Photo credit: geocaching.com
Salam kepada semua,
Setelah MENITI MAUT dan DETIK DEBAR, saya meneruskan pengkaryaan dengan konflik emas hitam atau petroliam di antara Malaysia-Amerika. Bagaimana kejayaan Petromal Malaysia mendapat kontrak mengeluarkan minyak di Ganezuela menimbulkan rasa dengki Extron dari Amerika. Saya akan cuba menggelegakkan minda anda dengan karya terbaru saya ini.
Setelah MENITI MAUT dan DETIK DEBAR, saya meneruskan pengkaryaan dengan konflik emas hitam atau petroliam di antara Malaysia-Amerika. Bagaimana kejayaan Petromal Malaysia mendapat kontrak mengeluarkan minyak di Ganezuela menimbulkan rasa dengki Extron dari Amerika. Saya akan cuba menggelegakkan minda anda dengan karya terbaru saya ini.
Terimalah...
Pelabuhan
Bahara, Ganezuela, Amerika Selatan
DARI jauh, sebuah belon udara berwarna oren kelihatan terapung-apung di angkasa pelabuhan. Langit membiru yang tiada berawan menyerlahkan kehadirannya. Belon yang tertulis dengan warna hitam huruf-huruf G-O-C atau singkatan kepada Ganezuela Oil Company kelihatan jelas dan boleh dieja dari jauh.
Dari dalam kenderaan, Datuk Rauzah
Hamdi memandang belon itu dengan senyuman. Perlahan-lahan, dia menarik nafas
dalam-dalam. Ya, wanita berusia 45 tahun ini berbangga kerana terlibat secara
langsung dengan GOC. Pada petang ini, dia yang mewakili Petromal Malaysia akan
menghadiri majlis pelancaran kapal Lancang Kuning yang membawa 70,000 deadweight ton gas asli dari Ganezuela
ke Kenya, di barat benua Afrika. Inilah eksport pertama GOC.
Sebagai Ketua Pengarah Operasi
Petromal Malaysia, sudah tiga tahun Datuk Rauzah mengendalikan operasi carigali
minyak bersama GOC di hutan tropika negara ini. Kepakaran carigali pasukan
Petromal bersama tenaga muda GOC telah berjaya memproses minyak yang boleh
membekalkan hasil untuk 5% pasaran dunia. Meskipun ia kecil, namun penemuan
minyak di perut bumi Ganezuela ini hanya di peringkat permulaan. Masih banyak
lagi wilayah di buminya yang belum diterokai.
Ganezuela adalah sebuah negara yang
baru merdeka. Terletak di timur Amerika Selatan, penemuan minyak jauh di dalam
hutan tropikanya berpotensi menjadikan negara ini kaya raya. Sebagai negara
yang tiada pengalaman dalam industri carigali minyak, banyak syarikat-syarikat
carigali daripada pelbagai negara yang menawarkan diri untuk menjalankan usaha
sama dengan Ganezuela.
Meskipun, minyaknya ditemui oleh
Extron, sebuah syarikat petroliam Amerika, namun Ganezuela mempelawa pelbagai
syarikat carigali minyak antarabangsa untuk mengeluarkan hasilnya. Akhirnya
mereka memilih Petromal, sebuah syarikat carigali minyak dari Malaysia dan
bukannya Extron untuk mengeluarkan hasilnya.
Kabinet Ganezuela mendapati Petromal
bukan sahaja menjanjikan perkongsian keuntungan yang berpatutan, malah Petromal
bersetuju untuk membangunkan industri minyak Ganezuela serta memindahkan kepakaran
teknologi carigali minyak kepada rakyat Ganezuela.
Perkongsian menang-menang inilah
yang membuat Petromal menjadi syarikat carigali minyak favourite bagi Ganezuela, sedangkan Extron dan lain-lain syarikat
minyak hanya mahu berkongsi hasil pengeluaran semata-mata.
SORAK-SORAI
kanak-kanak sekolah yang mengibar bendera di sepanjang kanan dan kiri jalan
menuju ke pelabuhan sungguh menguja perasaannya. Datuk Rauzah memandang bendera
Ganezuela yang berjalur merah hati dan hijau yang berselang-seli dengan warna
merah putih jalur gemilang. Riang sekali wajah-wajah mereka mengibar bendera
sebaik sahaja kenderaan yang dinaiki Datuk Rauzah melewati kawasan itu.
Mindanya segera memutar imej dirinya
bersama murid-murid sekolah yang lain mengibar bendera ketika lawatan Sultan
Johor ke daerah Mersing ketika dia di darjah lima. Dia teringat, dirinya juga riang
mengibar bendera seperti kanak-kanak sekolah di sepanjang jalan yang dilaluinya.
Ah, kanak-kanak mana yang tidak sukakan bendera?
Bunyi siren dari kereta peronda polis
yang berada di hadapan konvoi mengembalikan ingatannya ke suasana sekarang dan
kini. Datuk Rauzah memandang bontot kereta Rolls Royce Phantom berwarna hitam
di depan kenderaannya. Itulah kereta yang dinaiki Perdana Menteri Malaysia
bersama Presiden Ganezuela, Alberto Chimo.
Mereka semua dalam perjalanan ke
pelabuhan Bahara. Pada pagi ini, Ganezuela akan diisytihar sebagai negara
pengeksport minyak dari benua Amerika Selatan. Meskipun ia berada di tempat ke
sebelas selepas Brazil, Venezuela, Argentina, Equador, Peru, Bolivia,
Guatemala, Chile, Uruguay dan Paraguay, ia cukup membanggakan kerana mulai hari
ini, Ganezuela akan berubah wajah dari sebuah negara miskin dan mundur kepada
sebuah negara yang kaya di rantau ini.
“Datuk... tahniah di atas kejayaan
awak.” Terngiang-ngiang bisikan PM sebaik sahaja menemuinya di lapangan terbang
semalam.
“Datuk Seri... sebenarnya ini
kejayaan Petromal... untuk Malaysia.” Datuk Rauzah cuba mengalihkan pujian itu
kepada pihak yang sewajarnya mendapat pengiktirafan.
PM mengangguk seraya tersenyum.
TEPUKAN bergemuruh para hadirin semakin jelas kedengaran sebaik sahaja Datuk Rauzah
membuka pintu kereta. Mereka yang menyambut kian galak mengibar bendera-bendera
kecil Malaysia dan Ganezuela. Datuk Rauzah mendongak melihat suasana
sekeliling. Kelihatan bendera-bendera Jalur Gemilang dan Ganezuela beratur
secara berselang-seli berkibaran. Meriah dan penuh dengan warna-warni.
Pancaran terik sang mentari
menyerlahkan lagi suasana cerianya. Ada tujuh buah kanopi besar yang
terkembang. Di bawahnya tersusun barisan kerusi para jemputan yang
kebanyakannya sudah tiba untuk majlis
pelancaran ini. Mereka yang kebanyakannya terdiri dari tokoh-tokoh politik,
korporat dan ahli-ahli akademik Ganezuela sendiri kelihatan begitu gembira.
Mereka begitu teruja menghadiri peristiwa yang paling bererti buat negara ini.
“Ladies
and gentlemen. It is a pleasure to announce the arrival of The Prime Minister
of Malaysia, accompanied by our beloved President... Alberto Chimo” umum
juruacara majlis.
Hebahan ketibaan Perdana Menteri
Malaysia bersama Presiden Ganezuela mendapat tepukan gemuruh para hadirin.
Mereka kesemuanya berdiri untuk memberi standing
ovation. Datuk Rauzah yang melangkah di belakang Perdana Menteri menyusur
ke kerusi bersebelahan di sudut sebelah kiri. Dia disambut oleh Quando Jabuti,
Menteri Petroliam Ganezuela yang menantinya dengan penuh senyuman.
Ibupejabat Extron,
Houston, Amerika
ABRAM
William duduk tersandar di kerusinya. Matanya tidak berkelip-kelip menekur ke
skrin TV yang menayangkan suasana meriah majlis pelancaran kapal Lancang Kuning
yang membawa minyak daripada pelabuhan Bahara, Ganezuela ke Kenya. Sesekali dia
mendengus. Sesekali mulutnya tercebir.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif
Extron, dia benar-benar berasa kecewa kerana gagal menguasai pengeluaran minyak
di Ganezuela. Tawarannya untuk memberi peratus keuntungan jualan minyak yang
diproses ditolak mentah-mentah oleh Presiden Ganezuela, Alberto Chimo.
Bagi Abram, semua ini gara-gara
Menteri Petroliam negara itu, Quando Jabuti yang menasihati presidennya untuk
menolak cadangan Extron. Mulut Abram memuncung sebaik sahaja wajah Quando
Jabuti tertayang di skrin TV. Mulutnya berkerinyut pula apabila kamera memfokus
pula ke wajah Datuk Rauzah Hamdi yang kelihatan berbual mesra dengan Quando
Jabuti. Bagi Abram, wanita itulah punca angkara kegagalannya!
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...
Salam Tuan Hyman, satu fragmen ni untuk satu bab novel ka? terima kasih :)
ReplyDelete