Sunday, October 27, 2013

FRAGMEN AWAL GERAK GEMPAR


 
Photo credit: arjamal.instagram
FRAGMEN AA

Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur
 

3.50 PETANG. Jalan Pantai Baru menghala ke Jalan Bangsar dipenuhi kenderaan. Keadaan semakin sesak bila sebahagian jalan ditutup untuk kerja-kerja menyenggara tiang jejambat LRT. Kerana keadaan itu, lampu trafik yang berfungsi pun gagal menyurai kenderaan dengan lancar. Anggota polis trafik juga belum sampai untuk bertugas melancarkan lalulintas.

            Fariz Zafar turut gelisah. Jejarinya mengetuk-ngetuk stereng untuk mengurangkan stres. Sudah dua kali lampu bertukar hijau dan kemudiannya merah. Namun dia tidak sempat melepasi lampu. Mengapalah kereta BMW di depannya ini perlahan sangat?

Fariz bimbang lewat. Setengah jam tadi dia keluar dari Damansara One membawa beg pakaian untuk ke KLIA. Oleh kerana dia baru pulang dari operasi di Pulau Pinang pagi tadi, dia tidak sempat mengemas pakaian. Baju kotornya dihempuk sahaja ke dalam mesin basuh. Baju bersih dari ampaian diperuk-peruk sahaja ke dalam beg pakaiannya sebelum dia berlari menuruni tangga. Lif? Ah, berlari lebih cepat untuk sampai ke bawah.

SEPULANGNYA dari operasi pada jam 8.00 pagi tadi, dia ke Biro Risikan Negara untuk melapor diri, menulis laporan, mengisi borang tuntutan dan menyerah segala peralatan perisikan ke pejabat. Walaupun dia tidak suka kerja-kerja pejabat, dia mesti bereskan kesemuanya. Kalau tidak dia akan kena leter.

            “Kalau engkau malas isi borang claim, akak tak nak tolong hantar kat admin. Nanti,  bila pokai sebab tak dapat duit claim, jangan buat muka seposen kat akak!” rungut Normala Mustakim rakan sejawat dan mentornya. “Laporan tu kena siap pagi ini jugak. Bos nak tengok. Kalau Fariz tak buat, akak yang kena bebel, tau!”

            “Okeylah, okeylah kak. Akak ni bisinglah. Orang tengah fikir nak susun ayat laporanlah ni,” jawab Fariz dengan wajah mencuka.

            “Eh? Mengarang pun tak pandai? Masa sekolah dulu, BM dapat berapa? Ha, itulah… orang suruh kau pergi sekolah, engkau panjat pokok pisang!”

            Normala sempat menangkap pen yang dibaling geram oleh Fariz sebelum melontarnya kembali kepada ejen itu. Dia tahu Fariz meluat dengan leterannya. Tapi dia memang suka menyakat ejen itu.

LAMPU bertukar hijau. Fikiran Fariz kembali ke situasi dan saat ini. Beberapa buah motorsikal yang berada di hadapan garisan sudah bergerak. Fariz bersedia untuk menukar gear. Menanti BMW di hadapannya memecut.

            Namun kereta itu tidak dapat bergerak kerana ada sebuah motorsikal di hadapannya. Nampak seperti rosak bila si penunggang kelihatan beberapa kali cuba menghidupkan enjinnya. Si pembonceng kelihatan tertoleh-toleh ke arah BMW itu.

            Kedengaran bunyi hon BMW. Kenderaan lain di belakang kereta Fariz pun menekan hon. Menzahirkan geram. Walaupun perasaannya mula hangat, Fariz cuba bersabar. Menanti motorsikal di hadapan BMW itu bergerak atau beralih ke tepi. Kelihatan pemandu BMW itu keluar dari kenderaannya. Nampak tangannya terkirai-kirai memarahi penunggang dan pembonceng motorsikal itu.

            Fariz separuh tergelak melihat gelagat orang kota. Terasa seronok bila dapat melihat orang bertekak. Terlupa seketika yang dia juga makin lewat. Tiba-tiba Fariz terkejut bila si pembonceng mengeluarkan pistol!

            ‘Tam! Tam! Tam!’

“Wo, wo, wo! Apasal engkau tembak dia?” gumam Fariz. “Aku dah lambat ni! Korang ni ada-ada saja lah!”

            Dia meraba-raba mencari pistol di pinggangnya.

‘Alamak! Aku dah pulangkan…’ katanya di dalam hati. Fariz teringat pistolnya telah diserahkan ke pegawai logistik sepulangnya dari operasi pagi tadi.

Fariz membuka pintu dan lekas-lekas keluar mengejar mereka. Tanpa mempedulikan pemandu BMW yang terhencut-hencut dan tersandar di tiang jejambat LRT. Dalam keadaan kelam-kabut, motorsikal penjahat itu melelong sebelum menghentam bonet lori pikap di depannya. Pada kesempatan ini, Fariz melompat dan menerkam pembonceng motorsikal.

            ‘Pistol! Pistol! Pistol!’ Fariz mengingatkan dirinya.

            Tangannya segera mengagau pistol yang tersisip di pinggang si pembonceng motorsikal. Kini pistol itu dalam genggamannya. Berlaku pergelutan bila si pembonceng cuba merampas pistol itu.

            ‘Tam!’
           
            Tanpa teragak-agak Fariz melepaskan tembakan. Dia sempat memandang seluar lelaki itu berasap. Darah merah kelihatan meresap di bahagian lutut lelaki itu. Wajah si pembonceng motorsikal yang pada mulanya tampak garang sudah berubah panik. Fariz menendang lelaki itu. Dia jatuh terduduk. Fariz segera menghalakan pistolnya pula kepada penunggang motorsikal pula. Lelaki itu cepat-cepat mengangkat tangannya.

            Walaupun lelaki itu sudah menyerah kalah, tanpa teragak-agak Fariz melompat dan menendang muka si penunggang motorsikal. Sengaja memberi shock treatment. Penjenayah mesti diajar kerana mereka kurang ajar! Biar dia bertindak sebelum dia diapa-apakan pula. Lelaki itu jatuh terlentang. Tangan kanannya menghentak ekzos.

            “Arghhhhh….” Dia terbangun secara spontan bila tangannya terkena ekzos motorsikalnya yang panas.

            Fariz mahu sahaja menyembur tertawa melihat lelaki itu meniup lengannya. Dalam situasi yang genting itu pun masih ada komedinya. Tetapi dia menyimpan sahaja tawanya di dalam hati. Fariz menyasarkan pistol ke arah kedua-dua lelaki itu. Mereka berdua mengangkat tangan. Tinggi kerana panik. Mereka tidak menjangka, kerja mudah membunuh orang menjadi susah bila bertemu Fariz Zafar.

            “Woi! Apa hal?”

            Fariz menoleh. Seorang anggota polis trafik yang bertugas mengawal lalulintas di persimpangan itu baru tiba. Dia memarkir motorsikalnya di bawah jejambat LRT.

            “Dia orang gangster, bang! Dia baru tembak mangsa. Tahan diaorang.” ujar Fariz seraya menyerahkan pistol kepada anggota polis itu.

            Anggota PDRM itu memandang kedua-dua penjahat itu. Kemudian pandangannya tertumpu pula pada pemandu kereta BMW yang sudah terbaring. Dia nampak cermin kereta BMW yang ditembusi peluru. Kesemua bukti visual itu sudah cukup untuknya bertindak. Dia segera menghubungi ibupejabat meminta bantuan.

            “Bang! Pinjam motor, bang!”

            Anggota polis itu tertoleh. Terkejut terpandang Fariz sudah menunggang motorsikalnya. Beg pakaian sudah tersandang di belakangnya.

            “Abang pakailah kereta saya tu. Saya bagi pinjam. Dua minggu!”

“Woi!” laung polis itu. Memandang Fariz yang mula menjauh.

            “Ambil motor abang ni kat KLSentral! Saya dah lambat ni! Nak pergi umrah!” jerit Fariz, meninggalkan anggota PDRM itu dalam keadaan bingung.
 
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, October 13, 2013

FRAGMEN A: GERAK GEMPAR



Photo credit: carikedai.my

A

Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

4.00 PETANG. Semua videocam sudah terpacak di tripod masing-masing. Kamera saluran-saluran televisyen utama Malaysia, RTM, Bernama TV, Astro Awani, TV Hijrah dan TV3 sudah diatur menghadap ke arah sebuah rostrum di bilik pejabat Perdana Menteri Malaysia.
Sambil menanti rakaman khas dari PM, para jurukamera dan wartawan kini bersembang sesama mereka. Perbualan masing-masing tampak serius membicarakan apa yang akan berlangsung secara live sebentar nanti. Namun kadangkala perbualan mereka disulami dengan gelak ketawa. Tetapi tidak kuat dan lepas seperti mana lazimnya kerana menghormati tempat mereka berada – di bilik pejabat Perdana Menteri. 
Sekali-sekala ada di antara mereka yang tertoleh ke pintu masuk bilik itu. Mengharap PM akan muncul. Kerana itu, bila pintu terkuak, masing-masing terhenti berbual. Tetapi perbualan mereka diteruskan kembali bila orang yang muncul bukannya PM, sebaliknya para pegawai JPM.
Seorang dua wartawan mula memandang jam dinding. Ada yang mula bertanya kepada pegawai yang berada di bilik itu. Mereka tidak sabar lagi menunggu. Mereka datang beramai-ramai kerana dipanggil oleh Jabatan Perdana Menteri kerana ada pengumuman penting yang akan dibuat PM. Tetapi, di mana PM? Bila lagi PM akan muncul? Pintu terkuak…
“Asalamualaikum…”
“Waalaikumsalaaaaam…”
Panjang jawapan para wartawan menyahut ucapan salam PM. Masing-masing memandang lelaki tinggi dan segak yang memasuki ruang bilik ini. Mengekori pergerakan lelaki penting Malaysia ini melangkah ke rostrum. Beberapa orang wartawan yang hampir dengan PM menghulurkan tangan bersalaman. PM menyambutnya dengan senyuman.
“Hensemlah PM pada petang ni!” tegur seorang wartawan wanita.
“Saya yang hensem ke baju saya yang cantik, Nora?” soal PM kembali kepada Norazwani, wartawan Sinar Harian yang dikenalinya.
Jawapan itu disambut dengan gelak ketawa anggota media yang lain. Masing-masing ingin menceriakan suasana. Maklumlah, sesekali bila bertemu PM di majlis yang khas untuk anggota media, mereka tidak mungkin mahu memeningkan kepala PM dengan pelbagai soalan yang akan menimbulkan masalah kepada pemimpin itu. Lebih-lebih lagi di majlis yang amat penting dan bermakna pada petang ini.
“Datuk Seri nampak konfiden. Macam boleh menang, aje,” celah seorang wartawan senior yang bermisai dan berjambang.
Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa lagi. PM hanya tersenyum dan terangguk-angguk. Beliau turut ceria bila mendengar pujian itu. Di hatinya, kata-kata wartawan itu ada benarnya. Memang dia yakin. Amat yakin dengan apa yang bakal dilaluinya.
Wajah PM mula serius sebaik sahaja beliau berdiri di belakang rostrum. Jurumekap yang berdiri berhampiran lekas melangkah dan menyapu wajahnya dengan kertas tisu. Tali leher PM dikemaskannya agar elok di lensa kamera. Kamera kesemuanya sudah terpasang untuk merakam pengumuman PM yang akan dibuat sebentar lagi.
Jurukamera Bernama TV mengangkat tangannya. Mengembangkan kelima-lima jarinya. Kemudian dia menguncupkan jejarinya dan membuka empat jari, kemudian… tiga jari, dua jari dan akhirnya mengunjuk isyarat bagus menandakan PM boleh mula berucap.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dapat bersama-sama pada petang ini. Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa pada pagi tadi saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyerah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya parlimen dibubarkan pada hari ini, Rabu 6 Mei 2019.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, baginda telah berkenan bagi parlimen ke-15 dibubarkan berkuatkuasa hari ini. Justeru itu saya menasihat ketua-ketua kerajaan negeri berkenaan untuk menghadap ketua menteri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran dewan undangan negeri masing-masing bagi pilihanraya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.”

PENGUMUMAN Perdana Menteri itu menjadi tumpuan di seluruh tanah air. Skrin-skrin TV di jabatan-jabatan kerajaan, kafe dan kopitiam, dewan dan kantin, lapangan terbang, stesen keretapi dan komuter, teksi dan bas serta di ruang-ruang tamu kediaman menjadi tatapan rakyat pada ketika itu. Rakyat yang menanti pembubaran parlimen untuk pilihanraya umum ke-15 berasa teruja kerana akhirnya Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran parlimen yang akan diikuti dengan PRU-15.
            Di jalan-jalanraya, kenderaan membunyikan hon tanda gembira. Rakyat gembira kerana sekali lagi mereka berpeluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi. Pasaran saham ditutup lebih rendah kerana sentimen pasaran yang lebih berhati-hati menjelang pilihanraya.
            Di kementerian-kementerian kerajaan, para menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, setiausaha akhbar dan semua petugas politik sudah mula berkemas. Mereka bersedia untuk meninggalkan bilik dan meja masing-masing. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
            Jika ada rezeki, mereka mungkin kembali ke kementerian yang sama, ke kementerian yang lain ataupun angkat kaki bila tidak diperlukan khidmat oleh Perdana Menteri selepas pilihanraya umum kelak. Lebih malang lagi, mereka harus bersedia untuk meninggalkan jawatan andainya pak menteri gagal sebagai calon pilihanraya.
            Ini adalah di antara sepak terajang dunia politik. Mereka yang menjawat jawatan politik sudah semestinya tahu akan realiti ini dan bersedia untuk menerima baik dan buruk keputusan PRU akan datang dengan hati terbuka.
            Datuk Seri Perdana Menteri pun tahu apa yang bakal dihadapinya. Demokrasi. PM akan akur dengan keputusan pilihan rakyat. Justeru itu dia harus bersedia untuk menjulang kejayaan mahupun berundur jika tewas dengan parti lawan. Bersedia untuk terus duduk di kerusi pemimpin negara ataupun pemimpin pembangkang di parlimen!

Nota: Fragmen ini adalah fragmen prekuel bab-bab sebelum ini...

Sunday, September 22, 2013

FRAGMEN 49: GERAK GEMPAR


Photo credit: creativeuncut.com

SETELAH menukar uniform kedua-dua pengawal itu dengan pakaian mereka, Fariz dan Jeffri membaringkan kedua-duanya bersebelahan. Tubuh mereka diletakkan mengiring membelakangkan CCTV, seolah-olah pengawal-pengawal itu sedang tidur untuk mengaburi musuh seolah-olah yang tidur itu adalah mereka.


Dengan pantas Fariz dan Jeffri keluar dari sel. Seketika sahaja mereka sudah berada di kawasan semak di sebelah parkir kenderaan. Sebuah lori menghantar makanan kelihatan baru keluar daripada bangunan kantin. Sebaik sahaja lori itu melewati mereka, Fariz dan Jeffri segera mengejar dan melompat ke ruang simpanan barang di bahagian belakang lori itu.

Lima kilometer perjalanan, tatkala lori itu mendaki bukit, Fariz dan Jeffri mengambil kesempatan untuk terjun. Mereka segera bergerak dan menyusup ke dalam kawasan semak menuju ke hutan. Fariz berhenti berjalan lalu mengeluarkan alat komunikasi yang tersisip di bahunya.

“Nanti dulu…” Jeffri melarang.

“Alat ini gunakan sistem MAGNAS, bang. Malaysian Global Navigation System! Musuh tak dapat kesan dengan sistem ini… Abang tak ingat, ke? kata Fariz.

Betapa pun, Fariz tak jadi menekan punat untuk menghubungi BISIK. Mungkin Jeffri ada sebab lain mengapa tidak mahu dia berbuat begitu.  Namun, dia masih tertanya di hati mengapa Jeffri melarangnya.

“Kalau kita hubungi BISIK sekarang, mereka akan beri arahan baru. Sekarang, kita ada tugas yang belum selesai. Biar kita selesaikan tugas tu dulu baru kita hubungi BISIK.”

“Tugas apa?” tanya Fariz seraya melangkah mengekori Jeffri.
            Jeffri tidak menyahut. Sebaliknya dia bergerak semakin jauh ke dalam hutan. Memaksa Fariz mengekorinya.


DARI jauh, bunyi air terjun kedengaran mendesah. Suasana semakin dingin bila rintik-rintik airnya merenjis ke muka. Fariz menyapu wajahnya. Dari celah-celah dedaunan dia nampak air terjun meluncur laju dari ketinggian 20 meter. Fariz menguak dedaunan untuk menyaksikan kecantikan ciptaan Ilahi.

            Tiba-tiba dia tersedar Jeffri sudah pun melangkah batu-batu untuk ke kawasan jeram yang mengunjur menjadi sungai yang mengalir laju. Walaupun masih tidak tahu mengapa Jeffri bergerak ke mari, namun Fariz hanya mengikuti.

            Sepuluh minit melangkah mereka tiba ke kawasan sungai yang agak luas selebar lebuhraya enam lorong. Airnya dingin dan jernih. Fariz melangkah pantas bila melihat Jeffri terbongkok-bongkok  mengangkat sesuatu. Fariz menghampiri.

Alangkah terkejut bila melihat Jeffri sedang mengangkat mayat. Mayat anggota PASKAL yang lengkap beruniform.
            “Ini mayat anggota Ops Sambar!” Fariz mengagak.

“Hmm,” jawab Jeffri ringkas. “Mari kita uruskan. Kita cari yang lain. Ada empat lagi mayat…”

Tanpa berkata lagi kedua-duanya meredah semak samun. Jeffri yang melihat kejadian pembunuhan itu semalam dengan mudah dapat mengesan lokasi mayat-mayat itu. Mereka berdua mengusung mayat-mayat itu ke sebuah kawasan lapang dan menyusunnya bersebelahan.

Fariz meletakkan kesemua jenazah itu melintangi kiblat dengan kepalanya di sebelah kiri. Kemudian dia melangkah ke sungai berdekatan dengan Jeffri untuk mengambil wuduk.

 
DOA Jeffri pada senja itu agak panjang. Suaranya amat perlahan, bergumam dan berbisik dengan penuh khusyuk memohon kehadrat Illahi agar diampunkan dosa mereka. Fariz yang mengaminkan doa itu turut berasa sayu dengan nasib yang menimpa perajurit yang gugur di medan juang.

‘Mereka menemui ALLAH SWT dalam sebuah misi menyelamatkan seorang warganegara yang berada dalam bahaya. Mereka gugur tatkala berjuang mempertahankan maruah negara. Semoga mereka syahid dunia. Semoga mereka juga syahid di akhirat nanti,’ detik hati Fariz.

Sesungguhnya mereka yang mati syahid tidak perlu dikafankan. Memadai mengkebumikan mayatnya lengkap dengan pakaian tatkala menemui maut. Biar berdarah sekali pun adalah tidak mengapa. Mereka juga tidak wajib disembahyangkan. Namun, jika ingin disembahyangkan, ia tidak mengapa.

 “Aku dah jumpa liang untuk kebumi jenazah-jenazah tu,” kata Jeffri ketika mereka bersalaman setelah menyempurnakan solat jenazah.


“MASYA-ALLAH…” seru Fariz sebaik sahaja dia melangkah menghampiri kawasan yang dimaksudkan.

            Fariz melihat sebuah liang yang luasnya cukup untuk memuatkan lima jenazah. Dalamnya pun hampir menghapus kepalanya. Di dalam hutan, di kawasan tepian sungai, keadaan topografi di situ tidak memungkin terdapatnya sebuah lubang sebesar dan sedalam itu. Seolah-olah, ALLAH telahpun menyediakan sebuah liang untuk mereka.

            Dengan perlahan, satu demi satu jenazah itu dibawa dan dimasukkan ke dalam liang. Kesemuanya diletakkan mengiring menghadap kiblat dan sebelah menyebelah.  Yang memisahkan di antara jenazah-jenazah itu hanyalah batang-batang kayu.

            Usai menyudahkan kerja itu, Fariz dan Jeffri mengumpul batu-batu dari kawasan sungai. Kemudian batu-batu itu dimasukkan ke dalam liang hingga menutupi jenazah-jenazah itu. Kemudian kayu-kayu besar ditimpakan ke atas batu-batu itu.

Sekali lagi sebelum berangkat, kedua-duanya menadah tangan sambil berdoa. Memohon ke hadrat Illahi agar roh mereka yang gugur di dalam pertempuran Ops Sambar dihimpunkan bersama mereka yang syahid. Amin. 

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, September 1, 2013

FRAGMEN 48: GERAK GEMPAR



Photo credit: northlandchurch.net
DUA orang pengawal yang menonton dari skrin TV di bilik kawalan nyata terkejut dengan apa yang mereka lihat. Mereka tidak menyangka Jeffri ada senjata dari kasutnya. Namun hanya seketika sahaja mereka kaget. Pada saat berikutnya mereka tertawa dan bertepuk tangan. Menanti tayangan percuma yang menjanjikan percikan darah sebagai hiasannya.


FARIZ mesti lebih berhati-hati. Luka pisau memang tidak sakit pada mulanya. Tetapi bila sudah terhiris, rasa bisanya akan segera menjalar ke seluruh tubuh. Tempat yang luka akan pedih.

Dia memerhati Jeffri menyusun langkah. Sambil itu dia menjarakkan dirinya dari ejen senior itu. Bersedia mengelak seandainya Jeffri cuba melibasnya. Matanya terjeling ke kamera CCTV di sudut bilik. Fariz tahu apa yang berlaku di sel ini pasti dalam perhatian para pengawalnya.

Jeffri turut melemparkan sekilas pandang ke arah kamera itu. Kemudian mata-mata mereka bertembung lagi. Jeffri tercebir. Fariz pula menjuihkan bibirnya. Menampakkan rasa meluatnya terhadap ejen senior itu. Dia ada rancangan bila serangan dilakukan Jeffri.

“Hahhh…”

Jeffri bingkas menyerang. Dia menendang menggunakan kaki kiri dan kanannya. Langkahnya pantas. Bertubi-tubi hingga menyebabkan Fariz terundur-undur. Kilatan mata pisau di tumit kasutnya kelihatan berkilau dibias cahaya lampu. Akhirnya Fariz tersandar ke dinding. Namun, Jeffri tidak berhenti. Dia bergerak menghampiri. Kali ini, Fariz tidak dapat menahan bila Jeffri melibas laju dari arah sebelah kanannya.

“Arghhh…”

Kepala Fariz terpaling. Dengan tangannya yang terikat, dia tidak dapat mengimbangi tubuhnya. Lalu jatuh tersembam. Melihatkan keadaan Fariz, Jeffri semakin bersemangat menendang hingga ejen muda itu terguling-guling kesakitan.


DUA pengawal yang menyaksikan pertempuran di dalam sel itu mula kaget bila melihat Jeffri terus menendang tanpa henti hingga Fariz tidak bergerak. Jeffri pula tergelak-gelak sebelum menghumban tubuhnya ke atas Fariz. Sambil duduk berlunjur, dia melepaskan tawanya seperti orang gila. Suaranya bergema dan menggaung memenuhi ruang sel.

Melihat keadaan itu, MEREKA bercakap sesama sendiri. Mereka kelihatan takut pula kerana salah seorang tawanan sudah separuh nyawa. Mereka boleh dikenakan tindakan kerana tidak menjaga tawanan. Kerana itu Fariz perlu diasingkan daripada Jeffri yang nyata sudah separuh gila.


PINTU sel dibuka. Mereka masuk. Kelihatan Jeffri masih lagi tertawa hingga terbaring. Matanya berair akibat begitu seronok ketawa. Salah seorang daripada pengawal itu mengheret Jeffri ke sudut bilik. Sementara yang seorang lagi menepuk-nepuk pipi Fariz yang sudah kaku.

“Orang ini sudah mati,” kata pengawal yang sedang memegang Fariz.

Mendengar kata-kata itu, pengawal yang seorang lagi jadi panik. Jeffri pula semakin kuat tawanya. Membingit ke telinga kedua-dua pengawal. Pengawal yang mengheret Jeffri pula datang menghampiri. Dia pula yang menepuk-nepuk pipi Fariz.

Memerhati Fariz tidak bergerak dengan matanya yang terpejam. Pengawal itu tidak puas hati. Pipi Fariz ditepuk-tepuk lagi. Kali ini semakin kuat. Tiba-tiba Fariz membuka matanya. Dengan pantas tangannya menggagau pistol yang tersisip di pinggang pengawal itu dan melontarnya ke sudut bilik.

Tindakan itu cukup untuk membuatkan pengawal itu tergamam. Kedengaran sebuah jeritan. Rupa-rupanya pengawal yang seorang lagi sudah dikerjakan Jeffri. Dalam kebingungan, tiga tumbukan padu singgah ke pipi kiri dan kanan pengawal itu. Satu lagi tetakan singgah ke lehernya. Dia terus tumbang.

“Kali ini saya pulak dah selamatkan Jeff…”ujar Fariz seraya mengheret pengawal yang dibelasahnya.

“Baru dua-satu… aku dah selamatkan kau dua kali! Kau ada hutang dengan aku!” jawab Jeffri seraya tersengih.

Ketika Fariz memandang kamera CCTV, Jeffri cepat memahami yang Fariz mengajaknya berbuat helah. Fariz yakin, Jeffri cepat menelah ia adalah taktik untuk melepaskan diri. Mulai saat itu mereka mula berdrama.

“Jeff masih ada pisau kat kasut? Gajet lama, tu…” kata Fariz.

“Memang gajet lama. Tapi lebih berkesan. Aku tak suka gajet bom dalam kasut macam yang kau orang sekarang guna. Macam berjalan atas jerangkap samar!” ujar Jeffri. “Tapi, macam mana kau boleh lepaskan ikatan?”

Soalan itu membuatkan Fariz tersenyum.

“Magis, bang… magis!”

Bersambung Ahad depan, insya-ALLAH...

Sunday, August 25, 2013

FRAGMEN 47: GERAK GEMPAR



Photo credit: examiner.com

Kem Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

‘DUMMMM!’
Bunyi pintu besi gelongsor yang terkatup menyedarkan Fariz. Matanya terbuka. Ingatannya segera terfokus kepada keadaan dan situasinya. Dengan spontan dia ingat kembali di mana dia berada. Telinganya terpasang. Dalam keadaan terbaring, tendengar bunyi langkah seseorang menghampirinya.
“Engkau, hidup lagi. Ingatkan dah mati!” Kedengaran seseorang bergumam.
Mata Fariz terbuka luas. Dia kenal suara itu. Dan dia tidak senang dengan komen itu. Lalu dia membalikkan tubuhnya. Lantas terpandang Jeffri yang duduk terlunjur berhampiran dengan pintu.
Tangan lelaki itu terikat ke belakang. Kakinya terhala ke wajah Fariz. Membuatkan dia sedikit tidak senang. Neneknya kata, tidak molek menjulurkan kaki ke muka orang. Itu kelakuan orang kurang ajar.
“Saya ingat, abang dah terlepas. Rupa-rupanya… jadi tawanan macam saya jugak!” bidas Fariz pula seraya tersenyum sinis.
 “Aku datang balik sebab nak selamatkan engkau, Farid!”
“Fariz… nama saya Fariz…” Fariz membetulkan sebutan namanya.
“Apa-apalah… Farid ke, Fahrin ke, Fariz ke… yang penting aku kasihankan budak macam engkau!”
“Nak selamatkan saya, dengan tangan terikat?” perli Fariz.
Jeffri merenung Fariz lalu tercebir. “Dah berpuluh kali aku jadi tawanan. Berpuluh kali juga satu badan aku terikat… dibalut dengan kain… diselubung dengan  guni…
tertiarap… terendam dalam air… tergantung macam kelawar… apa yang aku tak pernah rasa? Tapi setiap kali aku kena tawan, setiap kali juga aku akan terlepas.”
“Insya-ALLAH terlepas… tak baik abang bercakap tanpa lapik insya-ALLAH!” Sekali lagi Fariz memperbetul kata-kata Jeffri.
“Yang engkau nak ajak aku bertekak ni, apahal?” sergah Jeffri.
Dari kedudukan terbaring, Fariz bangkit dan duduk berlunjur. Tubuhnya dihempuk hingga tersandar ke tembok. Ada sesuatu yang mesti ditunjukkannya kepada ejen senior itu. Dalam keadaan terikat dan terkurung ini, dia mesti lakukan sesuatu dengan segera. Tindakan biar kemas, pantas dan jitu.
“Salah ke saya perbetulkan cakap-cakap abang?” soal Fariz dengan wajah berang.
Matanya terjeling ke siling di sudut bilik. Jeffri mengekori jelingan mata Fariz. Lalu terpandang kamera CCTV di situ. Namun pandangannya teralih kembali ke wajah Fariz yang tampak garang.
“Ek, eleh budak ni. Engkau nak ajak bergaduh ke? Ada berani?” gertak Jeffri.
“Siapa takut? Ada ke saya cakap yang saya takut?”
Dengan kata-kata itu, Fariz melompat dan berdiri. Dia mula melangkah menghampiri Jeffri.
“Aku tak cabar. Tapi kalau orang bagi aku buah, aku sambut!” ujar Jeffri.
Dengan kata-kata itu Jeffri turut melompat dan berdiri. Kedua-duanya kini bergerak dalam satu bulatan. Masing-masing menanti salah seorang menyerang dahulu kerana dalam pertempuran kombat, seseorang yang menyerap serangan lebih mudah menelah kemahiran musuhnya sebelum bertindak menyerang balas.
“Tangan kita sama-sama terikat ke belakang…” kata Jeffri.
“Hmm… macam ayam sabung!” jawab Fariz.
“Betul. Sebab itu kita tengok, kaki siapa yang lebih kuat menendang!”
“Menerajang…” tingkah Fariz.
“Melibas…” jawab Jeffri, tidak mahu kalah.

DARI bilik kawalan kem, seorang petugas nampak apa yang bakal terjadi di bilik lokap melalui skrin televisyen CCTV. Dia segera menggamit rakan-rakannya untuk menonton perlawanan percuma yang pasti menghiburkan. Masing-masing berkerumun dan tertawa seronok menanti episod yang bakal berlangsung.

JEFFRI melompat dan mengangkat kaki kanannya. Tinggi dan lurus seperti seorang pemain takraw. Fariz beranjak sedikit ke belakang. Cukup sekadar mengelak kaki itu menghempuk kepalanya. Namun, dia juga melompat dan memutar tubuhnya. Membuat back-kick.
Pada kesempatan itu, Jeffri membongkok dan bergerak ke bawah Fariz. Cukup untuk menampan perut Fariz yang mendarat betul-betul di atas kepalanya. Dengan lonjakan yang kuat, tubuh Fariz terlambung dan terhumban ke lantai. Fariz jatuh terguling. Dia terbatuk-batuk.
“Bukan ke, dah kena…” Jeffri memperli.
Fariz tersenyum sendirian. Dia belum mahu tunjuk kalah. Lelaki senior di hadapannya ini memang penuh pengalaman. Yang berusia lebih tenang. Mereka lebih berhati-hati sebelum bertindak kerana gerakan yang tersasar itu akan membazir tenaga. Dengan ketenangan, ketepatan dalam bertindak akan terhasil.
Yang muda pula biasa tersasar dan tersilap langkah. Namun, kemudaan juga dibekalkan dengan tenaga dan ketangkasan. Justeru itu, kesilapan serangan  itu bisa ditutup dengan perulangan tindakan kerana yang muda biasanya lambat lelah.
Setelah melihat Jeffri hanya mengacah dengan mengangkat kakinya, kini Fariz pula ingin menyerang. Pengalamannya dengan sukan parkour mesti dia gunakan. Perlahan-lahan dia bergerak menghampiri mangkuk tandas di bilik itu. Lalu memanjat tubir mangkuk itu untuk mendapat sedikit ketinggian. Dia merendahkan tubuhnya dan mencangkung.
“Woi! Engkau nak berak ke? Kalau nak berak, boleh kita berhenti sekejap!” perli Jeffri.
Fariz hanya tersenyum di dalam hatinya mendengar cecehan Jeffri. Kedudukan begitu hanyalah untuk mendapat lompatan yang maksima. Dengan sekali henjutan, dia menujah kakinya ke tembok. Menggunakan kepalanya untuk menghentam Jeffri. Lelaki itu hanya mengiring dan membiarkan Fariz tersasar dan jatuh terjerembab.
“Ini gusti ke apa ni? Hah?” tanya Jeffri.
Dengan segera dia menghampiri tubuh itu dan menendang perut Fariz. Sekali, dua kali, tiga kali, Jeffri menendang Fariz. Dengan kedudukan tanagnnya di belakang, Fariz tidak dapat menghalang. Dia hanya menerima sepakan itu sambil mengaduh kesakitan.
“Aku… kalau mula memukul orang… selagi tak pengsan, tak luka, memang tak sah!” kata Jeffri.
Dengan kata-kata itu, Jeffri menghentak kedua-dua tumit kasutnya. Dari hujung kakinya muncul dua besi tajam berupa pisau yang berkilat! Itulah senjata rahsia yang hanya akan digunakan pada saat-saat genting!

PARA petugas yang menonton dari skrin TV di bilik kawalan nyata terkejut dengan apa yang mereka lihat. Mereka tidak menyangka Jeffri ada senjata dari kasutnya. Namun hanya seketika sahaja mereka kaget. Pada saat berikutnya mereka kesemuanya tertawa dan bertepuk tangan. Menanti tayangan percuma yang menjanjikan percikan darah sebagai hiasannya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...