Photo credit: footage shutterstock.com
Pejabat
Presiden Ganezuela
HARI ini adalah hari yang bersejarah buat Ganezuela
Oil Company; GOC dan juga Extron. Pada hari ini, kedua-dua pihak akan memeterai
perjanjian usahasama pengeluaran minyak
dari bumi Ganezuela. Alberto Chimo sebagai Presiden Ganezuela yang juga
Pengerusi GOC akan memeterainya bersama CEO Extron Abram William.
Majlis itu diadakan ringkas
sahaja berbanding dengan majlis pelancaran Lancang Kuning kepunyaan
syarikat minyak Malaysia, Petromal yang membawa 70,000 deadweight ton gas asli dari Ganezuela ke Kenya.
Di dalam pejabatnya, Alberto Chimo duduk
termenung. Memorinya berlari dan memancarkan imejan-imejan dari saat dia
mempelawa pelbagai syarikat minyak melabur di negaranya untuk mencari gali
minyak hingga akhirnya menyenarai pendek Extron dan Petromal. Dia dan Jemaah
menterinya sungguh berkenan dengan Petromal.
Syarikat Malaysia itu mempunyai
kepakaran sehebat syarikat Amerika. Malah, mereka menawarkan pakej carigali,
pengeluaran dan juga pemindahan teknologi kepada GOC. Segala-galanya berjalan
lancar sehinggalah Petromal-GOC berjaya menjual minyaknya ke negara Kenya
sebagai pelanggan pertamanya.
Mengikut rancangan, penghantaran
minyak ke negara Afrika itu merupakan acara simbolik Petromal-GOC. Ia adalah persefahaman
awal sebelum perjanjian usahasama pengeluaran minyak dimeterai. Perjanjian itu
tergendala apabila kapal Lancang Kuning ditawan lanun Somalia dan Ketua
Pengarah Operasinya, Datuk Rauzah Hamdi diculik.
Peristiwa malang buat Petromal
adalah peluang kedua buat Extron. Ia yang menjadi pesaing kepada Petromal
mengambil kesempatan itu untuk mencelah sekali lagi. Presiden Ganezuela yang
pada mulanya keberatan untuk menerima permintaan Extron akhirnya terpaksa
tunduk setelah beliau mendapat satu panggilan telefon daripada Naib Presiden
Amerika.
.....................................................................
Imbas kembali:
SEPERTI pada hari-hari minggu yang lain, jika tidak ke mana-mana, Alberto Chimo lebih suka berendam di kolam renang. Setelah berenang dan menyelam, dia gemar menelentang dan mengapungkan dirinya di dalam air.
Imbas kembali:
SEPERTI pada hari-hari minggu yang lain, jika tidak ke mana-mana, Alberto Chimo lebih suka berendam di kolam renang. Setelah berenang dan menyelam, dia gemar menelentang dan mengapungkan dirinya di dalam air.
Cahaya mentari dan suamnya air di
kolam renang kediamannya ini sungguh merehatkan. Anak dan isterinya amat
memahami kegemaran Alberto. Mereka akan membiarnya bersendirian. Tidak
mengganggu privasinya. Mereka tahu, begitulah Alberto berekreasi.
“Tuan...” kedengaran suara dari tepi
kolam renang.
Alberto membuka mata. Memandang
pembantunya sedang mengunjuk fonsel. Dia tahu ada panggilan. Lalu dia berenang
ke tepian. Kemudian dia duduk bertenggek di tubir kolam.
“Ya, helo...”
“Selamat pagi. Masih mandi di kolam
renang?” kedengaran satu suara.
“Err... tidak. Saya sedang berehat
di tepi kolam,” Alberto berdalih.
“Ha, ha. Jangan melawak. Saya
tahu... seluar pendek merah awak tu masih lencun!”
Alberto tersentap. Lantas memandang
seluar pendeknya yang berwarna merah. Mulutnya tercebir sedikit kerana malu
orang yang bercakap di hujung talian seperti tahu apa yang dipakainya pagi ini.
“Apa yang boleh saya bantu, Tuan
Naib Presiden?” tanya Alberto untuk mengalih tajuk perbualan.
“Oh, saya turut bersedih dengan apa
yang terjadi. Saya tak sangka lanun-lanun Somalia seganas itu. Bad Holac seharusnya tahan kapal, culik
mangsa, minta wang tebusan dan lepaskan mereka.
Mereka nampaknya semakin tamak.
Mereka tahan tebusan lebih lama kerana inginkan wang yang lebih banyak. Ia menyusahkan
semua orang... dan kini mengganggu pula perancangan negara awak, Alberto.”
Alberto Chimo mengeluh mendengar
kata-kata itu. “Saya pun tak boleh buat apa-apa. Pihak Petromal khabarnya
sedang berunding dengan Bad Holac.
Mungkin dalam sehari dua ini semuanya akan berakhir.”
“Mengapa tidak berbuat sesuatu yang
lebih drastik, Alberto?”
“Maksud tuan?”
“Sebenarnya, saya baharu tahu sebuah
syarikat minyak dari negara saya, Extron tidak berjaya dalam usahasama dengan
GOC. Jika saya tahu lebih awal, Amerika akan bantu GOC melalui Extron membuka pasaran
minyak seantero dunia.
Selain itu, kami akan bantu
Ganezuela membina prasarana seperti loji penapisan minyak, lapangan
terbang, empangan, lebuh raya dan
segalanya.”
“Tawaran Tuan sama sahaja dengan apa
yang Petromal tawarkan! Tak ada bezanya!”
“Bagaimana awak kata ia tak ada
beza? Petromal hanya sebuah syarikat! Tetapi jika Extron terpilih, penjamin di
belakangnya adalah Amerika. Kami adalah negara terkaya dan temaju di dunia.
Saya jamin, apa yang Petromal tawarkan, kami akan tawarkan pula pada kadar
sekurang-kurangnya tiga kali ganda!”
Alberto Chimo termenung seketika
mendengar cadangan berbaur desakan itu.
“Fikirkan, Alberto. Tapi keluarlah
dari kolam renang tu. Minumlah air tembikai dan koktel yang sedang dihidangkan
tu!”
Presiden Ganezuela itu tercengang
seketika. Tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Naib Presiden Amerika itu.
Bunyi gelas menyentuh kaca meja membuatkan dia menoleh. Dia kaget bila nampak
pembantunya membawa segelas air tembikai dan koktel buah-buahan.
“Hei... macam mana Tuan Naib
Presiden tahu apa yang berlaku di sini?” tanya Alberto kehairanan.
“Ha, ha. Awak hanya mendengar
perbualan kita. Saya pula mendengar dan melihat Tuan Presiden!”
Kata-kata itu membuatkan Alberto
Chimo tertoleh-toleh. Kemudian dia mendongak ke
kawasan sekeliling, memantau pandangannya. Namun, dia tidak nampak
apa-apa. Peluh dingin tiba-tiba terasa merembes di tengkuknya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment