Sunday, December 16, 2012

FRAGMEN 26: GERAK GEMPAR



Photo credit: guardian.co.uk
SEMUA mata memandang Tuan Aziz. Lelaki itu memerhati mereka seorang demi seorang – Fariz, Suren dan kemudian Normala. Matanya terjeling pada Jeffri Zain. Ejen itu juga merenungnya sambil menanti apa yang akan lahir dari bibir bosnya itu.
Extron adalah pesaing Petromal dalam merebut kontrak kerajaan Ganezuela. Selama ini, Petromal tak pernah menang bila Extron masuk dalam persaingan cari gali minyak. Ada lima kes persaingan di antara Petromal dan Extron. Empat dimenangi Extron. Ini kes pertama Petromal memenangi saingan itu.
Extron tidak pernah tewas dalam persaingan merebut hak kerjasama di 17 negara. Mungkin kerana itu mereka berasa tercabar dan ingin merebut kembali hak cari gali minyak walau dengan apa sekali pun.
Kita tau Extron ada pasukan keselamatan mereka sendiri di kesemua lokasi projek mereka. Saya percaya, butang Waterbury adalah klu penglibatan pasukan keselamtan Extron dalam kes penculikan keluarga Wehliye.
Kita kena siasat. Dapatkan kronologi aktiviti Petromal di Ganezuela dari ibupejabat Petromal sendiri. Saya akan hubungi pihak kedutaan kita di Ganezuela untuk silang semak. Dan… Suren! Dapatkan Datuk Rauzah. Kita nak tau andainya dia ada membuat kontak dengan Abram,” ujar Tuan Aziz.
Suren memutar kerusinya untuk menghadap komputer. Perisian Skype dibuka. Namun, ikon Datuk Rauzah didapati offline.
“Linenya off. Mungkin ada masalah talian, tuan,” ujar Suren.
Jeffri segera menerpa ke fonselnya yang berada di sisi komputer Suren. Dia menekan-nekan butangnya. Semua mata memandang Jeffri yang sedang menekur ke fonselnya. Tertanya-tanya apa yang sedang dilakukan oleh ejen itu.
 “Linenya okey! Dan, dia dah tinggalkan Lancang Kuning!” sampuk Jeffri.
Suren segera mengambil fonsel Jeffri. Wayarnya disambung kembali ke komputernya. Lalu skrin komputer Suren membesarkan imej dari fonsel Jeffri. Memaparkan sebuah peta yang menampakkan titik hijau yang berkelip-kelip ke arah utara. Semua mata kini tertumpu ke skrin itu.
“Ini… Datuk Rauzah…” katanya seraya mengunjuk ke titik yang berkelip-kelip itu. “Ini Lancang Kuning…” katanya lagi ketika mengunjuk imej sebuah kapal di bahagian bawah skrin.
“Datuk Fauzah dah bergerak meninggalkan Lancang Kuning?” tanya Tuan Aziz.
“Dia ke mana?” tanya Normala, spontan.
“Saya mesti balik ke pejabat Bad Holac, bos!” ujar Jeffri tanpa menjawab soalan Normala lalu bergegas menghala ke luar bilik.
 “Jeff!” Suren memanggil. “Ambik fonsel!”
Langkah Jeffri terhenti. Dia menoleh. Suren membaling fonsel dan Jeffri menyambutnya. Dia menekur dan membelek seketika barang yang dibaling Pakar IT itu. Ada sesuatu yang tak kena.
“Ini bukan fonsel saya!” Matanya membuntang memandang Suren kerana menyangka lelaki itu silap.
“Ambil yang itu. Itu yang terbaru!” jawab Suren. “Yang Jeff  pakai ni…” kata Suren lagi seraya melambungnya ke dalam tong sampah! “…dah ketinggalan zaman.”
“Ketinggalan zaman? Hei!” Wajah Jeffri berkerut. Dia melangkah kembali menghampiri Suren dengan tangannya yang menggenggam fonsel baru di tangannya. Seolah-olah mahu meluku kepala Suren.
“BISIK dah tak guna sistem GPS. Sebab, ke mana kita pergi pun musuh boleh pantau. Fonsel yang Jeff pegang tu guna sistem baru. Sistem ni lebih canggih daripada sistem GPS atau GLASNOSS Russia.”
“Dia pakai sistem apa?”
“Sistem MAGNAS. Malaysian Global Navigation System!”
“Tak pernah dengar, pun?” soal Jeffri dengan wajah tidak percaya.
“Sekarang, dah dengar, kan?” sampuk Tuan Aziz seraya tersenyum.
Kening Jeffri terangkat. Bibirnya tercebir. Kemudian dia menoleh dan melangkah pergi. Tuan Aziz membiarkan Jeffri berlalu sebelum mengisyaratkan Fariz dan Normala mengekorinya.

Ibupejabat Bad Holac, Merca

JEFFRI melangkah pantas menuju ke sebuah kawasan perumahan dua tingkat. Seperti kawasan perumahan yang lain, dindingnya juga berwarna lumpur dan berdebu. Fariz dan Normala mengepil di tembok berhampiran.
Memerhati Jeffri bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang berdiri berhampiran dengan pintu salah sebuah rumah di situ. Hanya seketika bercakap, Jeffri dibenarkan masuk. Bila pintu terbuka, Jeffri kelihatan terhenti seketika sebelum melangkah ke dalam.
            “Jeffri tau kita ikut dia…” bisik Normala.
“Saya pun agak macam tu. Dia berhenti untuk beritahu kita yang dia tahu kita ikut dia,” jawab Fariz.
“He wants to play along. Itu mesej dia pada kita,” ujar Normala.
“Macam mana nak masuk kat rumah itu, kak?” tanya Fariz perlahan.
          “Kita pakai trick lama!”
         “Trick lama?” tanya Fariz lagi.
            Normala tidak menyahut. Sebaliknya dia mengambil gincu dari poketnya. Mulut Fariz membentuk huruf ‘O’ lantaran teringat apakah yang Normala maksudkan sebagai trick lama itu. Seketika kemudian, Normala melangkah perlahan persis seorang model. Kemunculannya menarik perhatian si penjaga pintu. Lelaki mana yang tidak terpikat dengan wanita comel itu?
            “Hi…” sapa Normala dengan suara yang menggoda. Senyumannya dileretkan.
            Lelaki penjaga pintu itu nampak terpinga-pinga. Namun, dia tidak tersengih untuk membalas senyuman Normala. Memang dia amat berhati-hati dengan godaan yang muncul secara tiba-tiba ini. Ejen wanita itu pula tidak putus asa.
            “Abang… saya orang baru kat sini. Mana jalan ke pasar? Apakah saya ikut jalan ke sebelah kanan atau ke kiri?” kata Normala seraya mendepangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Sengaja bergaya dengan melentikkan tubuhnya. “Atau saya terus ke depan?” katanya lagi seraya memuncungkan bibirnya yang bergincu merah.
            Lelaki si penjaga pintu meneguk liurnya.
            “Kalau aku tunjukkan jalan, boleh kau tolong aku?” soal lelaki itu. Sekali lagi dia meneguk liur. Normala nampak halkum lelaki itu bergerak-gerak. Dia tersenyum lagi.
            “Terserahlah pada abang… abang mahu apa?” tanya Normala lagi seraya menjeling lalu menghampiri lelaki itu.
Sekali lagi lelaki itu meneguk liurnya lalu tersengih. Matanya membulat memandang Normala. Dia mula tersengih. Ejen wanita itu pula, mula geram.
‘Dasar Jantan miang! Kalau kau rapat,  halkum engkau tu akan hilang bila terkena penangan lutut aku, ni,’ kata Normala di dalam hati.
“Okey… okey… kalau saudari hendak ke pasar… terus jalan ke depan. Bila sampai ke bukit, ikut jalan sebelah kiri. Kat situlah pasar.”
“Oh, terima kasih…” jawab Normala.
Dia berkira-kira melangkah perlahan untuk mengalih perhatian lelaki itu dari Fariz yang kini sedia untuk membolos ke dalam rumah itu.
“Hei… awak dah lupa nak tolong saya!”
Normala menoleh, lantas melangkah menghampiri lelaki itu.
“Oh, saya terlupa. Abang nak apa?” tanya Normala perlahan. Namun dia bersedia untuk bertindak andainya lelaki itu cuba menyentuhnya.
“Err…” lelaki itu meneguk liurnya lagi. “Err… saya ni haus. Kalau ke pasar, dapatkan saya air minuman dekat kedai buah? Kedai itu pakcik saya yang punya. Minta saja pada pakcik kat situ. Katakan ia untuk Kandiya, anak saudaranya. Dia pasti akan beri percuma! Err… boleh tak?”
Normala memandang lelaki itu dengan mata yang terkelip-kelip. Tidak menyangka, ke situ pulak kehendak lelaki yang asyik meneguk liur sambil memandangnya sebentar tadi.
Matanya lantas menjangkau ke hala pintu rumah itu. Ternampak kelibat Fariz yang sudahpun membolos ke dalam. Sambil menggamit tangannya, Normala melangkah pantas meninggalkan lelaki itu. Kali ini, langkahnya tidak lagi dengan gaya melenggok lagi. Rupa-rupanya bukan punggung atau gaya liuk lentuk yang membuat lelaki itu menelan air liurnya berkali-kali.
Namun, Normala akan ke pasar dan mendapatkan minuman untuk lelaki itu. 

Bersambung Ahad hadapan, insya-Allah...

Saturday, December 1, 2012

FRAGMEN 25: GERAK GEMPAR



Photo credit: relicman.com

“ASSALAMUALAIKUM!” Kedengaran suara dari bilik belakang.
            Mereka berempat tertoleh memandang pintu belakang rumah itu pula. Fariz memanjangkan lehernya. Tangannya bersedia untuk mencapai pistol yang tersisip di pinggangnya. Bunyi daun pintu kedengaran berkeriut bila dibuka. Muncul seorang lelaki bertubuh sasa. Daripada jarak tempatnya berdiri, Fariz dapat mengagak tubuh lelaki itu sedikit tinggi daripada tubuhnya. Sekitar 1.7 meter berbanding dirinya yang hanya 1.65 meter.
            Pakaiannya nampak buruk. Wajahnya kusut masai. Misai dan janggutnya seperti berminggu tidak bercukur. Rambutnya yang berserabut itu diikat dengan kain lusuh. Penampilannya tak ubah seperti seorang lanun!  
‘Dia buat helah, kononnya nak masuk ikut pintu depan. Tapi dia muncul dari pintu belakang! Dia ni ke, Jeffri Zain?’ tanya hati Fariz.
Fikiran Fariz segera memadankan teka-teki yang bermain di fikirannya. Dia teringat mesej untuk berpakaian berwarna-warni sebagai cara untuk dikenali, kanak-kanak yang mencuri fonselnya dan bagaimana fonselnya yang dicuri tiba-tiba terletak di depan pintu rumah ini. Mungkin sekali ini angkara Jeffri Zain yang kini menjadi perhatian semua.
            “Apa khabar, Jeffri Zain?” sapa Tuan Aziz, langsung mengesahkan kepada Fariz siapakah lelaki yang muncul ini.
“Kita ada masalah besar…” kata Jeffri lalu duduk di sebuah bangku.
‘Huh… bos tanya… apa khabar! Kenapa dia tak jawab pun sapaan Tuan Aziz?’ gumam Fariz. Tidak puas hati dengan jawapan Jeffri.                                                                                                                                 
            “Masalah apa, Jeff?” tanya Tuan Aziz.
Masing-masing ikut duduk apabila lelaki itu melabuhkan punggung. Tuan Aziz mengambil bangku yang paling hampir dengan Jeffri. Suren hanya memutar kerusinya untuk menghadap Jeffri. Fariz pula mengambil tempat di sebelah Normala. Menanti taklimat ejen itu.
            “Ini bukan soal lanun Somalia aje… Ini soal yang lebih berat dari itu,” Jeffri berkata diiringi dengan keluhan dalam.
            “Beritahulah, kami… apa persoalannya?” desak Fariz pula.
            Fariz memandang Jeffri. Tetapi ejen itu hanya memandang tepat ke wajah Tuan Aziz. Tidak menjeling pun pada Fariz yang mendesaknya. Seolah-olah tidak mendengar apa yang disoalkan Fariz.
            “Masa kami nak ke lapangan terbang dua hari lepas, kami diserang! Seorang ketua musuh berwajah mat salih, muncul dengan helikopter. Sebelum itu, pasukannya pula dah menyerang dan menawan helikopter Wehliye! Ada enam orang lengkap bersenjata macam komando. Kesemuanya berpakaian hitam,” jelas Jeffri.
            “Apa tafsiran awak?” tanya Tuan Aziz pula.
            “Bad Holac ini raja di Lautan Somalia. Kumpulan ini paling besar dan paling tersusun modus operandinya. Tak ada kumpulan lain yang boleh lawan dengan kehebatan mereka kecuali askar Somalia sendiri. Tak ada sesiapa pun yang boleh pengaruhi mereka untuk bertindak.
Tapi, bila Wehliye diserang dan isteri serta anaknya diculik, saya rasa ada pihak yang lebih berkuasa ingin supaya Bad Holac tunduk kepada mereka.”
            “Mungkin kerana Wehliye ada hutang dengan dia orang! Misalnya, berhutang dari segi peralatan senjata… Mereka mengganas kerana Bad Holac tak bayar hutang!” pintas Fariz. Cuba menzahirkan pendapat dalam perbincangan ini.
“Lanun ini kaya-raya. Dah beratus juta duit yang dia ada. Saya pernah ikut Wehliye ke pejabatnya. Saya nampak berkepuk-kepuk duit dalam peti. Itu tak termasuk dalam akaun bank,” jawab Jeffri tanpa menjeling pada Fariz.
“Mungkinkah Wehliye ada masalah hutang yang lain seperti dalam urusan perniagaan?” Fariz cuba mencungkil jawapan lagi.
 Kali ini Jeffri menjeling tajam ke arah Fariz. Memberi mesej seolah-olah dia rimas bila Fariz kerap mencelah setiap kali dia berhenti bercakap. Fariz sedar dirinya dipandang begitu. Dia tertunduk. Bukan kerana takut dengan renungan itu. Dia tunduk kerana menghormati orang yang lebih senior daripadanya.
Biarlah dia berdiam diri buat seketika. Mungkin dengan itu Jeffri lebih selesa menyampaikan maklumatnya. Jeffri menyeluk poket jaketnya.  Lalu mengeluarkan sesuatu dan dihulurnya kepada Tuan Aziz. Dari tempat duduknya, Fariz nampak seperti sekeping wang syiling 20 sen.
“Itu butang dari poket salah seorang daripada penculik yang berpakaian hitam!” jelas Jeffri.
Tuan Aziz membelek butang itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang tertera di atas butang itu.
“W.B…” ujar Tuan Aziz bila dia mengangkat butang itu menghala ke lampu bilik. “W.B… mungkin jenama butang ini…”
“W.B?” Fariz mencelah. Suaranya penuh keterujaan. “Boleh saya tengok butang itu, bos?”
Fariz teringat huruf singkatan W.B. Lantas dia berdiri dan mengambil butang itu dari tapak tangan Tuan Aziz. Dia perasan, Normala dan Suren memandangnya dengan pernuh soalan. Dalam pada itu, dia sedar Jeffri hanya menjelingnya dengan bibir yang tercebir.
“W.B… Waterbury! Saya tau nama ini. Ini butang buatan Amerika!”
“Macam mana awak tau?” soal Tuan Aziz.
“Kat internet! Nama Waterbury saya jumpa bila saya baca mengenai filem Titanic tak lama dulu. Saya ingat lagi macam mana pihak Hollywood minta syarikat Waterbury membuat replika butang W.B bila menemui foto-foto mayat kelasi kapal Titanic yang memakai butang yang tertera huruf-huruf W.B ~ Waterbury!
Saya cari maklumat yang syarikat itu. Ya, Waterbury adalah pembekal butang untuk tentera Amerika sejak kurun ke-18 hingga ke hari ini! Sudah 200 tahun syarikat ini membekal butang untuk pakaian tentera Amerika!”
“Confirm! Betul kata Fariz!” sampuk Suren yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. “Ini dia halaman internet syarikat Waterbury Button!” katanya lagi seraya memutar skrin komputernya ke arah mereka di dalam bilik itu.
Walaupun hanya memandang dari jauh, Tuan Aziz percaya laman yang terpapar di skrin komputer Suren adalah  laman syarikat yang dimaksudkan. Normala yang berada berhampiran dengan Suren turut terangguk mengiyakan setelah membaca apa yang tertera di layar komputer Suren.
“Orang Amerika? Tentera Amerika?” luah Tuan Aziz.
“Saya tak nampak kaitan tentera Amerika dalam hal ini.  Kalau betul, mereka mungkin dah tembak mati Wehliye. Tapi mereka culik isteri dan anak Wehliye supaya lanun itu lakukan sesuatu.” Jeffri memberikan pandangannya.
 “Kalau bukan tentera, mungkinkah mereka semua askar upahan. Macam kumpulan Blackwater; askar upahan yang mengawal Iraq tak lama dulu?” kata Fariz.
Sekali lagi Fariz memerhati Jeffri setelah memberikan pendapatnya. Ingin sekali melihat senyuman yang membawa maksud bersetuju dengan hujahnya. Namun ejen itu hanya mendiamkan dirinya.
“Lancang Kuning… Bad Holac… Wehliye… Waterbury… Amerika… apa maksud serpihan teka-teki, ni?” ujar Tuan Aziz.
Dia berdiri lalu berjalan mundar-mandir di ruang yang kecil ini. Berkerut dahinya mencongak andaian-andaian yang bersimpang-siur di fikirannya.
“Bos… saya ada satu lagi petunjuk…” ujar Jeffri. “Saya ada foto seseorang dalam fonsel saya…”
Tuan Aziz mendepangkan tangannya sebagai isyarat agar fonsel itu diserahkan kepada Suren. Suren menyambut fonsel itu. Seutas wayar kecil disumbat ke alat itu dan disambungkan kepada komputer.
Seketika sahaja wajah seseorang yang berpakaian kemas terpapar di komputer Suren. Semua mata memandang wajah seorang mat salih.
“Itu wajah Abram William… CEO Extron!” ujarTuan Aziz.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...