkai foto itu. Darah Datuk Rauzah menyirap bila Wehliye menyentuh barangan peribadinya.
“Letak balik foto tu…” Suara Datuk Rauzah sedikit bergetar. Meskipun apa yang disentuh Wehliye hanya sekeping bingkai foto dia dan keluarganya, wanita itu beremosi seolah-olah Wehliye sudah mengganggu privasinya.
“Letak balik!” pekik Datuk Rauzah seraya merampas bingkai foto itu dari tangan Wehliye.
Wehliye hanya membiarkan Datuk Rauzah meletakkan foto itu ke dalam laci. Dia berdiri membatu di situ. Seketika kemudian dia menoleh dan tersenyum.
“Jangan risau, puan. Kalau saya lambat mintak wang tebusan, saya juga harus menjaga kapal ini. Masa saya pun terikat di sini. Kerana itu, puan akan selamat di bawah jagaan saya. Kami hanya mahu duit. Kami tak mahu bunuh orang. Berdosa!”
Dengan kata-kata itu, dia melangkah keluar dari kamar itu diikuti dengan para pengawalnya. Jabril atau Jefri Zain turut mengekori Wehliye. Datuk Rauzah tidak sedar akan kehadiran Jeffri Zain, orang amat dikenalinya itu.

WEHLIYE baharu sahaja menaiki helikopter menuju ke daratan bila dia menerima panggilan. Wajahnya berubah murung sebaik sahaja terpandang nombor yang tertera di skrin fonselnya. Ada raut kebimbangan terlukis di rautnya. Mengapa? Mengapa ketua lanun yang paling ganas di perairan Somalia ini berubah watak? Mengapa dia bertukar jadi orang yang gusar pula?
            “Helo…” ucapnya perlahan.
            “Bagus. Aku tahu kau bijak bila ambil keputusan untuk ikut arahan aku!”
            “Aku dah ikut arahan kau. Sekarang lepaskan isteri dan anak aku!” kata Wehliye.
            “Aku akan lepaskan bila segala-galanya beres!”
            “Bila boleh selesai? Kalau kau mahu, hari ini juga aku boleh selesaikan. Cakap aje apa lagi yang kau mahu. Aku boleh bunuh semua anak kapal Lancang Kuning. Aku boleh bawa wanita itu kepada kau. Aku boleh sahaja bakar kapal minyak itu. Tapi kau kena lepaskan keluarga aku!”
            Bertubi-tubi Wehliye bertutur sambil menyelitkan perasaan bimbang ke atas keselamatan anak dan isterinya, Asiya. Dia mahu mereka dibebaskan walaupun dia tahu tidak semudah itu mereka akan dilepaskan.
            “Kau kena tunggu…”
“Sampai bila?” desak Wehliye.
“Kau biasa menculik dan minta pampasan… kau pun biasa mempermainkan mangsa dengan masa supaya semua pihak akur dengan permintaan kau. Sekarang, bila kau pula yang jadi mangsa, ikut aje perintah aku dengan patuh!”
“Arghhhh…”  pekik Wehliye seraya membaling fonselnya ke dinding helikopter.
Seorang petugasnya sempat mengelak daripada terkena balingan itu. Sempat dia melihat fonsel itu berkecai. Wehliye sudah tidak peduli lagi. Dia melangkah ke pintu helikopter dan terus duduk berjuntai kaki. Pandangannya menerawang jauh ke lautan luas dan juga jauh ke dalam memorinya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, November 4, 2012

FRAGMEN 21: GERAK GEMPAR



Photo credit: mforum3.cari.com.my

KLIA, Sepang

SAMBIL menunggu bagasi dan dua tong air zam-zam untuk dibawa pulang, Fariz menoleh dan merenung Nek Tijah yang duduk agak jauh di satu sudut. Neneknya itu kelihatan merenungnya dari jauh. Sambil itu, mulutnya tidak henti-henti terkumat-kamit melafazkan zikir.
Sejak mula bertugas di BISIK, Fariz jarang sekali dapat pulang ke kampung di Rhu Teduh untuk menemui neneknya. Kalau pun sempat, dia hanya pulang selama dua hari. Petang ini sampai, esok sudah hendak pulang ke Kuala Lumpur.
Fariz tahu hati nenek yang memandangnya itu sayu kerana dia sudah tidak dapat berbual panjang seperti ketika di zaman persekolahan dahulu. Namun kerana tugas, Fariz terpaksa mengeraskan hatinya sekadar bertemu sekejap dengan wanita itu. Sebab itulah, pada kesempatan bercuti panjang selepas bertugas, dia bawa Nek Tijah menunaikan umrah.
Sebaik sahaja memperoleh bagasi, Fariz segera menolak troli menghampiri  neneknya. Dia tidak mahu Nek Tijah menantinya lama-lama. Wanita itu memandangnya dengan penuh kasih. Sayangnya dia dengan satu-satunya cucunya ini. Fariz cepat-cepat memaut lengan neneknya membantu wanita itu berdiri dan memimpinnya seketika sebelum wanita itu turut melangkah menuju ke luar ruang ketibaan.
            “Farizzz…”
Dari jauh lagi Fariz sudah terdengar jeritan namanya. Dia nampak Faryna terlambai-lambai di sebalik hadangan jalan ke luar. Fariz turut mengangkat tangannya sebagai isyarat yang dia juga nampak Faryna.  Dia mengeluh dalam. Rasa rindunya kepada gadis itu tiba-tiba mendatang.
            “Nenek sihat?” tanya Faryza sebaik sahaja memeluk erat Nek Tijah.
Wanita itu tersenyum lalu mencium dahi gadis bakal tunangan Fariz ini. Ibunya Puan Sri Salwa yang berdiri berhampiran turut bersalaman dengan Nek Tijah. Fariz pula berbual-bual bertanya khabar dengan Tan Sri Daud. Ada kelibat seseorang berdiri berhampiran di sisi tiang yang membuatkan Fariz tertoleh.
Wanita itu mengangkat tangannya seketika lalu tersenyum manis. Fariz membalas senyuman itu. Senyuman yang tidak ikhlas! Wajahnya lantas dialihkan ke arah  neneknya yang kini sedang rancak berbual dengan Puan Sri Salwa. Dia menghela nafas yang panjang dan dalam apabila memandang wajah neneknya dengan penuh kasih. Belum pun habis rindu ditumpah, dia datang untuk memisahkan. Wanita yang berdiri itu hanya mampu tersenyum melihat reaksi Fariz. Dia tahu Fariz terkilan akan kehadirannya.
“Kak Mala… apa khabar?” sapa Faryna.
“Baik, dik. Fariz sihat?” tanya Normala seraya melangkah menghampiri.
Fariz hanya mengangguk. Dia tahu soalan Normala kerana hanya berbasa-basi dengannya. Semata-mata untuk mengambil hati agar dia tidak terkilan dengan apa yang telah diputuskan BISIK. Apa nak buat. Tatkala di Jeddah lagi Normala telah menghubunginya…

………………………………….
Imbas kembali:
Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah


HATI Fariz terlonjak riang bila menerima panggilan dari Normala. Sudah lama benar rasanya dia tidak berhubung dengan wanita yang menjadi rakan setugas dan juga mentornya. Bila foto profil Normala terpapar di skrin fonselnya, Fariz terus melangkah berjauhan dari orang ramai supaya dia dapat berbual dengan wanita itu dalam suasana privasi.
“Kak Mala, apa khabar?”
“Eh, dia pulak yang tanya. Akak okey aje. Engkau tu sihat?”
“Saya sihat. Hari ketiga kat Mekah, saya mula batuk-batuk. Nenek suruh saya banyak-banyak makan kurma dengan air zam-zam. Lepas dua hari saya buat macam tu, saya tak batuk lagi.”
“Apa rancangan Fariz bila balik esok?”
“Saya nak balik kampung dulu lah, kak. Nak buat kenduri sikit. Lepas tu saya nak jumpa kawan-kawan sekolah. Dah lama saya tak balik ke Terengganu. Rasa-rasanya saya nak ambik cuti seminggu.”
“Bagus tu Fariz… tapi kalau Fariz tangguhkan dulu cuti tu, macam mana?”
Pertanyaan itu menyentap sedikit perasaan Fariz. Setelah mengenali Normala lebih dua tahun, Fariz tahu ada sesuatu yang cuba disampaikan oleh wanita itu. Daripada nada suara Normala, Fariz dapat mengagak wanita itu ingin berdiplomasi sebelum menyampaikan sesuatu.
“Ada OPS ke, kak Mala?” soalan itu terpacul dari bibirnya.
“Hmm…” jawab Normala perlahan setelah beberapa saat mendiamkan diri.
Fariz mengeluh. Dia memantaukan pandangannya ke seluruh kawasan menanti di lapangan terbang ini. Matanya berlegar-legar memandang bumbung, penunjuk arah dan para penumpang yang berada di sekelilingnya. Pandangannya entah ke mana-mana.
Fariz bangkit dan memandang ke cermin kaca yang menembusi ruang di lapangan terbang ini. Memandang sebuah kapal terbang yang menunggu masa untuk berlepas. Bunyi deruman enjinnya mengaum panjang dan kapal terbang itu mula bergerak. Semakin lama semakin laju dan akhirnya ia terbang membelah awan. Fariz berasa seolah-olah dirinya sudah ada di dalam kapal terbang itu menuju ke Rhu Teduh, Marang, Terengganu, Malaysia.
“Fariz…” kedengaran suara Normala setelah Fariz menyepikan diri.
“Ya, kak Mala. OPS apa pulak kali ni?”
“OPS Lancang Kuning. Fariz dah terlibat pun bila terima arahan mencari Saleem Amare di Madinah semalam.”
Mulut Fariz membulat seperti ‘O’ bila teringat pada tugas yang dilaksanakan di Dataran Masjid Nabawi. Rupa lelaki Somalia yang berambut putih dan separuh usia tertayang di layar mindanya semula.
“Apa tugasan awal?” tanya Fariz.
“Kena pergi ke Somalia.”
“Bila?”
“3.00 petang nanti.”
“Petang ni?”
“Petang ini!”
“Flight saya ni sampai jam 2.00 petang. Proses turun kapal terbang… check-out… tunggu bagasi… ambil masa. Eh, mana sempat saya buat semua tu dalam masa sejam?”
“Bukan ke sejam itu 60 minit masanya? Fariz pegi umrah, bukan pegi haji. Akak tau, proses ketibaan tu tak lama. Jangan risau… BISIK dah siapkan semua dokumen perjalanan, penginapan dan perbelanjaan Fariz.” Normala memberi taklimat ringkas untuk meredakan kebimbangan Fariz.
“Hmm, okeylah... tapi…”
“Tapi apa, Fariz?”
“Tak apa-apalah, kak.”
Sebaik sahaja mematikan telefon, Fariz duduk melengung. Hatinya tertanya-tanya bagaimanakah dia hendak sampaikan berita itu kepada Nek Tijah yang amat dikasihi.

……………………………..
“PARIS…”
            Fariz menoleh. Memandang Nek Tijah yang sudah duduk. Tanpa berkata, Fariz duduk di sisi neneknya. Diperhati wajah tua itu dengan penuh kasih. Sungguh. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan neneknya.
            “Somalia tu jauh ke?” tanya Nek Tijah.
            “Jauh jugak.” Walau pun tersentap, dia jawab juga soalan neneknya. Dari mana dia tahu mengenai pemergiannya? “Jauh daripada Mekah, nek. Tapi, mana nenek tau saya nak ke sana?”
            “Ryna yang bagitau, bang…” sampuk Faryna yang duduk di sebelah nenek.
            Orang tua itu mengangguk mengiyakan. Tangannya meraba wajah Fariz. Dia merelakan tanpa berasa segan dengan beberapa orang penumpang lain yang memerhati. Biarlah. Apa nak dimalukan membiarkan nenek menunjukkan kasih? 

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...