Sunday, November 18, 2012

FRAGMEN 23: GERAK GEMPAR



Photo credit: traveladventures.org

Banda Merca, Somalia

KAWASAN perniagaan di selatan bandar Merca begitu sibuk. Asap dan debu  berterbangan di mana-mana. Fariz terpaksa menutup mulutnya dengan skaf. Namun, sebahagian besar daripada mereka kelihatan selamba dan bersahaja menjalankan urusan seharian sambil menghirup udara yang kotor ini.
Fariz bersandar di tiang kaki lima. Memerhati jalanraya yang berdebu. Melihat kereta-kereta buruk melintasi hadapannya. Mereka yang lalu lalang di sekitarnya tidak nampak sibuk seperti mereka di mana-mana bandar lain di Asia. Masing-masing seperti bersantai sahaja ke sana ke mari.
Cuaca yang amat panas ini ditambah dengan pakaian warna-warni penduduk tempatan. Warna-warna yang garang, merah, kuning, oren dan hijau memenatkan mata Fariz. Kalaulah dia boleh berkacamata hitam, memang dia hendak menyarungnya.
Tetapi dia diarahkan untuk tidak memakai kacamata hitam. Arahan? Ya, arahan BISIK agar dia mudah dikenali bila tidak berkacamata. Arahannya pelik. Tetapi Fariz mengikut sahaja tanpa soal kerana banyak lagi persoalan seperti mengenai Lancang Kuning, Datuk Rauzah, Bad Holac, Wehliye Amare dan Saleem Amare yang belum terjawab.
Persoalan-persoalan itu sudah begitu besar dan banyak. Soal diarah tidak berkacamata hitam hanya perkara kecil. Mujur juga Fariz baru sahaja menunaikan umrah di Makkah dan Madinah. Jadi, matanya boleh tahan dengan sinar matahari panas terik begini.
Fariz terfikir, bukankah mudah sahaja kalau dia berkomunikasi dengan orang yang hendak ditemuinya dengan fonsel? Mengapa mesti ikut acara lama bertemu kontak dengan mempamerkan pakaian yang dikehendaki sebagai klu kepada kontak?
Fariz menekur memandang pakaiannya pula. Dia terpaksa mengenakan baju kemeja lengan panjang. Memang memanaskan. Tetapi terasa lebih panas lagi kerana baju ini berwarna merah, berseluar hijau  dengan skaf berwarna kuning! Menyarung pakaian yang berwarna-warni ini juga arahan! Seingatnya dalam bertugas dan menyamar, inilah penyamaran yang paling kelakar baginya.
Kalau dia berpakaian begini di Malaysia, memang sah dia akan ditertawakan. Mujurlah dia memperaga begini di Somalia. Warna garang dan ceria sepertinya kini berada di mana-mana di sekelilingnya. Fariz tertawa sendirian bila dia menoleh ke cermin kedai gunting yang membalik imejnya yang berfesyen seperti orang Afrika.
Puas memerhati ke kawasan sekeliling, dia teringat sesuatu. Lalu dia menyeluk poket seluarnya. Fonselnya dikeluarkan. Ikon ‘kamera’ di fonselnya disediakan.  Perlahan-lahan dia menghalakan lensa kamera ke wajahnya. Fariz memandang kedai gunting rambut di belakangnya.
‘Cantik jugak untuk latar buat kenang-kenangan…’ katanya di dalam hati.
Fariz menelengkan wajahnya untuk berposing di depan kamera fonselnya. Tangannya didepakan. Dia membetul-betulkan senyumnya sebelum suis dipetik. Tiba-tiba…
“Woi!” jerit Fariz.
Fariz sempat melihat tapak tangannya. Fonselnya sudah tiada di situ! Dia terpempan seketika. Bila menoleh, Fariz terpandang seorang budak berseluar pendek dan tidak berbaju sudah berlari menjauhinya. Budak yang berusia sekitar sepuluh tahun itu menggenggam fonselnya.
“Woi!”
Kanak-kanak itu terus berlari melintasi jalan raya. Fariz mengejar. Tidak menyedari sebuah motorsikal yang dinaiki oleh empat orang lelaki tiba-tiba membrek di hadapannya. Akibat membrek dengan mengejut, motorsikal itu tumbang. Keempat-empat lelaki itu jatuh bergelimpangan.
“Adiga dogon!” jerit salah seorang lelaki yang bangun dan menunjuk-nunjuk ke arahnya. Jelas sekali dia begitu marah dalam bahasa Somali.
‘Alamak! Dia kata aku bodoh!’ kata Fariz yang baharu belajar sepatah dua bahasa Somali dalam kapalterbang sebentar tadi.
 “Sorry! Masaamax! Masaamax!” ujar Fariz sambil mengangkat tangannya memohon maaf dalam bahasa Somali juga. Kemudian dia menoleh dan berlari mengejar budak yang sudahpun di seberang jalan.
Tidak peduli dengan orang ramai yang tertoleh-toleh memandangnya. Tidak peduli juga dengan bunyi hon kenderaan yang menjerit bila pemandunya terkejut dengan kehadiran Fariz secara tiba-tiba di jalanraya, Fariz terus mengejar.
Budak itu kini membelok memasuki lorong yang sempit lagi hapak. Sambil berlari, Fariz sempat menjeling ke kanan dan kirinya. Dia nampak pintu-pintu berdebu yang bertutup menandakan dia sedang merentasi bahagian belakang kawasan rumah kedai. Fariz menyasarkan pandangannya ke hadapan. Penghujungnya tidak kelihatan.
‘Woi, budak! Jalan mati! Mana engkau nak lari?’ kata hati Fariz.
Benar jangkaannya. Budak itu terhenti berlari dan berpaling ke arahnya. Dia terkinja-kinja sambil menanti kedatangan Fariz. Mula tersengih-sengih menayangkan sebaris gigi yang putih semakin Fariz menghampirinya. Lalu dia menjulurkan kedua-dua tapak tangannya. Kosong. Tiada apa-apa.
“Maxay fal ku rab?” soal budak itu sambil melenggang lenggok kepalanya.
“Aku nak kamera akulah,” Fariz menjawab pertanyaan budak itu dalam bahasa Melayu meskipun dia tahu budak itu tidak faham dengan bahasanya. “Mana dia?”
Budak itu mengangkat bahunya seraya tersengih lagi. Hati Fariz mula membengkak. Mahu sahaja dia melempang kanak-kanak ini andainya dia tidak memulangkan fonselnya. Sebaik sahaja Fariz mahu menyentap lengan kanak-kanak itu, budak itu menunjuk ke pintu yang paling hampir dengan Fariz.
“Kubisha kwamba mlango,” katanya.
‘Ketuk? Ketuk pintu?’ tanya Fariz dalam hati. ‘Apasal?’
“Kubisha kwamba mlango,” ulang kanak-kanak itu seraya mengangguk-angguk.
Fariz melangkah dan mengetuk pintu itu. Beberapa kali mengetuk, namun tiada jawapan. Dia memulas tombolnya. Dan pintu itu terbuka. Ruang di dalamnya gelap, tidak bertingkap. Tetapi di dalamnya, ada sebuah pintu bilik yang sedikit terbuka. Membiaskan sedikit cahaya terang dari celah daunnya.
“Masuklah, Fariz.”
Kedengaran satu suara lelaki.
‘Eh, siapa pulak yang panggil aku? Biar betul…’ tanya hatinya sedikit keliru.
Fariz mahu melangkah masuk. Tetapi kemudian dia teringatkan fonselnya. Lantas dia menoleh. Namun kanak-kanak itu sudah menghilang!
‘Mana budak tu? Mana fonsel aku?’ Fariz menyumpah di dalam hati sambil tertoleh kanan dan kiri mencari kelibat kanak-kanak itu.
“Oi, kau buat apa kat luar tu, Fariz?” panggil suara itu lagi.

Bersambung Ahad hadapan, in sya Allah...

Sunday, November 11, 2012

FRAGMEN 22: GERAK GEMPAR



Photo credit: awdalnation.com
Majlis Pertahanan Negara, JPM, Putrajaya

AHLI-AHLI Majlis Pertahanan Negara kini sudah makan tengahari di bilik rehat. Mereka masih lagi berkampung di kompleks Majlis Pertahanan Negara untuk menangani krisis rampasan kapal Lancang Kuning kepunyaan Petromal Malaysia di lautan Somalia.
Ada di antara ahli-ahli majlis duduk tersandar sambil bersembang. Ada di antara mereka sedang menyuap betik sebagai pembasuh mulut. Tidak kurang juga yang sedang menghubungi pejabat masing-masing dengan fonsel atau 1Pad masing-masing.
‘Assalamualaikum. Minta perhatian. Minta perhatian,’ kedengaran pengumuman dari alat siaraya.
‘Tan Sri KSN meminta tuan-tuan ke Bilik Gerakan. Saya ulangi… Tan Sri KSN meminta tuan-tuan ke Bilik Gerakan sekarang! Ada berita tergempar! Ada berita tergempar!’
Masing-masing bercakap sesama sendiri sebelum bergegas memasuki dewan. Di kerusi hadapan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ramlee Awang Murshid sudah menanti. Sambil menuju ke tempat duduk masing-masing, pandangan mereka semua tertumpu ke arah skrin yang perlahan-lahan bergerak turun dari celah siling. Semakin lampu disuramkan, degupan jantung di dada masing-masing semakin melaju. Tertanya-tanya kerana tidak tahu apakah yang bakal ditayangkan sebentar lagi.
            “Assalamualaikum,” ucap Tan Sri KSN. ‘Ini maklumat terkini. Secara langsung. Akhirnya pihak lanun beritahu kita mereka hendak katakan sesuatu. Mari kita tengok sama-sama…”
Imej dari atas dek Lancang Kuning kini terpancar di skrin. Kelihatan dua orang lanun berwajah bengis sedang berdiri berpeluk tubuh di kiri dan kanan sebuah kerusi yang kosong. Imej kamera beralih ke sisi untuk merakam imej seorang lelaki yang melangkah dengan wajah angkuh lalu duduk di kerusi itu.
            “Wah. Dia nak buat video conference macam al-Qaeda pulak!” komen Setiausaha Keselamatan Kementerian Luar Negeri.
            “Lanun sekarang dah canggih,” celah Setiausaha Keselamatan Kementerian Kewangan pula.
            “Nampaknya mereka tiru teknik perang psikologi al-Qaeda,” sampuk Tan Sri KSN. “Mungkin ada pihak yang ajar mereka guna teknik yang macam tu.” 
Masing-masing mengangguk mengiyakan pandangan Tan Sri Ramlee Awang Murshid itu. Bad Holac bukan calang-calang kumpulan lanun. Gerakan mereka nampaknya tersusun. Mereka merompak dengan taktik yang kemas. Mereka gempar dan kemudiannya gempur sebelum menawan.
Pandangan mereka terus tertumpu ke skrin melihat Wehliye Amare duduk tersandar ke kerusi dengan wajah seriusnya.
“Salam sejahtera kepada dunia,” seru Ketua Lanun itu dengan wajah yang bengis. Bibirnya tercebir dan matanya dibeliakkan apabila kamera memfokus shot close-up wajahnya. Kemudian, kamera mengundur dan memaparkan Wehliye bersama dua orang pengawalnya. Beberapa orang pengawal yang lain turut berdiri sebaris di belakangnya.
Benar seperti andaian awal Tan Sri KSN. Jelas sekali, kumpulan Bad Holac adalah lanun canggih yang menggunakan teknologi untuk menarik perhatian. Mereka menggunakan medium elektronik untuk mempermain emosi penontonnya.  
“Salam sejahtera kepada semua pengamal media yang sedang melihat sidang akhbar ini dari seluruh pelosok dunia. Saya berada di atas kapal Lancang Kuning kepunyaan Syarikat Petromal dari Malaysia.
Sudah 48 jam saya tawan kapal yang bawa minyak bernilai US50 juta ini. Saya tahu dunia ingin tahu berapa banyak yang saya mahu. Berapa banyak yang saya mahu? Sebenarnya saya pun tak tahu… he, he!”
“Ceh! Apa ni? Dia nak permainkan kita!” kata Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM. “Cepatlah bagi tahu! Jangan menyusahkan orang!”
Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara terpaku memandang skrin. Wajahnya yang serius pada mulanya boleh berubah riang. Tidak percaya Wehliye Amare melengah-lengahkan pula permintaan wang tebusan. Biasanya lanun Somalia akan segera meminta sejumlah wang dengan segera kerana tahu, proses menyediakannya juga memakan masa.
“Pihak Petromal jangan bimbang,” ujar Wehliye dengan wajah yang besahaja. “Saya akan beritahu berapakah jumlah yang saya mahu pada hari esok. Jangan risau. Jumlahnya tak sebanyak yang anda sangkakan.
Anda semua boleh siarkan kenyataan saya ini. Saya nak tengok muka saya terpapar di seluruh dunia. Sekian!”
Dengan kata-kata itu, siaran media itu ditamatkan dan skrin pun terpadam. Meninggalkan Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara dalam keadaan yang terpinga-pinga kerana belum memperoleh klu untuk bertindak.
“Nampaknya, kita berdepan dengan sekumpulan lanun yang bukan sembarangan.” Begitulah reaksi Tan Sri KSN.
“Sepatutnya, kitalah yang cuba lengah-lengahkan masa. Tapi mereka pulak yang cuba bermain tarik tali. Apa hal?” kata Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas.      
“Mereka releks aje. Macam menunggu sesuatu. Soalnya, apa yang mereka tunggu? Siapa yang mereka nantikan? Mereka nak bermain teka-teki dengan kita!” kata Datuk Amsyairi Ismail
“Mana Tuan Aziz? Mungkin dia boleh bagi input. Pagi tadi, dia ada. Tapi, bila makan tadi, dia dah tak ada. Dia ke mana? ” ujar Datuk Badruldin seraya memandang ke sekeliling.
“Dia ada urusan.” Ringkas sahaja jawapan Tan Sri KSN.
Masing-masing malas bertanya lanjut. Fikiran mereka masih tertumpu pada percaturan yang ditimbulkan Wehliye.

Kapal Lancang Kuning, Lautan Somalia

WEHLIYE mengangkat punggungnya lalu meninggalkan kawasan dek kapal yang dijadikan set sidang media. Wayar yang berselirat di lantai dikuis sahaja dengan kakinya ketika melangkah. Membiarkan jurukamera tertunduk-tunduk mengemas kawasan itu. Beberapa orang pengawalnya bergegas mengekori.
Seketika melangkah, dia berhenti. Kemudian menoleh ke pintu kamar Datuk Rauzah. Daun pintu dihampiri. Tanpa mengetuk, dia menguak pintu itu. Datuk Rauzah tampak terkejut dengan kehadiran yang tidak diundang itu. Lantas dia berdiri. Wajahnya masam mencuka. Mempamerkan rasa benci terhadap lelaki itu. Tidak rela Lancang Kuning ditawan lebih lama.
“Helo, puan okey ke?” sapa Wehliye.
“Kenapa awak tak sebut berapa yang awak mahu?” tengking Datuk Rauzah. Sidang media Wehliye telah ditonton dari komputernya.
“Relakslah puan. Saya belum dapat ilham berapa saya nak mintak dari syarikat puan. Tunggulah esok,” jawab Wehliye seraya tersengih-sengih.
“Kenapa lambat sangat? Sebutkan berapa yang awak mahu. Kami akan bayar. Kami berniaga. Tiap saat penting buat kami. Awak jangan buang masa kami!”
Wehliye tertawa tanpa suara. Para pengawalnya turut tergelak-gelak. Membuatkan Datuk Rauzah semakin meluat.
“Okey, kalau kau tak ada apa-apa nak cakap… keluar sahaja dari bilik aku ni! Keluar!” pekik Datuk Rauzah seraya menuding jari ke arah pintu.
Wehliye tertawa besar mendengar arahan Datuk Rauzah itu. Sesuatu telah menarik perhatian Wehliye bila dia menghampiri ke meja tulis Datuk Rauzah. Di sisi komputer itu terdapat sebuah bingkai foto dirinya bersama suami, Datuk Fazli dan anaknya Azlena.
Menyedari apa yang dipandang Wehliye, wajah Datuk Rauzah terus berubah. Dia dapat mengagak niat jahat Wehliye. Benar. Wehliye mencapai bingkai foto itu. Darah Datuk Rauzah menyirap bila Wehliye menyentuh barangan peribadinya.
“Letak balik foto tu…” Suara Datuk Rauzah sedikit bergetar. Meskipun apa yang disentuh Wehliye hanya sekeping bingkai foto dia dan keluarganya, wanita itu beremosi seolah-olah Wehliye sudah mengganggu privasinya.
“Letak balik!” pekik Datuk Rauzah seraya merampas bingkai foto itu dari tangan Wehliye.
Wehliye hanya membiarkan Datuk Rauzah meletakkan foto itu ke dalam laci. Dia berdiri membatu di situ. Seketika kemudian dia menoleh dan tersenyum.
“Jangan risau, puan. Kalau saya lambat mintak wang tebusan, saya juga harus menjaga kapal ini. Masa saya pun terikat di sini. Kerana itu, puan akan selamat di bawah jagaan saya. Kami hanya mahu duit. Kami tak mahu bunuh orang. Berdosa!”
Dengan kata-kata itu, dia melangkah keluar dari kamar itu diikuti dengan para pengawalnya. Jabril atau Jefri Zain turut mengekori Wehliye. Datuk Rauzah tidak sedar akan kehadiran Jeffri Zain, orang amat dikenalinya itu.

WEHLIYE baharu sahaja menaiki helikopter menuju ke daratan bila dia menerima panggilan. Wajahnya berubah murung sebaik sahaja terpandang nombor yang tertera di skrin fonselnya. Ada raut kebimbangan terlukis di rautnya. Mengapa? Mengapa ketua lanun yang paling ganas di perairan Somalia ini berubah watak? Mengapa dia bertukar jadi orang yang gusar pula?
            “Helo…” ucapnya perlahan.
            “Bagus. Aku tahu kau bijak bila ambil keputusan untuk ikut arahan aku!”
            “Aku dah ikut arahan kau. Sekarang lepaskan isteri dan anak aku!” kata Wehliye.
            “Aku akan lepaskan bila segala-galanya beres!”
            “Bila boleh selesai? Kalau kau mahu, hari ini juga aku boleh selesaikan. Cakap aje apa lagi yang kau mahu. Aku boleh bunuh semua anak kapal Lancang Kuning. Aku boleh bawa wanita itu kepada kau. Aku boleh sahaja bakar kapal minyak itu. Tapi kau kena lepaskan keluarga aku!”
            Bertubi-tubi Wehliye bertutur sambil menyelitkan perasaan bimbang ke atas keselamatan anak dan isterinya, Asiya. Dia mahu mereka dibebaskan walaupun dia tahu tidak semudah itu mereka akan dilepaskan.
            “Kau kena tunggu…”
“Sampai bila?” desak Wehliye.
“Kau biasa menculik dan minta pampasan… kau pun biasa mempermainkan mangsa dengan masa supaya semua pihak akur dengan permintaan kau. Sekarang, bila kau pula yang jadi mangsa, ikut aje perintah aku dengan patuh!”
“Arghhhh…”  pekik Wehliye seraya membaling fonselnya ke dinding helikopter.
Seorang petugasnya sempat mengelak daripada terkena balingan itu. Sempat dia melihat fonsel itu berkecai. Wehliye sudah tidak peduli lagi. Dia melangkah ke pintu helikopter dan terus duduk berjuntai kaki. Pandangannya menerawang jauh ke lautan luas dan juga jauh ke dalam memorinya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, November 4, 2012

FRAGMEN 21: GERAK GEMPAR



Photo credit: mforum3.cari.com.my

KLIA, Sepang

SAMBIL menunggu bagasi dan dua tong air zam-zam untuk dibawa pulang, Fariz menoleh dan merenung Nek Tijah yang duduk agak jauh di satu sudut. Neneknya itu kelihatan merenungnya dari jauh. Sambil itu, mulutnya tidak henti-henti terkumat-kamit melafazkan zikir.
Sejak mula bertugas di BISIK, Fariz jarang sekali dapat pulang ke kampung di Rhu Teduh untuk menemui neneknya. Kalau pun sempat, dia hanya pulang selama dua hari. Petang ini sampai, esok sudah hendak pulang ke Kuala Lumpur.
Fariz tahu hati nenek yang memandangnya itu sayu kerana dia sudah tidak dapat berbual panjang seperti ketika di zaman persekolahan dahulu. Namun kerana tugas, Fariz terpaksa mengeraskan hatinya sekadar bertemu sekejap dengan wanita itu. Sebab itulah, pada kesempatan bercuti panjang selepas bertugas, dia bawa Nek Tijah menunaikan umrah.
Sebaik sahaja memperoleh bagasi, Fariz segera menolak troli menghampiri  neneknya. Dia tidak mahu Nek Tijah menantinya lama-lama. Wanita itu memandangnya dengan penuh kasih. Sayangnya dia dengan satu-satunya cucunya ini. Fariz cepat-cepat memaut lengan neneknya membantu wanita itu berdiri dan memimpinnya seketika sebelum wanita itu turut melangkah menuju ke luar ruang ketibaan.
            “Farizzz…”
Dari jauh lagi Fariz sudah terdengar jeritan namanya. Dia nampak Faryna terlambai-lambai di sebalik hadangan jalan ke luar. Fariz turut mengangkat tangannya sebagai isyarat yang dia juga nampak Faryna.  Dia mengeluh dalam. Rasa rindunya kepada gadis itu tiba-tiba mendatang.
            “Nenek sihat?” tanya Faryza sebaik sahaja memeluk erat Nek Tijah.
Wanita itu tersenyum lalu mencium dahi gadis bakal tunangan Fariz ini. Ibunya Puan Sri Salwa yang berdiri berhampiran turut bersalaman dengan Nek Tijah. Fariz pula berbual-bual bertanya khabar dengan Tan Sri Daud. Ada kelibat seseorang berdiri berhampiran di sisi tiang yang membuatkan Fariz tertoleh.
Wanita itu mengangkat tangannya seketika lalu tersenyum manis. Fariz membalas senyuman itu. Senyuman yang tidak ikhlas! Wajahnya lantas dialihkan ke arah  neneknya yang kini sedang rancak berbual dengan Puan Sri Salwa. Dia menghela nafas yang panjang dan dalam apabila memandang wajah neneknya dengan penuh kasih. Belum pun habis rindu ditumpah, dia datang untuk memisahkan. Wanita yang berdiri itu hanya mampu tersenyum melihat reaksi Fariz. Dia tahu Fariz terkilan akan kehadirannya.
“Kak Mala… apa khabar?” sapa Faryna.
“Baik, dik. Fariz sihat?” tanya Normala seraya melangkah menghampiri.
Fariz hanya mengangguk. Dia tahu soalan Normala kerana hanya berbasa-basi dengannya. Semata-mata untuk mengambil hati agar dia tidak terkilan dengan apa yang telah diputuskan BISIK. Apa nak buat. Tatkala di Jeddah lagi Normala telah menghubunginya…

………………………………….
Imbas kembali:
Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah


HATI Fariz terlonjak riang bila menerima panggilan dari Normala. Sudah lama benar rasanya dia tidak berhubung dengan wanita yang menjadi rakan setugas dan juga mentornya. Bila foto profil Normala terpapar di skrin fonselnya, Fariz terus melangkah berjauhan dari orang ramai supaya dia dapat berbual dengan wanita itu dalam suasana privasi.
“Kak Mala, apa khabar?”
“Eh, dia pulak yang tanya. Akak okey aje. Engkau tu sihat?”
“Saya sihat. Hari ketiga kat Mekah, saya mula batuk-batuk. Nenek suruh saya banyak-banyak makan kurma dengan air zam-zam. Lepas dua hari saya buat macam tu, saya tak batuk lagi.”
“Apa rancangan Fariz bila balik esok?”
“Saya nak balik kampung dulu lah, kak. Nak buat kenduri sikit. Lepas tu saya nak jumpa kawan-kawan sekolah. Dah lama saya tak balik ke Terengganu. Rasa-rasanya saya nak ambik cuti seminggu.”
“Bagus tu Fariz… tapi kalau Fariz tangguhkan dulu cuti tu, macam mana?”
Pertanyaan itu menyentap sedikit perasaan Fariz. Setelah mengenali Normala lebih dua tahun, Fariz tahu ada sesuatu yang cuba disampaikan oleh wanita itu. Daripada nada suara Normala, Fariz dapat mengagak wanita itu ingin berdiplomasi sebelum menyampaikan sesuatu.
“Ada OPS ke, kak Mala?” soalan itu terpacul dari bibirnya.
“Hmm…” jawab Normala perlahan setelah beberapa saat mendiamkan diri.
Fariz mengeluh. Dia memantaukan pandangannya ke seluruh kawasan menanti di lapangan terbang ini. Matanya berlegar-legar memandang bumbung, penunjuk arah dan para penumpang yang berada di sekelilingnya. Pandangannya entah ke mana-mana.
Fariz bangkit dan memandang ke cermin kaca yang menembusi ruang di lapangan terbang ini. Memandang sebuah kapal terbang yang menunggu masa untuk berlepas. Bunyi deruman enjinnya mengaum panjang dan kapal terbang itu mula bergerak. Semakin lama semakin laju dan akhirnya ia terbang membelah awan. Fariz berasa seolah-olah dirinya sudah ada di dalam kapal terbang itu menuju ke Rhu Teduh, Marang, Terengganu, Malaysia.
“Fariz…” kedengaran suara Normala setelah Fariz menyepikan diri.
“Ya, kak Mala. OPS apa pulak kali ni?”
“OPS Lancang Kuning. Fariz dah terlibat pun bila terima arahan mencari Saleem Amare di Madinah semalam.”
Mulut Fariz membulat seperti ‘O’ bila teringat pada tugas yang dilaksanakan di Dataran Masjid Nabawi. Rupa lelaki Somalia yang berambut putih dan separuh usia tertayang di layar mindanya semula.
“Apa tugasan awal?” tanya Fariz.
“Kena pergi ke Somalia.”
“Bila?”
“3.00 petang nanti.”
“Petang ni?”
“Petang ini!”
“Flight saya ni sampai jam 2.00 petang. Proses turun kapal terbang… check-out… tunggu bagasi… ambil masa. Eh, mana sempat saya buat semua tu dalam masa sejam?”
“Bukan ke sejam itu 60 minit masanya? Fariz pegi umrah, bukan pegi haji. Akak tau, proses ketibaan tu tak lama. Jangan risau… BISIK dah siapkan semua dokumen perjalanan, penginapan dan perbelanjaan Fariz.” Normala memberi taklimat ringkas untuk meredakan kebimbangan Fariz.
“Hmm, okeylah... tapi…”
“Tapi apa, Fariz?”
“Tak apa-apalah, kak.”
Sebaik sahaja mematikan telefon, Fariz duduk melengung. Hatinya tertanya-tanya bagaimanakah dia hendak sampaikan berita itu kepada Nek Tijah yang amat dikasihi.

……………………………..
“PARIS…”
            Fariz menoleh. Memandang Nek Tijah yang sudah duduk. Tanpa berkata, Fariz duduk di sisi neneknya. Diperhati wajah tua itu dengan penuh kasih. Sungguh. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan neneknya.
            “Somalia tu jauh ke?” tanya Nek Tijah.
            “Jauh jugak.” Walau pun tersentap, dia jawab juga soalan neneknya. Dari mana dia tahu mengenai pemergiannya? “Jauh daripada Mekah, nek. Tapi, mana nenek tau saya nak ke sana?”
            “Ryna yang bagitau, bang…” sampuk Faryna yang duduk di sebelah nenek.
            Orang tua itu mengangguk mengiyakan. Tangannya meraba wajah Fariz. Dia merelakan tanpa berasa segan dengan beberapa orang penumpang lain yang memerhati. Biarlah. Apa nak dimalukan membiarkan nenek menunjukkan kasih? 

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, October 27, 2012

FRAGMEN 20: GERAK GEMPAR



Photo credit: takmirpenang.blogspot
Dataran Masjid Nabawi, Madinah

FARIZ terlari-lari sebaik sahaja tiba ke dataran ini. Sesampainya ke tiang tempat biasa dia menunggu Nek Tijah, Fariz mematikan langkah. Wanita itu masih tiada di situ. Fariz memandang ke sekeliling. Pandangannya singgah dari satu tiang ke satu tiang yang lain. Mengagak dan mengharap kalau-kalau Nek Tijah menantinya di salah sebuah tiang berhampiran.
Sebentar tadi, sebaik sahaja dia pulang dari hospital, Fariz terus pulang ke bilik hotel. Sangkanya, Nek Tijah sudah pulang. Namun, neneknya tiada. Dia bertanya dengan rakan-rakan rombongannya. Mereka semua tidak tahu di manakah Nek Tijah.
Fariz memantaukan pandangannya ke segenap dataran Masjid Nabawi. Akhirnya, pandangan Fariz tertancap ke arah seorang wanita yang sedang duduk berdoa di tepi tembok.
‘Oh, dekat situ rupanya nenek aku ni…’
Fariz melangkah menghampiri. Lalu perlahan-lahan dia duduk di sisi wanita yang sedang khusyuk berdoa itu. Sedikit di bahagian belakang Nek Tijah kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi wanita itu.
‘Kesian, nenek. Walau pun aku tak ada kat sini tadi, dia tak panik pun tercari-cari aku. Sempat sembahyang dan berdoa panjang lagi. Maafkan aku, nek…’ kata hati Fariz.
Pandangannya tidak teralih langsung dari wanita itu. Bahagianya hati Fariz kerana dapat menemani Nek Tijah menunaikan umrah. Walaupun dia sibuk dengan kerjanya, Fariz tidak sekali-kali mahu menghampakan harapan Nek Tijah. Sebaik sahaja neneknya menyuarakan hasrat ingin ke Mekah dua bulan lalu, Fariz terus memohon cuti untuk bersama-sama wanita ini menunaikan ibadah ini.
            Fariz merenung neneknya yang mula merapatkan kedua-dua tapak tangan ke wajahnya. Dia tergeleng perlahan kerana rupa-rupanya Nek Tijah masih belum habis berdoa lagi. Walaupun kedua-dua tapak tangan Nek Tijah sudah menekup mukanya, masih ada lagi doa yang dipohon. Entah apa lagi yang dikumat-kamitkan neneknya itu.
            Bila Nek Tijah meraup wajahnya, Fariz menghulur tangannya untuk bersalaman. Sebuah senyuman sudah sedia di bibir sebagai hadiah untuk neneknya. Hatinya sudah bersedia untuk mengucapkan maaf kerana membuat Nek Tijah ternanti-nanti.
            ‘Nek…’
            Fariz menggapai dan menggenggam tangan neneknya. Wanita itu tersentap kerana jejarinya dipegang begitu. Lantas dia menoleh. Senyuman yang terukir di bibir Fariz hilang tiba-tiba. Kedua-dua tangannya ditarik.
            ‘Astagfirullah. Salah orang!’ kata hatinya. ‘Nasib baik makcik ni pakai sarung tangan!’
            “Anak ni, siapa?” soal wanita itu.
            “Maaf… maafkan saya. Salah orang. Saya ingat makcik, nenek saya!”
            Wanita itu menguntum senyuman. Geli hati melihat gelagat Fariz yang serba salah kerana bersalaman dengannya.
            “Tak apa, nak. Bukannya sengaja…” kata wanita itu.
            “Maafkan saya… maafkan saya…”
            Dengan wajah yang serius kerana menahan malu, Fariz bangkit lalu berundur. Meninggalkan wanita itu yang masih tersengih-sengih mengekori langkah Fariz dengan pandangan matanya.

FARIZ menyeluk sakunya. Mengeluarkan fonsel lalu mendail wanita itu. Bila dengut tanda panggilan berbunyi, Fariz melekapkan fonsel itu ke telinganya. Matanya terkelip-kelip menanti jawapan Nek Tijah. Namun, seperti tadi, sebelum dia ke hospital menemui Saleem, panggilannya tetap tidak berjawab.
            ‘Ke mana nenek ni? Dia dah hilang ke?’
            Rasa kesal mula menyelinap di sanubari Fariz. Seharusnya dia tidak meninggalkan neneknya begitu sahaja. Tetapi, apa pilihannya? Sebentar tadi Sudirman yang mengajaknya ke hospital untuk menemui Saleem.
Kerana itu, dia mesti merebut satu-satunya peluang yang ada. Dia hanya menjalankan tugas sebagai ejen BISIK. Jika dia menolak ajakan Sudirman, tentu dia tidak dapat menghubungi lelaki separuh abad itu. Dan tugasnya akan tergendala pula. Lagipun, dia sudah cuba menghubungi neneknya. Bukannya sekali, malah banyak kali. Panggilannya tidak berjawab. Kerana itu dia bertawakkal sahaja. Tapi itu tadi. Ketika dia perlu segera mengikut Sudirman ke Al-Mouwasat Hospital. Kini?
Fariz bergegas kembali ke hotel Durrat Fayrouz. Dia mesti pulang ke bilik hotel. Mana tahu neneknya sudah pulang. Jika neneknya masih belum ditemui, dia perlu mencari ketua rombongan untuk mengkhabarkan kehilangan neneknya.
Kelihatan beberapa orang jemaah sedang bersantai dan bersembang di hadapan hotel.  Fariz melangkah ke lobi. Pandangannya melilau memerhati beberapa orang para jemaah yang sedang berehat di sofa sambil menonton televisyen.
‘Mana nenek aku ni?’
Fariz segera ke pintu lif. Butangnya ditekan. Sebaik sahaja pintunya terbuka, Fariz melangkah masuk. Namun sebelum pintu tertutup, seorang wanita menyusul.
“Tolong tekan tingkat lima, nak…” pinta wanita itu.
“Nek!”
Itulah kata-kata yang terpacul dari lidah Fariz.
“Nek!”
Fariz terus merangkul tubuh neneknya lalu pipi wanita itu dicium semahu-mahunya. Nek Tijah terkejut dan terpinga-pinga. Tidak sangka sama sekali Fariz sudah ada di sisinya. Baginya, Fariz juga telah hilang. Dia juga tercari-cari Fariz. Luluh hatinya bila cucu yang dinanti tak kunjung tiba. Puas dia menunggu.
Setelah dipujuk rakan-rakan rombongan, barulah dia hendak ikut kembali ke hotel dengan perasaan kehilangan. Kehilangan satu-satunya cucu yang amat disayanginya. Mahu sahaja dia bermalam di dataran Masjid Nabawi hingga Fariz muncul.
“Alhamdulilah, Paris… Alhamdulilah… Puas nenek berdoa, Paris… nenek takut sangat Paris hilang!” lafaz Nek Tijah dengan suara yang tersekat-sekat. Dia juga mencium pipi Fariz semahu-mahunya.
‘Ya, ALLAH… rupanya nenek aku bukannya susah hati kerana takut sesat, tapi dia susah hati kerana bimbang aku hilang. Dia lebih risaukan aku daripada dirinya sendiri. Ampunkan aku, ya ALLAH kerana menyusahkan hatinya…’ detik hati Fariz.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH..

Sunday, October 21, 2012

FRAGMEN 19: GERAK GEMPAR



Photo credit: rotaryaction.com

Baraawe, Somalia

WEHLIYE memandu sendiri kenderaan pacuan empat rodanya menuju ke lapangan terbang kecil di mana terletaknya helikopter. Kenderaan yang tidak berbumbung itu kemek di sana-sini. Bodinya berkarat dan berdebu kerana tidak pernah digilap. Dua orang anggotanya berdiri di bahagian belakang sambil memegang rifel. Kerana jalan yang tidak rata, kedua-dua petugas itu terangguk-angguk mengikut kontor jalan.   
Jabril atau Jeffri Zain menaiki sebuah lagi kenderaan di belakangnya. Abdool yang memandu kenderaan ini. Jeffri hanya berdiri bersama tiga lagi rekrut Bad Holac yang baru sepertinya. Sesekali, Jeffri menjeling ke arah rakan-rakan barunya. Sesekali dia memandang jalan berdebu dan berbatu batan yang dilaluinya.
Mereka dalam perjalanan ke sebuah kawasan lapang di mana helikopternya berada. Setelah mendapat maklumat terperinci mengenai harga yang patut dituntut daripada pihak Petromal, Wehliye ingin segera terbang ke kapal Lancang Kuning. Di sana, dia akan menyatakan jumlah yang dipinta kepada Datuk Rauzah.
            Bad Holac kepunyaannya itu amat canggih operasinya. Setelah menahan kapal, petugas-petugasnya di daratan bertindak sebagai penilai harta dengan memperoleh segala maklumat mengenai kuantiti barangan, nilai insuran, nilai anak-anak kapal dan identiti syarikat yang terlibat.
            Wehliye tidak mahu membuang masa. Maklumat Petromal sudah ada di tangannya. Jumlah tuntutan yang realistik sudah diputuskan. Dia ingin menuntut jumlah yang optimum, yang mampu dibayar oleh Petromal. Bukan meminta jumlah yang bukan-bukan.
            Tuntutan pampasan yang di luar kemampuan akan mengakibatkan perundingan demi perundingan terpaksa diadakan. Ini mengambil masa sedangkan Wehliye mahu segala-galanya dibereskan secepat mungkin agar dia boleh menawan kapal yang lain pula.
            Dia adalah lanun profesional kerana membuat keputusan berdasarkan fakta.  Baginya, melanun itu bukan  jenayah. Sebaliknya ia adalah satu kerjaya keusahawanan di mana keputusan yang pantas, yang berisiko minima dengan pulangan optima menjadi garisan panduan gerak kerjanya.

KENDERAANNYA mula membelok. Kelihatan helikopternya sedang menanti. Kipasnya baru mula berputar sebaik sahaja pemandunya nampak kemunculan kenderaan pacuan empat roda Wehliye. Wehliye tersenyum lebar. Senyum puas dan bangga kerana helikopter itu petanda yang dia sudah berjaya dalam usahanya.
            Tiada kumpulan lanun lain yang mampu membeli helikopter. Bad Holac adalah kumpulan yang terkaya, termaju dan paling berjaya di antara kumpulan-kumpulan lanun yang lain. Wehliye juga puas hati kerana dia lebih berjaya daripada Saleem, abangnya sendiri.
            “Wehhhhhhhhhh!” kedengaran laungan suara salah seorang petugasnya di belakang menyeru namanya.
            Wehliye menoleh dan memandang ke langit. Petugas Wehliye menuding ke arah sebuah tompok hitam di celah awan. Wehliye membuka kacamatanya. Matanya dipicingkan. Dia nampak sebuah helikopter sedang bergerak ke mari. Tak semena-mena dia nampak pecutan-pecutan api muncul daripada helikopter itu menuju ke kenderaannya!
            ‘Dup! Dup! Dup! Dup! Dup!’
            Pasir berterbangan di kiri dan kanan laluan kenderaan pacuan empat rodanya. Tanah pula membongkah kerana dihentam peluru daripada senjata helikopter yang mendatang. Dia diserang!
Wehliye memecut kenderaannya dan memutar stereng ke kiri dan kanan agar kenderaannya sukar menjadi sasaran. Namun kenderaannya semakin dihujani peluru. Akhirnya Wehliye mendengus.
“Kurang ajar!” pekik Wehliye lalu membrek kenderaannya secara mengejut.
Impak itu membuatkan kedua-dua petugas di belakang berlaga kepala dan kedua-duanya jatuh tergolek. Kenderaan di belakang yang dipandu Abdool turut berhenti. Mereka semua terjun dan berlindung di sebalik kenderaan. Jeffri yang turut terjun melangut ke langit. Mindanya berputar memikirkan siapakah pula mereka yang muncul dari angkasa ini.
Wehliye segera mengacu pistolnya ke arah helikopter yang mendatang. Menunggu masa untuk memetik picunya. Namun, biasan cahaya matahari mengganggu pandangannya. Matanya berpinar. Wehliye mendengus lagi. Dia segera menoleh ke arah helikopternya untuk meminta bantuan.
            “Wei!” Wehliye melaung kepada pemandu helikopternya pula. Tangannya terkirai-kirai sambil menuding ke arah helikopter di udara. Mengarahkan pemandu helikopternya terbang ke udara untuk menyerang balas.
            Namun, tiba-tiba matanya terbuntang bila ternampak beberapa orang bersenjata berpakaian hitam berlari bersimpang-siur ke arah helikopternya. Mereka bukan orang-orangnya. Masing-masing terus menyasarkan senjata mereka ke arah helikopternya. Bersedia untuk menembak seandainya helikopternya itu mula memanjat ke udara. Wehliye tahu, kini dia terkepung.
‘Dup! Dup! Dup! Dup! Dup!’
            Helikopter yang kini sedang mengambang di atas kepalanya memuntahkan peluru lagi. Wehliye tidak dapat berbuat apa-apa. Pistolnya dilepaskan gugur ke tanah. Dia mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah kalah. Tetapi dia merenung helikopter yang sedang menurun itu dengan perasaan membengkak.
Kedua-dua petugasnya yang masih terpinga-pinga kerana berlaga kepala hanya berdiri tegak. Senjata mereka entah ke mana. Mereka juga nanti helikopter yang mendarat itu seperti juga ketua mereka.
            Seorang lelaki mat saleh, berpakaian kot dan tali leher turun daripada helikopter itu. Dia diiringi oleh seorang lagi pengawalnya yang bertubuh, sendo lengkap bersenjata. Dengan penuh gaya, dia melangkah dan berdiri berdepan dengan Wehliye. Dari celah kenderaan, Jeffri memantaukan pandangannya. Merakam apa yang dipandang ke kotak memorinya.
            Buat seketika lelaki mat saleh itu membiarkan hembusan angin dari helikopter mengirai rambut kuningnya. Lelaki itu membuka kacamatanya. Seulas senyuman terukir di bibirnya. Lalu dia menghulurkan tangannya.
            “Apa khabar… Wehliye Amare…”
            Walaupun dengan perasaan yang membungkam, kerana tetamu yang tidak diundang yang di depannya begitu kurang ajar, Wehliye menyambut salam itu.
            “Saya Abram William, CEO Extron Corporation…” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
            “Apa kau mau?” tanya Wehliye dengan suara paraunya.
            “Aku mau kau tolong aku…”
            “Kalau aku tak mahu?”
            “Kalau kau tak mahu….” Abram tersengih-sengih. Matanya tepat memandang Wehliye. Kemudian dia mengunjuk ke arah helikopter dengan hujung bingkai kacamatanya..           
            Wehliye menoleh. Mulutnya ternganga. Matanya mencerlang.
            “Abangggggggggggggg…” jeritan dan kelibat Asiya yang mengendong anaknya di pintu helikopter amat meruntun perasaannya.
            “Kau culik isteri aku! Binatang!”
            Tali leher Abram William ditarik. Mukanya disua ke wajah Abram. Hidung mereka hampir-hampir berlaga.
            “Hold it, hold it…” Abram mengangkat kedua-dua tangannya seperti orang menyerah kalah. Dia meminta Wehliye bersabar seraya menjeling ke arah pengawalnya yang sudah bersedia meletupkan wajah Wehliye dengan senjatanya.
            Perlahan-lahan Wehliye terpaksa membuka genggamannya di tali leher Abram. Dia mendengus dan meludah ke tanah meluahkan amarahnya.
            “Mr. Wehliye… let’s talk business!” kata Abram sambil tersenyum sumbing.
            Drama di depan mata itu disaksikan Jeffri dengan penuh persoalan. Nama Abram William dan Extron Corporation terus lekat di mindanya. Dia mesti mendapatkan maklumat terperinci siapakah Abram William. Mengapa dia menculik Asiya, isteri Wehliye. Dia mesti mendapatkan jawapan teka-teki itu secepat mungkin agar maklumatnya dapat disalur ke BISIK hari ini juga.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...