Photo credit: oobject.com
BISIK, Putrajaya
BISIK, Putrajaya
MESKIPUN masih berkampung Majlis Pertahanan Negara, dia keluar
seketika ke halaman untuk menghirup udara merehatkan minda. Namun, hatinya
bagai terpanggil untuk singgah juga ke BISIK yang terletak tidak sampai 400
meter dari pejabat Perdana Menteri itu.
Tuan Aziz
dan tugasnya sudah sebati. Mendarah daging. Kerja sudah menjadi kehidupannya.
Jika tidak ke luar negara, tidak boleh tidak Tuan Aziz pasti berada di BISIK
sama ada siang mahupun malam.
Tanggungjawab.
Itulah yang menjadikan dia bagai terperap di BISIK. Malah, kemudahan teknologi
membolehkan dia memantau setiap inci bironya dan setiap ejen perisik di merata
dunia 24-7 walau di mana pun dia berada.
Dia puas
dengan kerjanya. Puas dengan apa yang dilakukan demi negara dan agamanya yang
tercinta. Pada usianya yang sudah menghampiri 60 tahun, tenaganya masih seperti
lelaki 40 tahun. Pandangannya masih tajam, telinganya masih peka, akalnya masih
cergas mengalahkan orang yang separuh usia darinya.
DIA menghembus nafas bangga apabila melihat kesibukan di
Dewan Operasi BISIK. 24 jam sehari, 7 hari seminggu, Dewan Operasi ini tidak
pernah tidur. Matanya memantau ke sekeliling dewan. Melihat para petugasnya tekun
menghadap komputer berskrin lebar masing-masing. Memerhati imej yang
dipancarkan oleh Skuad Peninjau BISIK di seluruh dunia.
Skuad
Peninjau adalah ejen yang bertugas menghantar laporan dalam bentuk audio
mahupun visual dari kawasan hotspot
atau titik panas. Apabila sasaran dan operasi dikenalpasti, baharulah ejen
perisik dihantar ke situ untuk melaksanakan tugas.
Tuan Aziz
mendongak dan memandang pula skrin besar di hujung dewan. Skrin itu kini
memaparkan operasi yang menjadi fokus BISIK buat waktu ini iaitu insiden
Lancang Kuning yang ditawan lanun.
Pandangan
dari udara melalui satelit perisik Mysat 4 jelas memaparkan Lancang Kuning di
tengah Lautan India, Perairan Somalia. Tiada aktiviti yang jelas berada di
sekeliling kapal. Seperti sabut, Lancang Kuning kelihatan teroleng-oleng di
tengah malam.
Imej dari bawah
laut juga dilihat dari skrin berikutnya. Imej yang dipancar itu mungkin dari
kapal selam Haruan yang sentiasa memantau Lancang Kuning. Atau mungkin sekali
dari kamera mudah alih unit Paskal yang berada di bawah kapal.
Tuan Aziz
mengeluh perlahan kerana tidak puas hati dengan tahap kemajuan operasi. Itu
semua gara-gara ketua lanun, Wehliye Amare yang belum mahu mengemukakan apa-apa
tuntutan setelah menawan Lancang Kuning.
Ia
sebenarnya menjadikan suasana semakin tegang. Biasanya, perampas pasti terus
meminta apa-apa pampasan untuk melepaskan tebusan. Bila ada tuntutan, baharulah
ada perundingan. Bila ada perundingan, baharulah helah dan muslihat boleh
dirangka. Sebaliknya, jika tiada apa-apa desakan, keadaan regang inilah yang
lebih merunsingkan kerana tiada rancangan itu lebih buruk risikonya.
“Assalamualaikum…
bos tak balik lagi?” satu suara menegur.
“Waalaikumsalam…
hmm… belum, Mala. Awak pun tak balik lagi?” balas Tuan Aziz seraya menoleh
memandang Normala Mustakim, ejen perisiknya.
“Saya kerja
malam, bos,” jawab Normala seraya melangkah lalu.
“Mala…”
Normala
berhenti menapak. Dia menoleh. Memandang Tuan Aziz yang berkerut dahinya. Tentu
dia sedang berfikir.
“Awak tahu insiden
Lancang Kuning?” kata Tuan Aziz.
Normala
hanya mengangguk.
“Saya
mungkin perlukan awak untuk Operasi Lancang Kuning. Standby…”
“Okey, bos.
Saya tunggu arahan bos,” jawab Normala penuh tertib seraya menoleh kembali
untuk melangkah pergi.
“Err… Mala…”
Normala
menoleh semula. Keningnya diangkat. Menanti kata-kata seterusnya dari Tuan
Aziz.
“Mana
Fariz?”
“Dia cuti.
Pergi umrah.”
“Dah lama?”
“Dah lebih
seminggu. Isnin minggu depan dia masuk kerja.”
Tuan Aziz
terangguk-angguk. Kemudian dia melangkah seraya bertanyakan sesuatu kepada
seorang petugas yang berhampiran dengannya. Melihatkan itu, Normala terus beredar.
FONSELNYA bergetar sebaik sahaja Tuan Aziz memutar tombol
pintu biliknya. Sambil membuka kot dan menekan alat kawalan jauh pendingin
hawa, dia melekapkan fonselnya ke telinga.
“Assalaaaaaamualaikum,
bos!” Kedengaran ucapan salam yang panjang.
“Walaikumsalam. Hmm… apa cerita?”
jawab Tuan Aziz.
“Bila bos
nak datang sini? Tempat ni best sangat.
Tak sangka bandar Baraawe ni ada pusat pelancongan… ada marina… ada hotel lima
bintang… ada dusun buah-buahan kat belakang hotel. Seronok saya sebab bos beri
saya tugas kat sini. Rasa tak nak balik. Lepas bertugas, saya nak bercuti
pulaklah!”
“Banyaklah
engkau tu! Aku dah sampailah kat bandar kering kontang, panas dan berdebu
Baraawe tu. Jangan kelentonglah, Jeff!”
Kedengaran
suara Jeffri Zain tertawa mengekek. Dia suka mengusik Tuan Aziz. Dahulu, mereka
rakan sepasukan di Unit Tindakan Khas PDRM. Takdir memisahkan kedudukan tugas mereka.
Tuan Aziz yang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang
perang psikologi terus menyertai bidang pengurusan PDRM sebelum dipindahkan untuk
mengepalai BISIK.
Jeffri yang
lebih gemar beraksi pula sentiasa memperbaiki kemahiran tulang empat keratnya
dengan mengikuti pelbagai kursus praktikal. Dia sentiasa berada di medan ~ di
bawah terik panas mentari, di dalam kegelapan malam, di bawah kolong atau di
puncak menara bangunan tinggi untuk menjalankan tugas merisik dan membanteras. Akhirnya,
Jeffri Zain juga terpilih untuk menyertai BISIK.
Di bawah
organisasi yang sama, mereka berdua
sentiasa berhubung sewaktu menjalankan tugas. Kerana sudah lama mengenali di
antara satu sama lain, mereka biasa bergurau dan menyakat sesama sendiri.
Namun, di hadapan
anggota BISIK yang lain, Jeffri Zain adalah perisik yang mempamerkan hormat dan
patuh yang tidak berbelah bahagi kepada Tuan Aziz. Begitu istimewanya
perhubungan mereka kerana tahu membezakan batas perhubungan; ketika formal dan
tatkala tidak formal.
“Bos… saya
dah dapat maklumat tentang Wehliye…”
Tuan Aziz
hanya diam sambil menanti. Tidak mahu mengganggu Jeffri memberi laporan seterusnya.
"Sekarang ni saya berada di Kalunle,
Merca. Ini perkampungan nelayan yang dah dah jadi macam perkampungan lanun. Ada
banyak kumpulan lanun kat sini termasuk kumpulan Bad Holac. Keahliannya tak ramai, macam jugak kumpulan lain. Tak
sampai 50 orang anggota lanun. Tapi inilah kumpulan yang paling ganas.
Ramai
yang asalnya nelayan. Tapi ada juga bekas tentera, graduan menganggur dalam
bidang logistik, IT, pengurusan, kejuruteraan dan perniagaan. Penganalisis
saham pun ada dalam kumpulan ini. Macam pasukan perompak professional, bos!
Helikopter
yang mereka pakai itu pun dipasang jurutera dalam kumpulan itu dari serpihan
bangkai helikopter terhempas yang bersepah kat Somalia ni. Bos tahu, kan? Dia orang
kat sini masih perang saudara,” jelas Jeffri Zain panjang lebar.
"Apa
maklumat Wehliye yang engkau dapat?” Celah Tuan Aziz.
“Dia
pun asalnya nelayan macam abang dia...”
"Abang?
Wehliye ada abang?”
"Yup!
Sebenarnya bot-bot nelayan Bad Holac
asalnya kepunyaan Saleem Amare, abang Wehliye. Saleem jugak nelayan yang
kemudiannya jadi lanun. Tapi dah setahun dia tinggalkan dunia lanun dan jadi
usahawan pulak.
Khabarnya
perniagaannya maju. Sekarang ni dia ada syarikat haji dan umrah yang bawak
jemaah ke Mekah dan Madinah. Dia ada pejabat kat sana."
“Mekah?
Madinah?" gumam Tuan Aziz. Wajah Fariz menerpa di layar mindanya. "Tapi
apa sebab Saleem tak mau jadi lanun?"
"Hahaha..."
kedengaran tawa Jeffri pecah berderai.
"Apasal
pulak kau ketawa?"
"Agaknya
Saleem tu macam saya jugak, bos! Dia dah taubat tak nak buat jahat lagi sebab
dah tua. Hehehe."
Tuan Aziz hanya tersenyum kecil
mendengar andaian rekaan ejen yang juga sahabat lamanya itu.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment