Photo credit: revolusikid.blogspot
Pejabat
Presiden Ganezuela
SEMUA mata tertumpu ke sisi bilik mesyuarat bila
Presiden Ganezuela, Alberto Chimo muncul di ambang pintu. Dia berdiri tenang memerhati
bola-bola mata yang memandangnya. Diam, diam dia mengeluh dalam. Walaupun
hatinya tidak mahu, keadaan sudah memaksa dia bertindak segera.
Pandangannya berpindah dari
seorang ke seorang hadirin di bilik itu. Para pegawai tertinggi GOC dan juga
Extron melontarkan senyuman. Memaksa dia membalasnya dengan hati yang
meronta-ronta.
Kini matanya terarah kepada
Abram William, CEO syarikat minyak Amerika itu. Lelaki itu tersengih sambil
terangguk-angguk. Seolah-olah memberi mesej yang dia adalah ‘good boy’ kerana patuh dengan cadangan
Extron setelah diasak oleh Naib Presiden Amerika pada pagi tadi.
Pandangan
Alberto Chimo teralih pula pada Menteri Petroleumnya Quando Jabuti. Lelaki itu
hanya tertunduk memandang meja. Tangannya hanya menggaris dan menconteng
sesuatu di kertasnya ~ petanda yang lelaki itu juga gelisah dengan situasi itu.
“Selamat
datang, Tuan Presiden! Kami semua dah lama menunggu!” ujar Abram William seraya
berdiri dan menghulurkan tangannya.
Kedua-duanya berjabat salam.
Alberto Chimo mengorak senyuman. Ingin menyembunyi kegusaran di hatinya.
Tangannya lantas menggenggam tangan Abram William dan menggoncangnya beberapa
kali. Membuatkan mereka yang memerhati lantas berdiri dan memberikan tepukan.
“Terima kasih kepada semua
hadirin. Anda sekalian… sila duduk…”
kata Alberto.
Masing-masing duduk sebelah
menyebelah. Dua orang petugas wanita yang sejak tadi berdiri berhampiran terus
menghampiri meja. Mereka membawa fail perjanjian lalu dengan tertib meletakkan
di hadapan Presiden Ganezuela dan CEO Extron itu.
Dengan yakin, Abram William
mencapai pen untuk memeterai perjanjian. Dengan wajah tenang yang sengaja
dipamerkan, Alberto Chimo juga mencapai pen di hadapannya. Bilik mesyuarat itu
sunyi sepi bila para hadirin juga mengamati kedua-dua tokoh di meja hadapan.
Mereka ingin menyaksikan detik bersejarah lagi bermakna buat kedua-dua pihak.
Fonsel Abram William
tiba-tiba berdering. Lantas dia menyeluk
saku.
“Maafkan saya… sepatutnya
saya senyapkan telefon ini…” kata Abram sambil menekan punat untuk menjawabnya.
Matanya membuntang, mulutnya
ternganga. Wajahnya bertukar panik. Pen di tangannya terus diletakkan di atas
halaman fail perjanjian. Lalu dia berdiri sambil bercakap-cakap di fonselnya.
Para hadirin berpandangan sesama sendiri seraya berbisik-bisik.
“Kenapa?” tanya Alberto
Chimo, perlahan.
“Ada sedikit masalah, Tuan
Presiden…”
“Kalau begitu…” kata Alberto
lalu meletakkan pennya. Dia belum lagi menumpahkan walau setitik dakwat di halaman
perjanjian itu.
“Tak apa, Tuan Presiden. Rancangan
kita patut diteruskan,” kata Abram.
Dia duduk kembali lalu
menandatangani perjanjian meskipun dia masih bercakap-cakap dengan si
pemanggil. Tanpa menanti wanita petugas mengambil perjanjian itu, dia sendiri
yang menghulurnya kepada Alberto. Namun, Presiden Ganezuela menolaknya dengan
baik.
“Nanti dulu. Saya lebih suka
kalau kita menandatangani perjanjian ini dalam keadaan yang tenang. Itu lebih
baik…”
Abram tersandar lalu
mengeluh dalam. “Okey… okey… kita tandatangani kemudian.”
Dia lantas bangun kembali
dan melangkah ke jendela. Tangannya masih erat memegang fonselnya. Dia masih
lagi bercakap-cakap. Walaupun suaranya perlahan, para hadirin yang memandangnya
dapat mengagak sesuatu yang besar dan tidak baik sedang Abram hadapi.
“Nampaknya kawan kita ni ada
sedikit masalah. Kita kena beri dia ruang.
Saya rasa mari kita
minum-minum dulu…” ujar Alberto Chimo kepada para hadirin seraya tersenyum
meleret.
Pandangannya teralih ke arah
Menteri Petroleumnya. Quando Jabuti hanya tersenyum sedikit. Walaupun berlaku
aral pada majlis itu, Quando sebenarnya gembira perjanjian itu tertangguh.
Kalau boleh, dia sendiri tidak mahu perjanjian itu dimeterai langsung.
Pejabat Operasi Gruesome
Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela
SEBAHAGIAN daripada tembok bangunan ibupejabat operasi Gruesome
Group sudah berlubang bila dihentam peluru berpandu. Impak letupan itu
menghasilkan radial cracking iaitu
retakan yang membulat. Asap masih jelas kelihatan muncul dari lubang itu. Pada
saat itu kelihatan Jeffri Zain dan Datuk Rauzah berlari keluar dari lubang itu
menghala ke arahnya.
‘Mudah sangat ke,
operasi ini?’ tanya Fariz di dalam hati.
Pada saat ini, dia
teringat bagaimana dia menerima isyarat dari Jeffri. Lelaki itu memancar laser dari
dalam bangunan ke tembok sebagai penanda peluru berpandu. Tepat pada masanya,
sebutir peluru berpandu dilepaskan oleh anggota PASKAL ke bangunan itu.
Peluru Merak Kayangan NM-1 yang dihasilkan oleh Fakulti
Sains dan Teknologi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, walaupun
hanya berdiameter 30.4 sentimeter dan panjangnya hanya 91.44 sentimeter, ia
mempunyai ekor yang mengembang pada saat impak sasaran. Ini akan memerekah dan
memecah keluasan kawasan hentaman.
Imbauan fikiran Fariz terhenti bila kedengan bunyi
siren. Kilatan api tiba-tiba kelihatan bersimpang siur mengekori pergerakan
Jeffri dan Datuk Rauzah. Pandangan Fariz segera membaca dan memantau arah
datangnya peluru.
‘Oh, oh. Rupanya tak mudah jugak operasi, ni!’
Fariz membetulkan kacamata infra merahnya. Dia ternampak
dua orang pengawal melepaskan tembakan dari bumbung bangunan tiga tingkat itu. Dengan
tenang dan berhati-hati dia memandang pejera di senjatanya. Picu ditekan.
Seorang musuh tersandar di tembok dan tumbang.
‘Satu…’
Picu ditarik lagi. Senapangnya meletup meletuskan
peluru. Seorang lagi musuh tertunduk dan terjatuh dari bumbung ke tanah.
Kilatan cahaya oren yang dihasilkan oleh lintasan peluru tadi sudah tidak
kelihatan.
Suasana sunyi. Fariz menekan butang fonselnya untuk
mengirim isyarat kepada rakan-rakan PASKAL menandakan situasi selamat untuk membantu
Jeffri dan Datuk Rauzah.
Tiba-tiba…
‘Klik!’ kedengaran bunyi peledak senjata dikunci dari arah
belakangnya.
“Put up your hand,
you dumbass!”
‘Alamak! Pak Hitam mana pulak ni?’ kata Fariz di dalam
hati. Ekor matanya menangkap seorang pengawal kulit hitam Gruesome Group menyasarkan
rifel ke arahnya.
‘I’ll kick your
ass in no time!’ jawab Fariz di dalam hati seraya
mengangkat tangannya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment