Photo credit: panoramio.com
Dataran Masjid Nabawi, Madinah
Dataran Masjid Nabawi, Madinah
SUDAH jam 10.00
malam waktu Madinah. Malam Jumaat. Dataran Masjid Nabawi masih terang
benderang. Cahaya lampu-lampunya yang terpasang di tiang-tiang sekitar dataran
ini menerangi segenap sudut. Simbahan cahayanya akan terus terpancar ke langit hingga
ke siang esok. Menepati makna Madinah
al-Munawwarah sebagai kota yang bercahaya.
Meskipun sudah sepertiga malam, para
jemaah yang mengunjungi masjid ini masih ramai. Pada satu-satu ketika,
beratus-ratus manusia dari merata pelosok dunia kelihatan berduyun-duyun
berarak di dataran ini menuju atau meninggalkan masjid.
Yang sedang melangkah pulang,
menapak dengan perlahan menuju ke hotel akibat keletihan setelah melaksanakan
ibadah. Yang bergegas menuju ke masjid pula kelihatan teruja. Mungkin
masing-masing ingin mencari peluang untuk bersolat di kawasan Raudhah, yang disebut
oleh Nabi Muhammad s.a.w laksana taman syurga di masjid ini.
Kerana itu, tidak hairanlah kawasan
Raudhah sentiasa penuh sesak dengan para jemaah yang ingin beribadah.
Beruntunglah sesiapa yang dapat bersolat waktu di sana. Namun, jikalau
berpeluang bersolat sunat, ia adalah suatu kebaikan.
JAUH di hujung dataran, Fariz duduk bersandar di salah sebuah tiang. Tiang yang sebesar dua pemeluk itu mempunyai ruang untuk bertenggek. Sambil memerhati suasana sekeliling, dia memamah sebutir kurma yang dibawa bersamanya. Suhu di waktu ini sudah menurun hingga ke 29 darjah selsius.
Tiba-tiba angin berpuput kencang
menyapu wajahnya. Fariz lekas-lekas menyibak kain keffiyeh menutupi lehernya. Sesekali tubuhnya menggigil. Sejuknya
angin persis berdiri di depan alat penyaman udara yang berhembus kuat. Sejuknya bisa membikin gigi
berlaga. Lantas Fariz beralih di balik tiang untuk mengelak tubuhnya disapu
angin.
Fariz memerhati empat orang
kanak-kanak sedang bermain bola. Suara mereka yang terjerit-jerit hilang dibawa
angin dingin yang bertiup kencang. Sepasang ibu bapa muda kelihatan sedang
bersiar-siar di dataran ini.
Secara tidak sengaja, bola yang
ditendang kanak-kanak itu singgah ke jubah si suami. Dengan tersenyum, si suami
menggelecek bola di depan kanak-kanak yang tertendang bola ke arahnya hingga
yang lain tertawa mengekek. Si isteri pula turut tersengih sambil berjalan
perlahan menolak kereta sorong. Di dalam kereta itu, bayinya sedang nyenyak
tidur. Tidak sedar dengan kebisingan di sekitarnya.
Fariz turut tersenyum melihat
insiden itu. Sesekali dia tertoleh-toleh ke hala masjid. Mengintai dan cuba mengecam
kalau-kalau neneknya sudah keluar daripada masjid. Oleh kerana sebahagian besar
para jemaah menyarung jubah dan telekung putih, dari jauh mereka kesemuanya
kelihatan sama. Hanya cara berjalan yang boleh dicam.
Fariz mengeluh perlahan kerana kelibat
Nek Tijah masih belum kelihatan lagi. Dia bimbang kalau-kalau Nek Tijah
tersesat atau mendapat halangan. Sebentar tadi, Nek Tijah mengikuti dengan para jemaah wanita daripada
kumpulan umrah mereka.
“Lepas solat, saya tunggu di tempat
yang sama, ya nek? Hati-hati, tau?”
Fariz teringat pesanannya kepada Nek
Tijah sebentar tadi ketika mereka ingin berpisah. Jemaah lelaki memasuki melalui
pintu King Fahd di sebelah kiri sementara jemaah perempuan pula memasuki
mengikut pintu An-Nisa di sebelah kanan.
Wanita tua itu hanya mengangguk. Dia
hanya melontarkan sekilas pandang ke arah Fariz sedangkan mulutnya
terkumat-kamit berzikir. Fariz berasa tidak puas hati. Dia bimbang kalau-kalau
Nek Tijah tidak perasan akan pesanannya.
“Nek...” ujar Fariz seraya menyentuh
lengan Nek Tijah.
“Iyalah... iyalah, Paris. Nek tau,”
jawab Nek Tijah dengan wajah yang mencuka.
Membuatkan Fariz lantas menarik
tangannya dari lengan Nek Tijah. Mungkin orang tua itu kecil hati diperingatkan
seolah-olah tidak tahu menjaga dirinya. Mulut Fariz berkerinyut kesal bila terkenang apa yang
dilakukan terhadap neneknya.
Sungguh. Dia tidak mahu melukakan
hati satu-satunya wanita yang paling disayangi ini. Lebih-lebih lagi di tanah
suci Madinah, tempat mereka melakukan ibadah umrah bersama. Kalau neneknya terus
berkecil hati kerana kebimbangannya, Fariz risau jika itu akan mengganggu
tumpuan ibadah neneknya pada malam ini.
Seharusnya dia tidak perlu lagi
mengingatkan Nek Tijah. Wanita berusia itu sudah lima kali melakukan ibadah
umrah dan sudah dua kali menunaikan haji. Sepatutnya Farizlah yang harus
berhati-hati kerana ini adalah kali pertama dia menjejakkan kakinya di bumi
penuh barakah ini.
Bunyi enjin sebuah kenderaan
mengganggu lamunannya. Fariz tertoleh ke sisi. Melihat sebuah lori kecil yang
membawa tong-tong air zam-zam berhenti tidak jauh daripadanya. Lori itu membawa
dua gerabak kecil. Tiap satu boleh mengisi sepuluh buah tong besar sepemeluk.
Air zam-zam yang disediakan di
banyak tempat di dalam masjid ini perlu ditambah pada setiap masa kerana para
jemaah tidak putus-putus datang mengerjakan ibadah. Sebentar tadi, Fariz
perasan lori ini dipandu ke hulu ke hilir di dataran ini membawa tong-tong air
zam-zam. Pasti petugas yang membawa air zam-zam ini kerja tiada henti. Dan,
pahala baginya tentu tidak putus-putus juga. Mengalir seperti air zam-zam dari
telaganya.
“Assalamualaikum...” tegur satu
suara.
“Waalaikumsalam,” Fariz menjawab
seraya menoleh lalu tersenyum.
Si pemandu lori mengangkut air
zam-zam melangkah menghampirinya. Sejurus dia bersalam dengan Fariz.
“Izinkan saya bersolat di sini, ya?”
kata lelaki itu seraya terus berdiri dan mengangkat takbir tanpa menanti
jawapan Fariz. Seolah-olah ayatnya tadi bukannya meminta izin, bahkan hanya
memberitahu yang dia ingin bersolat di sini.
Kerana tidak mahu menganggu lelaki
itu bersolat, Fariz berensot kembali ke ruang yang menghadap ke masjid. Sekali
lagi angin deras menyapu wajah dan tubuhnya. Fariz menggigil kesejukan. Cepat-cepat
dia menggeser kedua-dua tapak tangannya untuk memanaskannya. Kemudian tapak
tangannya itu diraup ke seluruh wajahnya. Kini wajahnya terasa sedikit
membahang.
Seketika kemudian, Fariz menyorotkan
lagi pandangannya ke arah para jemaah wanita yang melangkah ke arahnya. Namun,
kelibat Nek Tijah tiada lagi kelihatan. Ke mana pula wanita itu? Rasa bimbang
mula menyelinap di sanubarinya.
Bersambung Ahad akan datang, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad akan datang, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment