Sunday, September 16, 2012

FRAGMEN 14: GERAK GEMPAR



Photo credit: syafiqakram.fotopages.com

MESKIPUN terpinga-pinga, bila Sudirman melihat wajah cemas Fariz, dia segera turun daripada lorinya. Belum sempat dia bertanya, Fariz melompat dan memulakan pemanduan. Meninggalkan Sudirman yang berdiri kaku sambil menggaru kepala kerana bingung.
Pandangan Fariz menyorot jauh. Mencari lelaki berjubah berbelang yang mula tenggelam timbul di celah-celah orang ramai.  Fariz melajukan kenderaan bila kelibat lelaki itu kelihatan. Kawasan di hujung dataran agak lengang. Memudahkan Fariz melajukan lorinya. Seketika sahaja dia sudah menghampiri lelaki yang kini hanya melangkah pantas. Fariz tahu lelaki itu mengagak dia sudah tidak dikejar lagi.
‘Wei, kau nak pegi mana tu? Jangan lari!’ kata hati Fariz.
Dia memberhentikan lori kira-kira lima meter dari lelaki itu. Ingin mengejar dan menangkap lelaki itu. Namun, sebaik sahaja dia turun daripada lori, lelaki itu terasa dia diekori. Lantas dia menoleh dan memecut kembali.
“Ceh!”
Fariz menghela nafas. Dia naik kembali ke atas lori. Lori yang masih hidup enjinnya mula bergerak. Berdecit tayarnya. Meninggalkan kesan hitam yang panjang di permukaan dataran. Lelaki itu berlari semakin laju. Seolah-olah dia seorang pelari jarak jauh yang tidak tahu penat. Kini, dia semakin hampir dengan pintu. Penjenayah itu mesti dipintas. Kalau tidak, dia akan terlepas. Fariz mesti lakukan sesuatu.
‘Aku langgar dia?’ Fariz bertanya dirinya.
‘Tak boleh. Nanti kotor masjid dengan darah!’ jawabnya juga di dalam hati.
Dalam keadaan begitu, Fariz tak sempat berfikir logik soal jawab yang terlintas di fikirannya. Apa yang harus dia lakukan? Fariz tertoleh ke belakang. Terpandang tong-tong penuh berisi air zam-zam yang kelihatan bergegar kerana gerakan laju kenderaan. Satu lagi idea terlonjak di mindanya. Fariz menekan minyak.
Enjin lori mengaum. Lelaki itu semakin dihampiri. Sebaik sahaja lori itu berada seiring dengan lelaki itu di sebelah kanannya, Fariz cepat-cepat memutar stereng ke arah kiri. Membuatkan lori itu turut terbelok ke kiri. Dia terus menarik selak penghadang tong-tong menyebabkan dua biji tong air zam-zam seberat 20 liter setiap satu jatuh ke atas dataran. Seperti yang dijangka Fariz, kedua-dua tong itu bergolek laju lalu menghentam kaki dan seterusnya melenyek kaki lelaki yang tersungkur itu.
“ALLAH…”
Itu sahaja jeritan lelaki itu sebelum dia tergolek dan terlentang. Beberapa orang para jemaah yang berada berhampiran menerpa untuk membantu lelaki itu. Dua orang daripada mereka mengangkatnya. Fariz nampak mulutnya berdarah. Dia turun dari lori lalu menghampiri.
“Artukuhu…” tegur Fariz dalam bahasa Arab meminta mereka membiarkan sahaja lelaki itu.
Belum pun sempat Fariz menyentuh lelaki itu, tangannya ditepis oleh seorang anggota polis.
“Yuzibu baiedan,” jerkahnya sambil menguis-nguis jejarinya menyuruh Fariz pergi dari situ.
“Atlaq anar alaihi rajil,” jelas Fariz menyatakan lelaki itu telah menembak seorang lelaki.
Mata anggota polis itu terbeliak.
“Hala sahiyah?” Dia bertanya pinta kepastian.
“Hunaka…”  kedengaran satu suara.
Fariz dan anggota polis itu menoleh. Sudirman muncul.
“Hazal rujlu huasadi qaie,” kata Sudirman lagi sambil memaut bahu Fariz.
“Naam?” Anggota polis itu mengangguk-angguk dan tersenyum pula. Nampaknya dia kenal dengan Sudirman.

“SIAPA lelaki itu?” tanya Sudirman ketika mereka berdua melangkah menuju ke kenderaan.

“Perampok!” jawab Fariz ringkas.
Dia tidak mahu memanjangkan cerita.
“Perampok di Madinah? Mana mungkin ada perampok di bumi ini kalau tidak dipotong tangannya? Tadi, Abang Man nampak seseorang terjatuh di hujung sana sebelum lihat kamu mengejar perampok itu,” ujar Sudirman.
“Apa yang berlaku sebenarnya? Apakah lelaki itu mencederakan teman kamu lantas kamu mengejar orang itu? Katakan sahaja. Kalau kepingin pertolongan, abang Man bisa membantu.”
Kata-kata itu membuatkan Fariz terkelip-kelip memandangnya. Fikirannya laju sekali berputar-putar mencongak baik buruk dia menceritakan apa yang sebenarnya terjadi. Setelah mempertimbangkan, Fariz berkata, “Orang yang saya cederakan itu telah tembak seorang lelaki.”
Terbeliak mata Sudirman mendengarnya, “Apa, benar kata-katamu?”
“Saya tidak berbohong, bang. Dan lelaki yang tertembak itu adalah orang yang saya cari-cari!”
“Kalau begitu… mari!”
Sudirman tidak bertanya lanjut mengapa Fariz mencari lelaki itu. Baginya, biarlah dia bertindak dahulu. Yang penting baginya ialah ke tempat di mana Saleem Amare tertembak. Dia akan bertanya lagi mengapa Fariz mencari lelaki itu bila tiba masanya.
Enjin kenderaan dihidupkan. Sebentar sahaja kenderaan itu tiba di tempat Saleem Amare tertembak. Namun, tempat itu sudah seperti biasa. Tiada lagi orang ramai berkerumun.
Kelihatan seorang pekerja sedang mengelap lantai. Fariz segera menekur ke dalam baldi. Tertanya-tanya andainya air yang mencuci lantai itu berwarna merah kerana bercampur dengan kesan darah. Namun, oleh kerana suasana tidak terang, dia tidak nampak warna air di dalam baldi itu.
“Waqatala syahkh ma huna. Hal ta’rafal anhu?” Sudirman bertanya kepada seorang anggota polis sama ada dia tahu siapakah yang tertembak di situ. Dialah anggota polis yang sama di tempat lelaki jubah berbelang itu tersungkur.
“Naama. Qala li ahaduhum anihi Saleem Amare!” jawab anggota polis itu.
“Saleem Amare?” tanya Sudirman kepada anggota polis itu. Pegawai itu mengangguk lagi. “Kata pak polisi itu, lelaki yang tertembak itu Saleem Amare,” ujar Sudirman seraya menoleh kepada Fariz.
“Ya, memang dialah orangnya.” Fariz mengangguk perlahan.
“Mari!” kata Sudirman seraya mengheret lengan Fariz.
“Ke mana?”
“Ah… ikut aje! Aku tahu dia kini di mana…”
Sambil bergegas mengekori Sudirman, Fariz teringatkan Nek Tijah. Bagaimana kalau neneknya itu tercari-carinya? Namun, hatinya cepat memujuk.
‘Ah, tentu nenek tau jalan balik,’ kata hatinya pula.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, September 9, 2012

FRAGMEN 13: GERAK GEMPAR




Photo credit: 
kaherah-kaherah.blogspot.com 

FARIZ menghampiri lelaki yang kelihatan bersama dengan rombongannya itu. Ingin mengamati lelaki berkumis nipis itu dari dekat. Saleem Amare berkulit hitam, bertubuh tinggi dan sasa orangnya. Suaranya begitu parau dan merendah dalam kategori suara bernada
bass. Hinggakan mereka yang berada di sekelilingnya terpaksa membongkok sedikit memasang telinga untuk mendengar kata-katanya.

Saleem Amare sedang memberi taklimat mengenai Masjid Nabawi kepada para jemaah umrah dalam kumpulannya. Begitu bersungguh-sungguh dia memberi penerangan kepada mereka di sekelilingnya. Kadangkala, dia pula melangkah menghampiri para jemaah yang bertanyakan soalan kepadanya. Petanda dia seorang yang mengambil peduli terhadap kemusykilan mereka yang ingin memperoleh maklumat daripadanya.

Bagi Fariz, Saleem Amare adalah seorang lelaki yang prihatin. Tatkala bertutur, senyuman manis tidak lekang dari bibirnya.  Membuatkan mereka yang berada dekat dengannya begitu selesa bertanya pelbagai soalan.  Hinggakan ada jemaah lain yang lalu-lalang terhenti untuk mendengar taklimatnya.

‘Lelaki ini ada aura!’ desis hati Fariz lagi. ‘Aku kena beritahu Tuan Aziz, aku dah jumpa Saleem Amare… Tapi… aku tak akan lepaskan peluang…’

Dengan berhati-hati Fariz mencapai fonsel di poketnya. Niatnya, sebelum menghubungi BISIK, dia ingin merakam foto lelaki ini buat kenang-kenangan peribadi. Dia begitu teruja dengan ketrampilan lelaki ini. Perlahan-lahan, fonselnya diubah kepada mode  media supaya dia boleh mengambil foto lelaki ini.

Sambil memfokus, Fariz bergerak ke celah-celah ahli rombongan lelaki itu untuk mengambil sudut fotografi yang menarik. Kini, fonselnya sudah menghampiri mata kanannya. Mata kirinya dikecilkan. Butang untuk menangkap foto sudah hampir ditekan.

Dengan tidak disangka-sangka, Saleem Amare berpaling ke arahnya. Membuatkan Fariz tidak jadi mengambil foto lelaki itu. Fonselnya diturunkan. Kini mereka bertentang mata.

“Carry on... you can take my picture!”
Saleem Amare menyapa sebaik sahaja terpandang Fariz menyasarkan fonsel ke arahnya.

Fariz kantoi! Dia kaget seketika. Tercetus rasa kesal di hatinya. Seharusnya dia tidak boleh dilihat oleh Saleem kerana tugasnya hanyalah menyampaikan maklumat kepada BISIK di manakah lokasi lelaki itu.

Lantas dia merapatkan ibu jari dan jari telunjuknya membuat huruf ‘O’ tanda ‘okey.’ Saleem Amare tersenyum seraya mengangkat tangannya dan membuat huruf ‘O’ dengan jejarinya; serupa seperti yang dilakukan Fariz. Lalu masing-masing bertukar senyuman.

Kesediaan Saleem difotokan menjadikan Fariz berasa selesa kembali. Lantas dia mengambil beberapa shot lelaki itu. Kemudian dia melangkah menjauhi rombongan itu dan berpura-pura mengambil beberapa shot di sekitar dataran masjid. Seolah-olah dia adalah jemaah biasa yang sedang bersantai-santai mengambil foto. Tak semena-mena, Fariz terdengar sebuah tembakan!

“ALLAH!” kedengaran suara parau itu.

Fariz menoleh. Terpandang Saleem Amare tertunduk-tunduk seraya memegang dadanya. Beberapa orang jemaah tampil untuk memangkunya berdiri.

“Ya, ALLAH! Saleem Amare kena tembak!” gumam Fariz.

Dadanya berombak kencang. Fariz menoleh ke kanan dan kiri. Matanya cuba mencari pergerakan yang ganjil di kalangan mereka yang lalu lalang. Agak sukar baginya untuk mengecam mereka yang ada di kawasan itu. Hampir kesemua para jemaah berpakaian putih.

Tiba-tiba ekor matanya terpandang kelibat seseorang lelaki yang sedang bergegas melintasi dataran. Untuk mendapat kepastian, Fariz bertepuk tangan sambil berlari ke arah orang itu.

Memang sah! Benar seperti jangkaannya. Bunyi tepukannya berjaya menyergah emosi lelaki itu. Tanpa menoleh, lelaki itu membuka langkah seribu. Dengan pantas, Fariz menyingsing kaki jubah dan mengikatnya ke pinggang. Kini dia akan lebih pantas berlari mengejar lelaki yang nampaknya panik, bagai ayam yang tersesat ke dalam rumah!

SAMBIL mengejar, Fariz mentafsir perilaku si penembak. Dia berlari bagai tak tentu arah tujuan. Mengorak langkah seribu sambil menyelit di celah-celah para jemaah yang lalu lalang di dataran itu. Habis mereka yang berada di laluannya dirempuh. Membuatkan ramai yang tertolak menjerit-jerit memarahinya. Nampak sangat lelaki itu tidak tenang dalam bertindak.

‘Bukan profesional… mungkin sekali gengster tengik…’ desis hati Fariz.

Ketika berlari, Fariz cuba menelah hala tuju lelaki yang berjubah berbelang-belang itu. Yang pasti, dia tidak menuju ke dalam Masjid Nabawi. Sebaliknya berlari ke arah pintu keluar daripada dataran.

Jaraknya dengan lelaki itu hanya kira-kira 50 meter. Dan lelaki itu berada kira-kira 200 meter daripada pintu keluar. Fariz mesti segera mengejar. Andainya lelaki itu sempat mengeluskan dirinya ke luar dataran, dia sukar menjejaknya. Ribuan orang ramai yang berasak-asak di laluan yang penuh dengan para peniaga jalanan akan menghaibkan lelaki itu di celah-celah orang ramai.

Bunyi hon kenderaan kedengaran di belakangnya. Seperti para jemaah lain,  Fariz menoleh dan bergerak ke samping untuk memberi laluan. Lalu terpandang Sudirman sedang memandu lori kecil membawa tong air zam-zam.

‘Eh! Abang Man! Ini peluang baik!’ kata hatinya.

Sebuah idea melonjak di fikirannya. Lantas Fariz menahan lori kecil itu. Sudirman yang baru mengenali Fariz di penjuru dataran sebentar tadi terus memberhentikan lorinya.

“Bang… saya mintak tolong…”
“Ada apa?” Sudirman tertanya-tanya.“Pinjam lori sekejap! Penting, bang!”

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, September 2, 2012

FRAGMEN 12: GERAK GEMPAR



Photo credit: telegraph.co.uk

TIUPAN angin masih tiada hentinya. Dinginnya seperti air batu. Tetapi Fariz tidak boleh berengsot ke bahagian belakang tiang untuk mengelak tiupan angin yang menggigit hingga ke tulang hitamnya. Pemandu lori membawa tong air zam-zam sedang bersolat di situ. Mahu sahaja Fariz beranjak dari tiang ini untuk ke mana-mana tiang yang banyak di dataran ini. Tetapi dia bimbang Nek Tijah pula tidak akan menemuinya kalau dia beralih ke tiang lain. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menahan kesejukan sementara menunggu lelaki itu selesai solat.
            “Anak ini dari Malaysia?”
            Fariz segera menoleh. Memandang si pemandu lori air zam-zam sedang melipat sejadah seraya tersenyum kepadanya. Fariz membalas senyuman itu.
            ‘Eh, pakcik ni cakap Melayu. Rupa macam orang Melayu… orang Indon, kot?’ kata hatinya.
            Lantas dia berengsot kembali ke sebalik tiang untuk menghadap lelaki itu. Direnungnya lelaki yang bertubuh kecil itu. Memang lelaki di hadapannya ini keturunan Melayu. Tadi, oleh kerana dia memakai keffiyeh yang menudungi kupiahnya, Fariz tidak perasan bangsa lelaki itu ketika dia muncul untuk bersolat tadi.
            “Saya dari Indonesia…” kata lelaki itu seraya menghulurkan tangannya.
            “Eh? Oh, maaf pakcik!” jawab Fariz lantas berdiri untuk menyambut salaman lelaki itu. Termalu kerana dia lambat menunjukkan adab menghormati orang tua. Seharusnya dialah yang bangun dan menghulurkan salam terlebih dahulu.
            “Nama saya Fariz. Ya, saya dari Malaysia…”
            “Nama saya Sudirman. Panggil Pak Man saja,” kata lelaki itu. “Saya berasal dari Bayan, Indonesia.”
            “Bayan tu, di mana pakcik?” tanya Fariz ingin tahu.
            “Di Pulau Lombok. Emangnya datuk nenek saya di antara mereka yang membawa Islam ke sana pada kurun ke-17. Mereka juga membina masjid yang paling tua di pulau itu; Masjid Bayan Beleq. Masjid itu sudah tidak digunakan lagi kecuali apabila datang Ramadan,” jelas Sudirman tanpa ditanya.
            Fariz menyimpan senyuman bila Sudirman bercerita dengan panjang lebar latar belakang desanya. Sedikit sahaja soalannya, tetapi orang tua itu bercerita dengan penuh terperinci sejarah kampungnya. Sesungguhnya, memang Sudirman amat bangga dengan tempat kelahirannya.
            “Sudah lama pakcik kerja kat sini?”
            “Sudah lebih lima tahun.”
            Mereka rancak berbual seperti kenalan lama. Mungkin kerana serumpun, mereka mudah mesra walaupun baru mengenali di antara satu sama lain. Sudirman juga bertanya Fariz, dengan siapa dia datang untuk menunaikan umrah. Dan, Fariz tidak ketinggalan bertanya kepada orang tua separuh usia itu mengenai tugas sebagai pembawa air zam-zam di masjid yang mulia ini.

SUDAH dekat 11.00 malam. Bererti hampir sejam dia menunggu. Fariz mengeluh lagi. Lalu dia bangun bersiar-siar di dataran untuk melancarkan peredaran darah di kakinya sambil terjeling-jeling kembali ke tempat duduknya. Mana tahu, Nek Tijah sudah sampai. Dia tidak mahu wanita itu tercari-carinya pula.
            ‘Kenapa nenek tak sampai lagi, ni? Dia terpisah dari kumpulan ke? Dia sesat jalan, ke? Entah-entah… capal dia hilang…’ detik hati Fariz yang kian bimbang.
            Fariz teringat peristiwa semalam. Hampir sejam Nek Tijah yang ditunggu tidak muncul-muncul. Apabila rasa resahnya kian mengganggu hatinya, Fariz bergegas ke masjid. Di ruang masuk pintu untuk jemaah wanita, dia terintai-intai mencari Nek Tijah. Mereka yang satu rombongan dengannya pun dicarinya. Namun, tiada seorang pun orang Malaysia yang lalu berhampirannya itu dikenali.
Akhirnya setelah penat menunggu, Fariz kembali ke tiang, tempat asal dia menanti. Rasa bimbang di hati terbang menghilang apabila ternampak Nek Tijah duduk bersimpuh sambil berwirid sendirian di situ. Bila teringatkan insiden semalam, Fariz tak jadi ke mana-mana. Biarlah dia menunggu dan menunggu. Pokoknya, dia perlu bersabar. Dan bersabar di tanah haram adalah satu ujian yang harus dihadapi dengan tenang dan bersahaja.
Getaran fonselnya menarik perhatian. Fariz segera membukanya. Wajah Tuan Aziz jelas terpapar.
“Fariz… apa khabar? Dah solat?” tanya bosnya itu.
“Dah, bos,” jawab Fariz ringkas.
“Maaf mengganggu awak. Tapi kita sedang mencari orang penting…”
“Siapa dia, bos?”
“Saleem Amare… pengendali syarikat Hedaya Travel and Tours. Orang Somalia.”
“Orang Somalia?” tanya Fariz. Dahinya berkerut kurang mengerti.
“Kita ada maklumat yang dia kini berada di Madinah; membawa jemaah dari negaranya. Cari dia. Sahkan kehadirannya. Hubungi saya. Urgent. Itu saja.”
“Itu saja?”
“Tugas seterusnya, biar ejen lain bereskan. Saya tak mahu ganggu ibadah awak.”
“Umrah saya dah selesai, bos. Esok saya balik ke Malaysia…”
“Tak mengapa. Saya belum bercadang nak minta awak bertugas lebih daripada yang patut. Okey, tunggu kiriman imej Saleem Amare. Kemudian laksanakan tugas.”
Fonsel dimatikan. Seketika sahaja kiriman MMS berupa foto Saleem Amare tiba ke fonselnya. Fariz tidak mengambil masa yang lama untuk meneliti raut wajah lelaki kulit hitam yang bersongkok berbunga-bunga itu. Setelah pengecaman dibuat, Fariz menutup fonselnya.
‘Kat mana aku nak cari dia? Masjid ni besar,’ cetus hatinya.
Fariz menoleh ke kawasan luar dataran. Di sana terdapat berpuluh-puluh bangunan-bangunan pejabat, gedung dan hotel. Bagaimana dia hendak mencari pejabat Hedaya Travel and Tours pada malam buta ini?
Sekumpulan jemaah kulit hitam melintasinya. Fariz mahu sahaja bertanya kalau-kalau mereka orang Afrika daripada Somalia. Bila memikirkan, cara begitu terlalu cerewet, Fariz tak jadi menegur mereka. Dia melangkah ke hulu ke hilir mencari idea.
‘Aku kena cari balai polis… atau pejabat pentadbiran umrah Arab Saudi… mungkin Tabung Haji pun boleh bantu,’ bicara hatinya lagi. ‘Hmm… baik aku tanya ustaz yang jadi mutawwif aku… tapi di mana dia?’
Fariz menggaru kepalanya. Hatinya mula tidak sabar untuk memulakan tugas. Dia tidak mahu menanti hari esok. Kerja hari ini, harus dibereskan hari ini. Akhirnya, Fariz melangkah menuju ke masjid.
‘Baik aku jalan aje. Mana tau, tiba-tiba Saleem Amare mendatangi aku, bukannya aku mencarinya. Hal-hal ajaib memang biasa terjadi kat tanah haram…’ kata hatinya penuh harapan.
Sambil berjalan, dia memerhati ke sekeliling kalau-kalau Saleem Amare benar-benar ada berhampiran dengannya. Gerombolan-gerombolan jemaah yang bergegas melintasinya terus diamati. Tercari-cari wajah Saleem Amare. Wajah Nek Tijah kian pudar daripada layar mindanya.
Satu suara parau menarik deria pendengarannya. Lalu Fariz menoleh. Matanya mencerlang. Mulutnya terbuka sedikit kerana takjub. Lantas dia menarik nafas. Memang dia tidak sangka sama sekali apa yang dilihatnya.
‘Saleem Amare!’ jerit hatinya apabila ternampak lelaki yang dicarinya. Dia hampir tidak percaya, betapa mudahnya mencari Saleem Amare. Belum pun dia menapak lebih daripada sepuluh langkah, orang yang dicarinya sudah muncul di depan mata!
‘Alhamdulilah. Keajaiban berlaku di bumi Madinah. Orang yang aku rasa susah dicari boleh muncul di depan mata…’ kata hatinya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, August 26, 2012

FRAGMEN 11: GERAK GEMPAR



Photo credit: panoramio.com

Dataran Masjid Nabawi, Madinah
                                                                                                                              
SUDAH jam 10.00 malam waktu Madinah. Malam Jumaat. Dataran Masjid Nabawi masih terang benderang. Cahaya lampu-lampunya yang terpasang di tiang-tiang sekitar dataran ini menerangi segenap sudut. Simbahan cahayanya akan terus terpancar ke langit hingga ke siang esok.  Menepati makna Madinah al-Munawwarah sebagai kota yang bercahaya.
            Meskipun sudah sepertiga malam, para jemaah yang mengunjungi masjid ini masih ramai. Pada satu-satu ketika, beratus-ratus manusia dari merata pelosok dunia kelihatan berduyun-duyun berarak di dataran ini menuju atau meninggalkan masjid.
            Yang sedang melangkah pulang, menapak dengan perlahan menuju ke hotel akibat keletihan setelah melaksanakan ibadah. Yang bergegas menuju ke masjid pula kelihatan teruja. Mungkin masing-masing ingin mencari peluang untuk bersolat di kawasan Raudhah, yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w laksana taman syurga di masjid ini.
            Kerana itu, tidak hairanlah kawasan Raudhah sentiasa penuh sesak dengan para jemaah yang ingin beribadah. Beruntunglah sesiapa yang dapat bersolat waktu di sana. Namun, jikalau berpeluang bersolat sunat, ia adalah suatu kebaikan.

JAUH di hujung dataran, Fariz duduk bersandar di salah sebuah tiang. Tiang yang sebesar dua pemeluk itu mempunyai ruang untuk bertenggek. Sambil memerhati suasana sekeliling, dia memamah sebutir kurma yang dibawa bersamanya. Suhu di waktu ini sudah menurun hingga ke 29 darjah selsius.
            Tiba-tiba angin berpuput kencang menyapu wajahnya. Fariz lekas-lekas menyibak kain keffiyeh menutupi lehernya. Sesekali tubuhnya menggigil. Sejuknya angin persis berdiri di depan alat penyaman udara yang  berhembus kuat. Sejuknya bisa membikin gigi berlaga. Lantas Fariz beralih di balik tiang untuk mengelak tubuhnya disapu angin.
            Fariz memerhati empat orang kanak-kanak sedang bermain bola. Suara mereka yang terjerit-jerit hilang dibawa angin dingin yang bertiup kencang. Sepasang ibu bapa muda kelihatan sedang bersiar-siar di dataran ini.
            Secara tidak sengaja, bola yang ditendang kanak-kanak itu singgah ke jubah si suami. Dengan tersenyum, si suami menggelecek bola di depan kanak-kanak yang tertendang bola ke arahnya hingga yang lain tertawa mengekek. Si isteri pula turut tersengih sambil berjalan perlahan menolak kereta sorong. Di dalam kereta itu, bayinya sedang nyenyak tidur. Tidak sedar dengan kebisingan di sekitarnya.
            Fariz turut tersenyum melihat insiden itu. Sesekali dia tertoleh-toleh ke hala masjid. Mengintai dan cuba mengecam kalau-kalau neneknya sudah keluar daripada masjid. Oleh kerana sebahagian besar para jemaah menyarung jubah dan telekung putih, dari jauh mereka kesemuanya kelihatan sama. Hanya cara berjalan yang boleh dicam.
            Fariz mengeluh perlahan kerana kelibat Nek Tijah masih belum kelihatan lagi. Dia bimbang kalau-kalau Nek Tijah tersesat atau mendapat halangan. Sebentar tadi, Nek Tijah  mengikuti dengan para jemaah wanita daripada kumpulan umrah mereka.
            “Lepas solat, saya tunggu di tempat yang sama, ya nek? Hati-hati, tau?”
            Fariz teringat pesanannya kepada Nek Tijah sebentar tadi ketika mereka ingin berpisah. Jemaah lelaki memasuki melalui pintu King Fahd di sebelah kiri sementara jemaah perempuan pula memasuki mengikut pintu An-Nisa di sebelah kanan.
            Wanita tua itu hanya mengangguk. Dia hanya melontarkan sekilas pandang ke arah Fariz sedangkan mulutnya terkumat-kamit berzikir. Fariz berasa tidak puas hati. Dia bimbang kalau-kalau Nek Tijah tidak perasan akan pesanannya.
            “Nek...” ujar Fariz seraya menyentuh lengan Nek Tijah.
            “Iyalah... iyalah, Paris. Nek tau,” jawab Nek Tijah dengan wajah yang mencuka.
            Membuatkan Fariz lantas menarik tangannya dari lengan Nek Tijah. Mungkin orang tua itu kecil hati diperingatkan seolah-olah tidak tahu menjaga dirinya. Mulut Fariz  berkerinyut kesal bila terkenang apa yang dilakukan terhadap neneknya.
            Sungguh. Dia tidak mahu melukakan hati satu-satunya wanita yang paling disayangi ini. Lebih-lebih lagi di tanah suci Madinah, tempat mereka melakukan ibadah umrah bersama. Kalau neneknya terus berkecil hati kerana kebimbangannya, Fariz risau jika itu akan mengganggu tumpuan ibadah neneknya pada malam ini.
            Seharusnya dia tidak perlu lagi mengingatkan Nek Tijah. Wanita berusia itu sudah lima kali melakukan ibadah umrah dan sudah dua kali menunaikan haji. Sepatutnya Farizlah yang harus berhati-hati kerana ini adalah kali pertama dia menjejakkan kakinya di bumi penuh barakah ini.
            Bunyi enjin sebuah kenderaan mengganggu lamunannya. Fariz tertoleh ke sisi. Melihat sebuah lori kecil yang membawa tong-tong air zam-zam berhenti tidak jauh daripadanya. Lori itu membawa dua gerabak kecil. Tiap satu boleh mengisi sepuluh buah tong besar sepemeluk.
            Air zam-zam yang disediakan di banyak tempat di dalam masjid ini perlu ditambah pada setiap masa kerana para jemaah tidak putus-putus datang mengerjakan ibadah. Sebentar tadi, Fariz perasan lori ini dipandu ke hulu ke hilir di dataran ini membawa tong-tong air zam-zam. Pasti petugas yang membawa air zam-zam ini kerja tiada henti. Dan, pahala baginya tentu tidak putus-putus juga. Mengalir seperti air zam-zam dari telaganya.
            “Assalamualaikum...” tegur satu suara.
            “Waalaikumsalam,” Fariz menjawab seraya menoleh lalu tersenyum.
            Si pemandu lori mengangkut air zam-zam melangkah menghampirinya. Sejurus dia bersalam dengan Fariz.
            “Izinkan saya bersolat di sini, ya?” kata lelaki itu seraya terus berdiri dan mengangkat takbir tanpa menanti jawapan Fariz. Seolah-olah ayatnya tadi bukannya meminta izin, bahkan hanya memberitahu yang dia ingin bersolat di sini.
            Kerana tidak mahu menganggu lelaki itu bersolat, Fariz berensot kembali ke ruang yang menghadap ke masjid. Sekali lagi angin deras menyapu wajah dan tubuhnya. Fariz menggigil kesejukan. Cepat-cepat dia menggeser kedua-dua tapak tangannya untuk memanaskannya. Kemudian tapak tangannya itu diraup ke seluruh wajahnya. Kini wajahnya terasa sedikit membahang.
            Seketika kemudian, Fariz menyorotkan lagi pandangannya ke arah para jemaah wanita yang melangkah ke arahnya. Namun, kelibat Nek Tijah tiada lagi kelihatan. Ke mana pula wanita itu? Rasa bimbang mula menyelinap di sanubarinya.

Bersambung Ahad akan datang, insya-ALLAH...

Thursday, August 16, 2012

UCAPAN SELAMAT



SALAM AIDILFITRI
kepada semua rakan-rakan 
khususnya anda yang mengikuti blog ini. 
Maaf di atas segala kekasaran bahasa, 
terlepas kata, tak cantik aksara. 

Maaf, maaf,
maaf zahir dan batin daripada saya.

Saya turut memaafkan anda
kesemuanya... segalanya...





Dari saya:


NORDEN MOHAMED


@ EYMAN HYKAL

Sunday, August 12, 2012

FRAGMEN 10: GERAK GEMPAR



Photo credit: oobject.com

BISIK, Putrajaya

MESKIPUN masih berkampung Majlis Pertahanan Negara, dia keluar seketika ke halaman untuk menghirup udara merehatkan minda. Namun, hatinya bagai terpanggil untuk singgah juga ke BISIK yang terletak tidak sampai 400 meter dari pejabat Perdana Menteri itu.
            Tuan Aziz dan tugasnya sudah sebati. Mendarah daging. Kerja sudah menjadi kehidupannya. Jika tidak ke luar negara, tidak boleh tidak Tuan Aziz pasti berada di BISIK sama ada siang mahupun malam.
            Tanggungjawab. Itulah yang menjadikan dia bagai terperap di BISIK. Malah, kemudahan teknologi membolehkan dia memantau setiap inci bironya dan setiap ejen perisik di merata dunia 24-7 walau di mana pun dia berada.
            Dia puas dengan kerjanya. Puas dengan apa yang dilakukan demi negara dan agamanya yang tercinta. Pada usianya yang sudah menghampiri 60 tahun, tenaganya masih seperti lelaki 40 tahun. Pandangannya masih tajam, telinganya masih peka, akalnya masih cergas mengalahkan orang yang separuh usia darinya.

DIA menghembus nafas bangga apabila melihat kesibukan di Dewan Operasi BISIK. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, Dewan Operasi ini tidak pernah tidur. Matanya memantau ke sekeliling dewan. Melihat para petugasnya tekun menghadap komputer berskrin lebar masing-masing. Memerhati imej yang dipancarkan oleh Skuad Peninjau BISIK di seluruh dunia.
            Skuad Peninjau adalah ejen yang bertugas menghantar laporan dalam bentuk audio mahupun visual dari kawasan hotspot atau titik panas. Apabila sasaran dan operasi dikenalpasti, baharulah ejen perisik dihantar ke situ untuk melaksanakan tugas.
            Tuan Aziz mendongak dan memandang pula skrin besar di hujung dewan. Skrin itu kini memaparkan operasi yang menjadi fokus BISIK buat waktu ini iaitu insiden Lancang Kuning yang ditawan lanun.
            Pandangan dari udara melalui satelit perisik Mysat 4 jelas memaparkan Lancang Kuning di tengah Lautan India, Perairan Somalia. Tiada aktiviti yang jelas berada di sekeliling kapal. Seperti sabut, Lancang Kuning kelihatan teroleng-oleng di tengah malam.
            Imej dari bawah laut juga dilihat dari skrin berikutnya. Imej yang dipancar itu mungkin dari kapal selam Haruan yang sentiasa memantau Lancang Kuning. Atau mungkin sekali dari kamera mudah alih unit Paskal yang berada di bawah kapal.
            Tuan Aziz mengeluh perlahan kerana tidak puas hati dengan tahap kemajuan operasi. Itu semua gara-gara ketua lanun, Wehliye Amare yang belum mahu mengemukakan apa-apa tuntutan setelah menawan Lancang Kuning.
            Ia sebenarnya menjadikan suasana semakin tegang. Biasanya, perampas pasti terus meminta apa-apa pampasan untuk melepaskan tebusan. Bila ada tuntutan, baharulah ada perundingan. Bila ada perundingan, baharulah helah dan muslihat boleh dirangka. Sebaliknya, jika tiada apa-apa desakan, keadaan regang inilah yang lebih merunsingkan kerana tiada rancangan itu lebih buruk risikonya.
            “Assalamualaikum… bos tak balik lagi?” satu suara menegur.
            “Waalaikumsalam… hmm… belum, Mala. Awak pun tak balik lagi?” balas Tuan Aziz seraya menoleh memandang Normala Mustakim, ejen perisiknya.
            “Saya kerja malam, bos,” jawab Normala seraya melangkah lalu.
            “Mala…”
            Normala berhenti menapak. Dia menoleh. Memandang Tuan Aziz yang berkerut dahinya. Tentu dia sedang berfikir.
            “Awak tahu insiden Lancang Kuning?” kata Tuan Aziz.
            Normala hanya mengangguk.
            “Saya mungkin perlukan awak untuk Operasi Lancang Kuning. Standby…”
            “Okey, bos. Saya tunggu arahan bos,” jawab Normala penuh tertib seraya menoleh kembali untuk melangkah pergi.
            “Err… Mala…”
            Normala menoleh semula. Keningnya diangkat. Menanti kata-kata seterusnya dari Tuan Aziz.
            “Mana Fariz?”
            “Dia cuti. Pergi umrah.”
            “Dah lama?”
            “Dah lebih seminggu. Isnin minggu depan dia masuk kerja.”
            Tuan Aziz terangguk-angguk. Kemudian dia melangkah seraya bertanyakan sesuatu kepada seorang petugas yang berhampiran dengannya. Melihatkan itu, Normala terus beredar.

FONSELNYA bergetar sebaik sahaja Tuan Aziz memutar tombol pintu biliknya. Sambil membuka kot dan menekan alat kawalan jauh pendingin hawa, dia melekapkan fonselnya ke telinga.
            “Assalaaaaaamualaikum, bos!” Kedengaran ucapan salam yang panjang.
            “Walaikumsalam. Hmm… apa cerita?” jawab Tuan Aziz.
            “Bila bos nak datang sini? Tempat ni best sangat. Tak sangka bandar Baraawe ni ada pusat pelancongan… ada marina… ada hotel lima bintang… ada dusun buah-buahan kat belakang hotel. Seronok saya sebab bos beri saya tugas kat sini. Rasa tak nak balik. Lepas bertugas, saya nak bercuti pulaklah!”
            “Banyaklah engkau tu! Aku dah sampailah kat bandar kering kontang, panas dan berdebu Baraawe tu. Jangan kelentonglah, Jeff!”
            Kedengaran suara Jeffri Zain tertawa mengekek. Dia suka mengusik Tuan Aziz. Dahulu, mereka rakan sepasukan di Unit Tindakan Khas PDRM. Takdir memisahkan kedudukan tugas mereka. Tuan Aziz yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang perang psikologi terus menyertai bidang pengurusan PDRM sebelum dipindahkan untuk mengepalai BISIK.
            Jeffri yang lebih gemar beraksi pula sentiasa memperbaiki kemahiran tulang empat keratnya dengan mengikuti pelbagai kursus praktikal. Dia sentiasa berada di medan ~ di bawah terik panas mentari, di dalam kegelapan malam, di bawah kolong atau di puncak menara bangunan tinggi untuk menjalankan tugas merisik dan membanteras. Akhirnya, Jeffri Zain juga terpilih untuk menyertai BISIK.
            Di bawah organisasi yang sama,  mereka berdua sentiasa berhubung sewaktu menjalankan tugas. Kerana sudah lama mengenali di antara satu sama lain, mereka biasa bergurau dan menyakat sesama sendiri.
            Namun, di hadapan anggota BISIK yang lain, Jeffri Zain adalah perisik yang mempamerkan hormat dan patuh yang tidak berbelah bahagi kepada Tuan Aziz. Begitu istimewanya perhubungan mereka kerana tahu membezakan batas perhubungan; ketika formal dan tatkala tidak formal.
            “Bos… saya dah dapat maklumat tentang Wehliye…”
            Tuan Aziz hanya diam sambil menanti. Tidak mahu mengganggu Jeffri  memberi laporan seterusnya.
            "Sekarang ni saya berada di Kalunle, Merca. Ini perkampungan nelayan yang dah dah jadi macam perkampungan lanun. Ada banyak kumpulan lanun kat sini termasuk kumpulan Bad Holac. Keahliannya tak ramai, macam jugak kumpulan lain. Tak sampai 50 orang anggota lanun. Tapi inilah kumpulan yang paling ganas.
Ramai yang asalnya nelayan. Tapi ada juga bekas tentera, graduan menganggur dalam bidang logistik, IT, pengurusan, kejuruteraan dan perniagaan. Penganalisis saham pun ada dalam kumpulan ini. Macam pasukan perompak professional, bos!
Helikopter yang mereka pakai itu pun dipasang jurutera dalam kumpulan itu dari serpihan bangkai helikopter terhempas yang bersepah kat Somalia ni. Bos tahu, kan? Dia orang kat sini masih perang saudara,” jelas Jeffri Zain panjang lebar.
"Apa maklumat Wehliye yang engkau dapat?” Celah Tuan Aziz.
“Dia pun asalnya nelayan macam abang dia...”
"Abang? Wehliye ada abang?”
"Yup! Sebenarnya bot-bot nelayan Bad Holac asalnya kepunyaan Saleem Amare, abang Wehliye. Saleem jugak nelayan yang kemudiannya jadi lanun. Tapi dah setahun dia tinggalkan dunia lanun dan jadi usahawan pulak.
Khabarnya perniagaannya maju. Sekarang ni dia ada syarikat haji dan umrah yang bawak jemaah ke Mekah dan Madinah. Dia ada pejabat kat sana."
“Mekah? Madinah?" gumam Tuan Aziz. Wajah Fariz menerpa di layar mindanya. "Tapi apa sebab Saleem tak mau jadi lanun?"
"Hahaha..." kedengaran tawa Jeffri pecah berderai.
"Apasal pulak kau ketawa?"
"Agaknya Saleem tu macam saya jugak, bos! Dia dah taubat tak nak buat jahat lagi sebab dah tua. Hehehe."
            Tuan Aziz hanya tersenyum kecil mendengar andaian rekaan ejen yang juga sahabat lamanya itu.  

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, August 4, 2012

FRAGMEN 9: GERAK GEMPAR



Photo credit: allvoices.com

Lautan India, Perairan Somalia

SEMUA mata tertumpu ke arahnya. Imej wajah-wajah yang serius itu terpapar secara langsung dari Bilik Gerakan, Majlis Pertahanan Negara.  Meskipun skrin komputernya kecil, Datuk Rauzah tahu mereka kesemuanya bimbang. Bimbang akan keselamatan Lancang Kuning dan seluruh anak-anak kapalnya. Pasang-pasang mata yang membulat memandangnya juga menzahirkan kerisauan mereka kerana dia seorang perempuan. 
            Bila memikirkan itu, Datuk Rauzah hanya mampu tersenyum di dalam hatinya. Mereka kesemua bukannya kenal akan dirinya secara dekat. Mereka hanya tahu dia sebagai seorang tokoh korporat. Tetapi mereka tidak tahu satu-satunya anak perempuan bekas anggota polis, Korporal Paiman ini lasak bagai anak lelaki.
            Meskipun dia anak bongsu, Datuk Rauzah biasa diheret ke sana ke mari oleh abang-abangnya yang berlima terjun sungai, melastik burung, memanjat pokok jambu, malah mencuri sayur di kebun Cina di hujung Kampung Sawah Dato, Mersing. 
            Ketika di alam persekolahan, Datuk Rauzah adalah Ketua Pengawas, Ketua Patrol Pandu Puteri, pelumba lari jarak jauh 10 ribu meter, pelontar lembing dan pemain bola tampar yang mewakili daerah.
            Hanya setelah membesar, Datuk Rauzah belajar memakai baju kurung untuk ke kuliah, berkawan dengan lebih ramai pelajar perempuan daripada pelajar lelaki dan mengenal erti kasih sayang di antara lelaki dan wanita.
Seluruh keluarganya bagai tak percaya apabila pada suatu hari, Datuk Rauzah menyuarakan hasratnya untuk berkahwin! Dia masih ingat akan raut wajah terkejut ayahnya kerana tidak percaya dia akan menamatkan zaman bujang. Dia terimbau wajah ibunya yang tersenyum bangga kerana akhirnya Rauzah yang jantan ini sudah ingin menjadi wanita sebenar.
            Layar memorinya mula menayangkan wajah suaminya Datuk Fazli, dan Azlena, anak remajanya. Kedua-duanya sudah tahu apa yang terjadi terhadapnya. Malah, mereka telah menghubunginya melalui Skype sebentar tadi. Mereka bimbang akan keselamatannya. Datuk Rauzah mengetap bibirnya. Perlahan-lahan dia menghela nafas yang panjang. Kemudian dia menekur ke skrin dan merenung tajam ke wajah-wajah yang masih memerhatinya dengan mata yang tidak berkelip-kelip.

Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya

DI DEWAN ini, seluruh mata tertumpu ke arah Datuk Rauzah yang berada di dalam bilik eksekutif Lancang Kuning. Sebaik sahaja mendapat khabar mengenai tawanan kapal minyak itu dan masalah TUDM menghalang tindakan lanun, sebuah mesyuarat tergempar diadakan untuk mencari strategi menyelamatkan Lancang Kuning dan anak-anak kapalnya.
Mereka berasa lega kerana dapat menghubungi Datuk Rauzah melalui Skype, perisian video maya  yang kemudiannya dipancar ke skrin layar lebar  bilik mesyuarat ini. Kini mereka semua menatap wajah Ketua Pengarah Operasi Petromal itu. Pelbagai persoalan bersimpang-siur di fikiran mereka. Kesemua persoalan itu perlukan jawapan. Jawapan adalah maklumat untuk membuat pelan tindakan.
“Ceritakan apa yang terjadi,” ujar Tan Sri Ramlee Awang Murshid, Ketua Setiausaha Negara.
“Saya rasa tak perlu, Tan Sri!”
Jawapan itu mengundang rasa tidak selesa mereka. Ditambah pula dengan bibirnya yang tercebir ketika menjawab soalan itu. Maklumlah Datuk Rauzah bercakap begitu kepada KSN yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pertahanan Negara. Mengapa dia tiada rasa hormat kepada pegawai tertinggi kerajaan itu? 
“Saya percaya TUDM dah kirim video lengkap mengenai serangan lanun tu. Apa lagi yang perlu saya cakapkan?”
Tan Sri Ramlee tersenyum seraya tergeleng-geleng. Bukannya dia tidak menonton video yang dikirim TLDM semalam. Cuma dia ingin mendengar versi serangan lanun-lanun itu dari mulut Datuk Rauzah sendiri. Namun, dia tidak marah kepada wanita itu kerana mengerti Datuk Rauzah kini dalam keadaan tertekan. 
“Lanun-lanun tu ada mintak apa-apa wang tebusan ke, Datuk?” soal Tuan Aziz pula. Suaranya sengaja dilembutkan agar Datuk Rauzah terheret untuk berbual dengannya.
“Tak ada apa-apa,” jawab Datuk Rauzah dengan suara yang mengendur.
“Tak ada apa-apa? Luar biasa, tu.”
“Itulah yang saya hairan, tuan. Setahu saya, lanun-lanun Somalia ni tak menyempat nak mintak wang tebusan. Wehliye tak nampak nak mintak apa-apa selepas membelasah saya,” jawab Datuk Rauzah.
Tuan Aziz menjeling ke arah KSN apabila nama Wehliye disebut oleh Ketua Pengarah Operasi Petromal ini. Jelingan yang membawa maksud, hebat juga wanita ini kerana dapat berkomunikasi dengan ketua lanun hingga dapat mengetahui namanya.
“Ada apa-apa yang dia cakap selain dari mintak wang tebusan?” soal Tuan Aziz lagi.
Datuk Rauzah menggeleng beberapa kali. “Dia suruh saya masuk ke bilik ini dan tunggu sampai dia datang.”
“Kalau macam tu, kita kena tunggu sampai dia beritahu apa yang dia mahu,” ujar Tuan Aziz.
“Nak tunggu sampai bila?” Datuk Rauzah tiba-tiba menyoal. Suaranya tegang kembali. Mukanya didekatkan kepada kamera. Kini wajahnya memenuhi skrin layar lebar yang sebesar 6 X 4 meter itu. Mempamerkan rupanya yang garang.
“Kita kena tunggu…” jawab Tuan Aziz.
“Apa? Pihak Majlis Pertahanan Negara tak nak buat apa-apa ke, selain menunggu?”
“Ya, kita kena tunggu sampai kita dapat maklumat lengkap sebelum bertindak.”
Datuk Rauzah berdiri tegak. Kemudian bergerak ke hulu dan ke hilir di dalam biliknya. Mereka yang memerhati pegawai tinggi Petromal ini hanya mampu terjeling sesama sendiri dengan wajah kesal. Tak lama kemudian dia menghampiri kamera semula. Wajahnya memenuhi skrin kembali.
“Tuan-tuan semua…” katanya seraya mengetap bibirnya. “Apakah tuan-tuan tak peka dengan keadaan saya dan Lancang Kuning ini? Tak peka dengan imej Petromal yang kini terjejas dan akan menjatuhkan sahamnya? Tak peka imej kerajaan negara Malaysia yang berdaulat sebagai pemegang saham terbesar Petromal?
Dunia dah tahu kapal kita ni ditawan lanun. Kita dah tempatkan TLDM untuk menjaga kapal Malaysia di samudera. Kini dah dekat 36 jam kapal ini dirampas. Tapi tak ada tindakan yang dibuat. Apakah TLDM pengecut?”
“Dum!” kedengaran bunyi permukaan meja ditumbuk. Masing-masing tersentak dan menoleh ke arah Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM yang kini sedang menuding ke arah skrin.  Dia berasa sungguh tercabar dengan kata-kata Datuk Rauzah. “Jaga mulut tu! Jangan sekali-kali kata TLDM pengecut!”
“Saya tak kata TLDM pengecut. Saya hanya tanya apakah TLDM pengecut? Itu soalan saya, bukannya kenyataan!” jawab Datuk Rauzah dengan lantang berapi.
“Soalan ke… kenyataan ke… saya tak ada masa nak fikir. Yang penting awak dah ada persepsi  buruk terhadap TLDM!” selar Datuk Amsyairi. Gelaran ‘datuk’ sudah tidak disebut lagi oleh pegawai ATM itu kerana amarahnya.
“Terpulang pada datuk sama ada nak anggap saya ada persepsi buruk terhadap TLDM. Saya tak kisah. Yang saya hendak tahu ialah kenapa TLDM tak buat apa-apa sejak semalam?” jawab Datuk Rauzah.
“Tak buat apa-apa? In the first place… kenapa awak tak beritahu kami jadual pelayaran Lancang Kuning? Kalau kami diberitahu, kami boleh iring Lancang Kuning sampai selamat. Kerana tindakan awak, kita semua susah!”
“Ada sebab mengapa kami tak beritahu TLDM rancangan kami. Tapi, sebagai pasukan keselamatan, kenapa tidak terus hubungi kami atau pintas pelayaran kami?” soal Datuk Rauzah kembali.
“Eh… dia yang tak ikut peraturan… kita pulak yang salah?” bantah Datuk Amsyairi.
“Saya rasa, tak elok kira salah menyalah pada saat ini. Pihak TLDM nampaknya hanya memerhati tapi tak buat apa-apa!”
“Mana awak tau kita tak buat apa-apa?”
            “Then, tell me! Beritau saya supaya saya dapat sampaikan pada kesemua anak-anak kapal Lancang Kuning! Mereka kesemuanya dalam ketakutan, tau tak?”
Ada nada getaran dalam suara Datuk Rauzah. Datuk Amsyairi terdiam seketika. Baharu dia tersedar, kemarahan Datuk Rauzah itu datang dari ketakutan, bukannya kerana geram. Begitu juga mereka yang lain di dalam bilik mesyuarat itu. Rasa simpati mula menjalar di hati mereka.
“Kalau dah cakap macam tu, bersabar ajelah!” kata Datuk Amsyairi dengan nada suara yang kendur.
“Sampai bila?”
“You’ll all be back in one piece. I promise!” tegas Datuk Amsyairi.
“Insya-ALLAH…” Tan Sri Ramlee mencelah. Tidak selesa dengan janji Datuk Amsyairi yang tidak berlapik dengan keizinan-Nya.
“Insya-ALLAH…” Datuk Amsyairi memperbetul kata-katanya.
“Bersabarlah, Datuk,” KSN bersuara perlahan dengan nada memujuk. “Pihak kami perlu tahu apa yang Wehliye mahu. Memang kita ada pelan tindakan. Tapi, alangkah lebih baik kalau apa yang lanun itu mahu dapat kita pertimbangkan sebelum kita bertindak?”
 “Kami tahu semua anak-anak kapal Lancang Kuning dalam ketakutan. Tapi tindakan kita umpama menarik rambut dalam tepung… rambut tak putus, tepung tak berselerak. Bersabarlah, Datuk ya?”
Datuk Rauzah terkelip-kelip mendengar penerangan Tan Sri Ramlee. Ada bayang ketenangan di wajahnya. Pernafasannya kelihatan teratur bila dia mengeluh dalam. Mungkin dia sudah tenang kembali. Malah, mereka yang mendengar pujukan Tan Sri Ramlee pun turut berasa lega. Hanya Datuk Amsyairi sahaja kelihatan masih belum dapat bersikap normal. Dia hanya tersenyum sendirian seraya menggeleng.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...