Sunday, April 28, 2013

FRAGMEN 37: GERAK GEMPAR



Photo credit: timelines2u.blogspot

Hermoza Cuidad, Ganezuela

Sebaik sahaja jet Gulfstream G650 mendarat, Wehliye yang turut menaiki penerbangan itu segera dibawa ke bangunan di lapangan terbang. Datuk Rauzah turut dibawa ke sebuah bilik. Pergerakan mereka dikawal oleh beberapa anggota Gruesome Group.
Tatkala Abdool dan seorang lanun berlalu untuk membersih diri, Jeffri menghampiri Ketua Pengarah Operasi itu. Rasa kasihan menyelinap di hatinya. Namun, oleh kerana tugas dan muslihat, dia terpaksa mengheret wanita itu hingga ke mari.
Jeffri melakukannya sendirian, tanpa mengikut arahan BISIK kerana terpaksa. Dia menjangka, dalam keadaan sukar bila dikejar helikopter, tiada peluang dan ruang lagi untuk mereka semua selamat melainkan jika dia mengengkari operasi.
Daripada dia bersama yang lain menyerah diri, lebih baik dia menyarung kembali topeng jahat dengan bertindak sebagai ejen yang belot. Sekurang-kurangnya kesemuanya akan terus bernyawa. Selama mana, dia pun tidak boleh menjangka.

DATUK RAUZAH sedar Jeffri berada di sisinya. Matanya yang tertutup itu kian meningkatkan rangsangan deria telinga. Sejak di dalam kapalterbang lagi dia teringat kata-kata Jeffri tatkala ingin menyelamatkannya ketika dia ditahan di markas Bad Holac. Ingatan pada saat itu masih jelas di fikirannya. Mindanya menayangkan episod itu…

Imbas kembali…..

“Assalamualaikum... Cepat!” kata Jeffri. “Saya dari Malaysia. Saya datang nak selamatkan Datuk.”
            Bahasa Melayu fasih yang digunakan lelaki itu membuatkan Datuk Rauzah jadi kaget. Bagai tidak percaya, ada orang Melayu yang datang untuk menyelamatkannya. Siapa?
“Betul ke awak orang Melayu? Orang Malaysia?”
“Perlu ke saya nyanyi Negaraku untuk yakinkan Datuk?”
Datuk Rauzah masih memandang Jeffri dengan wajah curiga.
“Saya orang Kampung Sawah Datuk, Mersing. Sekampung dengan datuk!”
Jika sebentar tadi Datuk Rauzah memandangnya penuh kecurigaan, kini dia memandang Jeffri dengan penuh kehairanan.
“Datuk jangan bimbang. Insya-ALLAH, dalam tempoh 24 jam, Datuk sudah berada di tanahair. Ikut saya,” ujar Jeffri.

..........................................

‘SEKAMPUNG?’ hati Datuk Rauzah tertanya.
Ingatan itu membuatkan Datuk Rauzah mengenepikan tanggapan bahawa Jeffri adalah seorang pembelot. Siapa Jeffri sebenarnya? Jika Jeffri sekampung dengannya, dia pasti kenal siapa lelaki ini.
Jika tidak pun, pasti dia kenal orang tua Jeffri. Kampung Sawah Datuk bukannya besar sangat. Biar dia bertanya terus mengenai hal peribadi Jeffri. Dia mahu tahu siapakah lelaki ini.
“Awak orang Mersing... betul?” soal Datuk Rauzah.
Datuk Rauzah memasang telinga. Mengesan segala macam bunyi di sekelilingnya sebelum mendengar geseran kasut menghampirinya. Kedengaran sebuah dehem kecil di sisinya.
 “Saya... Jap... anak Mak Chu Milah. Kak Ojah dah tak ingat ke?”
“Jap? Engkau... Jap?”

Imbas kembali...

1974, Kampung Sawah Datuk, Mersing, Johor


SATU kampung sudah heboh. Ruziah anak pasangan Pak Hamdi Janggut dan Mak Eton Kelapa dikatakan mengandung! Petang itu, gadis yang bekerja kilang tekstil di Batu Pahat, Johor Bahru pulang ke kampung untuk bercuti.
Ketika menginjak tangga ketika membawa pakaian dari jemuran, Ruziah jatuh terjelepok di tepi tangga. Gadis itu pengsan. Tetapi, apa yang mengejutkan, Ruziah tumpah darah! Nyang Pesah yang sedang berbual dengan Mak Eton Kelapa terkejut besar. Sekejap sahaja cerita Ruziah tumpah darah tersebar. Ruziah keguguran! Siapa yang menodai anak gadis itu?
Orang kampung terutamanya jiran-jiran Mak Eton Kelapa sudah tahu benar, Ruziah akan pulang ke kampung setiap bulan untuk bertemu kekasihnya Jeffri Mohd Zain.
Jeffri pula pemuda yang tidak bekerja tetap selepas tamat SPM. Tetapi dia ringan tulang. Selalu juga dia menolong orang yang menangguk udang di hulu Sungai Mersing. Ada kalanya, dia membantu orang di gerai, mengambil pesanan atau membasuh pinggan.
Mereka tahu sangat, Ruziah dan Jeffri adalah sepasang dua sejoli. Bila Ruziah pulang, dia dan Jeffri sering kelihatan berbasikal bersama pada waktu petang di jalan pantai.
Sah! Pasti! Jeffrilah yang membuntingkan Ruziah. Tak mungkin orang lain. Patutlah mereka rajin berbasikal berdua. Rupa-rupanya mereka punyai angkara. Entah-entah mereka berbasikal jauh dari pandangan orang untuk melakukan perkara terkutuk itu.
Itulah sebabnya Ruziah setia sangat dengan Jeffri yang tidak bekerja tetap itu. Rupa-rupanya masing-masing sudah gian di antara satu sama lain! Demikianlah umpat orang kampung.
Akhirnya, cerita itu sampai ke telinga Rauzah Hamdi, kakak Ruziah. Dia naik darah. Dia sudah melarang adiknya berkawan dengan lelaki. Tetapi adiknya degil. Kini, nasi sudah menjadi bubur.
Rauzah yang belajar di UTM Skudai dalam jurusan petroliam bergegas pulang. Setibanya dia di kampung, Rauzah tidak pulang terus ke rumahnya. Sebaliknya dia terus ke rumah Mak Chu Milah.
“Mak Chu! Mak Chu Milah!” pekiknya.
Orang tua yang sudah berusia lebih 70 tahun itu menjenguk di jendela. Rauzah tidak menanti dirinya dipelawa. Dia terus menginjak tangga. Wajah hairan Mak Chu Milah menyambutnya di depan pintu bila daunnya dikuak Rauzah.
“Kenapa ni, Ojah? Tergopoh-gapah na!” tanya Mak Chu Milah.
“Mana Jeffri?”
Raut wajah Mak Chu Milah berubah bimbang. Kini, dia jelas memahami maksud kedatangan Rauzah.
“Jepri tak ada!” jawab wanita itu tenang.
“Tak ada? Ke mana? Dah lari?”
“Janganlah cakap macam tu...” Wanita berusia itu cuba menenangkan anak jirannya.
Tetapi, Rauzah tidak peduli. Habis maki hamun diluahkan terhadap Mak Chu Milah. Wanita yang cuba menyabarkan Rauzah akhirnya tidak dapat menahan rasa sebak dan duka. Hatinya bagai disagat dan dihiris dengan kata-kata nista Rauzah.
Akhirnya, Mak Chu Milah tidak dapat menanggung rasa lagi. Dia rebah! Sekali lagi Kampung Sawah Datuk kecoh gara-gara anak pasangan Pak Hamdi Janggut dan Mak Eton Kelapa yang seorang lagi.
.......................................

“SAYA tahu cerita tu, Kak Ojah!” kata Jeffri perlahan. “Saya minta maaf.”
            “Awak nak mintak maaf?” soal Datuk Rauzah.
            “Kalau saya salah...”
            Datuk Rauzah tersenyum. Jeffri yang memandang tidak dapat mentafsir erti senyuman itu. Apakah ia senyuman tanda menerima maaf atau senyuman yang sinis tanda tiada maaf bagimu?

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, April 21, 2013

FRAGMEN 36: GERAK GEMPAR


 
Photo credit: commons.wikimedia.org
 
Bilik Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

ROCK ROBSON duduk tersandar dengan kedua-dua kakinya di atas meja. Kakinya bersilang. Membentuk ruang huruf ‘V’ di antara kedua kasutnya. Dari celah ruang itulah dia memandang tajam Wehliye Amare.

Ketua lanun itu juga duduk terperosok di kerusinya. Kepalanya terteleng. Matanya menjeling tajam. Tidak mahu mengalah. Wajah Pengarah Gruesome Group itu dipandang seperti mahu menelannya.

            “Terima kasih, Wehliye,” ujar Rock seraya tersengih.

            “Aku mau anak dan bini aku! Mereka di mana?”

            Wehliye sudah tidak sabar. Usahanya merompak Lancang Kuning dan menahan Datuk Rauzah Hamdi kali ini menimbulkan masalah. Kerja yang boleh beres dalam masa 48 jam itu menjadi panjang bila isteri dan anaknya diculik oleh Rock Robson.

 Walaupun dijanjikan ganjaran yang lebih besar, dia tidak mahu ahli keluarganya terlibat. Namun dia terpaksa membawa Datuk Rauzah  ke tempat ini agar keluarganya terselamat.

“Awak memang tak menyempat, Wehliye…” kata Rock seraya tergelak-gelak. “Aku boleh lepaskan kau setelah kau lakukan sedikit kerja tambahan untuk aku.”

“Kau mungkir janji. Kau kata, kerja aku selesai di sini. Aku dah tak ada masa,” bantah Wehliye seraya bangun dan menerpa ke meja Rock Robson.

“Hei, nantilah…”

‘Klik!’ Bunyi picu pistol dipetik.

“Lepaskan anak dan bini aku! Sekarang!” bentak Wehliye.

Rock Robson tertawa berdekah-dekah. Tidak dapat menahan rasa geli hatinya bila melihat Wehliye tidak sabar. Tangannya menggagau ke sebuah bakul kecil di sisi meja. Tetapi terhenti bila Wehliye melepaskan tembakan. Hampir mengena jarinya. Rock Robson mengangkat kedua-dua tangannya.

“Wo, wo, wo… aku bukan nak ambil pistol. Aku cuma nak tunjuk isteri dan anak kau… Beri aku peluang, okey?”

Wehliye mengangguk perlahan tanda mengizinkan. Dengan tenang, Rock Robson menyeluk bakul kecil itu. Dikeluarkan alat kawalan jauh televisyen dan menyasarkan alat itu ke skrin televisyen yang berada di sudut bilik.

Wehliye sedikit cemas bila skrin televisyen hanya menayangkan imej kelabu. Dia menghalakan pistolnya tepat ke wajah Rock Robson. Nafasnya mula turun naik. Mulutnya berkerinyut menahan amarah.

“Sabarlah, kawan… tengok skrin tu!”   

Mata Wehliye kelihatan mencerlang bila skrin akhirnya menayangkan imej isterinya Asiya sedang mendodoi anak kecilnya. Isterinya sedang menonton TV. Suasana di dalam bilik, di mana Asiya berada tidak menggambarkan dia berada di dalam tahanan.

Malah, Wehliye sedikit kaget bila nampak seorang wanita menghampiri Asiya lalu menghidangkan segelas susu dan buah-buahan. Hatinya mula berbunga. Segaris senyuman terukir di bibirnya.

“Aku jaga isteri dan anak kau baik-baik. Kau suka, kan?” ujar Rock Robson.

Dia bangun dan melangkah menghampiri Wehliye. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Rock menepuk bahu lanun itu beberapa kali. Wajah Wehliye sudah tenang kerana hatinya sudah lega. Isterinya selamat. Perlahan-lahan, dia menyisip semula pistolnya di pinggang.

“Apa yang aku patut lakukan?” tanya Wehliye.

Rock Robson tidak menyahut. Dia menguak daun pintu berhampiran dengan kerusinya dan mendepangkan tangannya kepada Wehliye. Mempersilakan lelaki itu ke sebuah bilik berhampiran. Di atas sebuah meja panjang, terdapat beraneka hidangan. Aroma masakan menusuk ke hidung. Membuka selera Wehliye.

“Kita makan dulu. Rehat dulu. Lepas itu kita bincang pasal tugas selanjutnya, hmm?” kata Rock Robson.

 Lautan Atlantik

SEBUAH helikopter TUDM yang membawa sebuah bot berlepas dari kapal KD Warisan terbang ke lokasi kira-kira 100 batu nautika dari pantai Ganezuela. Pemandunya menerima isyarat dari kapal selam TLDM KD Mahathir yang meluncur di kawasan berhampiran.

Bot dilepaskan ke permukaan air. KD Mahathir muncul di permukaan laut. Seperti ikan paus gergasi, ia menguak lautan. Muncul tepat di mana bot itu berada. Persis mendukung bot itu di tubuhnya.

Pintunya terbuka. Enam anggota PASKAL muncul di permukaan kapal selam. Mereka segera menaiki bot. Meluncur menuju ke pantai Ganezuela. Meninggalkan KD Mahathir yang kini sudah menyelam jauh di dasar laut. Ditinggalkan helikopter TUDM yang kini kelihatan hanya bintik kelabu di ufuk timur.

Ya, fasa kedua Ops Sambar kini sedang dilaksanakan dengan penuh teliti dan berhati-hati.
 
Bersambung di Ahad hadapan, insya-ALLAH... 

Sunday, April 14, 2013

FRAGMEN 35: GERAK GEMPAR



Photo credit: privatejetdaily.com

Lapangan Terbang Kismayo, Somalia

PENERBANGAN dengan helikopter yang mengambil masa satu setengah jam itu berakhir bila mereka sampai di lapangan terbang antarabangsa Kismayo. Lapangan terbang yang asalnya digunakan untuk menempatkan tentera Somalia itu telah dibuka kembali pada tahun 2008 setelah ia dirampas dari tentera militan. Pada tahun 2012 ia dikuasai sepenuhnya oleh pihak tentera Somalia.
            Secara tergesa-gesa, Datuk Rauzah dibawa menaiki sebuah jet peribadi Gulfstream G650 yang sedang menanti. Seketika sahaja jet itu sudah meluncur di landasan dan mendongak ke langit menuju ke sebuah lokasi.

BUNYI deru enjin kapalterbang singgah ke telinganya. Datuk Rauzah membuka mata. Namun pandangannya gelap. Dia cuba bergerak. Tetapi terasa tangannya kini terikat. Setelah berdiam diri  sejenak, baharulah dia terasa matanya ditutup dengan kain. Dia mula teringat yang sebelum itu dia dibawa menaiki helikopter.
Sebaik sahaja helikopter berlepas, dia terasa sesuatu menyucuk tengkuknya lalu dia tidak sedarkan diri.  Datuk Rauzah teringat kembali lelaki yang datang menyelamatkannya. Kata lelaki itu, dia orang Malaysia! Hatinya lega bila dia dibawa keluar dari markas Bad Holac ke sebuah jeep yang sedang menunggu.
 Malangnya, pihak musuh mengetahui dan kejar mengejar terjadi. Akhirnya mereka terperangkap. Mengapa lelaki yang kononnya datang untuk menyelamatkan dirinya itu berpaling tadah? Apakah lelaki itu berlakon bekerjasama semata-mata untuk mengaburi pihak Malaysia? Atau, apakah dia talam dua muka?
Betapa pun, Datuk Rauzah  percaya, penculikannya itu tidak akan membahayakan dirinya. Jika dia ingin diapa-apakan, sudah lama dia diperlakukan oleh penculiknya. Kalau ada pun, hanya satu insiden ingin dicabul yang dilaluinya. Selain daripada itu, tiada cubaan untuk menyiksa dilakukan terhadapnya. Datuk Rauzah pasti dia hanya menjadi tebusan. Bila pihak lanun memperoleh habuan, dirinya pasti dilepaskan.
Tetapi, bila pihak Malaysia gagal menyelamatkannya, dia dibawa ke tempat lain. Mengikut pengalaman dan agakannya, dia kini bukan lagi berada di dalam helikopter. Sebaliknya dalam sebuah kapalterbang. Dengan keadaannya yang terikat dan pandangannya yang gelap, Datuk Rauzah cuba melelapkan mata.
“Dah jaga?” bisik satu suara di sebelah kanannya.
Datuk Rauzah terkejut mendengar suara yang begitu hampir dengan telinganya. Dia kenal dengan suara itu. Suara lelaki yang datang menyelamatkannya. Lelaki yang mengaku orang Malaysia. Lelaki yang kemudiannya belot hingga dia berada di dalam sebuah kapalterbang ini untuk dibawa entah ke mana.
“Awak yang khianat itu, kan?” jawab Datuk Rauzah dengan suara meneran.
“Diam!” jawapan yang perlahan tetapi tegas itu membuat Datuk Rauzah tersentak. “Jangan cakap apa-apa, Datuk. Angguk atau geleng sahaja.”
“Kenapa?” Datuk Rauzah menyoal dengan maksud membantah.
“Jangan risau. Ini muslihat. Datuk mesti percayakan saya… ok?”
Perlahan-lahan Datuk Rauzah mengangguk. Hatinya mulai lega. Walaupun dia belum mahu percaya dengan apa yang dikatakan oleh lelaki itu, namun tidak untung atau rugi jika dia bekerjasama. Dalam keadaan sebegini, apa-apa boleh terjadi.

Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya

SEMUA mata tertumpu pada siaran berita CNN di televisyen bila PM menukar saluran. Seperti yang dijangkakan, berita kegagalan Majlis Pertahanan Negara untuk menyelamatkan Datuk Rauzah menjadi tajuk berita utama.
“Operasi Malaysia untuk membebaskan seorang pegawai syarikat minyak milik negara itu dari tawanan lanun Bad Holac telah menemui kegagalan apabila cubaan itu dapat dipatahkan,” kata pembaca berita.
“Pihak Malaysia telah menggunakan pasukan tentera, polis dan badan perisikannya, namun ia menemui kegagalan. Ini pasti memalukan Perdana Menteri Malaysia kerana difahamkan beliau adalah pengarah kepada operasi menyelamat itu.”
PM tersenyum tawar. Dia terus menukar punat untuk menukar saluran. Saluran Al-Jazeera pula tertayang di skrin. Siaran berita sudah berlangsung separuh jalan. Bila imej Datuk Rauzah terpapar, berita yang dibacakan mestilah mengenai Ops Sambar.
“Perdana Menteri Malaysia tidak dapat dihubungi. Pegawai di Jabatan Perdana Menteri pula memberitahu media, pemimpin itu belum bersedia untuk mengadakan sidang akhbar dalam waktu yang terdekat ini,” ujar pembaca berita saluran itu, seolah-olah menyambung apa yang dibacakan oleh pembaca berita CNN sebentar tadi.
“Adalah dipercayai, kegagalan operasi ini begitu memalukan dan akan menjejaskan imej Perdana Menteri Malaysia. Beliau yang baharu sahaja membubarkan parlimen negara itu dijangka melalui jalan yang sukar dalam pilihanraya yang bakal menjelang.”
Sekali lagi PM tersenyum kelat. Sambil memperlahankan suara televisyen, rasa gusar jelas terbayang di wajahnya. Benarlah. Kegagalan Ops Sambar akan menjejaskan imejnya. Beliau dilihat sebagai pemimpin yang lemah kerana tidak mampu menyelamatkan seorang warganegaranya dari tawanan lanun. 
Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara turut tertunduk. Tidak mahu bertentang mata kerana tidak hendak PM berasa malu dengan mereka pula. Tiba-tiba mentol lampu merah yang berada di atas skrin berkelip-kelip. Petanda ada sebuah komunikasi ingin disambungkan. PM lantas menekan butang.
Terpapar imej sebuah kapalterbang yang mendarat di sebuah lapangan terbang di pinggir kawasan hutan. Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Imej Tuan Aziz pula memasuki separuh ruang skrin.
“Assalamualaikum. Imej yang tuan-tuan saksikan ini adalah imej yang diperoleh dari satelit Tanduo. Itulah kapalterbang yang membawa Datuk Rauzah…” jelas Tuan Aziz.
Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas mendekatkan tubuhnya ke arah Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas, ATM lalu berbisik...
“Macam mana Tanduo dapat imej kapalterbang tu? ATM pun tak tahu menahu mengenai kapalterbang itu.”
“Saya pun tak tahu macam mana boleh tangkap imej tu,” jawab Datuk Amsyairi. Kecualilah kalau kita ada cip yang dipasang pada kapalterbang tu. Setahu saya, tidak ada,” jawab Datuk Amsyairi.
“Tuan-tuan sekalian…” ujar Tuan Aziz. “Kita dah dapat koordinat di mana kapalterbang itu mendarat. Ia sekarang berada di barat daya negara Ganezuela!”
Khabar yang dibawa Tuan Aziz itu membuatkan masing-masing berpandangan sesama sendiri.
“Maknanya kita belum tewas lagi!” kata PM dengan wajah yang bertukar ceria.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...