Sunday, June 30, 2013

FRAGMEN 42: GERAK GEMPAR



 
Photo credit: dailymail.co.uk
 
Pejabat Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela


DI SEPANJANG perjalanan pulang ke pejabat operasi Gruesome Group,  Fariz disepak dan diterajang. Ada ketikanya tengkuknya dihempuk dengan bontot senapang. Ada masanya belakang tubuhnya diterjah dengan but mereka yang mengheretnya.

            Setiap kali diapa-apakan, Fariz akan mengaduh. Dia tahu, jika dia cuba menunjuk gagah, hentaman ke tubuhnya akan bertambah. Untuk mengurangkan deraan, Fariz terpaksa berlakon dengan mengadoi dan mengerang kesakitan.

            Helahnya menjadi. Setiap kali dia berpura-pura mengeluh sakit, mereka yang menderanya akan tersenyum puas. Pukulan yang diterimanya pun tidak sekuat apabila dia menunjuk gagah dengan berdiam diri dan menahan sakit.

            Dalam pada itu Fariz sedar, ada tiga orang anggota Gruesome Group yang membawanya pulang ke pejabat operasi. Dalam Ops Sambar, ini kali kedua dia ditawan. Kali pertama, dia terlepas bila dibantu Jeffri. Kali ini, dia terpaksa bertindak sendiri kerana tahu, Jeffri berada jauh membawa Datuk Rauzah ke pasukan penyelamat.

 
‘DUMMMM!’

            Kedengaran bunyi pintu besi terkatup dihempas salah seorang daripada mereka. Fariz yang tertiarap di bilik itu kali ini benar-benar mengaduh kesakitan. Sebentar tadi dia ditolak dengan tangannya terikat ke belakang. Dadanya terasa seperti hendak pecah bila terhentak ke simen.

            Fariz mengingati pelajaran apa akan dihadapinya sebagai seorang tawanan. Bila ditangkap, dia akan dikurung. Sebentar lagi akan datang seorang ketua. Dia akan menyoal dan menyiksa. Selagi jawapan tidak diterima, dia akan didera. Si ketua yang penat kemudiannya akan menyerahkan tugas itu kepada seorang pendera untuk meneruskan siksaan.

Makan dan minum tidak akan diberi. Kalau pun ada airnya, ia hanya dicurah agar dia tidak pengsan atau mati. Siksaan akan berterusan. Dia akan dibelasah separuh nyawa. Dalam keadaan keletihan, dia akan disoal dan disoal.

Saat fikiran sudah mamai, fokus mula hilang, ingatan bersimpang-siur, ketika itulah dia tidak akan tahu apa yang akan dituturkan. Secara tidak sedar, rahsia akan terburai begitu sahaja. Sebaik sahaja maklumat diperolehi, dia akan dibunuh tanpa belas kasihan.

Bila mengingatkan itu, Fariz bingkas bangun! Dia menyedut nafas dalam-dalam. Dia mesti mempersiapkan diri menghadapi siksaan yang mendatang. Dia tidak boleh lemah. Semangat mesti kuat.

Kali ini, kalau pun dia tidak melawan, siksaan yang kian berat akan dihadapi agar rahsia mudah terbongkar. Andainya dia melawan dalam keadaan terikat, tenaganya akan cepat hilang.

Jadi? Jadi, dia mesti cari jalan untuk keluar dari bilik ini. Bagaimana? Fariz memerhati ke sekeliling. Tidak ada apa-apa di bilik ini. Hanya tembok batu. Tiada tempat tidur. Hanya simen. Yang ada hanyalah jamban duduk. Sememangnya bilik ini berupa lokap. Tempat mereka yang ditawan untuk diinterogasi.

Fariz mendongak sambil memutar tubuhnya 360 darjah. Siling lokap ini juga batu. Di satu sudut ada lubang-lubang kecil untuk udara. Daripada situlah datangnya cahaya suram yang terbias ke lokap ini. Cukup sekadar dia gunakan untuk melihat dirinya.

Dia melangkah ke pintu. Daunnya diketuk perlahan. Bunyinya padat. Tentunya pintu ini berat. Dia menjengket untuk memerhati ke tingkap kecil di daun pintu itu. Ia terkatup dan diselak dari luar. Fariz tidak nampak apa-apa.

Fariz mendengus kecil. Buat masa ini fikirannya buntu. Tiada idea hendak melakukan apa-apa kecuali menanti dirinya dibawa keluar lokap. Itulah satu-satunya peluang untuknya membebaskan diri. Selagi dia berada di bilik ini, peluangnya untuk lari memang mustahil.

Perlahan-lahan Fariz melangkah ke dinding. Perlahan-lahan juga dia menggelongsorkan dirinya hingga duduk terlunjur. Matanya dipejam. Fikirannya dikosongkan. Perlahan-lahan juga dia teringat sesuatu lalu menyebutnya…

‘La Hawla Wala Quwwata Illa Billah…’ Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan ALLAH…’ Zikir ini diulang-ulang hingga terasa jantungnya berdegup.

Fariz memfokuskan fikirannya pada zikir ini hingga denyut nadi di kepalanya terasa. Kemudian nadi di pergelangan tangannya dan di kaki hingga terasa seluruh tubuhnya bertingkah dengan zikir ini.

Hatinya kini terasa tenang. Fikirannya kini terasa ringan. Setelah beberapa ketika, fikirannya melayang dan dia terus terlelap.

 
Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya


PERDANA Menteri mempersilakan delegasi dari Petromal masuk ke pejabatnya. Kedua-dua Pengerusi Petromal, Tan Sri Irsham Arshad dan Presidennya Tan Sri Hazibudeen Thajudeen kelihatan begitu gembira. Wajah mereka kelihatan berseri-seri.

            Mereka berkunjung ke JPM kerana ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana telah merencana Ops Sambar dengan jayanya. Sebagai orang kuat Petromal, mereka berasa terhutang budi kepada kerajaan Malaysia.

            “Terima kasih, Datuk kerana bersusah payah membantu kami,” ujar Tan Sri Irsham sebaik sahaja melabuhkan punggungnya.

            “Tahniah kepada semua yang terlibat dalam Ops Sambar,” celah Tan Sri Hazibudeen pula.

            Perdana Menteri kelihatan tersenyum dan terangguk-angguk. “Alhamdulilah. Itu memang sudah menjadi komitmen saya untuk melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia walau di mana mereka berada di muka bumi ini,” jawab PM.

            “Bila Datuk Rauzah sampai, Datuk?” tanya Tan Sri Irsham.

            “Petang esok… di KLIA,” ujar PM.

            Perdana Menteri tertoleh bila Setiausaha Akhbar yang sejak tadi berSMS di hujung bilik menghampirinya secara tergesa-gesa. Dia membisikkan sesuatu. Wajah PM bertukar serius. Kemudian dia terangguk-angguk lalu memberi isyarat kepada Setiausaha Akhbarnya untuk membuka televisyen.

            “Tan Sri, Tan Sri…” kata PM.

            Kedua-dua pegawai tinggi Petromal itu memandang PM dengan penuh perhatian. Masing-masing tampak teruja kerana ingin tahu perkara yang hendak disampaikan oleh PM.

            “Nampaknya kita ada cabaran baru. Cabaran dari Amerika…”

            Sejurus PM berkata, skrin TV pun terpasang. Wajah seorang pembaca berita saluran World LiveLine pun terpapar. Wajahnya masam mencuka. Dia sedang bersedia hendak memberi suatu berita penting.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, June 16, 2013

FRAGMEN 41: GERAK GEMPAR



Photo credit: mindcontrolblogspot.com

Rumah Putih, Washington, Amerika

ERON TOVY, Naib Presiden Amerika begitu terkejut mendapat berita kejayaan pasukan Malaysia

menerobos masuk ke kawasan ibupejabat Gruesome Group untuk menyelamatkan Datuk Rauzah.

Berita yang disampaikan oleh Abram William itu cukup menggugat perasaannya.


“Macam mana boleh jadi macam tu?” soal Eron Tovy. Marah.

“Saya percaya Petromal dapat kerjasama dari pasukan tentera negara mereka. Tapi tak mengapa. Gruesome sedang mengejar mereka. Tak lama lagi kita akan dapat dia semula,” Abram William cuba meyakinkan.

“Itu tak mustahak. Yang penting, apakah kau sudah tandatangani perjanjian itu?”

Abram tersentap dengan soalan itu.

“Abram…” Eron menyeru namanya. “Abram!”

“Err… belum. Tapi lepas ini saya akan lakukan.”

“Bukan selepas ini! Buat sekarang!” desak Eron.

“Ya… ya… okey!”

Pejabat Presiden Ganezuela

ABRAM William menyimpan fonselnya ke dalam poket. Lalu dia segera berpaling. Matanya

mencerlang bila mendapati bilik itu sudah kosong. Dia terdengar suara orang ramai di dewan

bankuet. Lantas dia ke ruang itu.

            Kelihatan para hadirin sedang menikmati hidangan. Dia tercari-cari Alberto Chimo di meja utama. Namun, Presiden Ganezuela itu tiada di situ.

            ‘Ke mana pulak dia ni?’ soal Abram.

            “Tuan Presiden terpaksa tinggalkan majlis…”

            Abram menoleh. Terpandang Menteri Petroleum Ganezuela, Quando Jabuti. Lelaki itu bercakap seolah-olah tahu yang dia sedang mencari Tuan Presiden.

            “Kita minum dulu…” pelawa Quando.

            “Oh… err… tak mengapa. Saya pun ada hal. Tapi saya akan hubungi Tuan Presiden dalam waktu terdekat. Dia belum sain lagi perjanjian. Jumpa lagi!”

            Quando Jabuti mengekori pergerakan Abram William keluar dari dewan bankuet. Setelah lelaki itu menghilang, dia tertawa sendiri sebelum meneguk minuman ti tangannya.

Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya

SEMUA mata tertumpu di skrin. Melihat pancaran dari satelit perisikan Tanduo. Imej Datuk Rauzah

dan Jeffri berlari menyusup ke hutan ditatap persis menonton wayang. Kadangkala imej terhenti

menjadi kaku, tanda transmisi terganggu.


Imej satelit itu tiada suara. Namun imej itu akan segera berubah dari imej normal ke imej infra-merah sebaik sahaja kedua-duanya menyusup ke bawah dedaunan kayu. Ada ketikanya tiada imej langsung kecuali yang terpapar hanya garis-garis yang melintang.

Walaupun begitu, Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara tetap setia menunggu kerana yang terpapar bukan filem fiksyen. Sebaliknya ia adalah peristiwa penting yang mencabar minda dan maruah negara.

Terdapat garis-garis senyuman di wajah mereka semua. PM turun tersenyum memerhati. Sesekali dia mengeluh lega. Meskipun Ops Sambar belum selesai sepenuhnya, namun pada kali ini dia lebih yakin.

Seorang ahli majlis mula bertepuk tangan. Mula-mula perlahan, hampir tidak kedengaran. Tepukan itu disambut perlahan juga oleh ahli majlis yang lain. Apabila PM turut bertepuk, yang lain pun ikut sama. Senyuman bertukar menjadi hilaian tawa gembira.

Kini, mereka nampak anggota PASKAL menyambut Datuk Rauzah di lokasi yang jauh daripada perimeter yang dapat dihidu pasukan Gruesome Group. Tepukan semakin kuat. Namun, tiada sesiapa pun yang sedar, salah seorang anggota pasukan Ops Sambar kini dalam tawanan!

Ya! Fariz Zafar kini sedang diheret kembali ke Pejabat Operasi Gruesome Group!

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, June 9, 2013

FRAGMEN 40: GERAK GEMPAR


Photo credit: revolusikid.blogspot


Pejabat Presiden Ganezuela

SEMUA mata tertumpu ke sisi bilik mesyuarat bila Presiden Ganezuela, Alberto Chimo muncul di ambang pintu. Dia berdiri tenang memerhati bola-bola mata yang memandangnya. Diam, diam dia mengeluh dalam. Walaupun hatinya tidak mahu, keadaan sudah memaksa dia bertindak segera.

Pandangannya berpindah dari seorang ke seorang hadirin di bilik itu. Para pegawai tertinggi GOC dan juga Extron melontarkan senyuman. Memaksa dia membalasnya dengan hati yang meronta-ronta.

Kini matanya terarah kepada Abram William, CEO syarikat minyak Amerika itu. Lelaki itu tersengih sambil terangguk-angguk. Seolah-olah memberi mesej yang dia adalah ‘good boy’ kerana patuh dengan cadangan Extron setelah diasak oleh Naib Presiden Amerika pada pagi tadi.

            Pandangan Alberto Chimo teralih pula pada Menteri Petroleumnya Quando Jabuti. Lelaki itu hanya tertunduk memandang meja. Tangannya hanya menggaris dan menconteng sesuatu di kertasnya ~ petanda yang lelaki itu juga gelisah dengan situasi itu.

            “Selamat datang, Tuan Presiden! Kami semua dah lama menunggu!” ujar Abram William seraya berdiri dan menghulurkan tangannya.

Kedua-duanya berjabat salam. Alberto Chimo mengorak senyuman. Ingin menyembunyi kegusaran di hatinya. Tangannya lantas menggenggam tangan Abram William dan menggoncangnya beberapa kali. Membuatkan mereka yang memerhati lantas berdiri dan memberikan tepukan.

“Terima kasih kepada semua hadirin. Anda sekalian… sila duduk…”  kata Alberto.

Masing-masing duduk sebelah menyebelah. Dua orang petugas wanita yang sejak tadi berdiri berhampiran terus menghampiri meja. Mereka membawa fail perjanjian lalu dengan tertib meletakkan di hadapan Presiden Ganezuela dan CEO Extron itu.

Dengan yakin, Abram William mencapai pen untuk memeterai perjanjian. Dengan wajah tenang yang sengaja dipamerkan, Alberto Chimo juga mencapai pen di hadapannya. Bilik mesyuarat itu sunyi sepi bila para hadirin juga mengamati kedua-dua tokoh di meja hadapan. Mereka ingin menyaksikan detik bersejarah lagi bermakna buat kedua-dua pihak.

Fonsel Abram William tiba-tiba berdering.  Lantas dia menyeluk saku.

“Maafkan saya… sepatutnya saya senyapkan telefon ini…” kata Abram sambil menekan punat untuk menjawabnya.

Matanya membuntang, mulutnya ternganga. Wajahnya bertukar panik. Pen di tangannya terus diletakkan di atas halaman fail perjanjian. Lalu dia berdiri sambil bercakap-cakap di fonselnya. Para hadirin berpandangan sesama sendiri seraya berbisik-bisik.

“Kenapa?” tanya Alberto Chimo, perlahan.

“Ada sedikit masalah, Tuan Presiden…”

“Kalau begitu…” kata Alberto lalu meletakkan pennya. Dia belum lagi menumpahkan walau setitik dakwat di halaman perjanjian itu.

“Tak apa, Tuan Presiden. Rancangan kita patut diteruskan,” kata Abram.

Dia duduk kembali lalu menandatangani perjanjian meskipun dia masih bercakap-cakap dengan si pemanggil. Tanpa menanti wanita petugas mengambil perjanjian itu, dia sendiri yang menghulurnya kepada Alberto. Namun, Presiden Ganezuela menolaknya dengan baik.

“Nanti dulu. Saya lebih suka kalau kita menandatangani perjanjian ini dalam keadaan yang tenang. Itu lebih baik…”

Abram tersandar lalu mengeluh dalam. “Okey… okey… kita tandatangani kemudian.”

Dia lantas bangun kembali dan melangkah ke jendela. Tangannya masih erat memegang fonselnya. Dia masih lagi bercakap-cakap. Walaupun suaranya perlahan, para hadirin yang memandangnya dapat mengagak sesuatu yang besar dan tidak baik sedang Abram hadapi.

“Nampaknya kawan kita ni ada sedikit masalah. Kita kena beri dia ruang.

Saya rasa mari kita minum-minum dulu…” ujar Alberto Chimo kepada para hadirin seraya tersenyum meleret.

Pandangannya teralih ke arah Menteri Petroleumnya. Quando Jabuti hanya tersenyum sedikit. Walaupun berlaku aral pada majlis itu, Quando sebenarnya gembira perjanjian itu tertangguh. Kalau boleh, dia sendiri tidak mahu perjanjian itu dimeterai langsung.

Pejabat Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

SEBAHAGIAN daripada tembok bangunan ibupejabat operasi Gruesome Group sudah berlubang bila dihentam peluru berpandu. Impak letupan itu menghasilkan radial cracking iaitu retakan yang membulat. Asap masih jelas kelihatan muncul dari lubang itu. Pada saat itu kelihatan Jeffri Zain dan Datuk Rauzah berlari keluar dari lubang itu menghala ke arahnya.

            ‘Mudah sangat ke, operasi ini?’ tanya Fariz di dalam hati.

            Pada saat ini, dia teringat bagaimana dia menerima isyarat dari Jeffri. Lelaki itu memancar laser dari dalam bangunan ke tembok sebagai penanda peluru berpandu. Tepat pada masanya, sebutir peluru berpandu dilepaskan oleh anggota PASKAL ke bangunan itu.

Peluru Merak Kayangan NM-1 yang dihasilkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, walaupun hanya berdiameter 30.4 sentimeter dan panjangnya hanya 91.44 sentimeter, ia mempunyai ekor yang mengembang pada saat impak sasaran. Ini akan memerekah dan memecah keluasan kawasan hentaman.

Imbauan fikiran Fariz terhenti bila kedengan bunyi siren. Kilatan api tiba-tiba kelihatan bersimpang siur mengekori pergerakan Jeffri dan Datuk Rauzah. Pandangan Fariz segera membaca dan memantau arah datangnya peluru.

‘Oh, oh. Rupanya tak mudah jugak operasi, ni!’

Fariz membetulkan kacamata infra merahnya. Dia ternampak dua orang pengawal melepaskan tembakan dari bumbung bangunan tiga tingkat itu. Dengan tenang dan berhati-hati dia memandang pejera di senjatanya. Picu ditekan. Seorang musuh tersandar di tembok dan tumbang.

‘Satu…’

Picu ditarik lagi. Senapangnya meletup meletuskan peluru. Seorang lagi musuh tertunduk dan terjatuh dari bumbung ke tanah. Kilatan cahaya oren yang dihasilkan oleh lintasan peluru tadi sudah tidak kelihatan.

Suasana sunyi. Fariz menekan butang fonselnya untuk mengirim isyarat kepada rakan-rakan PASKAL menandakan situasi selamat untuk membantu Jeffri dan Datuk Rauzah.

Tiba-tiba…

‘Klik!’ kedengaran bunyi peledak senjata dikunci dari arah belakangnya.

“Put up your hand, you dumbass!”

‘Alamak! Pak Hitam mana pulak ni?’ kata Fariz di dalam hati. Ekor matanya menangkap seorang pengawal kulit hitam Gruesome Group menyasarkan rifel ke arahnya.

‘I’ll kick your ass in no time!’ jawab Fariz di dalam hati seraya mengangkat tangannya.
 
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...