Sunday, May 26, 2013

FRAGMEN 39: GERAK GEMPAR


Photo credit:  fmaforum.com


Pejabat Operasi Gruesome Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela

 HARI mulai senja. Anggota-anggota PASKAL sudah tiba di kawasan berhampiran dengan pejabat operasi Gruesome Group. Premis berpagar tinggi yang berada di pinggir hutan itu kelihatan sepi. Fariz yang menyertai pasukan itu turut beruniform seperti anggota PASKAL.

Salah seorang daripada mereka memantau kawasan itu dengan teropong. Mereka berpecah tiga. Dia nampak seorang anggota Gruesome Group berkawal di sebuah menara kawalan. Teropongnya teralih ke kawasan sekitar. Kemudian mengangkat tangan, memberi isyarat yang dia nampak ada dua orang lagi berada di sebelah kiri kawasan bangunan dan dua orang lagi di kawasan kanan sedang menjalankan rondaan.

Seorang anggota membuka beg sandangnya. Mengeluarkan sebuah alat sebesar pemahat yang mempunyai wayar yang bersambung ke sebuah alat seperti kotak di dalam begnya. Swis pada kotak itu dibuka. Dengan berhati-hati alat seperti itu disentuh ke dawai pagar.

Satu demi satu belitan pagar dawai itu cair dan terurai bila disentuh alat yang panas itu. Akhirnya satu garisan terbentuk daripada dawai yang cair itu. Dan, pagar pun dikuak. Anggota itu mengisyaratkan agar Fariz masuk. Setelah mereka memutar jarum jam agar waktu masing-masing seragam, Fariz segera meloloskan dirinya.

DARI dalam sebuah bilik, Jeffri sedang berehat bersama Abdool dan seorang lagi lanun. Mereka masih menanti Wehliye yang masih berurusan dengan Rock Robson. Sambil menonton TV bersama yang lain, dia menunggu. Nalurinya berkata, pada bila-bila masa sahaja dia akan mendapat isyarat dari BISIK. Fonselnya bergetar sekali. Jeffri menyeluk saku.

‘Huh! Dia lagi?’ kata Jeffri di dalam hati. ‘Dah tak ada orang lain, ke?’

Mulutnya tercebir seketika. Berasa tidak senang bila dia bukannya menerima mesej langsung daripada BISIK atau daripada mana-mana ejen lain. Sebaliknya daripada Fariz yang dianggapnya masih mentah.

Betapa pun, dia perlu akur dengan kontaknya ini. Jeffri menguap dan menggeliat. Suaranya menguap sengaja dikuatkan. Membuatkan Abdool dan lanun yang seorang lagi terjeling seketika. Perhatian kedua-duanya kembali ke skrin TV yang menayangkan muzik rock.

Jeffri bangkit. Sambil melangkah dia sengaja membuka zip seluar seperti tidak menyempat hendak ke tandas. Sengaja membuat perangai yang menjengkelkan. Abdool terjeling seketika kerana berasa terganggu dengan perangai Jeffri.

“Woi! Apa hal engkau ni?” tegur Abdool.

“Tak tahan dah…” jawab Jeffri selamba.

“Pergilah cepat. Jangan bersepah dalam bilik ni, pulak!”

“Hmm…”

Dengan kata-kata itu, Jeffri mempercepatkan langkahnya. Sambil membetulkan zip seluarnya kembali dia menapak ke bilik di mana Datuk Rauzah terkurung. Dia mencapai fonsel untuk membaca koordinat bilik itu.  

Sambil melangkah, dia mengangguk sedikit sebagai tanda hormat kepada seorang anggota Gruesome Group yang berkawal di luar bilik itu. Pandangannya lantas terjeling ke atas pintu bilik. Dia nampak sebuah kamera CCTV terpasang di situ.  Matanya mengekori wayar yang berwarna hitam yang bersambung dari kamera ke celah siling.

Jeffri memasuki tandas. Di situ dia menghantar isyarat koordinat lokasi bilik Datuk Rauzah kepada Fariz. Seketika setelah melakukan itu, dia memanjat dan menguak kepingan siling.

Tangannya meraba mencari wayar CCTV berwarna hitam. Ia berbeza daripada wayar elektrik yang berwarna putih.  Setelah wayar itu ditemui, Jeffri menghiris sedikit wayar itu. Tidak dipotong habis. Selepas itu dia melangkah dari tandas sambil bersiul-siulan.

Jeffri melangkah pantas. Dia nampak sebuah pintu di hujung koridor kira-kira sepuluh meter dari bilik di mana Datuk Rauzah terkurung. Dengan selamba dia melangkah melewati pengawal itu.

“Hey, pirate! Where are you going?” pengawal itu menegurnya.

Jeffri menghentikan langkah. Lantas menoleh. “Outside! I need some fresh air. Oh, by the way... you have a light?”

“I ain’t have any light. Go find yourself!” jawab pengawal itu dengan bibir tercebir.

Perlahan-lahan Jeffri menghampiri pengawal itu. Kemudian dia berdiri begitu hampir dengan lelaki itu. Sebuah senyuman manis dihulurkan. Membuatkan lelaki itu jadi kaget.

“Never mind. Just asking. By the way…” kata Jeffri seraya tersengih pula. “I have a light!”

Serentak dengan itu tangan kirinya menutup mulut pengawal itu dan tangan kanannya menoreh leher lelaki itu dengan sebilah pisau kecil yang diambil dari sisipan tali pinggangnya.

Mata pengawal itu terbeliak. Jeffri mengasak lelaki itu ke dinding. Lengannya menekan leher lelaki itu. Seketika sahaja mata pengawal itu menjadi layu. Dia pengsan. Tanpa berlengah lagi, Jeffri mengheret lelaki itu ke tandas.

DI BILIK kawalan pejabat operasi itu, 10 skrin imej-imej CCTV terpancar seperti biasa. Hanya imej kamera yang terpasang di hadapan bilik Datuk Rauzah sahaja yang kelihatan terkelip-kelip kerana sambungan wayarnya hampir terputus.
            Ia sempat merakam imej Jeffri bercakap-cakap dengan pengawal itu, kemudian kamera itu padam seketika. Imej yang terpapar bila ia tersambung kembali hanyalah suasana di hadapan bilik kurungan Datuk Rauzah tanpa ada sesiapa di situ. Pengawal di bilik operasi ini tidak sedar pun. Dia asyik bermain Angry Bird di fonselnya!

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment