Photo credit: true-wildlife.blogspot
Lautan India,
Perairan Somalia
DATUK RAUZAH
asyik memandang ikan lelumba berenang-renang bagai mengejar kapal minyak, Lancang
Kuning yang dinaikinya. Cahaya mentari senja menjadikan panorama lautan yang
terbentang luas ini begitu indah. Dari atas dek kapal, beliau berasa begitu
seronok berdiri melihat lautan lepas sambil menghirup oren segar.
Sebagai Ketua Pengarah Operasi, dia
boleh sahaja memantau pelayaran kapal ini dari bilik pejabatnya di Malaysia
atau Ganezuela. Namun kelebihannya yang jarang ada di kalangan kebanyakan tokoh
korporat yang lain ialah sikapnya yang hands-on.
Datuk Rauzah gemar sekali turun padang untuk bersama anak-anak buahnya. Di
hutan tropika Ganezuela, Datuk Rauzah berpanas, berhujan atau bermandi selut dengan
mereka dalam proses carigali minyak.
Tidak hairanlah, walaupun kapal ini
sudah belayar lebih dua minggu, Datuk Rauzah mengambil kesempatan untuk turut
sama belayar dengan anak-anak buahnya. Malam tadi, dia terbang daripada
Ganezuela ke Kenya untuk menguruskan proses persiapan penghantaran minyak.
Pagi tadi, setelah selesai segala urusan,
beliau berlepas pula dengan helikopter daripada Lapangan Terbang Antarabangsa
Eldoret, Kenya ke lautan ini untuk menyonsong Lancang Kuning ke pelabuhan
Mombasa, Kenya. Dia mahu melihat setiap detik yang bersejarah ini dengan mata
kepalanya. Bukan hanya dari bilik operasi pelabuhan. Inilah yang membezakan
dirinya daripada tokoh-tokoh korporat yang lain.
SAMBIL menyedut
oren, Datuk Rauzah mengimbau kembali suasana pelancaran pelayaran kapal ini di
pelabuhan Bahara dua minggu sebelum ini. Sebaik sahaja Presiden Ganezuela, Alberto
Chimo dan Perdana Menteri Malaysia melepaskan beratus-ratus belon yang beranika
warna ke udara, perasaannya bagai turut terbang riang ke angkasa.
Hatinya berasa begitu puas sekali
kerana sekali lagi Petromal, sebuah syarikat dari Malaysia telah berjaya
merebut peluang perniagaan di negara asing. Sekali lagi anak Malaysia mengatasi
syarikat-syarikat antarabangsa lain yang lebih berpengalaman dalam
mengendalikan usaha sama petroliam.
“Apa yang Datuk tengok, tu?”
kedengaran satu suara dari arah belakangnya.
Datuk Rauzah menoleh. Lantas
tersenyum kerana tidak sedar sejak bila Kapten Johari menghampirinya.
“Itu...” jelas Datuk Rauzah.
“Banyaknya ikan lumba-lumba kat sini, ya?”
“Oh, itu ikan lelumba jenis bottlenose tursiop. Datuk nampak tak,
muncungnya macam muncung itik...” jawab Kapten Johari seraya mengunjuk ke arah berbelas
ekor ikan lelumba yang sekejap tenggelam, sekejap melompat dan meluncur di
permukaan air.
“Ada banyak ke jenis ikan lelumba
ni, kapten?” soal Datuk.
“Ada 32 jenis kesemuanya, Datuk.
Tapi jenis bottlenose tursiop inilah
yang terkenal sebab nampak lebih cantik daripada lain-lain jenis ikan lelumba.
Sebab itu ikan lelumba jenis ini kerap terpilih dalam penggambaran filem.
Muncung ikan lelumba lain lebih kontot daripada jenis bottlenose tursiop ni...”
“Subhanallah... kayanya ciptaan
Ilahi,” nyata Datuk Rauzah seraya mengunjuk ke arah ikan-ikan yang melompat di
permukaan air. “Tengok, tu! Cantiknya. Di tengah-tengah laut begini pun Allah
hiasi dengan pertunjukan yang menghiburkan hati kita sebagai makhluk-Nya.”
Kapten Johari terkelip-kelip
memandang Datuk Rauzah. Dia takjub dengan kepantasan wanita ini mentafsirkan
apa yang dipandangnya dengan kebesaran ALLAH. Mereka berdua terdiam kerana
sama-sama asyik mengekori pergerakan ikan-ikan lelumba yang kian menjauh.
“Apa tu, kapten? Banyaknya bot...”
tanya Datuk Rauzah sambil menuding ke arah beberapa buah bot di ufuk timur.
“Macam bot nelayan!”
Kapten Johari melontarkan pandangannya ke arah yang diunjuk Datuk
Rauzah. Kelihatan kurang lima buah bot sedang bergerak menuju ke kapal.
Ikan-ikan lelumba yang berenang-renang sebentar tadi sudah entah ke mana.
Tiba-tiba semboyan kapal berbunyi! Bergaung bunyinya bertali arus membingitkan
telinga.
“Ya, ALLAH!” Nama Agung itu terpacul
dari bibir kapten itu.
“Kenapa, kapten?”
“Itu bukan bot nelayan! Itu bot
lanun! Lanun Somalia!” jawab Kapten Johari. Bimbang.
Raut wajah Datuk Rauzah turut
berubah cemas.
SUASANA mula tegang. Bot-bot lanun Somalia kian menghampiri. Anak-anak kapal dipinta segera mencari perlindungan. Sebahagian besar daripada mereka sudah bergerak ke bahagian kabin. Masing-masing berdoa tiada serangan akan tercetus. Satu percikan kecil api di tangki minyak boleh mengakibatkan sebuah letupan besar yang membakar kapal ini.
Kapten Johari sudahpun ke bilik operasi untuk mendapatkan
bantuan. Walaupun dinasihatkan melindungi diri, namun Datuk Rauzah masih tidak berganjak. Sebaliknya dia menggunakan
teropong untuk memantau lanun-lanun Somalia yang berada di bot masing-masing.
Tidak puas hati jika dia bertindak pasif dengan bersembunyi. Sesungguhnya, dia
seorang tokoh korporat yang bukan sahaja komited dengan tugasnya, malah dia
juga seorang insan yang berani.
“Ya, ALLAH… apa yang kau orang nak
buat, ni?’ gumam Datuk Rauzah. Matanya tidak lepas menyorot
bot-bot yang semakin jelas. Kelihatan beberapa lembaga manusia di atas setiap
bot. Mereka kelihatan sibuk berkomunikasi sesama mereka sambil mengunjuk ke
arah Lancang Kuning.
Satu dentuman kuat kedengaran.
Menggegar kapal. Mengejutkan Datuk Rauzah. Dia
lekas-lekas meniarap di atas dek. Lalu menoleh ke arah bunyi letupan dan
terpandang lubang kecil di dinding state
room atau bilik tamu tempat dia menginap.
‘Letupan dari pelancar roket!’
katanya di dalam hati.
Belum pun dia sempat bangun, sebuah
lagi letupan dari pelancar roket kedengaran berhampiran dengan tempat yang sama
sebagai sasarannya. Memaksa dia tertiarap kembali. Dia mengerti, melalui
tontonan video dan pembacaannya mengenai serangan lanun Somalia, Datuk Rauzah dapat menjangka modus operandi lanun-lanun itu.
Mereka akan melepaskan tembakan
menggunakan pelancar roket sebelum mendekati dan menyerang sesebuah kapal yang
dijadikan sasaran. Bila-bila masa, lanun-lanun itu akan menaiki kapal untuk
menawannya. Datuk Rauzah memandang kembali ke arah
bot-bot lanun itu. Tidak kelihatan sebuah bot pun yang menghampiri. Sebaliknya
bot-bot itu kelihatan seperti berlabuh di hadapan anjungan kapal hanya untuk
menyekat laluan Lancang Kuning.
“Datuk! Tengok tu!” kedengaran suara
Kapten Johari.
Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment