Photo credit: timelines2u.blogspot
Hermoza Cuidad,
Ganezuela
Sebaik sahaja jet
Gulfstream G650
mendarat, Wehliye yang turut menaiki penerbangan itu segera dibawa ke bangunan
di lapangan terbang. Datuk Rauzah turut dibawa ke sebuah bilik. Pergerakan
mereka dikawal oleh beberapa anggota Gruesome Group.
Tatkala Abdool dan seorang lanun berlalu untuk
membersih diri, Jeffri menghampiri Ketua Pengarah Operasi itu. Rasa kasihan
menyelinap di hatinya. Namun, oleh kerana tugas dan muslihat, dia terpaksa
mengheret wanita itu hingga ke mari.
Jeffri melakukannya sendirian, tanpa mengikut arahan
BISIK kerana terpaksa. Dia menjangka, dalam keadaan sukar bila dikejar helikopter,
tiada peluang dan ruang lagi untuk mereka semua selamat melainkan jika dia
mengengkari operasi.
Daripada dia bersama yang lain menyerah diri, lebih
baik dia menyarung kembali topeng jahat dengan bertindak sebagai ejen yang
belot. Sekurang-kurangnya kesemuanya akan terus bernyawa. Selama mana, dia pun tidak
boleh menjangka.
DATUK RAUZAH sedar Jeffri berada di sisinya. Matanya
yang tertutup itu kian meningkatkan rangsangan deria telinga. Sejak di dalam
kapalterbang lagi dia teringat kata-kata Jeffri tatkala ingin menyelamatkannya
ketika dia ditahan di markas Bad Holac.
Ingatan pada saat itu masih jelas di fikirannya. Mindanya menayangkan episod
itu…
Imbas kembali…..
“Assalamualaikum... Cepat!”
kata Jeffri. “Saya dari Malaysia. Saya datang nak selamatkan Datuk.”
Bahasa
Melayu fasih yang digunakan lelaki itu membuatkan Datuk Rauzah jadi kaget.
Bagai tidak percaya, ada orang Melayu yang datang untuk menyelamatkannya.
Siapa?
“Betul ke awak orang
Melayu? Orang Malaysia?”
“Perlu ke saya nyanyi Negaraku untuk yakinkan Datuk?”
Datuk Rauzah masih
memandang Jeffri dengan wajah curiga.
“Saya orang Kampung Sawah
Datuk, Mersing. Sekampung dengan datuk!”
Jika sebentar tadi Datuk
Rauzah memandangnya penuh kecurigaan, kini dia memandang Jeffri dengan penuh
kehairanan.
“Datuk jangan bimbang.
Insya-ALLAH, dalam tempoh 24 jam, Datuk sudah berada di tanahair. Ikut saya,”
ujar Jeffri.
..........................................
‘SEKAMPUNG?’ hati Datuk Rauzah tertanya.
Ingatan itu membuatkan
Datuk Rauzah mengenepikan tanggapan bahawa Jeffri adalah seorang pembelot.
Siapa Jeffri sebenarnya? Jika Jeffri sekampung dengannya, dia pasti kenal siapa
lelaki ini.
Jika tidak pun, pasti dia
kenal orang tua Jeffri. Kampung Sawah Datuk bukannya besar sangat. Biar dia
bertanya terus mengenai hal peribadi Jeffri. Dia mahu tahu siapakah lelaki ini.
“Awak orang Mersing...
betul?” soal Datuk Rauzah.
Datuk Rauzah memasang
telinga. Mengesan segala macam bunyi di sekelilingnya sebelum mendengar geseran
kasut menghampirinya. Kedengaran sebuah dehem kecil di sisinya.
“Saya... Jap... anak Mak Chu Milah. Kak Ojah
dah tak ingat ke?”
“Jap? Engkau... Jap?”
Imbas kembali...
1974, Kampung Sawah Datuk, Mersing, Johor
SATU kampung sudah heboh. Ruziah anak pasangan
Pak Hamdi Janggut dan Mak Eton Kelapa dikatakan mengandung! Petang itu, gadis
yang bekerja kilang tekstil di Batu Pahat, Johor Bahru pulang ke kampung untuk
bercuti.
