Sunday, November 17, 2013

FRAGMEN AWAL GERAK GEMPAR


Photo credit: commons.wikimedia

FRAGMEN AD: GERAK GEMPAR


“ORANG bergaduh, ke?” tanya Nek Tijah.

            “Hmm… apa hal pulak, tu?” celah Tan Sri Daud.

            Mereka berempat berdiri. Masing-masing meninjau untuk melihat apa yang berlaku. Kelihatan Fariz dan Mr. Drago sedang beradu tenaga.  Saling pukul memukul.

“Mama… mama…” bisik Faryna seraya mengunjuk ke arah Fariz.
            Puan Sri Salwa menoleh. Tertanya-tanya.

“Fariz, mama,” katanya dengan suara bimbang.

“Syyy…” bisik Tan Sri Daud pula sambil melekapkan jari telunjuknya ke bibir. Matanya terjeling ke arah Nek Tijah. Dia pun sudah nampak pergelutan Fariz dengan seseorang. Semakin lama, kedua-duanya semakin menghampiri tempat mereka berada.

Tan Sri Daud mengerti, Nek Tijah tidak tahu apakah kerjaya Fariz. Kalau dia tahu, nescaya banyak omelan orang tua itu nanti kerana dia tidak mungkin faham jenis kerja yang dilakukan Fariz. Kalaulah dia nampak Fariz adalah salah seorang daripada lelaki yang sedang bergelut itu, pasti dia akan cemas.

Kini pergelutan Fariz dan Mr. Drago sudah berada kira-kira tiga meter daripada tempat mereka. Di kala ini, Fariz dapat menghayun penumbuknya hingga Mr. Drago jatuh terduduk.

“Eh, Fariz ke, tu?” tanya Nek Tijah bila ternampak kelibat cucunya itu.

“Bukaaaan….” jawab Tan Sri Daud, Puan Sri Salwa dan Faryna secara serentak.

Puan Sri Salwa lekas-lekas memaut lengan Nek Tijah. Membawa wanita itu keluar daripada kafe. Tan Sri Daud dan Faryna bergerak di belakang Nek Tijah. Sengaja begitu untuk menghalang pandangan nenek itu daripada terpandangkan Fariz.

 

FARIZ menghampiri lelaki yang cuba bangun itu. Sambil duduk terlunjur, Mr. Drago tergeleng-geleng. Kemudian termuntah kerana pening dibelasah Fariz. Kekotoran dari perutnya itu tersembur ke lantai. Orang ramai yang memerhati ada yang tertawa. Tidak kurang juga ada yang memandang jijik.

            Fariz menggamit lelaki itu dengan jari telunjuknya. Sengaja beraksi begitu sebagai perang psikologi yang dia lebih handal. Perlahan-lahan Mr. Drago bangkit dengan penuh kepayahan. Namun sebaik sahaja Fariz menghampiri, lelaki itu tiba-tiba menendang. Tepat singgah ke pipi ejen itu.

            Fariz terundur. Kepalanya pula berpinar. Dia terasa mukanya sengal bila tendangan kedua, ketiga dan keempat singgah ke pipi, dagu dan rahangnya. Dia terhoyong hayang dan jatuh terlentang. Mr. Drago terus menyerang hingga Fariz tidak sempat melawan.

            “Game is over, young boy!” kata Mr. Drago dengan pisau terhunus.  

            Ketika Fariz jatuh, dia sempat mencapai pisau yang tersisip di betisnya. Dia menghampiri Fariz. Menggamit ejen itu dengan jari telunjuknya. Sebagai symbol yang kini dia pula yang menang.

“Game over, Mr. Drago!” kedengaran jeritan nyaring seorang wanita.

‘Klik! Klik! Klik!’ kedengaran picu beberapa senjata pistol ditarik.

Penjenayah itu melepaskan pisaunya. Dengan ekor matanya, dia nampak tiga pucuk pistol sedang tersasar ke tubuhnya. Kedua-dua tangannya diangkat. Tanda permainan sudah tamat.

“Fariz… okey?” tanya wanita yang bertempik nyaring sebentar tadi.

“Okey, kak!” jawab Fariz seraya membetulkan rambutnya.

“Cepat! Pergi solat musafir! Penerbangan lagi setengah jam!”

Fariz mengangguk lemah. Memandang Normala Mustakim, rakan sejawatnya sebelum melangkah pergi.
 

Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

PERDANA Menteri baru sahaja bangun dari duduknya. Sambil melangkah ke bilik, dia sempat menyambut salam para wartawan. Mereka kesemuanya mengucapkan selamat dan tahniah kepadanya kerana akhirnya mengumumkan pembubaran parlimen yang akan diikuti dengan pilihanraya umum ke-15.

Ada sesuatu yang diperkatakan oleh PM hingga para wakil media kesemuanya tergelak besar. Tampak sekali PM begitu yakin dengan keputusannya. Yakin juga dengan masa depan partinya yang bakal berjaya dalam pilihanraya kelak.

“Ada panggilan, Datuk Seri…” ujar Norawazni, pembantu peribadinya sebaik sahaja wajah beliau terjengul di pintu.

“Siapa?”

“John Martinez.”

Perdana Menteri tersenyum sambil melangkah ke kerusinya. Dia tahu, pengumumannya membubarkan parlimen itu kini sudah menjadi berita dunia. Kesemua kedutaan di Malaysia pun sudah mengesahkan pengumuman Malaysia itu. Tentu sekali kedutaan Amerika telah memaklumkan berita itu ke Rumah Putih. PM berdehem sekali sebelum mengangkat telefon.

“Assalamualaikum, Mr. President!”

“Waalaikumsalam, Mr. Prime Minister!”

PM menoleh ke dinding. Memandang jam. Tepat jam 5.00 petang. Ini bererti waktu sekarang ialah pukul 5.00 pagi waktu di Washington D.C.

“Hei, pukul 5.00 pagi. Sepatutnya kau tidur. Apa yang kau buat, John?”

“Menatap wajah kau di skrin TV! Apa lagi?”

Kedua-duanya tertawa serentak. Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Amerika, John Martinez adalah dua sahabat baik. Mereka berkawan sejak di zaman kampus lagi. Kedua-duanya tertawa panjang.

Kedua-dua pemimpin ini berkawan ketika sama-sama menuntut di University of Cambridge, United Kingdom dalam jurusan Kejuruteraan Kimia. Hubungan mereka terputus setelah tamat belajar, sehinggalah mereka menjadi pemimpin di negara masing-masing.

Perhubungan mereka erat kembali apabila John Martinez menghadiri Persidangan Ekonomi Islam Sedunia atau World Islamic Economic Conference iaitu WIEC di Putrajaya International Convention Centre pada tahun lalu. Di persidangan itu, John Martinez menyuarakan komitmen Amerika untuk beralih daripada sistem ekonomi konvensional ke sistem ekonomi Islam.
Dia yakin, itulah sistem yang akan menyelamatkan ekonomi dunia. Malah, dia yakin dengan Islam, agama yang dianutinya setelah bersahabat dengan Perdana Menteri Malaysia.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, November 10, 2013

FRAGMEN AWAL GERAK GEMPAR

 
Photo credit:

FRAGMEN AC

SAMBIL melangkah, Fariz menghubungi BISIK. Namun panggilannya tidak berjawab. Dia menghubungi Normala rakan sejawat dan mentornya. Hasilnya begitu juga. Dia menekur menatap jam. Ada 50 minit sebelum berlepas. Masa semakin suntuk. Oleh kerana rasa tanggungjawab, dia terpaksa mencari penjenayah itu sendirian.

‘Macam mana ni? Kalau Mr. Drago terlepas… habislah,’ kata hati Fariz.  

Meskipun dia tidak diberi maklumat lengkap siapakah Mr. Drago semalam, namun status Pintas 3 yang dikategorikan untuk penjenayah Itali itu sudah cukup menunjukkan lelaki itu amat berbahaya.

Pintas 3 adalah kod di mana subjek sasaran hanya dikepung tetapi pergerakkannya dilorongkan agar dapat melepaskan diri. Ia dilakukan untuk mengelak kesan yang mengakibatkan masalah lebih besar kepada negara. Ia berbeza dengan kod Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian ditangkap atau dilarikan. Pintas 1 pula bermakna subjek dihapuskan serta merta.

‘Macam mana Mr. Drago boleh sampai ke KL ni? Sepatutnya dia dah tinggalkan Malaysia. Kalau macam ini, kod dia boleh bertukar jadi Pintas 2… tak mustahil, Pintas 1!’

Sambil melangkah, Fariz tertoleh-toleh mencari kalau ada anggota BISIK atau polis yang turut mencari Mr. Drago. Dia teringat ketika mengintip di balik pintu surau sebentar tadi, dia ada terdengar bunyi tapak kaki berlari. Mungkin sekali Mr. Drago sedang dihambat oleh pasukan keselamatan. Fariz teringat bagaimana penjenayah itu jatuh terjerembab setelah terlanggarnya. Gayanya seperti dikejar. Pasti ada pihak yang cuba menangkapnya.

Kelibat lelaki berambut perang yang memakai kot menarik perhatian Fariz. Lelaki itu sedang berdiri di sebalik sebuah notis iklan yang terletak di hadapan sebuah kedai buku. Walaupun berada kira-kira lima meter dari arah belakang, Fariz mengenalinya.

‘Engkau nak lari dari siapa, Mr. Drago?’ Fariz mengacu soalan di dalam hati. Sengaja mahu menaikkan adrenalin di tubuhnya agar berwaspada.

Fariz bersedia untuk bergelut dalam proses menahan lelaki itu. Bila berada di tempat awam, Fariz mesti pantas dan kemas. Jika tidak, apa sahaja boleh terjadi lebih-lebih lagi apabila musuh mempunyai senjata. Dia menyedut nafas. Mahu mengumpul oksigen yang akan membekalkan lebih tenaga sebelum menapak. Tetapi…

“Encik Fariz Zafar…”

Fariz menoleh.

‘Cantiknya dia…’ hati Fariz sempat berkata.

Wanita bertudung anggun yang bertubuh gempal memandangnya sambil tersenyum. Matanya bundar. Bulu matanya lentik. Bibirnya bergincu merah delima. Dia berdiri penuh sopan. Kedua-dua kakinya dirapatkan. Tangannya memegang sebuah fail. Dia menelengkan kepalanya, melangut memandang Fariz seraya tersenyum lagi dengan matanya yang berkelip-kelip.

“Dah lama saya cari Encik Fariz. Encik Fariz dah check-in?” tegur wanita itu.

“Oh…”

Mata Fariz menekur ke tudung dwi-warna kundang dan merah jambu wanita itu. Di dada wanita itu tersemat kad tanda nama. Tertera nama ‘Melur’ di situ. Maka Fariz sedar Melur adalah petugas daripada agensi umrah.

“Saya dah check-in. Nenek saya pun dah check-in. Sekarang ni saya saja jalan-jalan. Lapangan terbang ini luas, ya? Penat saya berjalan. Kalau tak biasa jalan-jalan, boleh sesat, kan?” jawab Fariz secara bermanis mulut. Sambil itu, matanya terjeling-jeling memerhati Mr. Drago. Takut lelaki itu lesap.

 Wanita manis itu tersenyum lagi lalu mengangguk.

“Kalau begitu, tak mengapalah. Sepuluh minit lagi, Encik Fariz berkumpul di kawasan kaunter ‘D’ ya? Encik Fariz tahu di mana kaunter ‘D’? Kalau tak tahu, mari saya tunjukkan,” kata Melur lalu menggamit.

“Tak apa, tak apa. Saya tahu kaunter ‘D’ tu di mana. Di antara kaunter ‘C’ dan ‘E’ kan?” kata Fariz dengan senyuman yang dibuat-buat meskipun hatinya mula berasa tak senang.

“Hehe. Encik Fariz ni kelakar jugak ya? Okey… saya pergi dulu,” kata Melur dan berlalu.

Seketika sahaja dia melangkah. Lalu dia berhenti dan menoleh. “Encik Fariz jangan lupa ambil kitab rujukan umrah dan kain ihram hadiah dari syarikat kami, ya?”

“Okey… boleh… nanti saya ke kawasan kaunter ‘D’ di sebelah sana tu…” jawab Fariz dengan senyuman sumbing.

Cepat-cepat Fariz menoleh. Memfokus ke tempat Mr. Drago bersembunyi. Tetapi penjenayah itu sudah lesap. Fariz memantaukan pandangannya ke sebelah kanan. Dia tersenyum bila terpandang musuhnya sudah melangkah ke kawasan kafe di mana neneknya sedang minum bersama Faryna dan ibubapanya.

 ‘Alamak! Mintak-mintak Nek Tijah tak nampak apa yang aku nak buat, ni!’

Tanpa berlengah lagi, Fariz melayangkan tubuhnya. Kaki kanannya menghenyak belakang penjenayah itu. Membuatkan lelaki itu tersembam buat kali kedua. Belum sempat Mr. Drago bangun,  Fariz merentap kot lelaki itu dari belakang.

Mengikat pergerakan tangan Mr. Drago daripada mencapai pistolnya. Dengan sekali rentap, kot lelaki itu terlerai dari tubuhnya. Sepantas kilat, Fariz mencapai pistol lelaki itu dan melontarnya ke dalam tong sampah.

“You… again?” kata Mr. Drago.

Lelaki itu menerkam Fariz. Kini kedua-duanya bergolek dan bergelut di lantai. Kekalutan mereka berdua menarik perhatian orang ramai. Ada yang menghampiri walaupun secara berani-berani takut. Tidak kurang juga yang lari menjauhkan diri.

Di suatu ketika, Mr. Drago bangun untuk melarikan diri. Tetapi Fariz lekas-lekas menangkap kaki lelaki itu. Untuk melepas diri, dia menggagau kerusi dan meja. Namun pautan Fariz pada kaki lelaki itu lebih kemas. Membuatkan dia tidak dapat beranjak meskipun cuba meronta-ronta.

Akhirnya, kerusi dan meja terseret dan terbalik. Menggamatkan suasana. Dan menarik perhatian Nek Tijah, Tan Sri Daud, Puan Sri Salwa dan Faryna yang duduk tidak jauh dari situ. Kesemuanya menoleh.

Dalam kedudukan tertiarap itu, Fariz nampak mereka semuanya memerhatinya. Dia kaget. Nafasnya seperti mahu terhenti bila terpandang Nek Tijah terbangun dari duduknya. Fariz meneguk liur kerana tekaknya tiba-tiba kering.

‘Alamak! Macam mana kalau nenek tahu rahsia kerja aku ni?’ tanya Fariz di dalam hati.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, November 2, 2013

FRAGMEN AWAL GERAK GEMPAR


Photo credit: nordin.kembali.net

FRAGMEN AB



KLIA, Sepang, Selangor

SETIBANYA di kawasan menurunkan penumpang di bahagian berlepas, Fariz terus berlari ke dalam. Tidak mempedulikan orang ramai sedang berkerumun dan melangut menonton siaran secara langsung pengumuman hasrat kerajaan mengadakan PRU-15 di merata sudut yang terpasang televisyen.
Di layar mindanya hanya terpapar wajah-wajah yang menantinya. Dia tidak senang jika Faryna membebel kerana kelewatannya. Dia risau andainya ibubapa Faryna,  Tan Sri Daud atau Puan Sri Salwa menganggap dia ambil mudah ibadah umrah yang bakal dijalani.
Dan dia pula terlalu bimbang kalau Nek Tijah berasa susah hati kerana kelewatannya itu. Biarlah kalau Faryna hendak marah. Biarlah kalau Tan Sri Daud hendak berdehem atau Puan Sri Salwa menjelingnya. Tetapi dia tak sanggup kalau terpandang Nek Tijah duduk termenung dan menangis kerana bimbangkannya.
Itulah satu-satunya wanita yang amat disayanginya. Dialah wanita yang membesarkannya sejak kehilangan ibubapanya dalam peristiwa kebakaran di kampung halamannya. Dengan Nek Tijahlah dia bermanja; tempat dia mendapat kasih sayang dari kecil hingga dewasa. Kerana itu, dia wajib membalas jasa neneknya itu. Jika sedari kecil, segala keinginannya dipenuhi, kini tiba gilirannya pula membalas budi.
Bila Nek Tijah menyuarakan hasratnya untuk mengerjakan umrah kepada Fariz, dia terus bersetuju untuk menemani neneknya. Malah dua bulan lalu dia sudah memohon cuti. Tetapi kerja, tetap kerja. Apatah lagi bila bertugas sebagai ejen perisik dengan Biro Risikan Negara.
Dia tahu dia akan dipanggil bertugas pada bila-bila masa. 24-7. Kerana itu, sebaik sahaja dia ditugaskan untuk memantau gerak-geri Mr. Drago, seorang penjenayah Itali yang transit di Lapangan Terbang Bayan Lepas petang semalam, dia perlu patuh. Mujurlah penjenayah itu tidak membuat apa-apa hubungan dengan sesiapa di negara ini. Jika tidak, kerjanya tidak selesai secepat ini.

“ABANG tau tak yang abang dah lambat?”
Fariz melangkah lambat-lambat. Seperti murid bersalah yang bakal dimarahi cikgu. Pandangannya hanya tertekur ke lantai ketika dia meletakkan beg pakaiannya.  Dia tahu dia lewat. Tetapi dia tidak berasa bersalah kerana bukan dia sengaja datang lambat.
Ada aral yang melintang. Tetapi dia tidak perlu menceritakan apa yang dilalui dalam operasinya semalam di Pulau Pinang dan juga di persimpangan Jalan Bangsar-Jalan Maarof sebentar tadi.
            “Kasihan Nek Tijah. Dia tunggu lama, tau? Nasib baik papa dan mama ada. Dia orang bawak Nek Tijah pergi minum. Abang tak boleh buat kita orang semua tertunggu-tunggu. Kalau lewat, abang kena beritahu Ryna. Ryna risau sangat, tau? Abang tak boleh ambil mudah soal umrah ni. Ini bukannya pergi melancong, tapi pergi beribadat.”
            Fariz hanya membatu. Dia akui apa yang Faryna katakan itu benar. Dia tahu dia telah merisaukan semua orang. Namun, dia terlupa untuk memaklumkan Faryna di atas kelewatannya agar tunangannya itu tidak bimbang. Dia faham yang dia akan melaksanakan umrah. Bukannya pergi jalan-jalan untuk melancong. Bagaimana pun, dia tahu jika dia mendiamkan diri, akhirnya Faryna akan berhenti berleter. Untuk sekian kalinya, dia akan gunakan taktik yang sama. Diam membatu!
            “Abang…” suara Faryna yang meninggi sebentar tadi sudah mengendur pula.
            ‘Hehehe. Aku dah agak, dah… Dia mesti suspens bila aku diam…’ detik hati Fariz.
Fariz tersenyum di dalam hati. Dia tahu Faryna mula gelisah bila dia tidak menyahut bebelannya. Gadis itu akan bimbang kalau-kalau kata-katanya itu melukakan hati Fariz. Buktinya… suara Faryna kini sudah lembut kerana khuatir kata-katanya sebentar tadi menyinggung perasaannya. Fariz tidak berasa hati pun. Dia hanya membisu kerana dia tahu jika dia diam, Faryna akan berhenti berleter.
            Sambil menyembunyikan senyuman, Fariz berpaling dan menapak pergi. Sengaja tidak mahu menatap wajah kekasih hati kerana hendak menyakat Faryna. Dia suka si pujaan hatinya itu berwajah bimbang kerana wajah sebegitu amat manis pada pandangannya.
 “Abang…” Faryna menyeru lagi namanya. Ada getaran dalam suaranya itu. “Abang! Abang nak pergi mana pulak, tu?”
            “Nak ke surau sekejap. Solat sunat musafir,” jawab Fariz seraya berlalu.
            “Check-in dulu! Nanti takut tak sempat!” laung Faryna.
            Fariz hanya menyahut dengan mengangguk.

KADANGKALA, kelewatan itu menjanjikan kecepatan. Agaknya apabila ramai yang sudah check-in, Fariz menjadi orang ketiga di dalam barisan. Dalam masa 10 minit, dia sudah selesai check-in. Sambil melangkah, dia nampak Nek Tijah bersama Tan Sri Daud dan Puan Sri Salwa minum-minum di sebuah kafe.
Dan dia nampak Faryna sudah ada di situ. Mungkinkah tunangannya itu sedang memperkatakan tentang dirinya?  Dari gerak geri Faryna yang tampak serius dan tercebir, Fariz mengagak dirinya sedang menjadi umpatan. Sambil tersenyum, Fariz bergegas ke bilik solat.
Baharu sahaja Fariz menghampiri pintu surau, tubuhnya dilanggar seseorang. Badannya terpusing 90 darjah! Mujur, kesiapsiagaannya itu membolehkan Fariz mengimbangi tubuhnya. Dia terdengar bunyi berdebuk. Fariz menoleh. Orang yang melanggarnya jatuh tertiarap.
Kacamata hitamnya terpelanting jauh ke depan. Lelaki itu cepat-cepat bangkit. Dia membetulkan kot. Lantas menoleh dan berdiri. Mata mereka bertembung. Fariz terkejut.
‘Mat salih! Macam kenal dia ni!’ detik hati Fariz.
Memorinya berputar laju cuba mengingati siapakah lelaki mat salih ini. Wajah-wajah manusia kulit putih bersimpang-siur di layar mindanya. Fariz tahu dia pernah nampak orang ini. Wajah manusia di hadapannya ini seperti baru sahaja dia lihat dalam sehari dua ini. Tetapi di mana?
‘Ya, ALLAH! Mr. Drago!’ kata hatinya mengesahkan.
Inilah penjenayah Itali yang dipantaunya di Lapangan Terbang Bayan Lepas semalam. Dia ingat lagi lelaki ini hanya duduk menanti penerbangan seterusnya dengan pesawat Air India.
Di atas permintaan Interpol, Biro Risikan Negara hanya perlu memantau lelaki ini dan tidak menangkapnya. Mungkin sekali dia akan ditahan Interpol di negara lain bersama bukti-bukti angkara jenayahnya. Tetapi, mengapa lelaki ini berada di sini?
“Are you alright, sir? Are you hurt?” Fariz menghampiri penjenayah itu. Berpura-pura seolah-olah did tidak mengenali lelaki itu.
Fariz nampak Mr. Drago menyeluk sesuatu di dalam poket kot sambil matanya tidak lepas daripada memandang Fariz. Fariz dapat meneka apa yang ingin dicapai lelaki itu.
“It is okay, sir! If you are not hurt, I just want to pray! I am in a hurry!” kata Fariz dengan penuh senyuman seraya mengunjuk papan tanda bilik solat yang terlekat di pintu surau.
Dengan penuh tawakkal, Fariz lekas-lekas memutar tombol pintu surau dan masuk ke dalam. Dari belakang pintu, Fariz memasang telinga. Kedengaran bunyi tapak kaki berlari. Dia tahu itu bunyi tapak kaki pihak keselamatan yang mengejar Mr. Drago. Fariz tidak sedar bila dia melangkah keluar dari surau. Tahu-tahu sahaja, dia sudah berlari menjejaki Mr. Drago.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...