Sunday, July 28, 2013

FRAGMEN 44: GERAK GEMPAR



Photo credit: realitimod.com
 
Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
 
SEJURUS PM berkata, skrin TV pun terpasang. Wajah seorang pembaca berita saluran World LiveLine pun terpapar. Wajahnya serius. Dia sudah bersedia hendak menyampaikan suatu berita penting.
 
“Selamat petang. Saya Liz Gaddy. Sekarang, saya bawa anda dengan berita terkini. Seorang lelaki yang dipercayai dari sebuah syarikat petroleum Malaysia telah ditahan oleh pihak keselamatan Extron kerana menceroboh pejabat operasi syarikat itu di Hermoza Ciudad, Ganezuela,” kata penyampai berita WorldLiveLine itu.

            “Siapa pulak, tu?” tanya PM sebaik sahaja skrin memparkan wajah Fariz yang sedang duduk menghadap kamera. Wajahnya kelihatan lemah. Matanya kuyu seperti orang yang tidak cukup tidur dan kebingungan.

            Kamera membuat zoom ke arah pakaian Fariz. Tertera tulisan ‘Petromal’ tersemat di dada kiri Fariz. Pengerusi Petromal, Tan Sri Irsham Arshad dan Presidennya Tan Sri Hazibudheen Thajudeen, masing-masing kelihatan terkejut.

            “Staf awak ke tu?” tanya PM kepada mereka.

            “Saya tak pasti. Tapi kami tak pernah hantar orang untuk ceroboh syarikat lain. Bukan polisi kita,” jawab Tan Sri Irsham.

            “Ya. Bukan polisi kami,” sampuk Tan Sri Hazibudheen.

            Mereka bertiga menonton lagi. Kini kamera memfokus pula ke meja di hadapan Fariz. Terdapat dua objek kecil yang terletak di atas meja.

            “Turut ditemui bersama lelaki yang dipercayai ejen perisik dari syarikat minyak Malaysia itu ialah pemutar skru dan sebuah external hard disk,” ujar Liz Gaddy lagi.

            Ketiga-tiga lelaki itu meneliti apa yang disampaikan oleh pemberita itu. Wajah masing-masing amat sugul. Tidak tahu apa yang hendak diperkatakan pada waktu itu. Kedua-dua penjawat tertinggi Petromal itu pula berasa amat malu menatap apa yang dipertontonkan. PM pula belum mahu percaya apa yang dijawab oleh kedua-dua pegawai tertinggi Petromal itu.

            “Kami dapat hubungi Abram William, Ketua Pengarah Eksekutif Extron di Houston, Texas. Mari kita dengar komen beliau…” kata Liz.

            Skrin televisyen kini menayangkan wajah Abram William di sebelah wajah penyampai berita WorldLiveLine itu.

            “Boleh tuan ulas apa yang berlaku?”

            “Petang kelmarin, kira-kira jam 4.00 petang, seorang lelaki didapati menceroboh stesyen simpanan minyak kami di Hermoza Ciudad, Ganezuela. Dia dapat memasuki stesyen itu melalui pintu selatan… mengambil pelbagai maklumat dari pangkalan data kami sebelum penggera keselamatan kami mengesannya.

Saya tak tahu apa yang dicari oleh lelaki itu. Dan, mengapa sebuah syarikat minyak Malaysia menghantar seseorang untuk mencuri maklumat daripada kami? Dia sepatutnya datang ke mari… ke Houston untuk mendapat segala maklumat… bukan ke Ganezuela. Di situ hanya ada rekod stok minyak! Saya bingung! ” jawab Abram seraya tergelak-gelak.

“Apakah James Bond Malaysia itu bertindak bersendirian?” Liz Gaddy mula melawak  pula.

Wajah Abram William berubah daripada ceria menjadi serius. “Kami dapat mengesan jejak mereka yang lain. Lelaki itu bukan datang berseorangan. Mungkin dua, mungkin tiga, mungkin lebih daripada lima orang. Kami masih menyiasat.”

Skrin TV terpadam. PM yang menutupnya. Perlahan-lahan dia meletak alat kawalan jauh. Dia tertunduk lalu mengeluh dalam. Amat terkilan dengan apa yang sedang dihadapinya kini.

“Saya perlu laporan rasmi daripada Tan Sri-Tan Sri…” kata PM perlahan

            “Baik, Datuk Seri,” jawab kedua-dua Tan Sri itu serentak.

            Kedua-duanya bangkit memohon untuk mengundur diri. Sambil tertunduk-tunduk mereka pun berlalu. Sememangnya mereka sudah tidak selesa duduk lama-lama bersama PM. Kedatangan mereka tadi untuk mendengar berita gembira mengenai Datuk Rauzah yang berjaya diselamatkan dalam Ops Sambar itu bertukar duka dengan sebuah berita bohong!

Hutan Tropika Hermoza Ciudad, Ganezuela

HARI sudah senja. Mereka berlima yang bersembunyi di balik rimbunan pepohon dalam hutan tropika itu mula berasa lega. Tiada kedengaran lagi bunyi tembakan. Tiada petanda yang mereka diekori. Suasana amat sunyi. Yang kedengaran hanya bunyi unggas di hutan. Jeritan mawas sesekali kedengaran menggaung jauh.

Sebelum ini, mereka berlari menyusup ke dalam hutan bila dikejar para pengawal Gruesome Group. Akhirnya Ops Sambar berjaya menyelamatkan Datuk Rauzah daripada tahanan. Jeffri Zain sentiasa mengawal Datuk Rauzah sementara anggota PASKAL pula merentas jalan untuk mereka.

Walaupun pada mulanya mereka menjadi sasaran, kemahiran anggota PASKAL yang membuat helah pergerakan membuatkan pihak pengawal keliru dan akhirnya kehilangan jejak mereka hingga mereka tiba di tepi sungai. Di sinilah tempat di mana bot mereka disembunyikan.

Salah seorang anggota PASKAL yang mengepalai pasukan memberi isyarat agar Jeffri membawa Datuk Rauzah menaiki bot. Dalam kesuraman senja, Jeffri nampak lima anggota PASKAL sudah menolak bot ke air.

“Datuk jalan dulu,” Jeffri berbisik.

“Jeff… tak ikut?” tanya Datuk Rauzah.

Jeffri menggeleng. “Saya kena cari Fariz dulu…”

Datuk Rauzah mengangguk faham. Ketua pasukan PASKAL yang menunggu itu terus memimpin Datuk Rauzah menuju ke bot. Suasana yang sunyi dengan bunyi alam dan air sungai yang bagai tidak berkocak itu membangkitkan suasana tenang. Jeffri nampak kedua-duanya melangkah mengharungi gigi air menuju ke bot. Dia nampak kelibat empat lagi anggota PASKAL yang sedang menunggu.

Tiba-tiba, garisan api muncul entah dari mana dan menghilang di tubuh salah seorang anggota PASKAL yang berada di atas bot.

“Argh…” kedengaran erangan anggota itu. Dia terkulai dan tumbang ke tanah.

“Kita diserang!” pekik ketua pasukan.

Percikan dan garisan api hasil gerakan peluru kelihatan bersimpang-siur berterbangan. Seorang demi seorang anggota PASKAL tumbang sebelum sempat mereka membalas tembakan daripada serang hendap itu. Ketuanya turut tumbang. Petanda bahawa masing-masing menjadi sasaran lebih daripada seorang penembak tepat.

Jeffri nampak apa yang terjadi di depan matanya. Dia mula berlari untuk menyelamatkan Datuk Rauzah. Namun langkahnya terhenti bila terpandang kelibat tubuh anggota pengawal Gruesome Group yang lebih 20 orang mengerumuni Datuk Rauzah.

Lekas-lekas dia bersembunyi kembali. Tersandar di celah-celah daun besar di banir pohon besar. Kedua-dua jejarinya mencengkam pokok-pokok renek di sekitarnya hingga tercabut akar-akarnya. Dia menahan geram kerana tidak dapat berbuat apa-apa. Tubuhnya menggeletar.

Jika dia bertindak, pasti dirinya turut gugur. Untuk meneruskan misi, dia terpaksa bertahan dan bersembunyi meskipun dengan cara itu dia sengsara melihat apa yang terjadi.

“Ya, ALLAH… Ya, ALLAH… Ya, ALLAH…”

Itu sahaja yang terlafaz pada saat itu tatkala melihat anggota Gruesome Group mengheret Datuk Rauzah pergi.
 
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, July 21, 2013

FRAGMEN 43: GERAK GEMPAR




Photo credit: foxnews.com

Pejabat Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

BUNYI gerincing kunci menyedarkan Fariz. Matanya terkelip-kelip memandang pintu. Kelihatan ia

bergegar-gegar sedikit sebelum terbuka luas. Seorang petugas melangkah masuk.

‘Masa kena dera dah tiba,’ bisik hati kecilnya.

Mata mereka bertembung. Lelaki yang bermisai tipis itu melontarkan senyuman. Kemudian dia tersegih lebar.

“Mr. Fariz! Bangun!” katanya lalu menarik lengan Fariz yang terikat supaya berdiri.

Walaupun separuh percaya, Fariz ikut sahaja. Tampak sekali, dari air mukanya, petugas itu tidak berniat buruk terhadapnya. Sekurang-kurangnya pada waktu terdekat ini. Seketika sahaja petugas itu menariknya untuk berdiri. Lelaki itu tergelak kecil pula. Hati Fariz berasa curiga.

“Awak bebas,” katanya seraya mengibas-ngibas belakang Fariz untuk membuang debu.

‘Baiknya, engkau! Ada udang di sebalik batu ke?’ kata hati Fariz lagi.

Lelaki itu segera membuka ikatan di tangan Fariz.

“Ikut aku. Bos nak jumpa,” perintah lelaki itu pula.


“HELO… helo… helo… Mr. Fariz…”

Seorang lelaki mat saleh menegurnya sebaik sahaja dia memasuki sebuah pejabat. Lelaki yang bertubuh sasa dan bermisai tebal itu tersengih sambil bersalaman dengannya.

“Saya Rock Robson. Oh, ya. Kebetulan saya hendak minum petang. Mari kita minum sambil saya bercerita sikit…”

Lelaki itu mengajak Fariz ke sebuah meja kecil. Di situ beberapa biji cupcake cokelat dan juga buah-buahan. Terdapat dua buah kole dan seteko minuman. Dia mendepangkan tangannya mengisyaratkan Fariz untuk duduk.

“Sebenarnya berlaku sedikit kesilapan teknikal…” kata Rock sambil menuang kopi ke dalam kedua-dua kole. Kelihatan asap berkepul-kepul naik. Aroma kopi segera mengharumi suasana. Rock menghulur sebuah kole kepada Fariz. Kemudian dia menghulur pula mangkuk kecil berisi gula kiub.

‘Pelik sangatlah ni… mana mungkin tawanan boleh tiba-tiba diajak minum-minum macam ni?’ hati kecil Fariz berkata-kata lagi.

Dia perlu awas. Ekor matanya menjeling ke sekeliling bilik. Tidak terdapat apa-apa di dinding kecuali jam dinding dan bingkai peta. Di atas meja Rock Robson terdapat kertas-kertas, fail, komputer dan benda berkilat yang berwarna hitam. Pistol!

Fariz berkira-kira, senjata yang paling mudah untuk mengalih perhatian Rock Robson andainya terpaksa bertindak ialah dengan menyimbah lelaki itu dengan air kopi yang panas ini.

“Kami di Gruesome Group bekerja untuk Extron,” ujar Rock seraya mengunyah sebutir cupcake. “Dalam satu pelayaran, Wehliye Amare serang dan tawan kapal minyak kami. Oleh sebab kami tak mahu diganggu, kami sedia bayar pada Wehliye wang perlindungan.

Ertinya, Wehliye tidak akan ganggu lagi kapal-kapal kita sebab kami bayar kepadanya ribuan ringgit setiap bulan. Tapi Wehliye tamak! Dia serang dua lagi kapal kami menggunakan kumpulan lanun yang lain.

Bila kami dapat tahu kisah sebenar, Wehliye tak mengaku. Akhirnya kami terpaksa menculik keluarganya supaya dia diperangkap ke mari…”

Rock Robson mengeluh kecil. Kopinya dihirup perlahan.

“Kami tak sangka yang ia melibatkan pegawai tinggi syarikat minyak negara awak. Saya malu sebab saya yang mengepalai operasi menangkap Wehliye. Tak sangka ia melibatkan imej Extron kerana tindakan kami.

Sekarang saya terpaksa buat kerja yang amat memalukan. Saya kena kembalikan pegawai tinggi syarikat minyak negara awak. Awak pun mesti saya lepaskan dan hantar balik ke Malaysia sebagai tanda kesal kami hingga menjejaskan imej Extron.

Akibat tindakan salah saya itu, Gruesome Group mungkin hilang kontrak mengawal Extron di wilayah ini. Mungkin sekali saya dibuang kerja. Bila itu berlaku, saya terpaksa pulang ke Texas dan jadi koboi! Ha, ha, ha!”

Rock Robson tertawa terbahak-bahak seraya menggeleng kepala. Tampak kesal di wajahnya.

“Hei, Mr. Fariz… minumlah kopi tu!”

Fariz yang asyik mendengar cerita Rock Robson tidak sedar yang dia masih belum meneguk lagi kopi. Perlahan-lahan kopi dihirup. Rasa letihnya tiba-tiba hilang. Matanya terasa segar.

“Dalam hidup ini, kadang kala bila anda rasa anda dah cukup pandai, ada sesuatu yang amat bodoh berlaku dalam hidup anda,” Rock membebel lagi.

“Mr. Fariz… awak orang muda… awak seorang ejen perisik… saya tahu. Kerana itu awak perlu berhati-hati.

Dalam sepuluh orang yang awak bunuh, pasti ada seorang yang awak tersilap tembak. Seorang yang mati itu sudah cukup membuat awak berasa kesal hingga ia menghantui segala tindak-tanduk kita pada hari esok.”

Rock Robson menepuk-nepuk bahu Fariz bagai seorang mentor kepada menteenya. Fariz hanya mendengar nasihat itu dengan hati terbuka. Namun, matanya terasa berat. Fikirannya melayang. Kata-kata Rock Robson yang seterusnya sudah tidak dipastikan biji butirnya. Yang terdengar hanyalah suara yang menggaung dan bergema di fikirannya. Suara itu akhirnya hilang. Fariz pengsan.

Bersambung pada Ahad hadapan, insya-ALLAH...