Photo credit: privatejetdaily.com
Lapangan Terbang Kismayo,
Somalia
PENERBANGAN
dengan helikopter yang mengambil masa satu setengah jam itu berakhir bila
mereka sampai di lapangan terbang antarabangsa Kismayo. Lapangan terbang yang
asalnya digunakan untuk menempatkan tentera Somalia itu telah dibuka kembali
pada tahun 2008 setelah ia dirampas dari tentera militan. Pada tahun 2012 ia
dikuasai sepenuhnya oleh pihak tentera Somalia.
Secara tergesa-gesa, Datuk Rauzah dibawa
menaiki sebuah jet peribadi Gulfstream G650 yang sedang menanti. Seketika sahaja
jet itu sudah meluncur di landasan dan mendongak ke langit menuju ke sebuah
lokasi.
BUNYI
deru enjin kapalterbang singgah ke telinganya. Datuk Rauzah membuka mata. Namun
pandangannya gelap. Dia cuba bergerak. Tetapi terasa tangannya kini terikat.
Setelah berdiam diri sejenak, baharulah
dia terasa matanya ditutup dengan kain. Dia mula teringat yang sebelum itu dia
dibawa menaiki helikopter.
Sebaik sahaja helikopter berlepas, dia terasa sesuatu
menyucuk tengkuknya lalu dia tidak sedarkan diri. Datuk Rauzah teringat kembali lelaki yang
datang menyelamatkannya. Kata lelaki itu, dia orang Malaysia! Hatinya lega bila
dia dibawa keluar dari markas Bad Holac
ke sebuah jeep yang sedang menunggu.
Malangnya, pihak
musuh mengetahui dan kejar mengejar terjadi. Akhirnya mereka terperangkap.
Mengapa lelaki yang kononnya datang untuk menyelamatkan dirinya itu berpaling
tadah? Apakah lelaki itu berlakon bekerjasama semata-mata untuk mengaburi pihak
Malaysia? Atau, apakah dia talam dua muka?
Betapa pun, Datuk Rauzah percaya, penculikannya itu tidak akan
membahayakan dirinya. Jika dia ingin diapa-apakan, sudah lama dia diperlakukan
oleh penculiknya. Kalau ada pun, hanya satu insiden ingin dicabul yang
dilaluinya. Selain daripada itu, tiada cubaan untuk menyiksa dilakukan
terhadapnya. Datuk Rauzah pasti dia hanya menjadi tebusan. Bila pihak lanun
memperoleh habuan, dirinya pasti dilepaskan.
Tetapi, bila pihak Malaysia gagal menyelamatkannya, dia
dibawa ke tempat lain. Mengikut pengalaman dan agakannya, dia kini bukan lagi
berada di dalam helikopter. Sebaliknya dalam sebuah kapalterbang. Dengan
keadaannya yang terikat dan pandangannya yang gelap, Datuk Rauzah cuba
melelapkan mata.
“Dah jaga?” bisik satu suara di sebelah kanannya.
Datuk Rauzah terkejut mendengar suara yang begitu hampir
dengan telinganya. Dia kenal dengan suara itu. Suara lelaki yang datang
menyelamatkannya. Lelaki yang mengaku orang Malaysia. Lelaki yang kemudiannya
belot hingga dia berada di dalam sebuah kapalterbang ini untuk dibawa entah ke
mana.
“Awak yang khianat itu, kan?” jawab Datuk Rauzah dengan
suara meneran.
“Diam!” jawapan yang perlahan tetapi tegas itu membuat Datuk
Rauzah tersentak. “Jangan cakap apa-apa, Datuk. Angguk atau geleng sahaja.”
“Kenapa?” Datuk Rauzah menyoal dengan maksud membantah.
“Jangan risau. Ini muslihat. Datuk mesti percayakan saya…
ok?”
Perlahan-lahan Datuk Rauzah mengangguk. Hatinya mulai lega.
Walaupun dia belum mahu percaya dengan apa yang dikatakan oleh lelaki itu,
namun tidak untung atau rugi jika dia bekerjasama. Dalam keadaan sebegini,
apa-apa boleh terjadi.
Majlis Pertahanan Negara,
Putrajaya
SEMUA mata tertumpu pada siaran berita CNN di televisyen bila PM menukar saluran. Seperti yang dijangkakan, berita kegagalan Majlis Pertahanan Negara untuk menyelamatkan Datuk Rauzah menjadi tajuk berita utama.
“Operasi Malaysia untuk membebaskan seorang pegawai syarikat
minyak milik negara itu dari tawanan lanun Bad
Holac telah menemui kegagalan apabila cubaan itu dapat dipatahkan,” kata
pembaca berita.
“Pihak Malaysia telah menggunakan pasukan tentera, polis dan
badan perisikannya, namun ia menemui kegagalan. Ini pasti memalukan Perdana
Menteri Malaysia kerana difahamkan beliau adalah pengarah kepada operasi
menyelamat itu.”
PM tersenyum tawar. Dia terus menukar punat untuk menukar
saluran. Saluran Al-Jazeera pula tertayang di skrin. Siaran berita sudah
berlangsung separuh jalan. Bila imej Datuk Rauzah terpapar, berita yang
dibacakan mestilah mengenai Ops Sambar.
“Perdana Menteri Malaysia tidak dapat dihubungi. Pegawai di
Jabatan Perdana Menteri pula memberitahu media, pemimpin itu belum bersedia
untuk mengadakan sidang akhbar dalam waktu yang terdekat ini,” ujar pembaca
berita saluran itu, seolah-olah menyambung apa yang dibacakan oleh pembaca
berita CNN sebentar tadi.
“Adalah dipercayai, kegagalan operasi ini begitu memalukan dan
akan menjejaskan imej Perdana Menteri Malaysia. Beliau yang baharu sahaja
membubarkan parlimen negara itu dijangka melalui jalan yang sukar dalam pilihanraya
yang bakal menjelang.”
Sekali lagi PM tersenyum kelat. Sambil memperlahankan suara
televisyen, rasa gusar jelas terbayang di wajahnya. Benarlah. Kegagalan Ops
Sambar akan menjejaskan imejnya. Beliau dilihat sebagai pemimpin yang lemah
kerana tidak mampu menyelamatkan seorang warganegaranya dari tawanan
lanun.
Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara turut tertunduk. Tidak
mahu bertentang mata kerana tidak hendak PM berasa malu dengan mereka pula.
Tiba-tiba mentol lampu merah yang berada di atas skrin berkelip-kelip. Petanda
ada sebuah komunikasi ingin disambungkan. PM lantas menekan butang.
Terpapar imej sebuah kapalterbang yang mendarat di sebuah lapangan
terbang di pinggir kawasan hutan. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
Imej Tuan Aziz pula memasuki separuh ruang skrin.
“Assalamualaikum. Imej yang tuan-tuan saksikan ini adalah
imej yang diperoleh dari satelit Tanduo. Itulah kapalterbang yang membawa Datuk
Rauzah…” jelas Tuan Aziz.
Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas
mendekatkan tubuhnya ke arah Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi
Khas, ATM lalu berbisik...
“Macam mana Tanduo dapat imej kapalterbang tu? ATM pun tak
tahu menahu mengenai kapalterbang itu.”
“Saya pun tak tahu macam mana boleh tangkap imej tu,” jawab
Datuk Amsyairi. Kecualilah kalau kita ada cip yang dipasang pada kapalterbang
tu. Setahu saya, tidak ada,” jawab Datuk Amsyairi.
“Tuan-tuan sekalian…” ujar Tuan Aziz. “Kita dah dapat koordinat
di mana kapalterbang itu mendarat. Ia sekarang berada di barat daya negara
Ganezuela!”
Khabar yang dibawa Tuan Aziz itu membuatkan masing-masing
berpandangan sesama sendiri.
“Maknanya kita belum tewas lagi!” kata PM dengan wajah yang
bertukar ceria.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment