Sunday, May 26, 2013

FRAGMEN 39: GERAK GEMPAR


Photo credit:  fmaforum.com


Pejabat Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

 HARI mulai senja. Anggota-anggota PASKAL sudah tiba di kawasan berhampiran dengan pejabat operasi Gruesome Group. Premis berpagar tinggi yang berada di pinggir hutan itu kelihatan sepi. Fariz yang menyertai pasukan itu turut beruniform seperti anggota PASKAL.

Salah seorang daripada mereka memantau kawasan itu dengan teropong. Mereka berpecah tiga. Dia nampak seorang anggota Gruesome Group berkawal di sebuah menara kawalan. Teropongnya teralih ke kawasan sekitar. Kemudian mengangkat tangan, memberi isyarat yang dia nampak ada dua orang lagi berada di sebelah kiri kawasan bangunan dan dua orang lagi di kawasan kanan sedang menjalankan rondaan.

Seorang anggota membuka beg sandangnya. Mengeluarkan sebuah alat sebesar pemahat yang mempunyai wayar yang bersambung ke sebuah alat seperti kotak di dalam begnya. Swis pada kotak itu dibuka. Dengan berhati-hati alat seperti itu disentuh ke dawai pagar.

Satu demi satu belitan pagar dawai itu cair dan terurai bila disentuh alat yang panas itu. Akhirnya satu garisan terbentuk daripada dawai yang cair itu. Dan, pagar pun dikuak. Anggota itu mengisyaratkan agar Fariz masuk. Setelah mereka memutar jarum jam agar waktu masing-masing seragam, Fariz segera meloloskan dirinya.

DARI dalam sebuah bilik, Jeffri sedang berehat bersama Abdool dan seorang lagi lanun. Mereka masih menanti Wehliye yang masih berurusan dengan Rock Robson. Sambil menonton TV bersama yang lain, dia menunggu. Nalurinya berkata, pada bila-bila masa sahaja dia akan mendapat isyarat dari BISIK. Fonselnya bergetar sekali. Jeffri menyeluk saku.

‘Huh! Dia lagi?’ kata Jeffri di dalam hati. ‘Dah tak ada orang lain, ke?’

Mulutnya tercebir seketika. Berasa tidak senang bila dia bukannya menerima mesej langsung daripada BISIK atau daripada mana-mana ejen lain. Sebaliknya daripada Fariz yang dianggapnya masih mentah.

Betapa pun, dia perlu akur dengan kontaknya ini. Jeffri menguap dan menggeliat. Suaranya menguap sengaja dikuatkan. Membuatkan Abdool dan lanun yang seorang lagi terjeling seketika. Perhatian kedua-duanya kembali ke skrin TV yang menayangkan muzik rock.

Jeffri bangkit. Sambil melangkah dia sengaja membuka zip seluar seperti tidak menyempat hendak ke tandas. Sengaja membuat perangai yang menjengkelkan. Abdool terjeling seketika kerana berasa terganggu dengan perangai Jeffri.

“Woi! Apa hal engkau ni?” tegur Abdool.

“Tak tahan dah…” jawab Jeffri selamba.

“Pergilah cepat. Jangan bersepah dalam bilik ni, pulak!”

“Hmm…”

Dengan kata-kata itu, Jeffri mempercepatkan langkahnya. Sambil membetulkan zip seluarnya kembali dia menapak ke bilik di mana Datuk Rauzah terkurung. Dia mencapai fonsel untuk membaca koordinat bilik itu.  

Sambil melangkah, dia mengangguk sedikit sebagai tanda hormat kepada seorang anggota Gruesome Group yang berkawal di luar bilik itu. Pandangannya lantas terjeling ke atas pintu bilik. Dia nampak sebuah kamera CCTV terpasang di situ.  Matanya mengekori wayar yang berwarna hitam yang bersambung dari kamera ke celah siling.

Jeffri memasuki tandas. Di situ dia menghantar isyarat koordinat lokasi bilik Datuk Rauzah kepada Fariz. Seketika setelah melakukan itu, dia memanjat dan menguak kepingan siling.

Tangannya meraba mencari wayar CCTV berwarna hitam. Ia berbeza daripada wayar elektrik yang berwarna putih.  Setelah wayar itu ditemui, Jeffri menghiris sedikit wayar itu. Tidak dipotong habis. Selepas itu dia melangkah dari tandas sambil bersiul-siulan.

Jeffri melangkah pantas. Dia nampak sebuah pintu di hujung koridor kira-kira sepuluh meter dari bilik di mana Datuk Rauzah terkurung. Dengan selamba dia melangkah melewati pengawal itu.

“Hey, pirate! Where are you going?” pengawal itu menegurnya.

Jeffri menghentikan langkah. Lantas menoleh. “Outside! I need some fresh air. Oh, by the way... you have a light?”

“I ain’t have any light. Go find yourself!” jawab pengawal itu dengan bibir tercebir.

Perlahan-lahan Jeffri menghampiri pengawal itu. Kemudian dia berdiri begitu hampir dengan lelaki itu. Sebuah senyuman manis dihulurkan. Membuatkan lelaki itu jadi kaget.

“Never mind. Just asking. By the way…” kata Jeffri seraya tersengih pula. “I have a light!”

Serentak dengan itu tangan kirinya menutup mulut pengawal itu dan tangan kanannya menoreh leher lelaki itu dengan sebilah pisau kecil yang diambil dari sisipan tali pinggangnya.

Mata pengawal itu terbeliak. Jeffri mengasak lelaki itu ke dinding. Lengannya menekan leher lelaki itu. Seketika sahaja mata pengawal itu menjadi layu. Dia pengsan. Tanpa berlengah lagi, Jeffri mengheret lelaki itu ke tandas.

DI BILIK kawalan pejabat operasi itu, 10 skrin imej-imej CCTV terpancar seperti biasa. Hanya imej kamera yang terpasang di hadapan bilik Datuk Rauzah sahaja yang kelihatan terkelip-kelip kerana sambungan wayarnya hampir terputus.
            Ia sempat merakam imej Jeffri bercakap-cakap dengan pengawal itu, kemudian kamera itu padam seketika. Imej yang terpapar bila ia tersambung kembali hanyalah suasana di hadapan bilik kurungan Datuk Rauzah tanpa ada sesiapa di situ. Pengawal di bilik operasi ini tidak sedar pun. Dia asyik bermain Angry Bird di fonselnya!

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Monday, May 20, 2013

FRAGMEN 38: GERAK GEMPAR



Photo credit: footage shutterstock.com

Pejabat Presiden Ganezuela

HARI ini adalah hari yang bersejarah buat Ganezuela Oil Company; GOC dan juga Extron. Pada hari ini, kedua-dua pihak akan memeterai perjanjian usahasama pengeluaran  minyak dari bumi Ganezuela. Alberto Chimo sebagai Presiden Ganezuela yang juga Pengerusi GOC akan memeterainya bersama CEO Extron Abram William.
            Majlis itu diadakan ringkas sahaja berbanding dengan majlis pelancaran Lancang Kuning kepunyaan syarikat minyak Malaysia, Petromal yang membawa 70,000 deadweight ton gas asli dari Ganezuela ke Kenya.
            Di dalam pejabatnya, Alberto Chimo duduk termenung. Memorinya berlari dan memancarkan imejan-imejan dari saat dia mempelawa pelbagai syarikat minyak melabur di negaranya untuk mencari gali minyak hingga akhirnya menyenarai pendek Extron dan Petromal. Dia dan Jemaah menterinya sungguh berkenan dengan Petromal.
            Syarikat Malaysia itu mempunyai kepakaran sehebat syarikat Amerika. Malah, mereka menawarkan pakej carigali, pengeluaran dan juga pemindahan teknologi kepada GOC. Segala-galanya berjalan lancar sehinggalah Petromal-GOC berjaya menjual minyaknya ke negara Kenya sebagai pelanggan pertamanya.
            Mengikut rancangan, penghantaran minyak ke negara Afrika itu merupakan acara simbolik Petromal-GOC. Ia adalah persefahaman awal sebelum perjanjian usahasama pengeluaran minyak dimeterai. Perjanjian itu tergendala apabila kapal Lancang Kuning ditawan lanun Somalia dan Ketua Pengarah Operasinya, Datuk Rauzah Hamdi diculik.
            Peristiwa malang buat Petromal adalah peluang kedua buat Extron. Ia yang menjadi pesaing kepada Petromal mengambil kesempatan itu untuk mencelah sekali lagi. Presiden Ganezuela yang pada mulanya keberatan untuk menerima permintaan Extron akhirnya terpaksa tunduk setelah beliau mendapat satu panggilan telefon daripada Naib Presiden Amerika.

.....................................................................
Imbas kembali:


SEPERTI
pada hari-hari minggu yang lain, jika tidak ke mana-mana, Alberto Chimo lebih suka berendam di kolam renang. Setelah berenang dan menyelam, dia gemar menelentang dan mengapungkan dirinya di dalam air.
            Cahaya mentari dan suamnya air di kolam renang kediamannya ini sungguh merehatkan. Anak dan isterinya amat memahami kegemaran Alberto. Mereka akan membiarnya bersendirian. Tidak mengganggu privasinya. Mereka tahu, begitulah Alberto berekreasi.
            “Tuan...” kedengaran suara dari tepi kolam renang.
            Alberto membuka mata. Memandang pembantunya sedang mengunjuk fonsel. Dia tahu ada panggilan. Lalu dia berenang ke tepian. Kemudian dia duduk bertenggek di tubir kolam.
            “Ya, helo...”
            “Selamat pagi. Masih mandi di kolam renang?” kedengaran satu suara.
            “Err... tidak. Saya sedang berehat di tepi kolam,” Alberto berdalih.
            “Ha, ha. Jangan melawak. Saya tahu... seluar pendek merah awak tu masih lencun!”
            Alberto tersentap. Lantas memandang seluar pendeknya yang berwarna merah. Mulutnya tercebir sedikit kerana malu orang yang bercakap di hujung talian seperti tahu apa yang dipakainya pagi ini.
            “Apa yang boleh saya bantu, Tuan Naib Presiden?” tanya Alberto untuk mengalih tajuk perbualan.
            “Oh, saya turut bersedih dengan apa yang terjadi. Saya tak sangka lanun-lanun Somalia seganas itu. Bad Holac seharusnya tahan kapal, culik mangsa, minta wang tebusan dan lepaskan mereka.
            Mereka nampaknya semakin tamak. Mereka tahan tebusan lebih lama kerana inginkan wang yang lebih banyak. Ia menyusahkan semua orang... dan kini mengganggu pula perancangan negara awak, Alberto.”
            Alberto Chimo mengeluh mendengar kata-kata itu. “Saya pun tak boleh buat apa-apa. Pihak Petromal khabarnya sedang berunding dengan Bad Holac. Mungkin dalam sehari dua ini semuanya akan berakhir.”
            “Mengapa tidak berbuat sesuatu yang lebih drastik, Alberto?”
            “Maksud tuan?”
            “Sebenarnya, saya baharu tahu sebuah syarikat minyak dari negara saya, Extron tidak berjaya dalam usahasama dengan GOC. Jika saya tahu lebih awal, Amerika akan bantu GOC melalui Extron membuka pasaran minyak seantero dunia.
            Selain itu, kami akan bantu Ganezuela membina prasarana seperti loji penapisan minyak, lapangan terbang,  empangan, lebuh raya dan segalanya.”
            “Tawaran Tuan sama sahaja dengan apa yang Petromal tawarkan! Tak ada bezanya!”
            “Bagaimana awak kata ia tak ada beza? Petromal hanya sebuah syarikat! Tetapi jika Extron terpilih, penjamin di belakangnya adalah Amerika. Kami adalah negara terkaya dan temaju di dunia. Saya jamin, apa yang Petromal tawarkan, kami akan tawarkan pula pada kadar sekurang-kurangnya tiga kali ganda!”
            Alberto Chimo termenung seketika mendengar cadangan berbaur desakan itu.
            “Fikirkan, Alberto. Tapi keluarlah dari kolam renang tu. Minumlah air tembikai dan koktel yang sedang dihidangkan tu!”
            Presiden Ganezuela itu tercengang seketika. Tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Naib Presiden Amerika itu. Bunyi gelas menyentuh kaca meja membuatkan dia menoleh. Dia kaget bila nampak pembantunya membawa segelas air tembikai dan koktel buah-buahan.
            “Hei... macam mana Tuan Naib Presiden tahu apa yang berlaku di sini?” tanya Alberto kehairanan.
            “Ha, ha. Awak hanya mendengar perbualan kita. Saya pula mendengar dan melihat Tuan Presiden!”
            Kata-kata itu membuatkan Alberto Chimo tertoleh-toleh. Kemudian dia mendongak ke  kawasan sekeliling, memantau pandangannya. Namun, dia tidak nampak apa-apa. Peluh dingin tiba-tiba terasa merembes di tengkuknya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...