Photo credit: fmaforum.com
Pejabat Operasi Gruesome
Group, Hermoza Ciudad, Ganezuela
Salah seorang daripada mereka memantau kawasan itu
dengan teropong. Mereka berpecah tiga. Dia nampak seorang anggota Gruesome
Group berkawal di sebuah menara kawalan. Teropongnya teralih ke kawasan sekitar.
Kemudian mengangkat tangan, memberi isyarat yang dia nampak ada dua orang lagi
berada di sebelah kiri kawasan bangunan dan dua orang lagi di kawasan kanan sedang menjalankan rondaan.
Seorang anggota membuka beg sandangnya. Mengeluarkan
sebuah alat sebesar pemahat
yang mempunyai wayar yang bersambung ke sebuah alat seperti kotak di dalam
begnya. Swis pada kotak itu dibuka. Dengan berhati-hati alat seperti itu
disentuh ke dawai pagar.
Satu demi satu belitan pagar dawai itu cair dan terurai bila
disentuh alat yang panas itu. Akhirnya satu garisan terbentuk daripada dawai
yang cair itu. Dan, pagar pun dikuak.
Anggota itu mengisyaratkan agar Fariz masuk. Setelah mereka memutar jarum jam
agar waktu masing-masing seragam, Fariz segera meloloskan dirinya.
DARI dalam sebuah bilik, Jeffri sedang berehat bersama
Abdool dan seorang lagi lanun. Mereka masih menanti Wehliye yang masih
berurusan dengan Rock Robson. Sambil menonton TV bersama yang lain, dia
menunggu. Nalurinya berkata, pada bila-bila masa sahaja dia akan mendapat isyarat
dari BISIK. Fonselnya bergetar sekali. Jeffri menyeluk saku.
‘Huh! Dia lagi?’ kata Jeffri
di dalam hati. ‘Dah tak ada orang lain, ke?’
Mulutnya tercebir seketika. Berasa
tidak senang bila dia bukannya menerima mesej langsung daripada BISIK atau
daripada mana-mana ejen lain. Sebaliknya daripada Fariz yang dianggapnya masih
mentah.
Betapa pun, dia perlu akur
dengan kontaknya ini. Jeffri menguap dan menggeliat. Suaranya menguap sengaja
dikuatkan. Membuatkan Abdool dan lanun yang seorang lagi terjeling seketika.
Perhatian kedua-duanya kembali ke skrin TV yang menayangkan muzik rock.
Jeffri bangkit. Sambil
melangkah dia sengaja membuka zip seluar seperti tidak menyempat hendak ke
tandas. Sengaja membuat perangai yang menjengkelkan. Abdool terjeling seketika
kerana berasa terganggu dengan perangai Jeffri.
“Woi! Apa hal engkau ni?”
tegur Abdool.
“Tak tahan dah…” jawab
Jeffri selamba.
“Pergilah cepat. Jangan
bersepah dalam bilik ni, pulak!”
“Hmm…”
Dengan kata-kata itu, Jeffri
mempercepatkan langkahnya. Sambil membetulkan zip seluarnya kembali dia menapak
ke bilik di mana Datuk Rauzah terkurung. Dia mencapai fonsel untuk membaca
koordinat bilik itu.
Sambil melangkah, dia
mengangguk sedikit sebagai tanda hormat kepada seorang anggota Gruesome Group
yang berkawal di luar bilik itu. Pandangannya lantas terjeling ke atas pintu
bilik. Dia nampak sebuah kamera CCTV terpasang di situ. Matanya mengekori wayar yang berwarna hitam yang
bersambung dari kamera ke celah siling.
Jeffri memasuki tandas. Di
situ dia menghantar isyarat koordinat lokasi bilik Datuk Rauzah kepada Fariz. Seketika
setelah melakukan itu, dia memanjat dan menguak kepingan siling.
Tangannya meraba mencari wayar
CCTV berwarna hitam. Ia berbeza daripada wayar elektrik yang berwarna putih. Setelah wayar itu ditemui, Jeffri menghiris
sedikit wayar itu. Tidak dipotong habis. Selepas itu dia melangkah dari tandas
sambil bersiul-siulan.
Jeffri melangkah pantas. Dia
nampak sebuah pintu di hujung koridor kira-kira sepuluh meter dari bilik di
mana Datuk Rauzah terkurung. Dengan selamba dia melangkah melewati pengawal
itu.
“Hey, pirate! Where are you going?” pengawal itu menegurnya.
Jeffri menghentikan langkah.
Lantas menoleh. “Outside! I need some
fresh air. Oh, by the way... you have a light?”
“I ain’t have any light. Go find yourself!” jawab pengawal itu dengan bibir tercebir.
Perlahan-lahan Jeffri
menghampiri pengawal itu. Kemudian dia berdiri begitu hampir dengan lelaki itu.
Sebuah senyuman manis dihulurkan. Membuatkan lelaki itu jadi kaget.
“Never mind. Just asking. By the way…” kata Jeffri seraya tersengih pula. “I have a light!”
Serentak dengan itu tangan
kirinya menutup mulut pengawal itu dan tangan kanannya menoreh leher lelaki itu
dengan sebilah pisau kecil yang diambil dari sisipan tali pinggangnya.
Mata pengawal itu terbeliak.
Jeffri mengasak lelaki itu ke dinding. Lengannya menekan leher lelaki itu. Seketika
sahaja mata pengawal itu menjadi layu. Dia pengsan. Tanpa berlengah lagi,
Jeffri mengheret lelaki itu ke tandas.
DI BILIK kawalan pejabat operasi itu, 10 skrin imej-imej CCTV
terpancar seperti biasa. Hanya imej kamera yang terpasang di hadapan bilik
Datuk Rauzah sahaja yang kelihatan terkelip-kelip kerana sambungan wayarnya hampir
terputus.
Ia
sempat merakam imej Jeffri bercakap-cakap dengan pengawal itu, kemudian kamera
itu padam seketika. Imej yang terpapar bila ia tersambung kembali hanyalah suasana
di hadapan bilik kurungan Datuk Rauzah tanpa ada sesiapa di situ. Pengawal di
bilik operasi ini tidak sedar pun. Dia asyik bermain Angry Bird di fonselnya!
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...