Saturday, October 27, 2012

FRAGMEN 20: GERAK GEMPAR



Photo credit: takmirpenang.blogspot
Dataran Masjid Nabawi, Madinah

FARIZ terlari-lari sebaik sahaja tiba ke dataran ini. Sesampainya ke tiang tempat biasa dia menunggu Nek Tijah, Fariz mematikan langkah. Wanita itu masih tiada di situ. Fariz memandang ke sekeliling. Pandangannya singgah dari satu tiang ke satu tiang yang lain. Mengagak dan mengharap kalau-kalau Nek Tijah menantinya di salah sebuah tiang berhampiran.
Sebentar tadi, sebaik sahaja dia pulang dari hospital, Fariz terus pulang ke bilik hotel. Sangkanya, Nek Tijah sudah pulang. Namun, neneknya tiada. Dia bertanya dengan rakan-rakan rombongannya. Mereka semua tidak tahu di manakah Nek Tijah.
Fariz memantaukan pandangannya ke segenap dataran Masjid Nabawi. Akhirnya, pandangan Fariz tertancap ke arah seorang wanita yang sedang duduk berdoa di tepi tembok.
‘Oh, dekat situ rupanya nenek aku ni…’
Fariz melangkah menghampiri. Lalu perlahan-lahan dia duduk di sisi wanita yang sedang khusyuk berdoa itu. Sedikit di bahagian belakang Nek Tijah kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi wanita itu.
‘Kesian, nenek. Walau pun aku tak ada kat sini tadi, dia tak panik pun tercari-cari aku. Sempat sembahyang dan berdoa panjang lagi. Maafkan aku, nek…’ kata hati Fariz.
Pandangannya tidak teralih langsung dari wanita itu. Bahagianya hati Fariz kerana dapat menemani Nek Tijah menunaikan umrah. Walaupun dia sibuk dengan kerjanya, Fariz tidak sekali-kali mahu menghampakan harapan Nek Tijah. Sebaik sahaja neneknya menyuarakan hasrat ingin ke Mekah dua bulan lalu, Fariz terus memohon cuti untuk bersama-sama wanita ini menunaikan ibadah ini.
            Fariz merenung neneknya yang mula merapatkan kedua-dua tapak tangan ke wajahnya. Dia tergeleng perlahan kerana rupa-rupanya Nek Tijah masih belum habis berdoa lagi. Walaupun kedua-dua tapak tangan Nek Tijah sudah menekup mukanya, masih ada lagi doa yang dipohon. Entah apa lagi yang dikumat-kamitkan neneknya itu.
            Bila Nek Tijah meraup wajahnya, Fariz menghulur tangannya untuk bersalaman. Sebuah senyuman sudah sedia di bibir sebagai hadiah untuk neneknya. Hatinya sudah bersedia untuk mengucapkan maaf kerana membuat Nek Tijah ternanti-nanti.
            ‘Nek…’
            Fariz menggapai dan menggenggam tangan neneknya. Wanita itu tersentap kerana jejarinya dipegang begitu. Lantas dia menoleh. Senyuman yang terukir di bibir Fariz hilang tiba-tiba. Kedua-dua tangannya ditarik.
            ‘Astagfirullah. Salah orang!’ kata hatinya. ‘Nasib baik makcik ni pakai sarung tangan!’
            “Anak ni, siapa?” soal wanita itu.
            “Maaf… maafkan saya. Salah orang. Saya ingat makcik, nenek saya!”
            Wanita itu menguntum senyuman. Geli hati melihat gelagat Fariz yang serba salah kerana bersalaman dengannya.
            “Tak apa, nak. Bukannya sengaja…” kata wanita itu.
            “Maafkan saya… maafkan saya…”
            Dengan wajah yang serius kerana menahan malu, Fariz bangkit lalu berundur. Meninggalkan wanita itu yang masih tersengih-sengih mengekori langkah Fariz dengan pandangan matanya.

FARIZ menyeluk sakunya. Mengeluarkan fonsel lalu mendail wanita itu. Bila dengut tanda panggilan berbunyi, Fariz melekapkan fonsel itu ke telinganya. Matanya terkelip-kelip menanti jawapan Nek Tijah. Namun, seperti tadi, sebelum dia ke hospital menemui Saleem, panggilannya tetap tidak berjawab.
            ‘Ke mana nenek ni? Dia dah hilang ke?’
            Rasa kesal mula menyelinap di sanubari Fariz. Seharusnya dia tidak meninggalkan neneknya begitu sahaja. Tetapi, apa pilihannya? Sebentar tadi Sudirman yang mengajaknya ke hospital untuk menemui Saleem.
Kerana itu, dia mesti merebut satu-satunya peluang yang ada. Dia hanya menjalankan tugas sebagai ejen BISIK. Jika dia menolak ajakan Sudirman, tentu dia tidak dapat menghubungi lelaki separuh abad itu. Dan tugasnya akan tergendala pula. Lagipun, dia sudah cuba menghubungi neneknya. Bukannya sekali, malah banyak kali. Panggilannya tidak berjawab. Kerana itu dia bertawakkal sahaja. Tapi itu tadi. Ketika dia perlu segera mengikut Sudirman ke Al-Mouwasat Hospital. Kini?
Fariz bergegas kembali ke hotel Durrat Fayrouz. Dia mesti pulang ke bilik hotel. Mana tahu neneknya sudah pulang. Jika neneknya masih belum ditemui, dia perlu mencari ketua rombongan untuk mengkhabarkan kehilangan neneknya.
Kelihatan beberapa orang jemaah sedang bersantai dan bersembang di hadapan hotel.  Fariz melangkah ke lobi. Pandangannya melilau memerhati beberapa orang para jemaah yang sedang berehat di sofa sambil menonton televisyen.
‘Mana nenek aku ni?’
Fariz segera ke pintu lif. Butangnya ditekan. Sebaik sahaja pintunya terbuka, Fariz melangkah masuk. Namun sebelum pintu tertutup, seorang wanita menyusul.
“Tolong tekan tingkat lima, nak…” pinta wanita itu.
“Nek!”
Itulah kata-kata yang terpacul dari lidah Fariz.
“Nek!”
Fariz terus merangkul tubuh neneknya lalu pipi wanita itu dicium semahu-mahunya. Nek Tijah terkejut dan terpinga-pinga. Tidak sangka sama sekali Fariz sudah ada di sisinya. Baginya, Fariz juga telah hilang. Dia juga tercari-cari Fariz. Luluh hatinya bila cucu yang dinanti tak kunjung tiba. Puas dia menunggu.
Setelah dipujuk rakan-rakan rombongan, barulah dia hendak ikut kembali ke hotel dengan perasaan kehilangan. Kehilangan satu-satunya cucu yang amat disayanginya. Mahu sahaja dia bermalam di dataran Masjid Nabawi hingga Fariz muncul.
“Alhamdulilah, Paris… Alhamdulilah… Puas nenek berdoa, Paris… nenek takut sangat Paris hilang!” lafaz Nek Tijah dengan suara yang tersekat-sekat. Dia juga mencium pipi Fariz semahu-mahunya.
‘Ya, ALLAH… rupanya nenek aku bukannya susah hati kerana takut sesat, tapi dia susah hati kerana bimbang aku hilang. Dia lebih risaukan aku daripada dirinya sendiri. Ampunkan aku, ya ALLAH kerana menyusahkan hatinya…’ detik hati Fariz.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH..

Sunday, October 21, 2012

FRAGMEN 19: GERAK GEMPAR



Photo credit: rotaryaction.com

Baraawe, Somalia

WEHLIYE memandu sendiri kenderaan pacuan empat rodanya menuju ke lapangan terbang kecil di mana terletaknya helikopter. Kenderaan yang tidak berbumbung itu kemek di sana-sini. Bodinya berkarat dan berdebu kerana tidak pernah digilap. Dua orang anggotanya berdiri di bahagian belakang sambil memegang rifel. Kerana jalan yang tidak rata, kedua-dua petugas itu terangguk-angguk mengikut kontor jalan.   
Jabril atau Jeffri Zain menaiki sebuah lagi kenderaan di belakangnya. Abdool yang memandu kenderaan ini. Jeffri hanya berdiri bersama tiga lagi rekrut Bad Holac yang baru sepertinya. Sesekali, Jeffri menjeling ke arah rakan-rakan barunya. Sesekali dia memandang jalan berdebu dan berbatu batan yang dilaluinya.
Mereka dalam perjalanan ke sebuah kawasan lapang di mana helikopternya berada. Setelah mendapat maklumat terperinci mengenai harga yang patut dituntut daripada pihak Petromal, Wehliye ingin segera terbang ke kapal Lancang Kuning. Di sana, dia akan menyatakan jumlah yang dipinta kepada Datuk Rauzah.
            Bad Holac kepunyaannya itu amat canggih operasinya. Setelah menahan kapal, petugas-petugasnya di daratan bertindak sebagai penilai harta dengan memperoleh segala maklumat mengenai kuantiti barangan, nilai insuran, nilai anak-anak kapal dan identiti syarikat yang terlibat.
            Wehliye tidak mahu membuang masa. Maklumat Petromal sudah ada di tangannya. Jumlah tuntutan yang realistik sudah diputuskan. Dia ingin menuntut jumlah yang optimum, yang mampu dibayar oleh Petromal. Bukan meminta jumlah yang bukan-bukan.
            Tuntutan pampasan yang di luar kemampuan akan mengakibatkan perundingan demi perundingan terpaksa diadakan. Ini mengambil masa sedangkan Wehliye mahu segala-galanya dibereskan secepat mungkin agar dia boleh menawan kapal yang lain pula.
            Dia adalah lanun profesional kerana membuat keputusan berdasarkan fakta.  Baginya, melanun itu bukan  jenayah. Sebaliknya ia adalah satu kerjaya keusahawanan di mana keputusan yang pantas, yang berisiko minima dengan pulangan optima menjadi garisan panduan gerak kerjanya.

KENDERAANNYA mula membelok. Kelihatan helikopternya sedang menanti. Kipasnya baru mula berputar sebaik sahaja pemandunya nampak kemunculan kenderaan pacuan empat roda Wehliye. Wehliye tersenyum lebar. Senyum puas dan bangga kerana helikopter itu petanda yang dia sudah berjaya dalam usahanya.
            Tiada kumpulan lanun lain yang mampu membeli helikopter. Bad Holac adalah kumpulan yang terkaya, termaju dan paling berjaya di antara kumpulan-kumpulan lanun yang lain. Wehliye juga puas hati kerana dia lebih berjaya daripada Saleem, abangnya sendiri.
            “Wehhhhhhhhhh!” kedengaran laungan suara salah seorang petugasnya di belakang menyeru namanya.
            Wehliye menoleh dan memandang ke langit. Petugas Wehliye menuding ke arah sebuah tompok hitam di celah awan. Wehliye membuka kacamatanya. Matanya dipicingkan. Dia nampak sebuah helikopter sedang bergerak ke mari. Tak semena-mena dia nampak pecutan-pecutan api muncul daripada helikopter itu menuju ke kenderaannya!
            ‘Dup! Dup! Dup! Dup! Dup!’
            Pasir berterbangan di kiri dan kanan laluan kenderaan pacuan empat rodanya. Tanah pula membongkah kerana dihentam peluru daripada senjata helikopter yang mendatang. Dia diserang!
Wehliye memecut kenderaannya dan memutar stereng ke kiri dan kanan agar kenderaannya sukar menjadi sasaran. Namun kenderaannya semakin dihujani peluru. Akhirnya Wehliye mendengus.
“Kurang ajar!” pekik Wehliye lalu membrek kenderaannya secara mengejut.
Impak itu membuatkan kedua-dua petugas di belakang berlaga kepala dan kedua-duanya jatuh tergolek. Kenderaan di belakang yang dipandu Abdool turut berhenti. Mereka semua terjun dan berlindung di sebalik kenderaan. Jeffri yang turut terjun melangut ke langit. Mindanya berputar memikirkan siapakah pula mereka yang muncul dari angkasa ini.
Wehliye segera mengacu pistolnya ke arah helikopter yang mendatang. Menunggu masa untuk memetik picunya. Namun, biasan cahaya matahari mengganggu pandangannya. Matanya berpinar. Wehliye mendengus lagi. Dia segera menoleh ke arah helikopternya untuk meminta bantuan.
            “Wei!” Wehliye melaung kepada pemandu helikopternya pula. Tangannya terkirai-kirai sambil menuding ke arah helikopter di udara. Mengarahkan pemandu helikopternya terbang ke udara untuk menyerang balas.
            Namun, tiba-tiba matanya terbuntang bila ternampak beberapa orang bersenjata berpakaian hitam berlari bersimpang-siur ke arah helikopternya. Mereka bukan orang-orangnya. Masing-masing terus menyasarkan senjata mereka ke arah helikopternya. Bersedia untuk menembak seandainya helikopternya itu mula memanjat ke udara. Wehliye tahu, kini dia terkepung.
‘Dup! Dup! Dup! Dup! Dup!’
            Helikopter yang kini sedang mengambang di atas kepalanya memuntahkan peluru lagi. Wehliye tidak dapat berbuat apa-apa. Pistolnya dilepaskan gugur ke tanah. Dia mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah kalah. Tetapi dia merenung helikopter yang sedang menurun itu dengan perasaan membengkak.
Kedua-dua petugasnya yang masih terpinga-pinga kerana berlaga kepala hanya berdiri tegak. Senjata mereka entah ke mana. Mereka juga nanti helikopter yang mendarat itu seperti juga ketua mereka.
            Seorang lelaki mat saleh, berpakaian kot dan tali leher turun daripada helikopter itu. Dia diiringi oleh seorang lagi pengawalnya yang bertubuh, sendo lengkap bersenjata. Dengan penuh gaya, dia melangkah dan berdiri berdepan dengan Wehliye. Dari celah kenderaan, Jeffri memantaukan pandangannya. Merakam apa yang dipandang ke kotak memorinya.
            Buat seketika lelaki mat saleh itu membiarkan hembusan angin dari helikopter mengirai rambut kuningnya. Lelaki itu membuka kacamatanya. Seulas senyuman terukir di bibirnya. Lalu dia menghulurkan tangannya.
            “Apa khabar… Wehliye Amare…”
            Walaupun dengan perasaan yang membungkam, kerana tetamu yang tidak diundang yang di depannya begitu kurang ajar, Wehliye menyambut salam itu.
            “Saya Abram William, CEO Extron Corporation…” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
            “Apa kau mau?” tanya Wehliye dengan suara paraunya.
            “Aku mau kau tolong aku…”
            “Kalau aku tak mahu?”
            “Kalau kau tak mahu….” Abram tersengih-sengih. Matanya tepat memandang Wehliye. Kemudian dia mengunjuk ke arah helikopter dengan hujung bingkai kacamatanya..           
            Wehliye menoleh. Mulutnya ternganga. Matanya mencerlang.
            “Abangggggggggggggg…” jeritan dan kelibat Asiya yang mengendong anaknya di pintu helikopter amat meruntun perasaannya.
            “Kau culik isteri aku! Binatang!”
            Tali leher Abram William ditarik. Mukanya disua ke wajah Abram. Hidung mereka hampir-hampir berlaga.
            “Hold it, hold it…” Abram mengangkat kedua-dua tangannya seperti orang menyerah kalah. Dia meminta Wehliye bersabar seraya menjeling ke arah pengawalnya yang sudah bersedia meletupkan wajah Wehliye dengan senjatanya.
            Perlahan-lahan Wehliye terpaksa membuka genggamannya di tali leher Abram. Dia mendengus dan meludah ke tanah meluahkan amarahnya.
            “Mr. Wehliye… let’s talk business!” kata Abram sambil tersenyum sumbing.
            Drama di depan mata itu disaksikan Jeffri dengan penuh persoalan. Nama Abram William dan Extron Corporation terus lekat di mindanya. Dia mesti mendapatkan maklumat terperinci siapakah Abram William. Mengapa dia menculik Asiya, isteri Wehliye. Dia mesti mendapatkan jawapan teka-teki itu secepat mungkin agar maklumatnya dapat disalur ke BISIK hari ini juga.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, October 14, 2012

FRAGMEN 18: GERAK GEMPAR



Photo credit: treehugger.com
Ibupejabat Extron, Houston, Amerika

ABRAM WILLIAM merenung ke luar jendela. Memantau pandangannya ke seluruh panorama bandaraya Houston. Sebuah demi sebuah bangunan pencakar langit singgah di matanya. Setiausaha Peribadinya, Theo Simon hanya membiarkan bosnya diam menyepi.
Theo tahu perangai Abram. Lelaki itu akan memandang ke luar jendela setiap kali dia mahu berfikir panjang. Setelah puas dia bersoal-jawab dengan dirinya sendiri ketika memantau panorama sekeliling, baharulah dia melahirkan pandangannya.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Extron Corporation, berita yang disampaikan Theo itu memeranjatkan. Dia tidak menyangka Datuk Rauzah menjadi mangsa penculikan lanun di laut. Baru dua minggu lalu dia di pejabat Quando Jabuti, Menteri Petroliam Ganezuela. Dalam pertemuan itu, nama Datuk Raudhah disebut-sebut. Bukan dalam konotasi yang indah. Sebaliknya, dalam nada keras dan tegang.

Imbas kembali: Pejabat Petroliam Ganezuela, Bandaraya Bahara

PINTU bilik dikuak. Abram William melangkah masuk tanpa mengetuk pun. Menyebabkan Quando berdiri dengan mulut tercebir.
            “Saya tak rasa, kita ada temu janji, Mr. William...” katanya.
            Abram tidak mempedulikan kata-kata itu. Malah, dia terus melangkah sambil mencekak pinggangnya. Mempamerkan wajahnya yang memerah kerana amarahnya. Dia menapak mundar-mandir di dalam bilik itu. Seolah-olah dia seorang sahaja yang berada di sini. Seolah-olah bilik ini dia pula yang punya.  Quando jelas tidak selesa dengan perangai Abram. Dia berdiri berpeluk tubuh. Menanti masa untuk menyuarakan ketidaksenangannya terhadap sikap kurang ajar pegawai minyak Amerika itu.
            “Mengapa awak begitu mudah mungkir janji?” selar Abram. Pandangannya tidak tertancap pun ke arah Quando. Sebaliknya dia hanya memandang sebuah lukisan abstrak di dinding bilik itu.
            “Janji apa yang awak maksudkan, Mr. William?” soal Quando kembali dengan suara tenang.
            “Nampaknya awak juga seorang yang pelupa!”
            “Kalau saya pelupa, awak patut ingatkan saya!” tingkah Quando.
            Abram berpaling. Dia memanahkan pandangannya ke wajah Quando. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri Menteri Petroliam Ganezuela itu. Quando tidak beranjak. Malah, dia juga sudah bersedia untuk berlawan kata dengan Ketua Pegawai Eksekutif Extron itu.
            “Okey... kalau begitu, biar saya ingatkan, Mr. Quando...”
            Quando mahu sahaja tertawa kerana Abram seperti orang gila meroyan. Bukannya dia tidak tahu apa yang hendak dibebelkan oleh lelaki itu.  Tetapi, biarlah. Biarlah Abram meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Selepas mendengar segala, biar dia pula membelasah lelaki itu dengan hujah-hujah balasan.
            “Lima tahun lalu, kami datang ke negara awak untuk menunjukkan di manakah terdapatnya emas hitam yang terpendam di perut bumi Ganezuela. Ketika itu, tiada seorang pun pemimpin di negara ini yang tahu Ganezuela mempunyai minyak. Malah, tiada sesiapa pun yang percaya. Kami ditertawakan pada waktu itu.
Tetapi kami datang juga membawa teknologi eksplorasi. Kami meneroka jauh ke dalam hutan Ganezuela untuk membuktikan apa yang kami tahu. Akhirnya kami menemui kekayaan yang boleh mengubah Ganezuela dari sebuah negara miskin menjadi negara yang terkaya di benua Amerika Selatan ini.
            Malangnya setelah segala-galanya hampir menjadi kenyataan, Ganezuela memungkiri janjinya! Segala jerih perih kami diketepikan begitu sahaja. Sebaliknya Ganezuela membuka tawaran kepada syarikat-syarikat lain hingga Petromal mendapat hak komprehensif!
            Di manakah janji kerajaan Ganezuela kepada kami... bahawa segala usaha sama kita selama ini akan berterusan hingga minyak yang digali dapat diproses dan dijual lalu keuntungannya dibahagi sama rata? Apakah Ganezuela tidak mempunyai etika untuk menghormati kami sebagai pengusaha asal? Mengapa kerajaan awak mengadakan rundingan dengan Petromal dan menamatkan kontrak carigali dengan kami? Adilkah?”
            “Adil!” jawab Quando, ringkas. “Kita hanya tandatangani perjanjian penerokaan untuk tujuan eksplorasi sahaja, Mr. Abram. Tidak ada perjanjian carigali, tidak ada perjanjian memproses, tidak ada perjanjian mengeksport. Dan tentu sekali tidak ada apa-apa perjanjian bertulis agar keuntungannya dibahagi sama rata!”
            Jawapan itu membuatkan mata Abram terbelalak. Marahnya kian membuak-buak. Mahu sahaja muka Quando yang separuh botak itu diluku sekuat hatinya. Mulutnya ternganga-nganga ingin menyatakan sesuatu. Namun, tiada satu perkataan pun yang terhambur.
“Tapi bukankah kita sudah sama-sama mengadakan perbincangan demi perbincangan mengenai eksplorasi, memproses dan mengeksportnya?” soal Abram.
“Kita hanya ada perjanjian eksplorasi. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.” Quando mengembalikan hujah kepada pokok persoalan. “Yang lain-lain hanyalah perbincangan.”
 “Tidak adil! Tidak adil bila Ganezuela membawa kami berbincang tetapi kemudian membuka tender carigali, memproses dan mengeksportnya kepada semua pihak! It doesn’t make sense!”
“We are always sensible, Mr. William... Extron juga menyertai tender terbuka ini. Tetapi akhirnya kabinet Ganezuela mendapati syarikat Malaysia, Petromal menawarkan pakej komprehensif kepada kami. Petromal bukan sahaja menawarkan kos carigali percuma.
Malah mereka menjanjikan perkongsian keuntungan yang berpatutan, membantu membangunkan industri minyak Ganezuela serta memindahkan teknologi petroliam kepada rakyat Ganezuela. Perkongsian menang-menang inilah yang membuat Petromal menjadi syarikat carigali minyak favourite bagi Ganezuela, sedangkan Extron dan lain-lain syarikat minyak hanya mahu berkongsi hasil pengeluaran semata-mata.
Kalau awak dalam kedudukan kami, saya percaya awak juga akan memilih Petromal!”
Abram tertunduk. Matanya terkelip-kelip memandang lantai. Liurnya ditelan. Seketika kemudian dia memandang Quando. Lantas dia menghampiri dan duduk. Membuatkan Quando juga turut duduk di kerusinya.
“Saya tahu perjanjian belum lagi ditandatangani...” bisik Abram lantas tersenyum-senyum. “Apa kata kalau Extron tawarkan apa yang Petromal janjikan? Extron akan bangunkan industri minyak Ganezuela, lakukan pemindahan teknologi petroliam dan kami sanggup lupuskan semua kos eksplorasi yang lebih US 500 juta itu.
Maknanya, Ganezuela tidak berhutang apa-apa dengan Ekstron sebelum perjanjian carigali ditandatangani. Setuju?”
“Setuju!” jawab Quando.
“Wow!” Abram tergelak-gelak bila mendengar respon Menteri Petroliam Ganezuela itu. Hatinya melonjak riang.
“Saya setuju kalau perkara ini dinyatakan sebelum kami membuka tender tempohari...” jawab Quando dengan senyuman perli. “Bukankah itu yang kami pinta sebelum ini kepada Extron? Tapi kamu tidak melayaninya. Kini segala-galanya sudah terlewat!”
Abram menumbuk meja! Berdentum bunyinya. Dengan wajahnya yang masih memerah, dia bangkit berdiri.
“Petromal! I hate that group!” jerit Abram. “Saya akan lakukan apa yang saya boleh untuk gagalkan perjanjian di antara Ganezuela dan Petromal! You just be careful!”
‘Klik’
Pintu sisi di bilik Quando terkuak. Datuk Rauzah kelihatan berdiri berpeluk tubuh! Mata Abram terbelalak. Dia tidak menyangka Ketua Pegawai Operasi Petromal itu ada di bilik sebelah. Pasti wanita itu mendengar apa yang terlontar di antara dia dengan Quando.
“Err... Datuk Rauzah...” sapa Quando. Sebenarnya dia juga turut terkejut bila wanita itu membuka pintu. Sebentar tadi ketika mendapat tahu akan kedatangan Abram, dia menangguhkan perbincangan dengan wanita itu lalu memintanya menanti sahaja di bilik sebelah.
“Tak mengapa, Mr. Quando...” kata Datuk Rauzah.
“Err... Datuk Rauzah... Kami hanya berbincang mengenai industri minyak,” tiba-tiba Abram bersuara. “Tahniah kerana Petromal terpilih dan akan menandatangani perjanjian dengan Ganezuela. Extron turut berbesar hati kerana kita bakal melihat Ganezuela maju sebagai negara pengeluar minyak. Saya ke mari untuk mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Mr. Quando.”
“Oh, ya ke?” jawab Datuk Rauzah dengan senyuman paling manis. “Saya tidak sedar awak datang ke mari. Saya ke bilik ini tadi kerana menjawab panggilan peribadi.”
Kata-kata Datuk Rauzah itu membuat Quando tertawa berdekah-dekah di dalam hati. Wanita itu pandai sekali menjaga air muka Abram yang kelihatan menggelabah bila tembelangnya pecah!
....................
‘KRINGGGGGGGG...’
Deringan telefon menyedarkan Abram dari lamunannya. Matanya menekur ke skrin kecil di telefon mejanya. Nombor itu amat dikenalinya. Dengan segera Abram mengangkat gagangnya.
            “Ya, tuan...”
            “Saya tahu awak dah tahu mengenai serangan lanun ke atas kapal Petromal tu...” Kedengaran satu suara parau di hujung talian.
            “Ya, tuan...”
            “Sekarang, aku hendak kau lakukan sesuatu. Jangan cakap apa-apa. Kau dengar aje arahan ini...”
            Dengan mata terkelip-kelip Abram mendengar dengan teliti apa yang disampaikan oleh si pemanggil. Sesekali dia terangguk-angguk tanda faham apa yang diingini oleh si pemanggil. Seketika kemudian Abram meletakkan gagang telefon.
            Buat beberapa ketika tapak tangannya menangkup mukanya. Setelah mengusap wajahnya, Abram mematah-matahkan jejarinya sambil menghela nafasnya dalam-dalam. Pandangannya teralih ke luar tingkap Dia memerhati pemandangan bandaraya Houston buat sekian kalinya. Namun fikirannya masih berputar dan mencari jalan untuk melaksanakan arahan yang baru diterimanya dari seseorang yang jauh lebih berkuasa dari dirinya. Perlahan-lahan bibirnya meleretkan senyuman. Lantas, dia menekan butang intercom.
            “Theo!” Abram memanggil Setiausaha Peribadinya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, October 6, 2012

FRAGMEN 17: GERAK GEMPAR



Photo credit: film.com
LAMA
juga Fariz membiarkan lelaki di depannya ini mengelamun. Entah apa yang difikirkan oleh lelaki itu. Mahu sahaja dia mengalih perhatian lelaki itu kerana BISIK perlukan maklumat sesegera yang mungkin. Seketika kemudian, Saleem mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa. Terkumat-kamit bibirnya. Setelah dia meraup wajahnya, Saleem merenung tepat ke wajah Fariz.
“Aku tahu kamu bukan rakyat Somalia. Kamu ini siapa? Bertugas di negara mana? Apa jawatan kamu?”
“Nama saya Fariz. Saya bertugas di sebuah agensi keselamatan di Malaysia….” kata Fariz.
“Oh… kamu seorang perisik. Aku tahu,” ujar Saleem seraya mengukir senyuman.
Kata-kata itu membuatkan Fariz terpana. Tidak menyangka bagaimana lelaki itu tahu jenis tugasnnya. Mungkinkah dia hanya menyerkap jarang? Tetapi, tutur kata dan jelingan matanya menggambarkan dia tahu apa yang dia perkatakan.
“Kalau kamu bukan bertugas di bahagian risikan di negara kamu, bagaimana kamu boleh mencari aku, abang Wehliye? Kerana itu, aku tabik dengan agensi kamu kerana begitu cepat mencari aku  di kota Madinah. Tapi, jangan gusar, Fariz…
Sebenarnya, dulu pun aku bertugas dengan National Security Service Somalia. Ia sama macam CIA, KGB atau agensi tempat kamu bertugas sekarang. Kerana salah guna kuasa, Presiden kami diguling dalam satu pemberontakan yang tak berkesudahan hingga ke hari ini. Agensi tempat aku bertugas turut dibubarkan.
Aku terpaksa menganggur, bekerja dengan kawan, kemudian jadi nelayan, jadi lanun dan jadi usahawan setelah bertaubat. Ah, cerita aku bukannya menarik, Fariz! Hmm… apa pertolongan yang kau mahu dari aku?”
“Kami hendak berhubung dengan Wehliye…” ujar Fariz.
“Oh, apa yang susah sangat? Telefon saja dia…”
“Dia tidak mahu jawab panggilan! Sudah banyak kali kami cuba bercakap dengannya!” kata Fariz.
Dahi Saleem berkerut seribu. Dia menekur memandang balutan di dadanya.  perlahan-lahan dia mengusap dadanya. Mungkin bisa tembakan mula terasa kerana kesan bius ubatnya sudah berkurangan.
“Mustahil Wehliye tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Biasanya, dia akan menanti pihak yang ditawan menghubunginya. Selalunya, dia hendak lekas-lekas tamatkan episod tawanan supaya dia cepat dapat habuan,” gumam Saleem.
Saleem meraba ke bawah bantalnya. Sebuah fonsel berwarna keemasan kini dalam genggamannya. Hati Fariz terus lega. Nampaknya tugas menghubungi Wehliye begitu mudah. Mungkin, bila abangnya sendiri yang menghubungi, Wehliye akan melayani.
Sambil terjeling dan tersenyum kepada Fariz, Saleem mula mendail. Kemudian dia melekapkan fonsel itu ke telinganya. Matanya terkelip-kelip menanti nada dering tanda panggilan diterima.
Beberapa ketika dia begitu. Kemudian dia memandang fonselnya. Fariz dapat mengagak, Saleem pun tidak dapat menghubungi adiknya itu. Saleem mencuba lagi. Kali ini, wajahnya berubah serius. Kerut seribu di dahinya kian menyerlah. Dia sendiri tertanya-tanya mengapa Wehliye tidak mahu menjawab panggilannya.
Saleem menekan-nekan lagi butang di fonsel. Nampaknya dia hendak menghubungi nombor yang lain. Atau mungkin juga orang lain.
“Asiya!”
Suara parau Saleem menarik perhatian Fariz. Siapa Asiya?
“Asiya? Di mana suami kamu?”
Dari soalan Saleem, Fariz dapat mengagak Asiya adalah isteri Wehliye.
“Panggil dia! Aku nak bercakap dengannya!”
‘Nampaknya, Wehliye kini ada bersama Asiya,’ kata hati Fariz.
“Apa? Oh… hmm…” kata Saleem lalu menutup fonselnya.
Saleem mengeluh dalam. Seolah-olah menyampaikan rasa terkilannya kerana adiknya tidak mahu menjawab panggilan. Rasa keterujaan di hati Fariz mula menjunam. Hatinya bertanya lagi,  bagaimanakah cara dia hendak menghubungi Wehliye.
Mereka berpandangan. Fariz mengharapkan Saleem berkata sesuatu, atau mencadangkan jalan menghubungi adiknya. Namun, Saleem berpaling lalu memandang kembali ke luar jendela. Tangannya kembali mengusap-usap lukanya yang berbalut di dada.
‘Lukanya sakit, atau hatinya yang pedih?’ tanya Fariz di dalam hati.

Baraawe, Somalia

“KENAPA abang tak bercakap dengan bang Saleem?” tanya Asiya seraya menghampiri suaminya sambil mengelek anak bongsunya yang berusia setahun. Mata si kecil kelihatan kuyu. Sesekali puting susu di mulutnya bergerak-gerak dinyonyot kanak-kanak itu.
            Wehliye hanya membatu. Dia duduk tersandar dan berlunjur di kerusi malasnya. Namun, dadanya kelihatan naik turun menahan amarah. Tidak suka isterinya campur tangan dengan segala urusannya. Pandangannya tidak berkelip memandang ke laut lepas yang membiru di depan matanya. Tidak memandang pun Asiya yang merenungnya.
            “Dia darah daging abang. Sepatutnya abang jawab panggilannya. Tak patutlah dengan abang sendiri pun tak mahu bertegur sapa. Abang sebagai adik harus hormat pada darah daging sendiri!”
            Sambil berleter, lengannya digoyang-goyang untuk mendodoi si kecil. Ternyata kanak-kanak itu sudah terbang ke alam mimpi. Seketika sahaja dia terlentuk di bahu ibunya. Wehliye tidak kisah dengan keadaan anaknya itu. Malah dia juga tidak peduli dengan apa yang terhambur dari mulut Asiya.
            “Apakah awak dah sibuk sangat sampai tak sempat lagi nak melayan bang Saleem? Masa kita susah dulu, dialah yang tolong kita. Dialah yang belikan susu untuk anak-anak kita Abas dan Amani yang sekarang semuanya dah besar panjang. Apa, abang tak ingat lagi?”
            Wehliye hanya memekakkan telinga. Satu perkataan pun tidak masuk ke dalam fikirannya. Dia sudah biasa mendengar Asiya berleter. Kerana itu dia sudah mangli. Wehliye bersiul-siulan. Jejarinya mengetuk-ngetuk meja kecil di sisinya. Satu gerak-geri tidak peduli yang cukup menyakitkan hati Asiya.
            “Huh!” kata Asiya sambil mendengus dan berlalu.
Perlahan-lahan Wehliye menoleh. Memandang punggung bulat isterinya yang melangkah pantas ke dapur. Sebuah senyuman terukir di bibir Wehliye.
            “Bos!” sapa Abdool.
            “Hmm!” jawab Wehliye seraya bangkit. Pandangannya dicerunkan ke tanah.
            Tidak sedar sejak bila Abdool sampai. Orang kanannya yang gempal itu segera menaiki anak-anak tangga. Empat orang lelaki mengekorinya. Mereka tidak mengikut Abdool naik ke beranda. Sebaliknya mereka berempat berdiri sebaris di tanah. Abdool tunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada ketuanya. Kemudian dia mendepangkan tangannya ke arah empat lelaki yang mengekorinya itu.
            “Saya ada bawak empat pekerja baru, bos!” kata Abdool. “Saya dah pilih betul-betul. Semuanya sesuai dengan kehendak bos!”
            Wehliye melangkah sambil memeluk tubuhnya. Menuruni anak-anak tangga, langsung ke tanah untuk menghampiri keempat-empat lelaki. Sambil menapak, dia memandang wajah-wajah lelaki itu. Bagai seorang jeneral membuat pemeriksaan perbarisan. Direnungi seorang demi seorang. Kesemua lelaki-lelaki itu tegap-tegap belaka. Kesemuanya muda-muda belaka kecuali lelaki yang terakhir. Dia kelihatan berusia.
            “Aku tak mahu orang tua, Abdool!” tegas Wehliye.
            “Betul, dia berusia,” jawab Abdool yang kini mengekori Wehliye. “Tetapi dia kuat! Tadi, aku tengok sendiri dia bergaduh dengan lima orang budak-budak kita! Semuanya tergolek, dia kalahkan!”
            “Hmm?”
Begitulah reaksi Wehliye dengan keningnya yang terangkat. Dengan bibir tercebirnya, dia merenung lelaki berusia di depannya. Lelaki itu membalas renungannya. Pandangannya sengaja dipanah terus ke dalam mata Wehliye. Hati Wehliye tidak tergugat pun. Malah dia menguntum senyuman.
“Siapa nama kamu?”
“Jabril!”
“Kenapa kulit kamu tidak gelap seperti kulit aku?”
“Aku berdarah campuran. Emak, orang Somali, ayah keturunan Arab.”
“Siapa ayah kamu?”
“Aku tak tahu!”
“Tak tahu?”
“Aku tak pernah kenal dia!”
“Oh, maknanya kau ni…”
“Ya. Aku anak haram!”
Jawapan itu membuatkan Wehliye tertawa terbahak-bahak. Semua yang lain tertawa termasuklah Jabril. Namun dengan ekor matanya satu perasaan amarah terpancar.
Ya, Jabril atau nama sebenarnya Jeffri Zain hanya menanti masa yang sesuai untuk bertindak!

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, September 30, 2012

FRAGMEN 16: GERAK GEMPAR



Photo credit:  networkoverseas.cc
Al-Mouwasat Hospital, Madinah

SUDIRMAN memang kenal ramai orang. Sebaik sahaja melangkah ke dalam bangunan hospital, ada sahaja orang yang ditegurnya. Ada sahaja orang yang menyapanya. Beberapa kali juga langkah mereka terhenti apabila ada kakitangan hospital yang mengajaknya berbual barang seketika. Fariz yang mengekori Sudirman sesekali tersenyum sendirian melihat keramahan lelaki ini.

Mungkin, oleh kerana Masjid Nabawi adalah pusat ibadah, ramai kakitangan hospital yang datang ke masjid itu pasti akan terpandang Sudirman melakukan tugas-tugasnya. Dari situ, mereka berkenalan dan menjalin persahabatan. Menjadikan Sudirman orang yang terkenal di hospital ini.

“Abang Man sememangnya kenal Saleem Amare. Dia tuanpunya syarikat haji dan umrah. Dalam setahun, sekurang-kurangnya sekali dia akan datang ke Madinah bersama para jemaah haji dan umrah ke sini…” kata Sudirman ketika mereka menanti lif.
“Setiap kali ke mari, Saleem pasti pinta abang Man kirim air zam-zam untuk jemaahnya di hotel.”
‘Perbuatan itu, haram!’ bentak hati Fariz.

Dahi Fariz berkerut mendengar penerangan Sudirman. Apakah Sudirman mengambil tong-tong air zam-zam yang digunakan di masjid untuk jemaah Saleem Amare? Jika itu yang dilakukan lelaki itu, sesungguhnya tindakan itu menyalahi kerana Sudirman mengambil barangan masjid untuk kegunaan orang lain.

“Nggak! Saya tidak gunakan tong-tong daripada syarikat saya…” jawab Sudirman. Seolah-olah dia mendengar bisikan di hati Fariz. “Saya beli tong-tong saya sendiri. Air zam-zam itu saya ambil melalui pertolongan kawan-kawan saya yang berkunjung ke kota Mekah!”

Fariz mengukir senyuman. Malu juga rasanya kerana su’u dzan dengan lelaki ini.

SEBAIK sahaja pintu kamar terkuak, Saleem Amare menoleh. Fariz lihat wajahnya tampak tenang sambil duduk berlunjur di katilnya. Dadanya berbalut. Terdapat tompok berwarna merah berbalam-balam di kain balutan itu. Wajahnya sedikit terkejut melihat kedatangan Sudirman bersama dirinya. Tiga orang lelaki yang menemaninya bergerak ke samping memberi ruang.

“Hei! Mana kamu tahu aku ada di sini? Sudirman… marilah duduk kat sini…” kata Saleem seraya mengunjuk kerusi berhampiran dengan katilnya. Seorang lelaki yang menduduki kerusi itu lantas bangun untuk memberi peluang Sudirman pula melabuhkan punggungnya.

Sudirman bersalaman dan memeluk lelaki itu. Kemudian tiba pula giliran Fariz berjabat salam dengan lelaki berusia lebih separuh abad itu.

“Hei… saya kenal awak!” kata Saleem sebaik sahaja menyambut salam Fariz. “Tadi, awaklah yang datang untuk mengambil foto saya bersama para jemaah…”

Fariz terangguk-angguk mengiyakan seraya tersenyum. Dia teringat kembali arahan yang diperoleh dari BISIK sebaik sahaja mengkhabarkan insiden tembakan ke atas Saleem. Dia perlu memperkenalkan dirinya kepada lelaki itu untuk meminta bantuan segera.
“Kami datang dengan satu tujuan penting,” kata Sudirman perlahan. 

Ketika dalam perjalanan ke hospital, Fariz telah menceritakan serba sedikit mengenai tujuannya menemui Saleem Amare dan meminta bantuan Sudirman untuk menyampaikan hasratnya.

“Apa yang pentingnya? Boleh saya tahu?” soal Saleem dengan tenang. Di wajahnya tergambar sedikit rasa hairan kerana Sudirman tidak pernah berbicara dengannya perkara yang lain, selain daripada urusan penghantaran air zam-zam ke hotelnya.

“Rakan saya ini ingin bertanya sesuatu..” ujar Sudirman.
“Sesuatu? Sesuatu apa?” soal Saleem seraya mengintai Fariz yang kebetulannya berdiri di belakang Sudirman.
Fariz lantas menghampiri Saleem dan berbisik, “Saya nak bercakap mengenai Wehliye! Wehliye Amare!”

Kening Saleem perlahan-lahan terangkat. Dia merenung Fariz dengan dahinya yang berkerut. Bagai tidak percaya apa yang dituturkan Fariz. Saleem mengeluh dalam. Kemudian mengisyaratkan kepada lelaki-lelaki yang berada di kamar itu untuk keluar daripada bilik itu.
Dengan isyarat mata, Sudirman pula memandang Fariz sebelum dia juga melangkah perlahan meninggalkan kamar itu.

“TUAN mesti bantu kami!” ujar Fariz dengan nada perlahan tetapi mendesak. “Kapal kami…”
“… diserang lanun yang diketuai oleh adik saya, Wehliye Amare? Betul?” sampuk Saleem menyudahkan mukadimah Fariz.
Fariz mengangguk.

Sebuah senyuman kecil terukir di bibir Saleem. Seketika kemudian dia tergeleng perlahan. Tampak sekali dia kecewa dengan khabar yang Fariz bawa. Lalu dia menoleh ke luar jendela. Memandang kenderaan yang melintasi jalanraya di hadapan hospital.
Beberapa ketika dia bagai berkhayal. Tidak peduli dengan kehadiran Fariz di sisinya. Sesekali matanya terkelip-kelip. Barangkali mengimbau kenangan lalu ketika dia sendiri menjadi seorang ketua lanun.

Fariz hanya membiarkan Saleem tenggelam dalam lautan fikirannya. Biarlah dia bertenang dan mengambil sedikit masa. Mudah-mudahan, setelah fikiran tenang, Saleem akan dapat membantu dengan sebaik-baiknya.
Sejak diberhentikan kerja berikutan dengan pemansuhan jabatannya, Saleem kembali ke kampung halamannya di bandar pelabuhan Baraawe. Rakan sekampung yang kasihan kepadanya yang menganggur menawarkannya kerja mengangkut kargo kapal.

Minatnya terhadap laut membuatkan dia bertukar haluan kerjaya menjadi nelayan pula. Dengan sebuah bot yang dibeli dengan wang simpanannya, mulalah dia meneroka ke lautan bersama adiknya, Wehliye dan beberapa orang anak-anak buahnya. Namun, masa depannya sebagai nelayan menjadi kelam apabila lautan Somalia tempat dia mencari rezeki sering dipenuhi dengan tumpahan minyak dari pelbagai kapal antarabangsa yang tidak peduli langsung dengan alam.

Malah, seluruh masyarakat nelayan sakit hati apabila rungutan-rungutan mereka terhadap pihak berwajib tidak dihiraukan. Kalau adapun tindakan diambil terhadap kapal yang melanggar undang-undang maritim, rasuah kepada mereka yang menguatkuasakan peraturan itu begitu berleluasa. Mereka yang bersalah, terlepas begitu sahaja kerana undang-undang boleh dijual-beli.

Akhirnya, apabila lautan dipenuhi minyak, apabila ikan-ikan pun mati dan para nelayan marah kerana tiada masa depan, mereka bertindak sendiri kerana dendam. Kapal-kapal perdagangan yang melalui lautan Somalia diserang. Segala harta benda anak-anak kapal dirampas sebagai balasan.

Lama kelamaan, kegiatan merompak kapal menjadi satu mata pencarian. Rompakan biasa di tengah laut berubah menjadi satu kegiatan yang menguntungkan bila mana bukan sahaja anak-anak kapal yang dirompak, malah anak-anak kapalnya dijadikan sebagai tebusan. Wang jadi pertukaran komoditi yang dibawa kapal.  Inilah fenomena sebenar mengapa banyaknya lanun di lautan Somalia.

Saleem bersama anak-anak buahnya juga terlibat. Dengan keuntungan yang diperoleh, Saleem menambah empat lagi bot dan menggajikan nelayan-nelayan yang menganggur untuk menjadi lanun. Banyak wang yang diperoleh dengan cara itu. Namun, kehidupan sebegitu bukannya pilihan sebenar Saleem. Dia sering mengalami igauan ngeri kerana sentiasa menghimpun dosa. 

Dalam satu kejadian yang tidak diingini, Saleem tertembak dua orang anak kapalnya dalam satu kejadian tembak menembak dengan pihak tentera Russia yang mengawal kapal dagang mereka. Kesal dengan apa yang terjadi, Saleem meratapi kematian mereka. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Kekesalan tidak boleh mengubah keadaan. Akhirnya, Saleem mengundur diri dari kegiatan melanun.

Kesemua bot-botnya dibakar di tengah laut. Harta benda rampasannya diberikan sahaja kepada lanun-lanun yang lain. Adiknya Wehliye juga dipujuk untuk berhenti menjadi lanun. Namun, Wehliye berdegil. Dia menyertai sebuah kumpulan lanun yang lain. Saleem pula naik ke darat dan mencuba nasib sebagai seorang usahawan hingga berjaya pada hari ini.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, September 22, 2012

FRAGMEN 15: GERAK GEMPAR



Photo credit: samakaynews.com


Bandar Merca, Somalia

BANDAR pelabuhan Merca terletak kira-kira 178 kilometer di Timur Laut Baraawe. Ia juga adalah perkampungan para nelayan. Seperti mereka di Baraawe, ramai di kalangan nelayan di sini menjadi lanun untuk menyara kehidupan.
Sejak turun dari bas, Jeffri Zain duduk di bangku. Memerhati orang yang lalu lalang. Tercari-cari sesiapa yang boleh membawanya ke tempat lanun-lanun berkumpul. Dia merancang, bila dapat memasuki ke perkumpulan mereka, dia akan menyusup ke dalam kumpulan Bad Holac. Ini akan memudahkan dia bertemu mata dengan Wehliye Amare, orang yang bertanggung jawab menahan Lancang Kuning di tengah Lautan Hindi.
Semuanya harus dilakukan segera. Setiap saat yang berlalu akan meningkatkan risiko situasi. Jeffri tahu keadaan semakin genting. Kerana itulah dia bergerak tanpa memaklumkan rancangannya kepada Tuan Aziz. Jeffri tidak sepatutnya bertindak sendirian. Tetapi begitulah perangai Jeffri Zain. Dalam banyak keadaan, dia selalu bertindak dahulu sebelum melaporkan apa yang dilakukan.

SUARA orang berbual dengan kuat menarik perhatiannya. Jeffri Zain tertoleh. Kelihatan dua orang lelaki yang bertubuh sendo. Mereka melangkah sambil berbual tanpa mempedulikan sesiapa yang berselisih dengan mereka. Bergerak dengan gaya meredah sehinggakan orang yang berselisih dengan mereka terpaksa mengepilkan diri untuk mengelak daripada dirempuh oleh dua lelaki ini.
Sambil berjalan mereka tergelak-gelak. Ada ketikanya mereka saling cabar mencabar pula seperti hendak bergaduh. Tidak peduli bila orang lain memerhati mereka. Malah, mereka kelihatan bangga berperangai yang menarik perhatian orang lain.
‘Hmm… perangai macam lanun!’ kata Jeffri di dalam hati. ‘Ke mana dia orang nak pegi, ni…’
Dia tersenyum seketika sebelum bangun. Kolar jaketnya ditolak menutupi leher. Visor topi besbolnya ditarik ke bawah untuk melindungi wajahnya sebelum dia melangkah mengekori mereka. Cuma Jeffri tidak sedar, langkahnya juga diekori seseorang!

JEFFRI terhenti seketika apabila kedua-dua lelaki itu memasuki sebuah bar. Bar? Liurnya ditelan, mulutnya berkerinyut. Dia sudah tidak mahu berkunjung ke tempat begini lagi. Dia sudah taubat. Sudah tiga tahun dia tidak meneguk arak setelah bertaubat nasuha sewaktu menunaikan haji. Namun, demi tugas, dia membuka langkah semula.
Bunyi muzik yang berdentam-dentum menyerbu ke telinganya sebaik sahaja pintu bar terkuak.  Bau asap rokok menyentap hidungnya. Matanya mula pedih. Nafasnya terasa sesak. Sungguh. Bau asap rokok yang biasa dihidu dan ditelannya dahulu bukan lagi satu nikmat baginya.
Dalam suasana gelap, bising dan sendat itu, Jeffri memantaukan pandangannya mengekori kelibat kedua-dua lelaki itu.  Mereka duduk di penjuru dewan bersama beberapa orang lagi teman-teman.
“Mau minum apa?” tanya pelayan bar, mengalih perhatiannya.
“Apa yang jadi favourite kat sini, itulah yang aku mau!” jawab Jeffri ringkas.
‘Astaghfirullahal azim...' Jeffri beristighfar hampir serentak di dalam hati. Memohon ampun kerana meminta minuman haram. Tetapi demi tugas dia perlu berlagak biasa.
Pelayan bar menghulur sekole minuman keras. Dengan berlagak tenang, dia mencapainya. Sambil memantau pandangannya ke seluruh dewan, jejarinya memutar-mutar kole. Berlagak seolah-olah sedang bersantai sebelum meneguk minuman itu.
“Terima kasih…”
Kedengaran suara di belakangnya. 

BELUM sempat Jeffri berpaling,  seorang lelaki sudah menyambar kolenya. Jeffri hanya memandang lelaki itu menggogok minumannya sampai habis. Setelah mengesat mulutnya dengan lengan baju, lelaki itu tersengih. Tiada rasa bersalah langsung yang terbayang di wajahnya.  
Jeffri hanya mendiamkan dirinya. Tidak mahu berbuat apa-apa. Mencari gaduh, jauh sekali dengan lelaki kulit gelap yang berikat kepala itu. Malah  dia bersyukur kerana dapat mengelak daripada meneguk minuman haram itu. Andainya lelaki itu tidak menyambar kolenya, tentu ada orang yang nampak dan tertanya mengapa dia tidak menghirup minumannya itu.
“Hei, aku tak pernah tengok engkau sebelum ini...” tegur lelaki itu.
“Aku dari Baraawe. Baru sampai ke mari pagi tadi,” jawab Jeffri.
“Apa kau buat kat sini?”
 “Aku nak cari kerja”
“Kerja? Kerja apa?”
“Aku nak kerja dengan Wehliye!”
Mata lelaki itu mencerlang.
“Wehliye?” soalnya.
Jeffri mengangguk. Lelaki itu menoleh ke kiri dan kanan. Tampak matanya menjelajah ke segenap bar. Petanda dia tidak mahu orang lain nampak akan dirinya.
 “Kalau benar-benar nak jumpa Wehliye, mari ikut aku…” bisik lelaki itu kemudian seraya menggamit Jeffri dengan jari telunjuknya.
‘Biar betul… mudah sangat ke nak jumpa si Wehliye ni?’ desis hati Jeffri lalu bangkit untuk mengekori lelaki itu.

JEFFRI
terpaksa menyelit di antara para pengunjung bar yang sesak itu. Dia dan lelaki itu akhirnya keluar ke lorong belakang bar itu. Lelaki itu berjalan pantas. Membuatkan Jeffri turut bergegas di belakangnya.
‘Kat mana dia nak bawak aku, ni?’ soal Jeffri di dalam hati.
Jeffri menoleh ke belakang. Lorong ini begitu sunyi. Dia mendongak ke atas. Tiada apa yang kelihatan kecuali pakaian yang tersidai di ampaian rumah-rumah kediaman di kiri kanan lorong. Jeffri memandang ke hadapan kembali.
‘Eh, mana dia pegi pulak?’
Lelaki itu sudah menghilang. Jeffri berasa tak sedap hati bila lelaki yang membawanya ke lorong ini tiba-tiba sudah ghaib. Tiba-tiba dia terasa desiran angin di tengkuknya. Petanda sesuatu sudah mendatang! Dia membongkok dan mengelak. Benar. Matanya menangkap seseorang tersasar lalu jatuh tersungkur di depannya.
‘Pukul curi! Serang hendap! Perangkap!’ kata-kata itu melintas di fikirannya secara berturutan.
Namun belum pun sempat dia bangkit berdiri, perutnya dihempuk oleh seseorang. Jefri menangkap kaki yang masuk menghenyak perutnya. Si penyerang lekas-lekas menarik kakinya. Menyebabkan kasutnya tercabut! Kesan tarikan itu mengakibatkan si penyerang jatuh terlentang. Jeffri  tercium bau tengik kasut si penyerang.
“Busuk!!!” pekiknya lantas dia melontar kasut si penyerang.
Kasut itu hinggap tepat ke muka si penyerang menyebabkan lelaki itu mengaduh kesakitan. Jeffri sempat tergelak seketika. Tetapi ekor matanya cepat menangkap sebiji penumbuk yang menuju ke wajahnya.
‘Oh, ada penyerang lagi rupanya…’

JEFFRI
menunduk dan lengannya sempat menepis pergelangan tangan si penyerang. Secepat kilat tangannya yang menghalang itu diturun dan rusuk si penyerang dihempuk dengan lengannya. Si penyerang terpelanting dan terbaring dalam keadaan tercungap-cungap. Pukulan Jeffri mengakibatkan si penyerang sesak nafas.
‘Oh… ramainya…’
Kini baharulah Jeffri sedar ada tiga lagi musuh yang mengelilinginya. Dia berdiri berpeluk tubuh. Kemudian perlahan-lahan kedua-dua tangannya didepangkan. Kuda-kudanya dipersiapkan kukuh menekan tanah. Bagai seorang pahlawan silat. Menanti mereka tampil menyerang.
“Kau orang nak apa? Nak gayung? Nak cekak? Atau… engkau orang nak merasa penangan Buah Pukul Mersing?” Jeffri memberi amaran.
Kata-katanya membuatkan si penyerang terjeling sesama sendiri. Mereka perlahan-lahan menghampiri. Kini ada lima orang penyerang yang mengelilinginya. Jeffri menghembus nafasnya perlahan-lahan. Tidak semena-mena, dia menggerakkan sedikit tubuhnya untuk mengacah mereka.
Tindakannya itu menyebabkan salah seorang daripada mereka tampil menyerang. Jeffri mengelak hingga si penyerang terbabas. Dengan menggunakan tapak kakinya, Jeffri menendang punggung si penyerang menyebabkan dia tersembam.
Yang lain tak berlengah-lengah lagi menyerbunya. Namun, Jeffri dengan tenang mengelak, menangkis dan melibas setiap orang daripadanya hingga mereka tertiarap dan tertonggeng di sekelilingnya dalam waktu tidak sampai lima minit.
Jeffri melangkah perlahan-lahan menghampiri semua penyerang-penyerangnya. Dia tergeleng-geleng kasihan melihat mereka mendengus kesakitan menerima pukulannya.
“Lain kali, tengoklah dulu siapa yang engkau orang nak samun…” Jeffri bergumam.
 Sambil melangkah, Jeffri meraba poket belakang seluarnya. Ingin memastikan dompetnya masih tersisip rapi. Tiba-tiba…

“HEI! Mana dompet aku? Mana dia?” Jeffri bertempik.
Jeffri memeriksa tiap seorang daripada mereka. Namun dompetnya tidak ditemui. Kerana marah, Jeffri menendang dan menumbuk musuh-musuhnya yang masih terbaring.
Hatinya semakin panas. Dia melangkah ke sana ke mari sambil bergumam. Ke mana dompetnya? Apakah salah seorang daripada mereka yang mencopetnya atau ia tercicir di mana-mana?
            “Mana dompet aku?” Jeffri melaung lagi.
Jeffri terdengar bunyi tepukan. Dia menoleh ke celah sebuah lorong kecil berhampiran. Dari sebalik tiang, muncul seorang lelaki yang berikat kepalanya. Dialah lelaki yang merampas minuman kerasnya di bar sebentar tadi. Dialah juga lelaki yang mengajaknya ke mari.
“Bravo, bravo, bravo…” kata lelaki itu seraya terus bertepuk sambil tersengih.
Jeffri bingung.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...