Sunday, October 27, 2013

FRAGMEN AWAL GERAK GEMPAR


 
Photo credit: arjamal.instagram
FRAGMEN AA

Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur
 

3.50 PETANG. Jalan Pantai Baru menghala ke Jalan Bangsar dipenuhi kenderaan. Keadaan semakin sesak bila sebahagian jalan ditutup untuk kerja-kerja menyenggara tiang jejambat LRT. Kerana keadaan itu, lampu trafik yang berfungsi pun gagal menyurai kenderaan dengan lancar. Anggota polis trafik juga belum sampai untuk bertugas melancarkan lalulintas.

            Fariz Zafar turut gelisah. Jejarinya mengetuk-ngetuk stereng untuk mengurangkan stres. Sudah dua kali lampu bertukar hijau dan kemudiannya merah. Namun dia tidak sempat melepasi lampu. Mengapalah kereta BMW di depannya ini perlahan sangat?

Fariz bimbang lewat. Setengah jam tadi dia keluar dari Damansara One membawa beg pakaian untuk ke KLIA. Oleh kerana dia baru pulang dari operasi di Pulau Pinang pagi tadi, dia tidak sempat mengemas pakaian. Baju kotornya dihempuk sahaja ke dalam mesin basuh. Baju bersih dari ampaian diperuk-peruk sahaja ke dalam beg pakaiannya sebelum dia berlari menuruni tangga. Lif? Ah, berlari lebih cepat untuk sampai ke bawah.

SEPULANGNYA dari operasi pada jam 8.00 pagi tadi, dia ke Biro Risikan Negara untuk melapor diri, menulis laporan, mengisi borang tuntutan dan menyerah segala peralatan perisikan ke pejabat. Walaupun dia tidak suka kerja-kerja pejabat, dia mesti bereskan kesemuanya. Kalau tidak dia akan kena leter.

            “Kalau engkau malas isi borang claim, akak tak nak tolong hantar kat admin. Nanti,  bila pokai sebab tak dapat duit claim, jangan buat muka seposen kat akak!” rungut Normala Mustakim rakan sejawat dan mentornya. “Laporan tu kena siap pagi ini jugak. Bos nak tengok. Kalau Fariz tak buat, akak yang kena bebel, tau!”

            “Okeylah, okeylah kak. Akak ni bisinglah. Orang tengah fikir nak susun ayat laporanlah ni,” jawab Fariz dengan wajah mencuka.

            “Eh? Mengarang pun tak pandai? Masa sekolah dulu, BM dapat berapa? Ha, itulah… orang suruh kau pergi sekolah, engkau panjat pokok pisang!”

            Normala sempat menangkap pen yang dibaling geram oleh Fariz sebelum melontarnya kembali kepada ejen itu. Dia tahu Fariz meluat dengan leterannya. Tapi dia memang suka menyakat ejen itu.

LAMPU bertukar hijau. Fikiran Fariz kembali ke situasi dan saat ini. Beberapa buah motorsikal yang berada di hadapan garisan sudah bergerak. Fariz bersedia untuk menukar gear. Menanti BMW di hadapannya memecut.

            Namun kereta itu tidak dapat bergerak kerana ada sebuah motorsikal di hadapannya. Nampak seperti rosak bila si penunggang kelihatan beberapa kali cuba menghidupkan enjinnya. Si pembonceng kelihatan tertoleh-toleh ke arah BMW itu.

            Kedengaran bunyi hon BMW. Kenderaan lain di belakang kereta Fariz pun menekan hon. Menzahirkan geram. Walaupun perasaannya mula hangat, Fariz cuba bersabar. Menanti motorsikal di hadapan BMW itu bergerak atau beralih ke tepi. Kelihatan pemandu BMW itu keluar dari kenderaannya. Nampak tangannya terkirai-kirai memarahi penunggang dan pembonceng motorsikal itu.

            Fariz separuh tergelak melihat gelagat orang kota. Terasa seronok bila dapat melihat orang bertekak. Terlupa seketika yang dia juga makin lewat. Tiba-tiba Fariz terkejut bila si pembonceng mengeluarkan pistol!

            ‘Tam! Tam! Tam!’

“Wo, wo, wo! Apasal engkau tembak dia?” gumam Fariz. “Aku dah lambat ni! Korang ni ada-ada saja lah!”

            Dia meraba-raba mencari pistol di pinggangnya.

‘Alamak! Aku dah pulangkan…’ katanya di dalam hati. Fariz teringat pistolnya telah diserahkan ke pegawai logistik sepulangnya dari operasi pagi tadi.

Fariz membuka pintu dan lekas-lekas keluar mengejar mereka. Tanpa mempedulikan pemandu BMW yang terhencut-hencut dan tersandar di tiang jejambat LRT. Dalam keadaan kelam-kabut, motorsikal penjahat itu melelong sebelum menghentam bonet lori pikap di depannya. Pada kesempatan ini, Fariz melompat dan menerkam pembonceng motorsikal.

            ‘Pistol! Pistol! Pistol!’ Fariz mengingatkan dirinya.

            Tangannya segera mengagau pistol yang tersisip di pinggang si pembonceng motorsikal. Kini pistol itu dalam genggamannya. Berlaku pergelutan bila si pembonceng cuba merampas pistol itu.

            ‘Tam!’
           
            Tanpa teragak-agak Fariz melepaskan tembakan. Dia sempat memandang seluar lelaki itu berasap. Darah merah kelihatan meresap di bahagian lutut lelaki itu. Wajah si pembonceng motorsikal yang pada mulanya tampak garang sudah berubah panik. Fariz menendang lelaki itu. Dia jatuh terduduk. Fariz segera menghalakan pistolnya pula kepada penunggang motorsikal pula. Lelaki itu cepat-cepat mengangkat tangannya.

            Walaupun lelaki itu sudah menyerah kalah, tanpa teragak-agak Fariz melompat dan menendang muka si penunggang motorsikal. Sengaja memberi shock treatment. Penjenayah mesti diajar kerana mereka kurang ajar! Biar dia bertindak sebelum dia diapa-apakan pula. Lelaki itu jatuh terlentang. Tangan kanannya menghentak ekzos.

            “Arghhhhh….” Dia terbangun secara spontan bila tangannya terkena ekzos motorsikalnya yang panas.

            Fariz mahu sahaja menyembur tertawa melihat lelaki itu meniup lengannya. Dalam situasi yang genting itu pun masih ada komedinya. Tetapi dia menyimpan sahaja tawanya di dalam hati. Fariz menyasarkan pistol ke arah kedua-dua lelaki itu. Mereka berdua mengangkat tangan. Tinggi kerana panik. Mereka tidak menjangka, kerja mudah membunuh orang menjadi susah bila bertemu Fariz Zafar.

            “Woi! Apa hal?”

            Fariz menoleh. Seorang anggota polis trafik yang bertugas mengawal lalulintas di persimpangan itu baru tiba. Dia memarkir motorsikalnya di bawah jejambat LRT.

            “Dia orang gangster, bang! Dia baru tembak mangsa. Tahan diaorang.” ujar Fariz seraya menyerahkan pistol kepada anggota polis itu.

            Anggota PDRM itu memandang kedua-dua penjahat itu. Kemudian pandangannya tertumpu pula pada pemandu kereta BMW yang sudah terbaring. Dia nampak cermin kereta BMW yang ditembusi peluru. Kesemua bukti visual itu sudah cukup untuknya bertindak. Dia segera menghubungi ibupejabat meminta bantuan.

            “Bang! Pinjam motor, bang!”

            Anggota polis itu tertoleh. Terkejut terpandang Fariz sudah menunggang motorsikalnya. Beg pakaian sudah tersandang di belakangnya.

            “Abang pakailah kereta saya tu. Saya bagi pinjam. Dua minggu!”

“Woi!” laung polis itu. Memandang Fariz yang mula menjauh.

            “Ambil motor abang ni kat KLSentral! Saya dah lambat ni! Nak pergi umrah!” jerit Fariz, meninggalkan anggota PDRM itu dalam keadaan bingung.
 
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, October 13, 2013

FRAGMEN A: GERAK GEMPAR



Photo credit: carikedai.my

A

Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

4.00 PETANG. Semua videocam sudah terpacak di tripod masing-masing. Kamera saluran-saluran televisyen utama Malaysia, RTM, Bernama TV, Astro Awani, TV Hijrah dan TV3 sudah diatur menghadap ke arah sebuah rostrum di bilik pejabat Perdana Menteri Malaysia.
Sambil menanti rakaman khas dari PM, para jurukamera dan wartawan kini bersembang sesama mereka. Perbualan masing-masing tampak serius membicarakan apa yang akan berlangsung secara live sebentar nanti. Namun kadangkala perbualan mereka disulami dengan gelak ketawa. Tetapi tidak kuat dan lepas seperti mana lazimnya kerana menghormati tempat mereka berada – di bilik pejabat Perdana Menteri. 
Sekali-sekala ada di antara mereka yang tertoleh ke pintu masuk bilik itu. Mengharap PM akan muncul. Kerana itu, bila pintu terkuak, masing-masing terhenti berbual. Tetapi perbualan mereka diteruskan kembali bila orang yang muncul bukannya PM, sebaliknya para pegawai JPM.
Seorang dua wartawan mula memandang jam dinding. Ada yang mula bertanya kepada pegawai yang berada di bilik itu. Mereka tidak sabar lagi menunggu. Mereka datang beramai-ramai kerana dipanggil oleh Jabatan Perdana Menteri kerana ada pengumuman penting yang akan dibuat PM. Tetapi, di mana PM? Bila lagi PM akan muncul? Pintu terkuak…
“Asalamualaikum…”
“Waalaikumsalaaaaam…”
Panjang jawapan para wartawan menyahut ucapan salam PM. Masing-masing memandang lelaki tinggi dan segak yang memasuki ruang bilik ini. Mengekori pergerakan lelaki penting Malaysia ini melangkah ke rostrum. Beberapa orang wartawan yang hampir dengan PM menghulurkan tangan bersalaman. PM menyambutnya dengan senyuman.
“Hensemlah PM pada petang ni!” tegur seorang wartawan wanita.
“Saya yang hensem ke baju saya yang cantik, Nora?” soal PM kembali kepada Norazwani, wartawan Sinar Harian yang dikenalinya.
Jawapan itu disambut dengan gelak ketawa anggota media yang lain. Masing-masing ingin menceriakan suasana. Maklumlah, sesekali bila bertemu PM di majlis yang khas untuk anggota media, mereka tidak mungkin mahu memeningkan kepala PM dengan pelbagai soalan yang akan menimbulkan masalah kepada pemimpin itu. Lebih-lebih lagi di majlis yang amat penting dan bermakna pada petang ini.
“Datuk Seri nampak konfiden. Macam boleh menang, aje,” celah seorang wartawan senior yang bermisai dan berjambang.
Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa lagi. PM hanya tersenyum dan terangguk-angguk. Beliau turut ceria bila mendengar pujian itu. Di hatinya, kata-kata wartawan itu ada benarnya. Memang dia yakin. Amat yakin dengan apa yang bakal dilaluinya.
Wajah PM mula serius sebaik sahaja beliau berdiri di belakang rostrum. Jurumekap yang berdiri berhampiran lekas melangkah dan menyapu wajahnya dengan kertas tisu. Tali leher PM dikemaskannya agar elok di lensa kamera. Kamera kesemuanya sudah terpasang untuk merakam pengumuman PM yang akan dibuat sebentar lagi.
Jurukamera Bernama TV mengangkat tangannya. Mengembangkan kelima-lima jarinya. Kemudian dia menguncupkan jejarinya dan membuka empat jari, kemudian… tiga jari, dua jari dan akhirnya mengunjuk isyarat bagus menandakan PM boleh mula berucap.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dapat bersama-sama pada petang ini. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi tadi saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyerah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya parlimen dibubarkan pada hari ini, Rabu 6 Mei 2019.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, baginda telah berkenan bagi parlimen ke-15 dibubarkan berkuatkuasa hari ini. Justeru itu saya menasihat ketua-ketua kerajaan negeri berkenaan untuk menghadap ketua menteri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran dewan undangan negeri masing-masing bagi pilihanraya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.”

PENGUMUMAN Perdana Menteri itu menjadi tumpuan di seluruh tanah air. Skrin-skrin TV di jabatan-jabatan kerajaan, kafe dan kopitiam, dewan dan kantin, lapangan terbang, stesen keretapi dan komuter, teksi dan bas serta di ruang-ruang tamu kediaman menjadi tatapan rakyat pada ketika itu. Rakyat yang menanti pembubaran parlimen untuk pilihanraya umum ke-15 berasa teruja kerana akhirnya Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran parlimen yang akan diikuti dengan PRU-15.
            Di jalan-jalanraya, kenderaan membunyikan hon tanda gembira. Rakyat gembira kerana sekali lagi mereka berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi. Pasaran saham ditutup lebih rendah kerana sentimen pasaran yang lebih berhati-hati menjelang pilihanraya.
            Di kementerian-kementerian kerajaan, para menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, setiausaha akhbar dan semua petugas politik sudah mula berkemas. Mereka bersedia untuk meninggalkan bilik dan meja masing-masing. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
            Jika ada rezeki, mereka mungkin kembali ke kementerian yang sama, ke kementerian yang lain ataupun angkat kaki bila tidak diperlukan khidmat oleh Perdana Menteri selepas pilihanraya umum kelak. Lebih malang lagi, mereka harus bersedia untuk meninggalkan jawatan andainya pak menteri gagal sebagai calon pilihanraya.
            Ini adalah di antara sepak terajang dunia politik. Mereka yang menjawat jawatan politik sudah semestinya tahu akan realiti ini dan bersedia untuk menerima baik dan buruk keputusan PRU akan datang dengan hati terbuka.
            Datuk Seri Perdana Menteri pun tahu apa yang bakal dihadapinya. Demokrasi. PM akan akur dengan keputusan pilihan rakyat. Justeru itu dia harus bersedia untuk menjulang kejayaan mahupun berundur jika tewas dengan parti lawan. Bersedia untuk terus duduk di kerusi pemimpin negara ataupun pemimpin pembangkang di parlimen!

Nota: Fragmen ini adalah fragmen prekuel bab-bab sebelum ini...