Photo credit: foxnews.com
Pejabat Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad,
Ganezuela
BUNYI gerincing kunci menyedarkan Fariz. Matanya terkelip-kelip memandang pintu. Kelihatan ia
bergegar-gegar sedikit sebelum terbuka luas. Seorang petugas melangkah masuk.
‘Masa kena dera dah tiba,’ bisik hati kecilnya.
Mata mereka bertembung. Lelaki yang bermisai tipis itu melontarkan
senyuman. Kemudian dia tersegih lebar.
“Mr. Fariz! Bangun!” katanya lalu menarik lengan Fariz
yang terikat supaya berdiri.
Walaupun separuh percaya, Fariz ikut sahaja. Tampak
sekali, dari air mukanya, petugas itu tidak berniat buruk terhadapnya.
Sekurang-kurangnya pada waktu terdekat ini. Seketika sahaja petugas itu
menariknya untuk berdiri. Lelaki itu tergelak kecil pula. Hati Fariz berasa
curiga.
“Awak bebas,” katanya seraya mengibas-ngibas belakang
Fariz untuk membuang debu.
‘Baiknya, engkau! Ada udang di sebalik batu ke?’ kata
hati Fariz lagi.
Lelaki itu segera membuka ikatan di tangan Fariz.
“Ikut aku. Bos nak jumpa,” perintah lelaki itu pula.
“HELO… helo… helo… Mr. Fariz…”
Seorang lelaki mat saleh menegurnya sebaik sahaja dia
memasuki sebuah pejabat. Lelaki yang bertubuh sasa dan bermisai tebal itu tersengih
sambil bersalaman dengannya.
“Saya Rock Robson. Oh, ya. Kebetulan saya hendak minum
petang. Mari kita minum sambil saya bercerita sikit…”
Lelaki itu mengajak Fariz ke sebuah meja kecil. Di situ beberapa
biji cupcake cokelat dan juga buah-buahan.
Terdapat dua buah kole dan seteko minuman. Dia mendepangkan tangannya
mengisyaratkan Fariz untuk duduk.
“Sebenarnya berlaku sedikit kesilapan teknikal…” kata
Rock sambil menuang kopi ke dalam kedua-dua kole. Kelihatan asap berkepul-kepul
naik. Aroma kopi segera mengharumi suasana. Rock menghulur sebuah kole kepada
Fariz. Kemudian dia menghulur pula mangkuk kecil berisi gula kiub.
‘Pelik sangatlah ni… mana mungkin tawanan boleh
tiba-tiba diajak minum-minum macam ni?’ hati kecil Fariz berkata-kata lagi.
Dia perlu awas. Ekor matanya menjeling ke sekeliling
bilik. Tidak terdapat apa-apa di dinding kecuali jam dinding dan bingkai peta.
Di atas meja Rock Robson terdapat kertas-kertas, fail, komputer dan benda
berkilat yang berwarna hitam. Pistol!
Fariz berkira-kira, senjata yang paling mudah untuk
mengalih perhatian Rock Robson andainya terpaksa bertindak ialah dengan
menyimbah lelaki itu dengan air kopi yang panas ini.
“Kami di Gruesome Group bekerja untuk Extron,” ujar Rock
seraya mengunyah sebutir cupcake. “Dalam
satu pelayaran, Wehliye Amare serang dan tawan kapal minyak kami. Oleh sebab
kami tak mahu diganggu, kami sedia bayar pada Wehliye wang perlindungan.
Ertinya, Wehliye tidak akan ganggu lagi kapal-kapal kita
sebab kami bayar kepadanya ribuan ringgit setiap bulan. Tapi Wehliye tamak! Dia
serang dua lagi kapal kami menggunakan kumpulan lanun yang lain.
Bila kami dapat tahu kisah sebenar, Wehliye tak mengaku.
Akhirnya kami terpaksa menculik keluarganya supaya dia diperangkap ke mari…”
Rock Robson mengeluh kecil. Kopinya dihirup perlahan.
“Kami tak sangka yang ia melibatkan pegawai tinggi
syarikat minyak negara awak. Saya malu sebab saya yang mengepalai operasi menangkap
Wehliye. Tak sangka ia melibatkan imej Extron kerana tindakan kami.
Sekarang saya terpaksa buat kerja yang amat memalukan.
Saya kena kembalikan pegawai tinggi syarikat minyak negara awak. Awak pun mesti
saya lepaskan dan hantar balik ke Malaysia sebagai tanda kesal kami hingga
menjejaskan imej Extron.
Akibat tindakan salah saya itu, Gruesome Group mungkin
hilang kontrak mengawal Extron di wilayah ini. Mungkin sekali saya dibuang
kerja. Bila itu berlaku, saya terpaksa pulang ke Texas dan jadi koboi! Ha, ha,
ha!”
Rock Robson tertawa terbahak-bahak seraya menggeleng
kepala. Tampak kesal di wajahnya.
“Hei, Mr. Fariz… minumlah kopi tu!”
Fariz yang asyik mendengar cerita Rock Robson tidak
sedar yang dia masih belum meneguk lagi kopi. Perlahan-lahan kopi dihirup. Rasa
letihnya tiba-tiba hilang. Matanya terasa segar.
“Dalam hidup ini, kadang kala bila anda rasa anda dah
cukup pandai, ada sesuatu yang amat bodoh berlaku dalam hidup anda,” Rock membebel
lagi.
“Mr. Fariz… awak orang muda… awak seorang ejen perisik…
saya tahu. Kerana itu awak perlu berhati-hati.
Dalam sepuluh orang yang awak bunuh, pasti ada seorang
yang awak tersilap tembak. Seorang yang mati itu sudah cukup membuat awak berasa
kesal hingga ia menghantui segala tindak-tanduk kita pada hari esok.”
Rock Robson menepuk-nepuk bahu Fariz bagai seorang
mentor kepada menteenya. Fariz hanya mendengar nasihat itu dengan hati terbuka.
Namun, matanya terasa berat. Fikirannya melayang. Kata-kata Rock Robson yang
seterusnya sudah tidak dipastikan biji butirnya. Yang terdengar hanyalah suara
yang menggaung dan bergema di fikirannya. Suara itu akhirnya hilang. Fariz
pengsan.
Bersambung pada Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment