Sunday, August 25, 2013

FRAGMEN 47: GERAK GEMPAR



Photo credit: examiner.com

Kem Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

‘DUMMMM!’
Bunyi pintu besi gelongsor yang terkatup menyedarkan Fariz. Matanya terbuka. Ingatannya segera terfokus kepada keadaan dan situasinya. Dengan spontan dia ingat kembali di mana dia berada. Telinganya terpasang. Dalam keadaan terbaring, tendengar bunyi langkah seseorang menghampirinya.
“Engkau, hidup lagi. Ingatkan dah mati!” Kedengaran seseorang bergumam.
Mata Fariz terbuka luas. Dia kenal suara itu. Dan dia tidak senang dengan komen itu. Lalu dia membalikkan tubuhnya. Lantas terpandang Jeffri yang duduk terlunjur berhampiran dengan pintu.
Tangan lelaki itu terikat ke belakang. Kakinya terhala ke wajah Fariz. Membuatkan dia sedikit tidak senang. Neneknya kata, tidak molek menjulurkan kaki ke muka orang. Itu kelakuan orang kurang ajar.
“Saya ingat, abang dah terlepas. Rupa-rupanya… jadi tawanan macam saya jugak!” bidas Fariz pula seraya tersenyum sinis.
 “Aku datang balik sebab nak selamatkan engkau, Farid!”
“Fariz… nama saya Fariz…” Fariz membetulkan sebutan namanya.
“Apa-apalah… Farid ke, Fahrin ke, Fariz ke… yang penting aku kasihankan budak macam engkau!”
“Nak selamatkan saya, dengan tangan terikat?” perli Fariz.
Jeffri merenung Fariz lalu tercebir. “Dah berpuluh kali aku jadi tawanan. Berpuluh kali juga satu badan aku terikat… dibalut dengan kain… diselubung dengan  guni…
tertiarap… terendam dalam air… tergantung macam kelawar… apa yang aku tak pernah rasa? Tapi setiap kali aku kena tawan, setiap kali juga aku akan terlepas.”
“Insya-ALLAH terlepas… tak baik abang bercakap tanpa lapik insya-ALLAH!” Sekali lagi Fariz memperbetul kata-kata Jeffri.
“Yang engkau nak ajak aku bertekak ni, apahal?” sergah Jeffri.
Dari kedudukan terbaring, Fariz bangkit dan duduk berlunjur. Tubuhnya dihempuk hingga tersandar ke tembok. Ada sesuatu yang mesti ditunjukkannya kepada ejen senior itu. Dalam keadaan terikat dan terkurung ini, dia mesti lakukan sesuatu dengan segera. Tindakan biar kemas, pantas dan jitu.
“Salah ke saya perbetulkan cakap-cakap abang?” soal Fariz dengan wajah berang.
Matanya terjeling ke siling di sudut bilik. Jeffri mengekori jelingan mata Fariz. Lalu terpandang kamera CCTV di situ. Namun pandangannya teralih kembali ke wajah Fariz yang tampak garang.
“Ek, eleh budak ni. Engkau nak ajak bergaduh ke? Ada berani?” gertak Jeffri.
“Siapa takut? Ada ke saya cakap yang saya takut?”
Dengan kata-kata itu, Fariz melompat dan berdiri. Dia mula melangkah menghampiri Jeffri.
“Aku tak cabar. Tapi kalau orang bagi aku buah, aku sambut!” ujar Jeffri.
Dengan kata-kata itu Jeffri turut melompat dan berdiri. Kedua-duanya kini bergerak dalam satu bulatan. Masing-masing menanti salah seorang menyerang dahulu kerana dalam pertempuran kombat, seseorang yang menyerap serangan lebih mudah menelah kemahiran musuhnya sebelum bertindak menyerang balas.
“Tangan kita sama-sama terikat ke belakang…” kata Jeffri.
“Hmm… macam ayam sabung!” jawab Fariz.
“Betul. Sebab itu kita tengok, kaki siapa yang lebih kuat menendang!”
“Menerajang…” tingkah Fariz.
“Melibas…” jawab Jeffri, tidak mahu kalah.

DARI bilik kawalan kem, seorang petugas nampak apa yang bakal terjadi di bilik lokap melalui skrin televisyen CCTV. Dia segera menggamit rakan-rakannya untuk menonton perlawanan percuma yang pasti menghiburkan. Masing-masing berkerumun dan tertawa seronok menanti episod yang bakal berlangsung.

JEFFRI melompat dan mengangkat kaki kanannya. Tinggi dan lurus seperti seorang pemain takraw. Fariz beranjak sedikit ke belakang. Cukup sekadar mengelak kaki itu menghempuk kepalanya. Namun, dia juga melompat dan memutar tubuhnya. Membuat back-kick.
Pada kesempatan itu, Jeffri membongkok dan bergerak ke bawah Fariz. Cukup untuk menampan perut Fariz yang mendarat betul-betul di atas kepalanya. Dengan lonjakan yang kuat, tubuh Fariz terlambung dan terhumban ke lantai. Fariz jatuh terguling. Dia terbatuk-batuk.
“Bukan ke, dah kena…” Jeffri memperli.
Fariz tersenyum sendirian. Dia belum mahu tunjuk kalah. Lelaki senior di hadapannya ini memang penuh pengalaman. Yang berusia lebih tenang. Mereka lebih berhati-hati sebelum bertindak kerana gerakan yang tersasar itu akan membazir tenaga. Dengan ketenangan, ketepatan dalam bertindak akan terhasil.
Yang muda pula biasa tersasar dan tersilap langkah. Namun, kemudaan juga dibekalkan dengan tenaga dan ketangkasan. Justeru itu, kesilapan serangan  itu bisa ditutup dengan perulangan tindakan kerana yang muda biasanya lambat lelah.
Setelah melihat Jeffri hanya mengacah dengan mengangkat kakinya, kini Fariz pula ingin menyerang. Pengalamannya dengan sukan parkour mesti dia gunakan. Perlahan-lahan dia bergerak menghampiri mangkuk tandas di bilik itu. Lalu memanjat tubir mangkuk itu untuk mendapat sedikit ketinggian. Dia merendahkan tubuhnya dan mencangkung.
“Woi! Engkau nak berak ke? Kalau nak berak, boleh kita berhenti sekejap!” perli Jeffri.
Fariz hanya tersenyum di dalam hatinya mendengar cecehan Jeffri. Kedudukan begitu hanyalah untuk mendapat lompatan yang maksima. Dengan sekali henjutan, dia menujah kakinya ke tembok. Menggunakan kepalanya untuk menghentam Jeffri. Lelaki itu hanya mengiring dan membiarkan Fariz tersasar dan jatuh terjerembab.
“Ini gusti ke apa ni? Hah?” tanya Jeffri.
Dengan segera dia menghampiri tubuh itu dan menendang perut Fariz. Sekali, dua kali, tiga kali, Jeffri menendang Fariz. Dengan kedudukan tanagnnya di belakang, Fariz tidak dapat menghalang. Dia hanya menerima sepakan itu sambil mengaduh kesakitan.
“Aku… kalau mula memukul orang… selagi tak pengsan, tak luka, memang tak sah!” kata Jeffri.
Dengan kata-kata itu, Jeffri menghentak kedua-dua tumit kasutnya. Dari hujung kakinya muncul dua besi tajam berupa pisau yang berkilat! Itulah senjata rahsia yang hanya akan digunakan pada saat-saat genting!

PARA petugas yang menonton dari skrin TV di bilik kawalan nyata terkejut dengan apa yang mereka lihat. Mereka tidak menyangka Jeffri ada senjata dari kasutnya. Namun hanya seketika sahaja mereka kaget. Pada saat berikutnya mereka kesemuanya tertawa dan bertepuk tangan. Menanti tayangan percuma yang menjanjikan percikan darah sebagai hiasannya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, August 18, 2013

FRAGMEN 46: GERAK GEMPAR

Photo credit: pics.urduwire.com

Kem Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

SENJA. Dari celah-celah semak,  Jeffri Zain meninjau keadaan  kem Gruesome Group.  Dia  memandang  ke sebelah selatan, kawasan di mana dia dan anggota PASKAL tiba pada senja kelmarin. Teringat bagaimana dia bergerak sebaik sahaja peluru berpandu mudah alih Merak Kayangan NM-1 yang dilepaskan oleh unit PASKAL memecah tembok kem.

Segala-galanya berlaku dengan pantas dan mengikut  rancangan. Sebaik sahaja mendapat maklumat  daripada Fariz Zafar, dia mula bertindak membawa Datuk Rauzah ke luar daripada kawasan kem. Mereka lebih banyak mengelak daripada bertembung dan bertempur dengan musuh bagi menjimatkan masa dengan membuat helah dan decoy hingga musuh tersasar jauh daripada mereka.

Pada jangkaannya, mereka sudah selamat. Namun, rupa-rupanya pihak  musuh juga  cekap bermain psikologi seolah-olah mereka sudah tidak dapat menjejaki  mereka. Padahal  mereka mengintip dan memantau pergerakan mereka hingga menyerang dan membunuh kesemua anggota PASKAL.Mereka kemudian membawa lari Datuk Rauzah. Mungkin sekali kembali ke kem ini.

Pada kali ini, Jeffri menyelinap daripada arah barat kem. Di sini keadaannya lebih terlindung dengan pohon-pohon besar ~ sukar dihidu musuh tetapi sukar juga bergerak kerana tebalnya pokok-pokok renek.Jeffri mendongak ke menara kawalan. Tampak dua orang pengawal sedang meneropong ke kawasan sekeliling.

Di perimeter kawasan berpagar, tidak kurang lima orang sedang berkawal. Mungkin sekali setelah mereka diserang, maka pada kali ini mereka lebih berhati-hati. Pengawal ditambah,  kawalan  turut diperketatkan. Jeffri memasang kacamata video yang mempunyai teropong dan night vision.

Benar seperti  agakannya.  Dia  terpandang kamera-kamera CCTV terpasak di pohon-pohon berhampiran. Kelipan-kelipan lampu merah di CCTV  itu menangkap  pandangan  melalui kacamatanya.

‘Payah jugak nak masuk ke dalam kem ni…’ kata hati Jeffri sambil terfikir-fikir bagaimanakah  untuk  menyelinap kembali ke dalam.

Fonselnya berdengut. Jeffri teringat sebentar tadi dia meminta maklumat daripada BISIK mengenai keadaan Fariz. Video sidang media yang dilakukan oleh Abram William terpapar. Berita mengenai kononnya Fariz adalah pengintip yang dihantar Petromal untuk mencuri maklumat di setor simpanan minyak di Hermoza Ciudad ditatapnya. Uniform Petromal yang dikenakan Fariz membuat Jeffri tergeleng kesal.

‘Amerika memang penipu besar. Tapi... kasihan pulak aku tengok, budak ni…’ kata hati Jeffri bila terpan-dang wajah Fariz yang tidak bermaya.‘Klik!’ kedengaran picu senjata dipetik dari belakangnya.

Tanpa menjeling, Jeffri mengangkat tangannya. Dia tahu ada muncung senjata sudah tersasar ke tubuhnya. Tidak perlu dia tahu berapa orang yang mengacukan senjata mereka kepadanya. Kalau ada 100 pucuk senapang dan 100 peluru yang terbenam ditubuhnya, dia akan maut. Kalau ada sepucuk pistol, dan satu peluru menembusi otaknya, dia akan mati juga. Tiada bezanya.

‘Rupa-rupanya tak sukar nak masuk balik ke dalam kem ni. Sepatutnya siang-siang  lagi aku angkat tangan. Biar dia orang aje tangkap dan bawak aku masuk ke dalam. Tak payah aku sibuk terintai-intai nak masuk ke dalam...’ detik hati Jeffri.

  “Okey, do your job!” kata Jeffri kepada musuh yang ada di belakangnya. Berapa jumlahnya, dia tidak am- bil  tahu pun.

 Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

MESYUARAT kabinet pada hari ini hanya berkisar mengenai satu perkara ~ kritik lantang Abram William, Ketua Pegawai Eksekutif Extron di media massa. Kenyataannya yang mengecam Petromal kerana menghantar seorang ejen untuk mengintip operasi Extron di Ganezuela sungguh biadab. Untuk sekian kalinya, kenyataan itu diulangtayang beberapa kali untuk dianalisa dan dibincangkan.

"Ini adalah satu tindakan pengintipan yang sungguh memalukan. Extron menjalankan operasi perniagaannya dengan mematuhi etika serta budaya kerja yang adil dan saksama.

Kita tidak tergamak melakukan tindakan pengintipan perniagaan kerana ini bertentangan dengan konsep urusniaga yang bebas dan adil. Kerana itu, kami menyuarakan bantahan ke atas tindakan tidak cerdik sebuah organisasi carigali minyak dari Malaysia yang melakukan pengintipan itu terhadap kami.

Petromal, walaupun berdepan dengan krisis penculikan seorang pegawai tingginya oleh lanun Somalia telah sanggup melakukan rancangan jahat ke atas syarikat kami yang hanya menjalankan perniagaan dengan penuh bertamaddun.

Kami tidak terfikir langsung sebuah syarikat yang terkenal bertaraf dunia ini telah bertindak sedemikian ketika mereka dalam kepayahan. Kerana itu, kami tidak mengenepikan teori bahawa peristiwa penculikan pegawai Petromal oleh lanun Somalia itu sengaja dirancang mereka bersama lanun Somalia semata-mata  untuk mengalih perhatian dunia terhadap tindakan jahat mereka.

Ini adalah helah perniagaan yang kotor dan tidak akan diterima langsung bukan sahaja di kalangan dunia perniagaan, malah dikeji oleh dunia."

Perit, sememangnya perit. Namun itulah kenyataannya. Petromal menjadi mangsa kempen persepsi buruk mainan Extron. Dan, kenyataan Abram William itu diulang-ulang oleh seluruh media massa antarabangsa.

Kempen memburuk-burukkan Petromal dilakukan bertubi tubi. Imej Fariz yang berpakaian uniform Petromal kerana kononnya dialah ejen syarikat yang menceroboh masuk ke setor penyimpanan minyak di Hermoza Ciudad, Vanezuela ditayangkan berulangkali.

"Apa yang Petromal dapat buat?" tanya Menteri Luar Negeri

"Dia orang belum dapat jawab pun. Sejak semalam, mereka cuba buat kenyataan media. Tapi yang datang  hanya syarikat akhbar dan TV Malaysia. Tak ada media antarabangsa yang hadir.

Seolah-olah mereka boikot Petromal. Imej Petromal dah terjejas  teruk. Sahamnya di Bursa Saham New York, London, Jepun dan Singapura merudum. Dia orang betul-betul  main kasar,"  jawab Menteri Perusahaan Domestik dan Antarabangsa.
"Kita khuatir kalau Amerika pulak masuk campur. Kalau dia orang masuk campur, parah kita..." ujar PM  perlahan.           
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, August 4, 2013

FRAGMEN 45: GERAK GEMPAR


 
Photo credit: hdw.eweb4.com

BUNYI tembakan bertali arus membingitkan telinganya. Dia terasa pada bila-bila masa sahaja ada sebutir peluru sesat akan menembusi tubuhnya. Namun hatinya tetap berzikir dan berdoa untuk mengelak musibah seperti yang dianjurkan Rasulullah s.a.w menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud.

“Bismillahilazi la yadhuru ma’asmihi syaiun filardhi walafisamaie  wahuasami’ul’alim. Dengan nama ALLAH yang tidak memberikan mudharat sesuatu di bumi juga di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Itulah doa yang sentiasa bermain di bibir dan teralun dari dalam sanubarinya.

Sesekali dia menoleh ke belakang. Melihat lebih sertus orang mengejarnya. Dengan hati yang tidak tentu arah, dia berpaling ke hadapan dan terus berlari dan berlari lagi. Kawasan hutan yang dilaluinya tadi, kini semakin menghilang. Semak samun di depannya terus diredah.

Datuk Rauzah bagai mahu berhenti berlari bila di hadapannya terbentang padang pasir sesaujana mata memandang. Namun kakinya tetap tidak mengizinkan. Panas padang pasir terus dirempuhnya. Walaupun kakinya hampir tenggelam hingga ke buku lali setiap kali dia melangkah, dia meneruskan lariannya untuk entah ke mana.

Tidak semena-mena, dari hadapannya muncul segerombolan lagi musuh sedang menunggunya. Kelihatan mereka menghunuskan senjata mereka ke arahnya.

‘Hah? Dari mana pulak datangnya dia orang, ni?’ tanya hatinya.

Tubuhnya tiba-tiba menjadi lemah. Sudah tiada daya lagi dia melangkah walau setapak. Akhirnya dia jatuh terjelepuk ke pasir.

Dalam keadaan separuh sedar, dia nampak musuh-musuhnya menghampiri. Wajah-wajah mereka tampak begitu garang. Mata masing-masing terbuntang dan mulut mereka berkerinyut menyeringai. Mereka kessemuanya kini tertawa. Bagai pemburu yang akhirnya dapat memerangkap mangsanya. Dia terasa dirinya seperti pelanduk yang akan dikorbankan pada bila-bila masa. Menanti letusan senjata yang kesemuanya terarah ke tubuhnya.

Dia mesti membuka mulut untuk meminta belas kasihan. Dia mesti merayu agar dirinya tidak diapa-apakan. Sungguh. Dia tidak mahu matinya begitu. Mati beragan bagai orang yang tiada ibu, tiada bapa, tiada keluarga, malah tiada negara.

Kalau pun dia mati, biarlah dia mati secara elok. Siap dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumi mengikut cara Islam. Biarlah kuburnya dekat dengan mereka yang mengasihi dan dikasihinya.

Bukan begini… mati entah di mana. Tiada yang memandikan, yang mengkafankan, yang menyembahyangkan dan yang mengkebumikan. Dia tidak mahu mayatnya terbaring dipanah mentari hingga kering seperti bangkai dan akhirnya menjadi debu yang bertaburan ditiup angin.

“Ergh… ergh…” dia mengerang. Itulah suara yang muncul daripada halkumnya walaupun dia ingin merayu dengan suara yang jelas.

“Ergh… ergh…” suara erangannya terpacul lagi walaupun dia mahu berkata-kata.

Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi deru kapalterbang. Bunyi itu semakin lama semakin jelas. Lantas dia bangkit seperti mahu berdiri. Namun kakinya seperti terikat hingga menyebabkan dia hanya dapat duduk menegak.

“Awak jangan risau. Duduk sahaja di situ. Kalau lapar… cakap. Kalau mahu air… cakap.”

Fikirannya kini sedar dan siap siaga. Kini terasa pandangannya tertutup kerana kepalanya diserkup dengan kain. Dia memasang telinga semula mendengar deru kapalterbang. Dia terasa suasana dingin angin yang menyapu tubuhnya.

‘Aku dalam kapalterbang?’ soalnya sendirian. ‘Nak ke mana pulak, ni?’

Dia cuba mengamati dan mengingati suara yang menyapanya tadi.

‘Suara Wehliye?’

Dahinya berkerut bila teringatkan, baru sebentar tadi dia berlari di padang pasir. Teringat yang dia terjatuh dan berdepan dengan mereka yang mahu membunuhnya. Kini dia di mana?

‘Aku mimpi, ke?’ tanya hatinya. ‘Oh, aku bermimpi…’

Memorinya lantas memutar insiden di hutan tropika Hermoza Ciudad, Ganezuela. Dia bersama Jeffri dan lima anggota PASKAL cuba meninggalkan hutan itu dengan menaiki bot. Tiba-tiba mereka diserang hendap.

            Semangatnya terbang bila terpandang seorang demi seorang angota PASKAL tumbang dihunjam peluru yang tidak bermata. Sungguh. Dia tidak pernah melihat insan yang berada di saat sakaratulmaut. Tetapi pada pagi itu, dia nampak kesemuanya. Bukan sekali. Malah, lima kali.

            Lima mayat bergelimpangan di depan matanya. Lima mayat perajurit tanah air terbujur kaku dalam usaha menyelamatkannya. Mereka kembali menghadap Illahi ketika berjuang untuk negara Malaysia.

            Airmatanya mula berlinangan. Teringatkan mereka yang pergi tidak akan kembali lagi. Fikirannya melayang teringatkan Jeffri yang meminta dia pergi dahulu kerana ingin menyelamatkan rakannya Fariz.

            ‘Mudah-mudahan Jeffri selamat. Ya ALLAH... selamatkan dia…’
 
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...