Photo credit: relicman.com
“ASSALAMUALAIKUM!”
Kedengaran suara dari bilik belakang.
Mereka berempat tertoleh memandang
pintu belakang rumah itu pula. Fariz memanjangkan lehernya. Tangannya bersedia
untuk mencapai pistol yang tersisip di pinggangnya. Bunyi daun pintu kedengaran
berkeriut bila dibuka. Muncul seorang lelaki bertubuh sasa. Daripada jarak
tempatnya berdiri, Fariz dapat mengagak tubuh lelaki itu sedikit tinggi
daripada tubuhnya. Sekitar 1.7 meter berbanding dirinya yang hanya 1.65 meter.
Pakaiannya nampak buruk. Wajahnya
kusut masai. Misai dan janggutnya seperti berminggu tidak bercukur. Rambutnya
yang berserabut itu diikat dengan kain lusuh. Penampilannya tak ubah seperti
seorang lanun!
‘Dia buat helah, kononnya nak masuk ikut pintu
depan. Tapi dia muncul dari pintu belakang! Dia ni ke, Jeffri Zain?’ tanya hati
Fariz.
Fikiran Fariz segera memadankan teka-teki yang
bermain di fikirannya. Dia teringat mesej untuk berpakaian berwarna-warni
sebagai cara untuk dikenali, kanak-kanak yang mencuri fonselnya dan bagaimana
fonselnya yang dicuri tiba-tiba terletak di depan pintu rumah ini. Mungkin
sekali ini angkara Jeffri Zain yang kini menjadi perhatian semua.
“Apa khabar, Jeffri Zain?” sapa Tuan
Aziz, langsung mengesahkan kepada Fariz siapakah lelaki yang muncul ini.
“Kita ada masalah besar…” kata Jeffri lalu duduk di
sebuah bangku.
‘Huh… bos tanya… apa khabar! Kenapa dia tak jawab
pun sapaan Tuan Aziz?’ gumam Fariz. Tidak puas hati dengan jawapan Jeffri.
“Masalah apa, Jeff?” tanya Tuan
Aziz.
Masing-masing ikut duduk apabila lelaki itu
melabuhkan punggung. Tuan Aziz mengambil bangku yang paling hampir dengan
Jeffri. Suren hanya memutar kerusinya untuk menghadap Jeffri. Fariz pula
mengambil tempat di sebelah Normala. Menanti taklimat ejen itu.
“Ini bukan soal lanun Somalia aje…
Ini soal yang lebih berat dari itu,” Jeffri berkata diiringi dengan keluhan
dalam.
“Beritahulah, kami… apa
persoalannya?” desak Fariz pula.
Fariz memandang Jeffri. Tetapi ejen
itu hanya memandang tepat ke wajah Tuan Aziz. Tidak menjeling pun pada Fariz yang
mendesaknya. Seolah-olah tidak mendengar apa yang disoalkan Fariz.
“Masa kami nak ke lapangan terbang dua
hari lepas, kami diserang! Seorang ketua musuh berwajah mat salih, muncul
dengan helikopter. Sebelum itu, pasukannya pula dah menyerang dan menawan helikopter
Wehliye! Ada enam orang lengkap bersenjata macam komando. Kesemuanya berpakaian
hitam,” jelas Jeffri.
“Apa tafsiran awak?” tanya Tuan Aziz
pula.
“Bad
Holac ini raja di Lautan Somalia. Kumpulan ini paling besar dan paling
tersusun modus operandinya. Tak ada kumpulan lain yang boleh lawan dengan
kehebatan mereka kecuali askar Somalia sendiri. Tak ada sesiapa pun yang boleh pengaruhi
mereka untuk bertindak.
Tapi, bila Wehliye diserang dan isteri serta anaknya
diculik, saya rasa ada pihak yang lebih berkuasa ingin supaya Bad Holac tunduk kepada mereka.”
“Mungkin kerana Wehliye ada hutang
dengan dia orang! Misalnya, berhutang dari segi peralatan senjata… Mereka
mengganas kerana Bad Holac tak bayar
hutang!” pintas Fariz. Cuba menzahirkan pendapat dalam perbincangan ini.
“Lanun ini kaya-raya. Dah beratus juta duit yang dia
ada. Saya pernah ikut Wehliye ke pejabatnya. Saya nampak berkepuk-kepuk duit
dalam peti. Itu tak termasuk dalam akaun bank,” jawab Jeffri tanpa menjeling
pada Fariz.
“Mungkinkah Wehliye ada masalah hutang yang lain
seperti dalam urusan perniagaan?” Fariz cuba mencungkil jawapan lagi.
Kali ini
Jeffri menjeling tajam ke arah Fariz. Memberi mesej seolah-olah dia rimas bila
Fariz kerap mencelah setiap kali dia berhenti bercakap. Fariz sedar dirinya
dipandang begitu. Dia tertunduk. Bukan kerana takut dengan renungan itu. Dia
tunduk kerana menghormati orang yang lebih senior daripadanya.
Biarlah dia berdiam diri buat seketika. Mungkin
dengan itu Jeffri lebih selesa menyampaikan maklumatnya. Jeffri menyeluk poket
jaketnya. Lalu mengeluarkan sesuatu dan
dihulurnya kepada Tuan Aziz. Dari tempat duduknya, Fariz nampak seperti sekeping
wang syiling 20 sen.
“Itu butang dari poket salah seorang daripada penculik
yang berpakaian hitam!” jelas Jeffri.
Tuan Aziz membelek butang itu. Mulutnya
terkumat-kamit membaca sesuatu yang tertera di atas butang itu.
“W.B…” ujar Tuan Aziz bila dia mengangkat butang itu
menghala ke lampu bilik. “W.B… mungkin jenama butang ini…”
“W.B?” Fariz mencelah. Suaranya penuh keterujaan. “Boleh
saya tengok butang itu, bos?”
Fariz teringat huruf singkatan W.B. Lantas dia
berdiri dan mengambil butang itu dari tapak tangan Tuan Aziz. Dia perasan,
Normala dan Suren memandangnya dengan pernuh soalan. Dalam pada itu, dia sedar
Jeffri hanya menjelingnya dengan bibir yang tercebir.
“W.B… Waterbury! Saya tau nama ini. Ini butang
buatan Amerika!”
“Macam mana awak tau?” soal Tuan Aziz.
“Kat internet! Nama Waterbury saya jumpa bila saya
baca mengenai filem Titanic tak lama dulu. Saya ingat lagi macam mana pihak
Hollywood minta syarikat Waterbury membuat replika butang W.B bila menemui
foto-foto mayat kelasi kapal Titanic yang memakai butang yang tertera
huruf-huruf W.B ~ Waterbury!
Saya cari maklumat yang syarikat itu. Ya, Waterbury
adalah pembekal butang untuk tentera Amerika sejak kurun ke-18 hingga ke hari
ini! Sudah 200 tahun syarikat ini membekal butang untuk pakaian tentera
Amerika!”
“Confirm!
Betul kata Fariz!” sampuk Suren yang sejak tadi hanya mendiamkan diri. “Ini dia
halaman internet syarikat Waterbury Button!” katanya lagi seraya memutar skrin
komputernya ke arah mereka di dalam bilik itu.
Walaupun hanya memandang dari jauh, Tuan Aziz
percaya laman yang terpapar di skrin komputer Suren adalah laman syarikat yang dimaksudkan. Normala yang
berada berhampiran dengan Suren turut terangguk mengiyakan setelah membaca apa
yang tertera di layar komputer Suren.
“Orang Amerika? Tentera Amerika?” luah Tuan Aziz.
“Saya tak nampak kaitan tentera Amerika dalam hal
ini. Kalau betul, mereka mungkin dah
tembak mati Wehliye. Tapi mereka culik isteri dan anak Wehliye supaya lanun itu
lakukan sesuatu.” Jeffri memberikan pandangannya.
“Kalau bukan
tentera, mungkinkah mereka semua askar upahan. Macam kumpulan Blackwater; askar
upahan yang mengawal Iraq tak lama dulu?” kata Fariz.
Sekali lagi Fariz memerhati Jeffri setelah
memberikan pendapatnya. Ingin sekali melihat senyuman yang membawa maksud
bersetuju dengan hujahnya. Namun ejen itu hanya mendiamkan dirinya.
“Lancang Kuning… Bad
Holac… Wehliye… Waterbury… Amerika… apa maksud serpihan teka-teki, ni?”
ujar Tuan Aziz.
Dia berdiri lalu berjalan mundar-mandir di ruang
yang kecil ini. Berkerut dahinya mencongak andaian-andaian yang bersimpang-siur
di fikirannya.
“Bos… saya ada satu lagi petunjuk…” ujar Jeffri.
“Saya ada foto seseorang dalam fonsel saya…”
Tuan Aziz mendepangkan tangannya sebagai isyarat
agar fonsel itu diserahkan kepada Suren. Suren menyambut fonsel itu. Seutas
wayar kecil disumbat ke alat itu dan disambungkan kepada komputer.
Seketika sahaja wajah seseorang yang berpakaian
kemas terpapar di komputer Suren. Semua mata memandang wajah seorang mat salih.
“Itu wajah Abram William… CEO Extron!” ujarTuan Aziz.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment