Photo credit: commons.wikimedia.org
Bilik Operasi Gruesome
Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela
ROCK ROBSON duduk tersandar dengan kedua-dua kakinya
di atas meja. Kakinya bersilang. Membentuk ruang huruf ‘V’ di antara kedua
kasutnya. Dari celah ruang itulah dia memandang tajam Wehliye Amare.
Ketua lanun itu juga duduk
terperosok di kerusinya. Kepalanya terteleng. Matanya menjeling tajam. Tidak
mahu mengalah. Wajah Pengarah Gruesome Group itu dipandang seperti mahu
menelannya.
“Terima
kasih, Wehliye,” ujar Rock seraya tersengih.
“Aku
mau anak dan bini aku! Mereka di mana?”
Wehliye
sudah tidak sabar. Usahanya merompak Lancang Kuning dan menahan Datuk Rauzah
Hamdi kali ini menimbulkan masalah. Kerja yang boleh beres dalam masa 48 jam
itu menjadi panjang bila isteri dan anaknya diculik oleh Rock Robson.
Walaupun dijanjikan ganjaran yang lebih besar,
dia tidak mahu ahli keluarganya terlibat. Namun dia terpaksa membawa Datuk Rauzah
ke tempat ini agar keluarganya
terselamat.
“Awak memang tak menyempat,
Wehliye…” kata Rock seraya tergelak-gelak. “Aku boleh lepaskan kau setelah kau
lakukan sedikit kerja tambahan untuk aku.”
“Kau mungkir janji. Kau kata,
kerja aku selesai di sini. Aku dah tak ada masa,” bantah Wehliye seraya bangun
dan menerpa ke meja Rock Robson.
“Hei, nantilah…”
‘Klik!’ Bunyi picu pistol
dipetik.
“Lepaskan anak dan bini aku!
Sekarang!” bentak Wehliye.
Rock Robson tertawa
berdekah-dekah. Tidak dapat menahan rasa geli hatinya bila melihat Wehliye
tidak sabar. Tangannya menggagau ke sebuah bakul kecil di sisi meja. Tetapi
terhenti bila Wehliye melepaskan tembakan. Hampir mengena jarinya. Rock Robson
mengangkat kedua-dua tangannya.
“Wo, wo, wo… aku bukan nak
ambil pistol. Aku cuma nak tunjuk isteri dan anak kau… Beri aku peluang, okey?”
Wehliye mengangguk perlahan
tanda mengizinkan. Dengan tenang, Rock Robson menyeluk bakul kecil itu. Dikeluarkan
alat kawalan jauh televisyen dan menyasarkan alat itu ke skrin televisyen yang
berada di sudut bilik.
Wehliye sedikit cemas bila
skrin televisyen hanya menayangkan imej kelabu. Dia menghalakan pistolnya tepat
ke wajah Rock Robson. Nafasnya mula turun naik. Mulutnya berkerinyut menahan
amarah.
“Sabarlah, kawan… tengok
skrin tu!”
Mata Wehliye kelihatan
mencerlang bila skrin akhirnya menayangkan imej isterinya Asiya sedang mendodoi
anak kecilnya. Isterinya sedang menonton TV. Suasana di dalam bilik, di mana
Asiya berada tidak menggambarkan dia berada di dalam tahanan.
Malah, Wehliye sedikit kaget
bila nampak seorang wanita menghampiri Asiya lalu menghidangkan segelas susu
dan buah-buahan. Hatinya mula berbunga. Segaris senyuman terukir di bibirnya.
“Aku jaga isteri dan anak
kau baik-baik. Kau suka, kan?” ujar Rock Robson.
Dia bangun dan melangkah
menghampiri Wehliye. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Rock menepuk bahu
lanun itu beberapa kali. Wajah Wehliye sudah tenang kerana hatinya sudah lega. Isterinya
selamat. Perlahan-lahan, dia menyisip semula pistolnya di pinggang.
“Apa yang aku patut lakukan?”
tanya Wehliye.
Rock Robson tidak menyahut.
Dia menguak daun pintu berhampiran dengan kerusinya dan mendepangkan tangannya
kepada Wehliye. Mempersilakan lelaki itu ke sebuah bilik berhampiran. Di atas
sebuah meja panjang, terdapat beraneka hidangan. Aroma masakan menusuk ke
hidung. Membuka selera Wehliye.
“Kita makan dulu. Rehat dulu.
Lepas itu kita bincang pasal tugas selanjutnya, hmm?” kata Rock Robson.
SEBUAH helikopter TUDM yang membawa sebuah bot berlepas
dari kapal KD Warisan terbang ke lokasi kira-kira 100 batu nautika dari pantai
Ganezuela. Pemandunya menerima isyarat dari kapal selam TLDM KD Mahathir yang meluncur
di kawasan berhampiran.
Bot dilepaskan ke permukaan
air. KD Mahathir muncul di permukaan laut. Seperti ikan paus gergasi, ia
menguak lautan. Muncul tepat di mana bot itu berada. Persis mendukung bot itu
di tubuhnya.
Pintunya terbuka. Enam anggota
PASKAL muncul di permukaan kapal selam. Mereka segera menaiki bot. Meluncur
menuju ke pantai Ganezuela. Meninggalkan KD Mahathir yang kini sudah menyelam
jauh di dasar laut. Ditinggalkan helikopter TUDM yang kini kelihatan hanya
bintik kelabu di ufuk timur.
Ya, fasa kedua Ops Sambar
kini sedang dilaksanakan dengan penuh teliti dan berhati-hati.
Bersambung di Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment