Photo credit: realitimod.com
Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya
SEJURUS PM berkata,
skrin TV pun terpasang. Wajah seorang pembaca berita saluran World LiveLine pun
terpapar. Wajahnya serius. Dia sudah bersedia hendak menyampaikan suatu berita penting.
“Selamat petang. Saya Liz Gaddy. Sekarang, saya bawa anda dengan
berita terkini. Seorang lelaki yang dipercayai dari sebuah syarikat petroleum
Malaysia telah ditahan oleh pihak keselamatan Extron kerana menceroboh pejabat
operasi syarikat itu di Hermoza Ciudad, Ganezuela,” kata penyampai berita
WorldLiveLine itu.
“Siapa pulak, tu?”
tanya PM sebaik sahaja skrin memparkan wajah Fariz yang sedang duduk menghadap
kamera. Wajahnya kelihatan lemah. Matanya kuyu seperti orang yang tidak cukup
tidur dan kebingungan.
Kamera membuat zoom
ke arah pakaian Fariz. Tertera tulisan ‘Petromal’ tersemat di dada kiri Fariz.
Pengerusi Petromal, Tan Sri Irsham Arshad dan Presidennya Tan Sri Hazibudheen
Thajudeen, masing-masing kelihatan terkejut.
“Staf awak ke tu?” tanya
PM kepada mereka.
“Saya tak pasti.
Tapi kami tak pernah hantar orang untuk ceroboh syarikat lain. Bukan polisi
kita,” jawab Tan Sri Irsham.
“Ya. Bukan polisi kami,”
sampuk Tan Sri Hazibudheen.
Mereka bertiga
menonton lagi. Kini kamera memfokus pula ke meja di hadapan Fariz. Terdapat dua
objek kecil yang terletak di atas meja.
“Turut ditemui
bersama lelaki yang dipercayai ejen perisik dari syarikat minyak Malaysia itu
ialah pemutar skru dan sebuah external
hard disk,” ujar Liz Gaddy lagi.
Ketiga-tiga lelaki
itu meneliti apa yang disampaikan oleh pemberita itu. Wajah masing-masing amat
sugul. Tidak tahu apa yang hendak diperkatakan pada waktu itu. Kedua-dua
penjawat tertinggi Petromal itu pula berasa amat malu menatap apa yang
dipertontonkan. PM pula belum mahu percaya apa yang dijawab oleh kedua-dua
pegawai tertinggi Petromal itu.
“Kami dapat hubungi
Abram William, Ketua Pengarah Eksekutif Extron di Houston, Texas. Mari kita
dengar komen beliau…” kata Liz.
Skrin televisyen
kini menayangkan wajah Abram William di sebelah wajah penyampai berita
WorldLiveLine itu.
“Boleh tuan ulas
apa yang berlaku?”
“Petang kelmarin,
kira-kira jam 4.00 petang, seorang lelaki didapati menceroboh stesyen simpanan
minyak kami di Hermoza Ciudad, Ganezuela. Dia dapat memasuki stesyen itu
melalui pintu selatan… mengambil pelbagai maklumat dari pangkalan data kami
sebelum penggera keselamatan kami mengesannya.
Saya tak tahu apa yang dicari oleh lelaki itu. Dan, mengapa
sebuah syarikat minyak Malaysia menghantar seseorang untuk mencuri maklumat
daripada kami? Dia sepatutnya datang ke mari… ke Houston untuk mendapat segala
maklumat… bukan ke Ganezuela. Di situ hanya ada rekod stok minyak! Saya
bingung! ” jawab Abram seraya tergelak-gelak.
“Apakah James Bond Malaysia itu bertindak bersendirian?”
Liz Gaddy mula melawak pula.
Wajah Abram William berubah daripada ceria menjadi
serius. “Kami dapat mengesan jejak mereka yang lain. Lelaki itu bukan datang
berseorangan. Mungkin dua, mungkin tiga, mungkin lebih daripada lima orang.
Kami masih menyiasat.”
Skrin TV terpadam. PM yang menutupnya. Perlahan-lahan
dia meletak alat kawalan jauh. Dia tertunduk lalu mengeluh dalam. Amat terkilan
dengan apa yang sedang dihadapinya kini.
“Saya perlu laporan rasmi daripada Tan Sri-Tan Sri…”
kata PM perlahan
“Baik, Datuk Seri,”
jawab kedua-dua Tan Sri itu serentak.
Kedua-duanya
bangkit memohon untuk mengundur diri. Sambil tertunduk-tunduk mereka pun
berlalu. Sememangnya mereka sudah tidak selesa duduk lama-lama bersama PM. Kedatangan
mereka tadi untuk mendengar berita gembira mengenai Datuk Rauzah yang berjaya
diselamatkan dalam Ops Sambar itu bertukar duka dengan sebuah berita bohong!
Hutan Tropika Hermoza
Ciudad, Ganezuela
HARI sudah senja. Mereka berlima yang bersembunyi di balik rimbunan
pepohon dalam hutan tropika itu mula berasa lega. Tiada kedengaran lagi bunyi
tembakan. Tiada petanda yang mereka diekori. Suasana amat sunyi. Yang
kedengaran hanya bunyi unggas di hutan. Jeritan mawas sesekali kedengaran menggaung
jauh.
Sebelum ini, mereka berlari menyusup ke dalam hutan bila
dikejar para pengawal Gruesome Group. Akhirnya Ops Sambar berjaya menyelamatkan
Datuk Rauzah daripada tahanan. Jeffri Zain sentiasa mengawal Datuk Rauzah sementara
anggota PASKAL pula merentas jalan untuk mereka.
Walaupun pada mulanya mereka menjadi sasaran, kemahiran
anggota PASKAL yang membuat helah pergerakan membuatkan pihak pengawal keliru
dan akhirnya kehilangan jejak mereka hingga mereka tiba di tepi sungai. Di
sinilah tempat di mana bot mereka disembunyikan.
Salah seorang anggota PASKAL yang mengepalai pasukan memberi
isyarat agar Jeffri membawa Datuk Rauzah menaiki bot. Dalam kesuraman senja,
Jeffri nampak lima anggota PASKAL sudah menolak bot ke air.
“Datuk jalan dulu,” Jeffri berbisik.
“Jeff… tak ikut?” tanya Datuk Rauzah.
Jeffri menggeleng. “Saya kena cari Fariz dulu…”
Datuk Rauzah mengangguk faham. Ketua pasukan PASKAL yang
menunggu itu terus memimpin Datuk Rauzah menuju ke bot. Suasana yang sunyi
dengan bunyi alam dan air sungai yang bagai tidak berkocak itu membangkitkan
suasana tenang. Jeffri nampak kedua-duanya melangkah mengharungi gigi air menuju
ke bot. Dia nampak kelibat empat lagi anggota PASKAL yang sedang menunggu.
Tiba-tiba, garisan api muncul entah dari mana dan
menghilang di tubuh salah seorang anggota PASKAL yang berada di atas bot.
“Argh…” kedengaran erangan anggota itu. Dia terkulai dan
tumbang ke tanah.
“Kita diserang!” pekik ketua pasukan.
Percikan dan garisan api hasil gerakan peluru kelihatan
bersimpang-siur berterbangan. Seorang demi seorang anggota PASKAL tumbang sebelum
sempat mereka membalas tembakan daripada serang hendap itu. Ketuanya turut
tumbang. Petanda bahawa masing-masing menjadi sasaran lebih daripada seorang penembak
tepat.
Jeffri nampak apa yang terjadi di depan matanya. Dia
mula berlari untuk menyelamatkan Datuk Rauzah. Namun langkahnya terhenti bila
terpandang kelibat tubuh anggota pengawal Gruesome Group yang lebih 20 orang
mengerumuni Datuk Rauzah.
Lekas-lekas dia bersembunyi kembali. Tersandar di
celah-celah daun besar di banir pohon besar. Kedua-dua jejarinya mencengkam
pokok-pokok renek di sekitarnya hingga tercabut akar-akarnya. Dia menahan geram
kerana tidak dapat berbuat apa-apa. Tubuhnya menggeletar.
Jika dia bertindak, pasti dirinya turut gugur. Untuk
meneruskan misi, dia terpaksa bertahan dan bersembunyi meskipun dengan cara itu
dia sengsara melihat apa yang terjadi.
“Ya, ALLAH… Ya, ALLAH… Ya, ALLAH…”
Itu sahaja yang terlafaz pada saat itu tatkala melihat
anggota Gruesome Group mengheret Datuk Rauzah pergi.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment