Sunday, February 24, 2013

FRAGMEN 29: GERAK GEMPAR



 
Photo credit: sciencedaily.com
 
DATUK RAUZAH berdiri tegak menghadap ke jendela. Memandang  pasir dan debu dan kejauhan. Namun, telinga menangkap bunyi geseran kasut orang yang baru masuk ke biliknya. Genggaman kaca di tangannya semakin kukuh. Malam tadi, ketika dia berbaring dan baru hendak terlelap, dia terasa ada seseorang menceroboh ke biliknya.

Seorang lanun menghampiri lalu menyentuh tubuhnya. Mujurlah dia tersedar dan menjerit meminta tolong. Lanun itu sempat lari sebelum lanun-lanun yang lain tiba. Dia bersyukur kerana tidak diapa-apakan.

Kejadian semalam membuat Datuk Rauzah lebih bersedia. Kaca pintu almari di sudut bilik itu dipecahkan. Cebisannya yang berbentuk melengkung seperti badik diambil untuk dijadikan senjata. Buat persediaan andainya dia cuba diganggu lagi seperti sekarang. Dia tahu kaca itu bukan sahaja boleh meluka, malah merobek!


“Assalamualaikum...”

Kedengaran ucapan selamat dari orang yang memasuki biliknya. Suara itu parau dan separuh berbisik. Tentu sekali dia seorang lanun juga, fikir Datuk Rauzah. Hatinya mula tertanya-tanya apa yang dikehendaki oleh lanun yang satu ini. Cara dia memasuki bilik ini pun seperti menyelinap. Mungkin dia berniat jahat. Tetapi, kalau dia berniat serong, untuk apa dia memberi salam?

“Assalamaualaikum...”

Datuk Rauzah tidak bersuara untuk menjawab salam yang diulang ini. Sebaliknya dia hanya mengangguk. Sebagai tanda dia menjawab salam itu. Telinganya masih peka mendengar dari mana arah suara itu. Apakah tetamu yang tidak diundang ini sudah menghampirinya? Apakah salam itu hanya helah? Mungkin lanun semalam datang semula untuk mencabulnya?

“Cepat!” suara itu berbisik lagi. “Saya dari Malaysia. Saya datang nak selamatkan Datuk.”

Bahasa Melayu fasih yang digunakan lelaki itu membuatkan Datuk Rauzah jadi kaget. Bagai tidak percaya, ada orang Melayu yang datang untuk menyelamatkannya. Siapa? Lantas dia menoleh.

Sebaik sahaja pandangan mereka bertembung, Jeffri segera menekapkan jari telunjuk ke mulutnya sendiri. Meminta Datuk Rauzah diam. Jeffri mengintai ke luar pintu. Mempastikan laluannya nanti tiada halangan.

“Datuk jangan bimbang. Insya-ALLAH, dalam tempoh 24 jam, Datuk sudah berada di tanahair. Ikut saya,” ujar Jeffri seraya menguak daun pintu dan menggamit Datuk Rauzah mengekorinya.

Meskipun ada seribu persoalan yang ingin ditanya, Datuk Rauzah hanya mendiamkan diri. Dia faham, dalam keadaan yang genting ini, dia perlu patuh mengikut arahan.           Perlahan-lahan, cebisan kaca di tangannya dilepaskan ke lantai. Lalu dia terjengkit-jengkit mengekori Jeffri.

Bilik Operasi BISIK, Merca, Somalia

“BOS! Tengok skrin!”

Tuan Aziz menoleh seketika bila namanya diseru. Memandang Suren yang mencantumkan ibu jari dan jari telunjuknya membuat isyarat ‘okey.’ Dia lantas memandang skrin komputer di hadapannya. Cahaya hijau kelihatan berkelip-kelip dari lokasi markas Bad Holac. Isyarat menandakan Datuk Rauzah sedang dibawa keluar. Tuan Aziz menekan butang hijau di sisi komputernya.

“Perhatian semua... perhatian semua. Ops Sambar bermula... Ops Sambar bermula!” ujar Tuan Aziz.

Sebaik sahaja memaklumkan permulaan operasi, Tuan Aziz menadah tangan dan berdoa kepada Yang Maha Esa agar semuanya berjalan lancar dan sempurna.

KD Haruan, Lautan Hindi, 60 batu nautika dari Somalia

KAPTEN kapal frigat Tentera Laut Diraja Malaysia yang berlabuh sejak tiga hari lalu menerima isyarat BISIK. Dia segera mengarahkan anak kapalnya melepaskan Sang Cenderawasih.

Sang Cenderawasih adalah unmanned arial vehicle(UAV) ataupun kapalterbang terbang tanpa pemandu. Ia dilepaskan sebagai alat pemancar isyarat memantau pergerakan mereka yang terlibat dalam Operasi Sambar. Dalam keadaan terdesak ia mampu melancarkan peluru berpandu yang tersisip di bawah sayapnya.

Kehadiran UAV ini lebih praktikal daripada satelit perisik Mysat-4 kepunyaan Malaysia kerana ia boleh menghantar isyarat dan imej yang beresolusi tinggi. Seketika sahaja Sang Cenderawasih berdesup melepasi awan menghala ke daratan Somalia. Seluruh pergerakan Ops Sambar itu dapat ditonton dengan jelas oleh Perdana Menteri di Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negara, Putrajaya.

Markas Bad Holac, Somalia

DENGAN tangan terikat, Fariz diheret ke bilik utama markas itu. Beberapa kali tengkuknya ditunjal supaya segera melangkah. Sebentar tadi, dia tahu yang dia tidak boleh melawan dalam pergelutan dua lawan satu. Kedudukan seorang musuh di hadapan dan seorang lagi di tempat yang tinggi menyukarkannya bertindak. Bila tahu yang dia tidak akan memenangi pergelutan itu, Fariz terus mengangkat tangannya.

Langkah lanun di hadapannya terhenti bila melewati bilik Datuk Rauzah. Dia hairan kerana pintunya terenggang. Lantas dia menjenguk ke dalam sambil membebel. Kedua-duanya kini berbalas cakap dengan suara yang cemas!

Fariz terdengar mereka sedang berbincang mengenai kehilangan Datuk Rauzah. Kini dia tahu Jeffri telah membawa keluar wanita itu dari kurungan. Mindanya segera merangka pelan melepas diri ketika musuhnya yang berdua asyik berbincang.

DARI sudut yang gelap tidak jauh dari situ, Jeffri nampak kelibat mereka bertiga. Setelah terdengar bunyi orang menghampiri, dia lekas-lekas membawa Datuk Rauzah untuk bersembunyi di situ.

“Apalah, budak ni! Buat aral pulak,” gumam Jeffri bila nampak tangan Fariz terikat.

Mindanya segera mentafsir dan mencongak apa yang harus dilakukan untuk melepaskan perisik junior itu. Dalam keadaan yang genting ini, masa boleh menentukan berjaya atau gagalnya sesebuah operasi. Tersilap langkah, nyawa menjadi galang gantinya!

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, February 17, 2013

FRAGMEN 28: GERAK GEMPAR


Photo credit: walltor.com

“HARGHHHHHH!”

Lelaki itu merempuhnya. Fariz tunduk dan menahan kepalanya untuk menyondol perut lelaki itu. Hentakan ke perut pejal lelaki itu menyentap leher Fariz. Tengkuknya terasa kebas. Nafas Fariz tersekat-sekat bila kedua-dua tangan lelaki itu mencekik lehernya. Fariz menumbuk rusuk lelaki itu. Sekali… dua kali… beberapa kali. Tiada kesan!

Sebaliknya tubuhnya pula yang terangkat. Lehernya semakin sengal. Telinga Fariz mula berdesing. Petanda paru-parunya tidak cukup oksigen. Dia mesti bertindak segera sebelum kekurangan oksigen melemahkan tumpuan dan fikirannya. Tangan Fariz tergapai-gapai bila dia cuba melepaskan dirinya. Sesekali jejarinya terasa panas bila tersentuh lampu kalimantang di atas kepalanya.


Dia memperoleh satu idea. Dia mesti bertindak cepat. Jika tidak, dia pasti pengsan dalam beberapa saat lagi. Dengan sekali sentap, mentol kalimantang itu tercabut dari soketnya. Ruang itu serta merta menjadi gelap. Cengkaman lelaki itu pada lehernya semakin kukuh.


‘Tap!’

Fariz mematah lampu kalimantang itu dan segera menusuk pinggang lelaki itu dari kedua-dua arah.
‘Arghhh!’

Lelaki itu terjerit kesakitan. Cekikannya di leher Fariz menjadi longgar. Fariz tergelongsor ke tanah. Dengan cepat dia mencabut lampu kalimantang dari pinggang lelaki itu lalu menghempuk kuat muka musuhnya dengan kedua-dua tapak tangannya. Lelaki itu rebah.


Kini Fariz menguasai keadaan. Dia menghunjam tubuhnya lalu menghempap dada lelaki itu dengan lututnya. Lelaki itu mengeruh. Fariz lantas menekan titik nadi di leher lelaki itu. Sebentar sahaja musuhnya itu tidak bersuara lagi. Menyedari musuhnya sudah pengsan, Fariz bingkas bangun menuju ke pintu.


Cahaya dari mentol  lampu  menyilaukan mata Fariz buat seketika bila daun pintu itu dikuak. Fariz memerhati ke sekeliling. Dia berada di dalam sebuah bilik yang dipenuhi kotak dan tong daripada pelbagai saiz.


‘Setor…’ kata hati Fariz.


Dia tertoleh ke kiri bila terdengar suara dua orang sedang bercakap-cakap. Dia mengintai perlahan-lahan ke hala suara yang didengarinya. Dan ternampak seorang lelaki sedang duduk sambil meratah ayam dengan lahapnya.


‘Makan tengahari…’ kata hati Fariz.


Lelaki itu bercakap dengan seseorang berhampirannya. Namun, Fariz tidak nampak kelibat rakan lelaki itu.
Fariz berdiri tersandar sambil berfikir. Dia mesti menyelinap tanpa disedari. Tidak harus membuang tenaga kecuali perlu.  Fariz menarik nafas yang panjang sebelum memulakan langkah. 

"Unakwenda wapi?” kedengaran suara menegurnya.
‘Hendak ke mana?’ minda Fariz segera menterjemah sapaan itu. ‘Bahasa Swahili!’ kata hatinya lagi.

Fariz segera tertoleh ke kiri dan kanan. Berlakon seolah-olah tercari sesuatu.  Sambil itu matanya melingas untuk mempastikan di manakah lelaki yang menyapanya itu berada.


Kwa ajili ya kutafuta risasi... Wehliye akaniuliza kupata hiyo kwa ajili yake!” kata Fariz. Berdalih seolah-olah dia salah seorang daripada lanun yang dipinta Wehliye ke setor ini untuk mendapatkan bekalan peluru.

“Risasi?”
soal suara itu.
“Hmm... risasi,” jawab Fariz dengan jelas, untuk menyakinkan si penyoal.

Tiba-tiba segulung magazin peluru tercampak di depannya. Langkah Fariz terhenti. Perlahan-lahan dia mendongak. Terpandang seorang lelaki berdiri di atas rak kotak-kotak sambil mencekak pinggangnya. Sepucuk senapang tersasar ke arah Fariz.


‘Klik!’


Fariz tertoleh ke hadapan. Lelaki yang sedang melahap ayam juga sedang menghunus pistol ke arahnya. Mulutnya masih terkunyah-kunyah menghabiskan makanannya. Hormon adrenalin terus meluncur di pembuluh darah Fariz. Bulu tengkuknya terasa berdiri. Dia mendengus perlahan. Melambatkan pernafasannya agar tidak kelihatan panik. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.


“Who are you?”
tanya lelaki itu.
Fariz tidak menjawab. Fikirannya lekas berfikir apakah tindakan pelan seterusnya. Keadaannya sukar pada kali ini kerana dua senjata menghala ke arahnya. Dan salah satunya dari atas kepalanya.

‘Macam mana aku nak elak, ni? Kotak-kotak kat tepi aku semuanya nampak berat. Tak sempat aku angkat sebagai perisai. Aku tak sempat serang salah seorang pun.  Aku mesti lari. Tapi nak lari macam mana? Menapak pun aku tak sempat!’ Fariz berbicara di dalam hatinya.


“Who are youuuu?”
lelaki itu membesarkan suaranya. “You don’t answer, you die!”
Fariz masih berdiam diri untuk mencari akal. Fonsel di poket seluarnya bergetar pula. Pasti BISIK yang menghantar arahan terkini.

 SETELAH diberitahu Abdool di manakah Datuk Rauzah berada, Jeffri segera menyusur ke arah belakang markas Bad Holac ini. Di sebuah bilik yang kelihatan terang di dalam, Jeffri berhenti.

Arahan terkini yang diperoleh Jeffri ialah membawa Ketua Pegawai Operasi Petromal ini keluar dari markas Bad Holac tepat pada jam 14.30. Ikut laluan ke Baraawe. Sebuah helikopter akan muncul untuk menyelamat.

Jeffri mengintai melalui celah-celah papan yang renggang. Dia nampak tubuh Datuk Rauzah duduk membelakangi pintu. Jeffri mengetuk pintu secara perlahan. Tidak mahu mengejutkan wanita itu. Datuk Rauzah tidak menoleh pun.

Kunci pintu dibuka. Daun pintu ditolak. Perlahan-lahan Jeffri melangkah. Dia perlu berpakat dengan wanita itu supaya operasi menyelamat dapat berjalan lancar. Tetapi semuanya perlu dilakukan dengan berhati-hati agar perbualannya dengan Datuk Rauzah ringkas dan tidak menarik perhatian.


DATUK RAUZAH
sedar ada seseorang yang masuk ke biliknya. Dia mengagak orang yang berada di belakangnya itu pasti anggota lanun. Namun dia sudah bersedia. Telinganya mendengar derap kasut tetamu yang hadir. Matanya terpejam dan hatinya berzikir memohon kekuatan. Di tangannya tergenggam serpihan kaca pintu almari yang baru dipecahkannya sebentar tadi!


Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, February 10, 2013

FRAGMEN 27: GERAK GEMPAR






Photo credit: elbuenoelfeo.wordpress

“HEI orang tua! Mana kau pergi?” soal Abdool sebaik sahaja Jeffri muncul. Jabril adalah nama samaran yang Jeffri berikan kepada Abdool, ketua anggota Bad Holac.
            Dengan selamba, Jeffri menghampiri lelaki yang sedang menulis sesuatu di mejanya. Dia mengorak senyuman. Kemudian tersengih-sengih.
            “Aku jalan-jalan!”
            Abdool mengangkat kepala. Memandang tepat ke arah Jeffri. Mulutnya berkerinyut. Kemudian dia tunduk dan menulis kembali.
            “Kamu kena hati-hati, Jabril…”
            Jeffri memandangnya sambil menahan senyuman. Hendak tergelak kerana Abdool perihatin dengan keadaannya. Sangkanya, lelaki itu jenis yang tidak pedulikan orang bawahannya.
            “Jangan cari penyakit. Kalau terkena… susah. Kalau kau nak tau, adik aku mati kerana AIDS!”
            Mata Jeffri mencerlang. Tidak menyangka ke situ pula agakan Abdool kerana kehilangannya.
            “Aku tak ke tempat macam itu…”
            Abdool tersenyum. Jeffri tahu, itu senyuman tidak percayanya Abdool kepada jawapannya.
            “Baguslah kalau kau tak ke tempat macam itu. Pergilah bersolat. Kita nak berangkat petang ini.”
            “Ke mana?” Jeffri memancing soalan.
            “Ganezuela!” jawab Abdool tanpa mengangkat kepalanya.
            “Ganezuela?”
            “Hmm.”
Jeffri bergegas keluar menuju ke sebuah bilik kecil di bahagian belakang pejabat itu. Di sana, ada sebuah pili kecil untuk mengambil wuduk. Usai mengangkat wuduk, Jeffri menyelinap masuk ke bilik kecil itu. Sebelum mengangkat takbir, dia mengirim maklumat terkini kepada ibubejabat BISIK yang tidak jauh dari tempatnya berada.

SEBENTAR tadi Fariz nampak Jeffri membelok ke sebelah kiri sebaik sahaja dia memasuki ruang utama rumah ini. Lantas dia membelok ke sebelah kanan. Sengaja tidak mahu mengekori jejak ejen itu. Di situ ada tangga yang menurun ke bawah.
‘Bawah tanah…’ kata hati Fariz.
Tatkala menuruni, dia terhenti seketika bila pandangannya menjadi gelap. Langkahnya diperlahankan agar matanya dapat disesuaikan dengan suasana suram itu. Permukaan anak-anak tangga itu terasa lembut kerana dibentuk daripada tanah. Hidung Fariz berkerinyut bila bau tengik tanah merah mula menyesak hidungnya. Peluh mula merembes ke tengkuknya.
Fariz sampai ke pintu kayu yang tiada bertombol. Perlahan-lahan dia menolaknya. Keadaan di dalam semakin gelap. Hanya ada lampu kalimantang di hujung lorong yang terkelip-kelip. Bagai lampu di disko. Membuatkan pandangannya sedikit berpinar.
Fariz nampak sebuah lagi daun pintu di penghujung lorong. Dia memerhati ke arah lelangit tempat dia berdiri. Tercari-cari kalau-kalau terdapat kamera CCTV di mana-mana.
            Matanya dipicingkan bila ternampak sesuatu yang berkilat kira-kira lima depa di hadapannya. Fikirannya berlari-lari untuk mentafsir apa yang dipandangnya. Benda itu bergerak sedikit. Fariz mematikan langkah lalu mengepilkan dirinya ke dinding.
            ‘Oh, kepala orang! Orang botak! Patut pun, berkilat!’ gumam Fariz seraya tersenyum.
            Tiada jalan untuk berpatah balik. Tiada jalan melainkan melintasi musuh di hadapannya. Biar apa yang terjadi, dia mesti melepasi halangan itu. Sambil itu, Fariz terus mengamati. Namun hatinya tertanya-tanya apakah musuh itu sedar akan kehadirannya? Dengan berhati-hati, dia menyusur menghampiri. Fariz menghela nafas lega bila nampak musuhnya dengan lebih jelas.
            ‘Dia tertidur rupanya…’
             Kalau dia berhati-hati, dia akan dapat melepasi halangan itu. Bila dia melintasi tempat lelaki itu duduk, dia boleh menyelinap ke pintu yang satu lagi kerana jarak lelaki itu dengan tembok di hadapannya lebih kurang sedepa. Cukup ruang untuk Fariz melepasi lelaki itu.
            Lelaki yang duduk di bangku itu sedang tersengguk-sengguk tidur sambil memeluk tubuhnya. Selangkah demi selangkah Fariz berengsot bergerak seperti ketam bila berdepan dengan lelaki pengawal itu.       
Sebaik sahaja melepasinya, Fariz terus terjengkit-jengkit dengan lebih pantas. Tidak menyedari yang lelaki itu membuka mata, lantas menjeling ke arahnya. Mata lelaki itu terbuntang pula. Baru tersedar ada seseorang yang baru sahaja melepasi kawalannya! Lantas dia berdiri…

FARIZ terdengar desiran angin dari arah belakangnya. Dia menunduk dan nampak bangku melayang melintasi kepalanya. Bangku itu menghentam pintu. Berdegum bunyinya. Fikirannya segera mentafsir bahaya yang mendatang. Belum sempat dia menoleh, Fariz terasa kedua-dua kakinya ditarik oleh musuhnya. Dia tertiarap. Fariz cuba menahan tarikan itu dengan mencakar lantai.
            Tubuhnya tiba-tiba terangkat dan dibanting ke tembok sebelah kanan. Dengan sekuat tenaga Fariz menghalang kepalanya terhantuk dengan lengannya. Rasa bisa menyentap dan menyelinap hingga ke sikunya. Sekali lagi tubuhnya dibanting pula ke sebelah kiri. Sekali lagi Fariz menahan.
            Impak itu membuatkan pegangan lelaki itu ke pergelangan kakinya sedikit longgar. Fariz segera menendang ke belakang.
“Urghhh…”
Kedengaran erangan musuhnya. Tendangan Fariz menepati tubuh musuhnya. Kakinya tiba-tiba terasa bebas. Fariz segera berpaling dan melompat untuk berdiri. Bersedia untuk menyerap serangan. Mata Fariz mencerlang sebaik sahaja terpandang tubuh musuhnya.
Lelaki itu tidak berbaju. Dari kilatan cahaya lampu yang terkelip-kelip, Fariz nampak lelaki itu berjambang. Tubuhnya besar. Parasnya melebihi ketinggian Fariz. Malah hanya separas dada lelaki itu. 
Fariz menelan liur. Memikirkan cara paling ampuh untuk bertentang dengan musuhnya itu. Dia tiada idea pada saat itu. Lelaki itu melangkah menghampiri. Dengusan nafasnya kedengaran semakin kuat. Lampu kalimantang masih terkelip-kelip. Cahaya itu semakin mempinar mata Fariz…

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Sunday, December 16, 2012

FRAGMEN 26: GERAK GEMPAR



Photo credit: guardian.co.uk
SEMUA mata memandang Tuan Aziz. Lelaki itu memerhati mereka seorang demi seorang – Fariz, Suren dan kemudian Normala. Matanya terjeling pada Jeffri Zain. Ejen itu juga merenungnya sambil menanti apa yang akan lahir dari bibir bosnya itu.
Extron adalah pesaing Petromal dalam merebut kontrak kerajaan Ganezuela. Selama ini, Petromal tak pernah menang bila Extron masuk dalam persaingan cari gali minyak. Ada lima kes persaingan di antara Petromal dan Extron. Empat dimenangi Extron. Ini kes pertama Petromal memenangi saingan itu.
Extron tidak pernah tewas dalam persaingan merebut hak kerjasama di 17 negara. Mungkin kerana itu mereka berasa tercabar dan ingin merebut kembali hak cari gali minyak walau dengan apa sekali pun.
Kita tau Extron ada pasukan keselamatan mereka sendiri di kesemua lokasi projek mereka. Saya percaya, butang Waterbury adalah klu penglibatan pasukan keselamtan Extron dalam kes penculikan keluarga Wehliye.
Kita kena siasat. Dapatkan kronologi aktiviti Petromal di Ganezuela dari ibupejabat Petromal sendiri. Saya akan hubungi pihak kedutaan kita di Ganezuela untuk silang semak. Dan… Suren! Dapatkan Datuk Rauzah. Kita nak tau andainya dia ada membuat kontak dengan Abram,” ujar Tuan Aziz.
Suren memutar kerusinya untuk menghadap komputer. Perisian Skype dibuka. Namun, ikon Datuk Rauzah didapati offline.
“Linenya off. Mungkin ada masalah talian, tuan,” ujar Suren.
Jeffri segera menerpa ke fonselnya yang berada di sisi komputer Suren. Dia menekan-nekan butangnya. Semua mata memandang Jeffri yang sedang menekur ke fonselnya. Tertanya-tanya apa yang sedang dilakukan oleh ejen itu.
 “Linenya okey! Dan, dia dah tinggalkan Lancang Kuning!” sampuk Jeffri.
Suren segera mengambil fonsel Jeffri. Wayarnya disambung kembali ke komputernya. Lalu skrin komputer Suren membesarkan imej dari fonsel Jeffri. Memaparkan sebuah peta yang menampakkan titik hijau yang berkelip-kelip ke arah utara. Semua mata kini tertumpu ke skrin itu.
“Ini… Datuk Rauzah…” katanya seraya mengunjuk ke titik yang berkelip-kelip itu. “Ini Lancang Kuning…” katanya lagi ketika mengunjuk imej sebuah kapal di bahagian bawah skrin.
“Datuk Fauzah dah bergerak meninggalkan Lancang Kuning?” tanya Tuan Aziz.
“Dia ke mana?” tanya Normala, spontan.
“Saya mesti balik ke pejabat Bad Holac, bos!” ujar Jeffri tanpa menjawab soalan Normala lalu bergegas menghala ke luar bilik.
 “Jeff!” Suren memanggil. “Ambik fonsel!”
Langkah Jeffri terhenti. Dia menoleh. Suren membaling fonsel dan Jeffri menyambutnya. Dia menekur dan membelek seketika barang yang dibaling Pakar IT itu. Ada sesuatu yang tak kena.
“Ini bukan fonsel saya!” Matanya membuntang memandang Suren kerana menyangka lelaki itu silap.
“Ambil yang itu. Itu yang terbaru!” jawab Suren. “Yang Jeff  pakai ni…” kata Suren lagi seraya melambungnya ke dalam tong sampah! “…dah ketinggalan zaman.”
“Ketinggalan zaman? Hei!” Wajah Jeffri berkerut. Dia melangkah kembali menghampiri Suren dengan tangannya yang menggenggam fonsel baru di tangannya. Seolah-olah mahu meluku kepala Suren.
“BISIK dah tak guna sistem GPS. Sebab, ke mana kita pergi pun musuh boleh pantau. Fonsel yang Jeff pegang tu guna sistem baru. Sistem ni lebih canggih daripada sistem GPS atau GLASNOSS Russia.”
“Dia pakai sistem apa?”
“Sistem MAGNAS. Malaysian Global Navigation System!”
“Tak pernah dengar, pun?” soal Jeffri dengan wajah tidak percaya.
“Sekarang, dah dengar, kan?” sampuk Tuan Aziz seraya tersenyum.
Kening Jeffri terangkat. Bibirnya tercebir. Kemudian dia menoleh dan melangkah pergi. Tuan Aziz membiarkan Jeffri berlalu sebelum mengisyaratkan Fariz dan Normala mengekorinya.

Ibupejabat Bad Holac, Merca

JEFFRI melangkah pantas menuju ke sebuah kawasan perumahan dua tingkat. Seperti kawasan perumahan yang lain, dindingnya juga berwarna lumpur dan berdebu. Fariz dan Normala mengepil di tembok berhampiran.
Memerhati Jeffri bercakap-cakap dengan seorang lelaki yang berdiri berhampiran dengan pintu salah sebuah rumah di situ. Hanya seketika bercakap, Jeffri dibenarkan masuk. Bila pintu terbuka, Jeffri kelihatan terhenti seketika sebelum melangkah ke dalam.
            “Jeffri tau kita ikut dia…” bisik Normala.
“Saya pun agak macam tu. Dia berhenti untuk beritahu kita yang dia tahu kita ikut dia,” jawab Fariz.
“He wants to play along. Itu mesej dia pada kita,” ujar Normala.
“Macam mana nak masuk kat rumah itu, kak?” tanya Fariz perlahan.
          “Kita pakai trick lama!”
         “Trick lama?” tanya Fariz lagi.
            Normala tidak menyahut. Sebaliknya dia mengambil gincu dari poketnya. Mulut Fariz membentuk huruf ‘O’ lantaran teringat apakah yang Normala maksudkan sebagai trick lama itu. Seketika kemudian, Normala melangkah perlahan persis seorang model. Kemunculannya menarik perhatian si penjaga pintu. Lelaki mana yang tidak terpikat dengan wanita comel itu?
            “Hi…” sapa Normala dengan suara yang menggoda. Senyumannya dileretkan.
            Lelaki penjaga pintu itu nampak terpinga-pinga. Namun, dia tidak tersengih untuk membalas senyuman Normala. Memang dia amat berhati-hati dengan godaan yang muncul secara tiba-tiba ini. Ejen wanita itu pula tidak putus asa.
            “Abang… saya orang baru kat sini. Mana jalan ke pasar? Apakah saya ikut jalan ke sebelah kanan atau ke kiri?” kata Normala seraya mendepangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Sengaja bergaya dengan melentikkan tubuhnya. “Atau saya terus ke depan?” katanya lagi seraya memuncungkan bibirnya yang bergincu merah.
            Lelaki si penjaga pintu meneguk liurnya.
            “Kalau aku tunjukkan jalan, boleh kau tolong aku?” soal lelaki itu. Sekali lagi dia meneguk liur. Normala nampak halkum lelaki itu bergerak-gerak. Dia tersenyum lagi.
            “Terserahlah pada abang… abang mahu apa?” tanya Normala lagi seraya menjeling lalu menghampiri lelaki itu.
Sekali lagi lelaki itu meneguk liurnya lalu tersengih. Matanya membulat memandang Normala. Dia mula tersengih. Ejen wanita itu pula, mula geram.
‘Dasar Jantan miang! Kalau kau rapat,  halkum engkau tu akan hilang bila terkena penangan lutut aku, ni,’ kata Normala di dalam hati.
“Okey… okey… kalau saudari hendak ke pasar… terus jalan ke depan. Bila sampai ke bukit, ikut jalan sebelah kiri. Kat situlah pasar.”
“Oh, terima kasih…” jawab Normala.
Dia berkira-kira melangkah perlahan untuk mengalih perhatian lelaki itu dari Fariz yang kini sedia untuk membolos ke dalam rumah itu.
“Hei… awak dah lupa nak tolong saya!”
Normala menoleh, lantas melangkah menghampiri lelaki itu.
“Oh, saya terlupa. Abang nak apa?” tanya Normala perlahan. Namun dia bersedia untuk bertindak andainya lelaki itu cuba menyentuhnya.
“Err…” lelaki itu meneguk liurnya lagi. “Err… saya ni haus. Kalau ke pasar, dapatkan saya air minuman dekat kedai buah? Kedai itu pakcik saya yang punya. Minta saja pada pakcik kat situ. Katakan ia untuk Kandiya, anak saudaranya. Dia pasti akan beri percuma! Err… boleh tak?”
Normala memandang lelaki itu dengan mata yang terkelip-kelip. Tidak menyangka, ke situ pulak kehendak lelaki yang asyik meneguk liur sambil memandangnya sebentar tadi.
Matanya lantas menjangkau ke hala pintu rumah itu. Ternampak kelibat Fariz yang sudahpun membolos ke dalam. Sambil menggamit tangannya, Normala melangkah pantas meninggalkan lelaki itu. Kali ini, langkahnya tidak lagi dengan gaya melenggok lagi. Rupa-rupanya bukan punggung atau gaya liuk lentuk yang membuat lelaki itu menelan air liurnya berkali-kali.
Namun, Normala akan ke pasar dan mendapatkan minuman untuk lelaki itu. 

Bersambung Ahad hadapan, insya-Allah...

Saturday, December 1, 2012

FRAGMEN 25: GERAK GEMPAR



Photo credit: relicman.com

“ASSALAMUALAIKUM!” Kedengaran suara dari bilik belakang.
            Mereka berempat tertoleh memandang pintu belakang rumah itu pula. Fariz memanjangkan lehernya. Tangannya bersedia untuk mencapai pistol yang tersisip di pinggangnya. Bunyi daun pintu kedengaran berkeriut bila dibuka. Muncul seorang lelaki bertubuh sasa. Daripada jarak tempatnya berdiri, Fariz dapat mengagak tubuh lelaki itu sedikit tinggi daripada tubuhnya. Sekitar 1.7 meter berbanding dirinya yang hanya 1.65 meter.
            Pakaiannya nampak buruk. Wajahnya kusut masai. Misai dan janggutnya seperti berminggu tidak bercukur. Rambutnya yang berserabut itu diikat dengan kain lusuh. Penampilannya tak ubah seperti seorang lanun!  
‘Dia buat helah, kononnya nak masuk ikut pintu depan. Tapi dia muncul dari pintu belakang! Dia ni ke, Jeffri Zain?’ tanya hati Fariz.
Fikiran Fariz segera memadankan teka-teki yang bermain di fikirannya. Dia teringat mesej untuk berpakaian berwarna-warni sebagai cara untuk dikenali, kanak-kanak yang mencuri fonselnya dan bagaimana fonselnya yang dicuri tiba-tiba terletak di depan pintu rumah ini. Mungkin sekali ini angkara Jeffri Zain yang kini menjadi perhatian semua.
            “Apa khabar, Jeffri Zain?” sapa Tuan Aziz, langsung mengesahkan kepada Fariz siapakah lelaki yang muncul ini.
“Kita ada masalah besar…” kata Jeffri lalu duduk di sebuah bangku.
‘Huh… bos tanya… apa khabar! Kenapa dia tak jawab pun sapaan Tuan Aziz?’ gumam Fariz. Tidak puas hati dengan jawapan Jeffri.                                                                                                                                 
            “Masalah apa, Jeff?” tanya Tuan Aziz.
Masing-masing ikut duduk apabila lelaki itu melabuhkan punggung. Tuan Aziz mengambil bangku yang paling hampir dengan Jeffri. Suren hanya memutar kerusinya untuk menghadap Jeffri. Fariz pula mengambil tempat di sebelah Normala. Menanti taklimat ejen itu.
            “Ini bukan soal lanun Somalia aje… Ini soal yang lebih berat dari itu,” Jeffri berkata diiringi dengan keluhan dalam.
            “Beritahulah, kami… apa persoalannya?” desak Fariz pula.
            Fariz memandang Jeffri. Tetapi ejen itu hanya memandang tepat ke wajah Tuan Aziz. Tidak menjeling pun pada Fariz yang mendesaknya. Seolah-olah tidak mendengar apa yang disoalkan Fariz.
            “Masa kami nak ke lapangan terbang dua hari lepas, kami diserang! Seorang ketua musuh berwajah mat salih, muncul dengan helikopter. Sebelum itu, pasukannya pula dah menyerang dan menawan helikopter Wehliye! Ada enam orang lengkap bersenjata macam komando. Kesemuanya berpakaian hitam,” jelas Jeffri.
            “Apa tafsiran awak?” tanya Tuan Aziz pula.
            “Bad Holac ini raja di Lautan Somalia. Kumpulan ini paling besar dan paling tersusun modus operandinya. Tak ada kumpulan lain yang boleh lawan dengan kehebatan mereka kecuali askar Somalia sendiri. Tak ada sesiapa pun yang boleh pengaruhi mereka untuk bertindak.
Tapi, bila Wehliye diserang dan isteri serta anaknya diculik, saya rasa ada pihak yang lebih berkuasa ingin supaya Bad Holac tunduk kepada mereka.”
            “Mungkin kerana Wehliye ada hutang dengan dia orang! Misalnya, berhutang dari segi peralatan senjata… Mereka mengganas kerana Bad Holac tak bayar hutang!” pintas Fariz. Cuba menzahirkan pendapat dalam perbincangan ini.
“Lanun ini kaya-raya. Dah beratus juta duit yang dia ada. Saya pernah ikut Wehliye ke pejabatnya. Saya nampak berkepuk-kepuk duit dalam peti. Itu tak termasuk dalam akaun bank,” jawab Jeffri tanpa menjeling pada Fariz.
“Mungkinkah Wehliye ada masalah hutang yang lain seperti dalam urusan perniagaan?” Fariz cuba mencungkil jawapan lagi.
 Kali ini Jeffri menjeling tajam ke arah Fariz. Memberi mesej seolah-olah dia rimas bila Fariz kerap mencelah setiap kali dia berhenti bercakap. Fariz sedar dirinya dipandang begitu. Dia tertunduk. Bukan kerana takut dengan renungan itu. Dia tunduk kerana menghormati orang yang lebih senior daripadanya.
Biarlah dia berdiam diri buat seketika. Mungkin dengan itu Jeffri lebih selesa menyampaikan maklumatnya. Jeffri menyeluk poket jaketnya.  Lalu mengeluarkan sesuatu dan dihulurnya kepada Tuan Aziz. Dari tempat duduknya, Fariz nampak seperti sekeping wang syiling 20 sen.
“Itu butang dari poket salah seorang daripada penculik yang berpakaian hitam!” jelas Jeffri.
Tuan Aziz membelek butang itu. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang tertera di atas butang itu.
“W.B…” ujar Tuan Aziz bila dia mengangkat butang itu menghala ke lampu bilik. “W.B… mungkin jenama butang ini…”
“W.B?” Fariz mencelah. Suaranya penuh keterujaan. “Boleh saya tengok butang itu, bos?”
Fariz teringat huruf singkatan W.B. Lantas dia berdiri dan mengambil butang itu dari tapak tangan Tuan Aziz. Dia perasan, Normala dan Suren memandangnya dengan pernuh soalan. Dalam pada itu, dia sedar Jeffri hanya menjelingnya dengan bibir yang tercebir.
“W.B… Waterbury! Saya tau nama ini. Ini butang buatan Amerika!”
“Macam mana awak tau?” soal Tuan Aziz.
“Kat internet! Nama Waterbury saya jumpa bila saya baca mengenai filem Titanic tak lama dulu. Saya ingat lagi macam mana pihak Hollywood minta syarikat Waterbury membuat replika butang W.B bila menemui foto-foto mayat kelasi kapal Titanic yang memakai butang yang tertera huruf-huruf W.B ~ Waterbury!
Saya cari maklumat yang syarikat itu. Ya, Waterbury adalah pembekal butang untuk tentera Amerika sejak kurun ke-18 hingga ke hari ini! Sudah 200 tahun syarikat ini membekal butang untuk pakaian tentera Amerika!”
“Confirm! Betul kata Fariz!” sampuk Suren yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. “Ini dia halaman internet syarikat Waterbury Button!” katanya lagi seraya memutar skrin komputernya ke arah mereka di dalam bilik itu.
Walaupun hanya memandang dari jauh, Tuan Aziz percaya laman yang terpapar di skrin komputer Suren adalah  laman syarikat yang dimaksudkan. Normala yang berada berhampiran dengan Suren turut terangguk mengiyakan setelah membaca apa yang tertera di layar komputer Suren.
“Orang Amerika? Tentera Amerika?” luah Tuan Aziz.
“Saya tak nampak kaitan tentera Amerika dalam hal ini.  Kalau betul, mereka mungkin dah tembak mati Wehliye. Tapi mereka culik isteri dan anak Wehliye supaya lanun itu lakukan sesuatu.” Jeffri memberikan pandangannya.
 “Kalau bukan tentera, mungkinkah mereka semua askar upahan. Macam kumpulan Blackwater; askar upahan yang mengawal Iraq tak lama dulu?” kata Fariz.
Sekali lagi Fariz memerhati Jeffri setelah memberikan pendapatnya. Ingin sekali melihat senyuman yang membawa maksud bersetuju dengan hujahnya. Namun ejen itu hanya mendiamkan dirinya.
“Lancang Kuning… Bad Holac… Wehliye… Waterbury… Amerika… apa maksud serpihan teka-teki, ni?” ujar Tuan Aziz.
Dia berdiri lalu berjalan mundar-mandir di ruang yang kecil ini. Berkerut dahinya mencongak andaian-andaian yang bersimpang-siur di fikirannya.
“Bos… saya ada satu lagi petunjuk…” ujar Jeffri. “Saya ada foto seseorang dalam fonsel saya…”
Tuan Aziz mendepangkan tangannya sebagai isyarat agar fonsel itu diserahkan kepada Suren. Suren menyambut fonsel itu. Seutas wayar kecil disumbat ke alat itu dan disambungkan kepada komputer.
Seketika sahaja wajah seseorang yang berpakaian kemas terpapar di komputer Suren. Semua mata memandang wajah seorang mat salih.
“Itu wajah Abram William… CEO Extron!” ujarTuan Aziz.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...