Ketika menginjak tangga
ketika membawa pakaian dari jemuran, Ruziah jatuh terjelepok di tepi tangga.
Gadis itu pengsan. Tetapi, apa yang mengejutkan, Ruziah tumpah darah! Nyang
Pesah yang sedang berbual dengan Mak Eton Kelapa terkejut besar. Sekejap sahaja
cerita Ruziah tumpah darah tersebar. Ruziah keguguran! Siapa yang menodai anak
gadis itu?
Orang kampung terutamanya
jiran-jiran Mak Eton Kelapa sudah tahu benar, Ruziah akan pulang ke kampung
setiap bulan untuk bertemu kekasihnya Jeffri Mohd Zain.
Jeffri pula pemuda yang
tidak bekerja tetap selepas tamat SPM. Tetapi dia ringan tulang. Selalu juga
dia menolong orang yang menangguk udang di hulu Sungai Mersing. Ada kalanya,
dia membantu orang di gerai, mengambil pesanan atau membasuh pinggan.
Mereka tahu sangat, Ruziah
dan Jeffri adalah sepasang dua sejoli. Bila Ruziah pulang, dia dan Jeffri
sering kelihatan berbasikal bersama pada waktu petang di jalan pantai.
Sah! Pasti! Jeffrilah yang
membuntingkan Ruziah. Tak mungkin orang lain. Patutlah mereka rajin berbasikal
berdua. Rupa-rupanya mereka punyai angkara. Entah-entah mereka berbasikal jauh
dari pandangan orang untuk melakukan perkara terkutuk itu.
Itulah sebabnya Ruziah
setia sangat dengan Jeffri yang tidak bekerja tetap itu. Rupa-rupanya
masing-masing sudah gian di antara satu sama lain! Demikianlah umpat orang
kampung.
Akhirnya, cerita itu sampai
ke telinga Rauzah Hamdi, kakak Ruziah. Dia naik darah. Dia sudah melarang
adiknya berkawan dengan lelaki. Tetapi adiknya degil. Kini, nasi sudah menjadi
bubur.
Rauzah yang belajar di UTM
Skudai dalam jurusan petroliam bergegas pulang. Setibanya dia di kampung,
Rauzah tidak pulang terus ke rumahnya. Sebaliknya dia terus ke rumah Mak Chu
Milah.
“Mak Chu! Mak Chu Milah!”
pekiknya.
Orang tua yang sudah
berusia lebih 70 tahun itu menjenguk di jendela. Rauzah tidak menanti dirinya
dipelawa. Dia terus menginjak tangga. Wajah hairan Mak Chu Milah menyambutnya
di depan pintu bila daunnya dikuak Rauzah.
“Kenapa ni, Ojah?
Tergopoh-gapah na!” tanya Mak Chu Milah.
“Mana Jeffri?”
Raut wajah Mak Chu Milah
berubah bimbang. Kini, dia jelas memahami maksud kedatangan Rauzah.
“Jepri tak ada!” jawab
wanita itu tenang.
“Tak ada? Ke mana? Dah
lari?”
“Janganlah cakap macam
tu...” Wanita berusia itu cuba menenangkan anak jirannya.
Tetapi, Rauzah tidak
peduli. Habis maki hamun diluahkan terhadap Mak Chu Milah. Wanita yang cuba
menyabarkan Rauzah akhirnya tidak dapat menahan rasa sebak dan duka. Hatinya
bagai disagat dan dihiris dengan kata-kata nista Rauzah.
Akhirnya, Mak Chu Milah
tidak dapat menanggung rasa lagi. Dia rebah! Sekali lagi Kampung Sawah Datuk
kecoh gara-gara anak pasangan Pak Hamdi Janggut dan Mak Eton Kelapa yang
seorang lagi.
.......................................
.......................................
“SAYA tahu cerita tu, Kak Ojah!” kata
Jeffri perlahan. “Saya minta maaf.”
“Awak
nak mintak maaf?” soal Datuk Rauzah.
“Kalau
saya salah...”
Datuk
Rauzah tersenyum. Jeffri yang memandang tidak dapat mentafsir erti senyuman
itu. Apakah ia senyuman tanda menerima maaf atau senyuman yang sinis tanda
tiada maaf bagimu?
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment