Sunday, June 30, 2013

FRAGMEN 42: GERAK GEMPAR



 
Photo credit: dailymail.co.uk
 
Pejabat Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela


DI SEPANJANG perjalanan pulang ke pejabat operasi Gruesome Group,  Fariz disepak dan diterajang. Ada ketikanya tengkuknya dihempuk dengan bontot senapang. Ada masanya belakang tubuhnya diterjah dengan but mereka yang mengheretnya.

            Setiap kali diapa-apakan, Fariz akan mengaduh. Dia tahu, jika dia cuba menunjuk gagah, hentaman ke tubuhnya akan bertambah. Untuk mengurangkan deraan, Fariz terpaksa berlakon dengan mengadoi dan mengerang kesakitan.

            Helahnya menjadi. Setiap kali dia berpura-pura mengeluh sakit, mereka yang menderanya akan tersenyum puas. Pukulan yang diterimanya pun tidak sekuat apabila dia menunjuk gagah dengan berdiam diri dan menahan sakit.

            Dalam pada itu Fariz sedar, ada tiga orang anggota Gruesome Group yang membawanya pulang ke pejabat operasi. Dalam Ops Sambar, ini kali kedua dia ditawan. Kali pertama, dia terlepas bila dibantu Jeffri. Kali ini, dia terpaksa bertindak sendiri kerana tahu, Jeffri berada jauh membawa Datuk Rauzah ke pasukan penyelamat.

 
‘DUMMMM!’

            Kedengaran bunyi pintu besi terkatup dihempas salah seorang daripada mereka. Fariz yang tertiarap di bilik itu kali ini benar-benar mengaduh kesakitan. Sebentar tadi dia ditolak dengan tangannya terikat ke belakang. Dadanya terasa seperti hendak pecah bila terhentak ke simen.

            Fariz mengingati pelajaran apa akan dihadapinya sebagai seorang tawanan. Bila ditangkap, dia akan dikurung. Sebentar lagi akan datang seorang ketua. Dia akan menyoal dan menyiksa. Selagi jawapan tidak diterima, dia akan didera. Si ketua yang penat kemudiannya akan menyerahkan tugas itu kepada seorang pendera untuk meneruskan siksaan.

Makan dan minum tidak akan diberi. Kalau pun ada airnya, ia hanya dicurah agar dia tidak pengsan atau mati. Siksaan akan berterusan. Dia akan dibelasah separuh nyawa. Dalam keadaan keletihan, dia akan disoal dan disoal.

Saat fikiran sudah mamai, fokus mula hilang, ingatan bersimpang-siur, ketika itulah dia tidak akan tahu apa yang akan dituturkan. Secara tidak sedar, rahsia akan terburai begitu sahaja. Sebaik sahaja maklumat diperolehi, dia akan dibunuh tanpa belas kasihan.

Bila mengingatkan itu, Fariz bingkas bangun! Dia menyedut nafas dalam-dalam. Dia mesti mempersiapkan diri menghadapi siksaan yang mendatang. Dia tidak boleh lemah. Semangat mesti kuat.

Kali ini, kalau pun dia tidak melawan, siksaan yang kian berat akan dihadapi agar rahsia mudah terbongkar. Andainya dia melawan dalam keadaan terikat, tenaganya akan cepat hilang.

Jadi? Jadi, dia mesti cari jalan untuk keluar dari bilik ini. Bagaimana? Fariz memerhati ke sekeliling. Tidak ada apa-apa di bilik ini. Hanya tembok batu. Tiada tempat tidur. Hanya simen. Yang ada hanyalah jamban duduk. Sememangnya bilik ini berupa lokap. Tempat mereka yang ditawan untuk diinterogasi.

Fariz mendongak sambil memutar tubuhnya 360 darjah. Siling lokap ini juga batu. Di satu sudut ada lubang-lubang kecil untuk udara. Daripada situlah datangnya cahaya suram yang terbias ke lokap ini. Cukup sekadar dia gunakan untuk melihat dirinya.

Dia melangkah ke pintu. Daunnya diketuk perlahan. Bunyinya padat. Tentunya pintu ini berat. Dia menjengket untuk memerhati ke tingkap kecil di daun pintu itu. Ia terkatup dan diselak dari luar. Fariz tidak nampak apa-apa.

Fariz mendengus kecil. Buat masa ini fikirannya buntu. Tiada idea hendak melakukan apa-apa kecuali menanti dirinya dibawa keluar lokap. Itulah satu-satunya peluang untuknya membebaskan diri. Selagi dia berada di bilik ini, peluangnya untuk lari memang mustahil.

Perlahan-lahan Fariz melangkah ke dinding. Perlahan-lahan juga dia menggelongsorkan dirinya hingga duduk terlunjur. Matanya dipejam. Fikirannya dikosongkan. Perlahan-lahan juga dia teringat sesuatu lalu menyebutnya…

‘La Hawla Wala Quwwata Illa Billah…’ Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan ALLAH…’ Zikir ini diulang-ulang hingga terasa jantungnya berdegup.

Fariz memfokuskan fikirannya pada zikir ini hingga denyut nadi di kepalanya terasa. Kemudian nadi di pergelangan tangannya dan di kaki hingga terasa seluruh tubuhnya bertingkah dengan zikir ini.

Hatinya kini terasa tenang. Fikirannya kini terasa ringan. Setelah beberapa ketika, fikirannya melayang dan dia terus terlelap.

 
Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya


PERDANA Menteri mempersilakan delegasi dari Petromal masuk ke pejabatnya. Kedua-dua Pengerusi Petromal, Tan Sri Irsham Arshad dan Presidennya Tan Sri Hazibudeen Thajudeen kelihatan begitu gembira. Wajah mereka kelihatan berseri-seri.

            Mereka berkunjung ke JPM kerana ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana telah merencana Ops Sambar dengan jayanya. Sebagai orang kuat Petromal, mereka berasa terhutang budi kepada kerajaan Malaysia.

            “Terima kasih, Datuk kerana bersusah payah membantu kami,” ujar Tan Sri Irsham sebaik sahaja melabuhkan punggungnya.

            “Tahniah kepada semua yang terlibat dalam Ops Sambar,” celah Tan Sri Hazibudeen pula.

            Perdana Menteri kelihatan tersenyum dan terangguk-angguk. “Alhamdulilah. Itu memang sudah menjadi komitmen saya untuk melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia walau di mana mereka berada di muka bumi ini,” jawab PM.

            “Bila Datuk Rauzah sampai, Datuk?” tanya Tan Sri Irsham.

            “Petang esok… di KLIA,” ujar PM.

            Perdana Menteri tertoleh bila Setiausaha Akhbar yang sejak tadi berSMS di hujung bilik menghampirinya secara tergesa-gesa. Dia membisikkan sesuatu. Wajah PM bertukar serius. Kemudian dia terangguk-angguk lalu memberi isyarat kepada Setiausaha Akhbarnya untuk membuka televisyen.

            “Tan Sri, Tan Sri…” kata PM.

            Kedua-dua pegawai tinggi Petromal itu memandang PM dengan penuh perhatian. Masing-masing tampak teruja kerana ingin tahu perkara yang hendak disampaikan oleh PM.

            “Nampaknya kita ada cabaran baru. Cabaran dari Amerika…”

            Sejurus PM berkata, skrin TV pun terpasang. Wajah seorang pembaca berita saluran World LiveLine pun terpapar. Wajahnya masam mencuka. Dia sedang bersedia hendak memberi suatu berita penting.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment