Photo credit: telegraph.co.uk
TIUPAN angin masih tiada hentinya. Dinginnya seperti air batu. Tetapi Fariz tidak boleh berengsot ke bahagian belakang tiang untuk mengelak tiupan angin yang menggigit hingga ke tulang hitamnya. Pemandu lori membawa tong air zam-zam sedang bersolat di situ. Mahu sahaja Fariz beranjak dari tiang ini untuk ke mana-mana tiang yang banyak di dataran ini. Tetapi dia bimbang Nek Tijah pula tidak akan menemuinya kalau dia beralih ke tiang lain. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menahan kesejukan sementara menunggu lelaki itu selesai solat.
“Anak ini dari Malaysia?”
Fariz segera menoleh. Memandang si
pemandu lori air zam-zam sedang melipat sejadah seraya tersenyum kepadanya.
Fariz membalas senyuman itu.
‘Eh, pakcik ni cakap Melayu. Rupa
macam orang Melayu… orang Indon, kot?’ kata hatinya.
Lantas dia berengsot kembali ke
sebalik tiang untuk menghadap lelaki itu. Direnungnya lelaki yang bertubuh
kecil itu. Memang lelaki di hadapannya ini keturunan Melayu. Tadi, oleh kerana
dia memakai keffiyeh yang menudungi
kupiahnya, Fariz tidak perasan bangsa lelaki itu ketika dia muncul untuk
bersolat tadi.
“Saya dari Indonesia…” kata lelaki
itu seraya menghulurkan tangannya.
“Eh? Oh, maaf pakcik!” jawab Fariz
lantas berdiri untuk menyambut salaman lelaki itu. Termalu kerana dia lambat
menunjukkan adab menghormati orang tua. Seharusnya dialah yang bangun dan
menghulurkan salam terlebih dahulu.
“Nama saya
Fariz. Ya, saya dari Malaysia…”
“Nama saya Sudirman. Panggil Pak Man
saja,” kata lelaki itu. “Saya berasal dari Bayan, Indonesia.”
“Bayan tu, di mana pakcik?” tanya
Fariz ingin tahu.
“Di Pulau Lombok. Emangnya datuk
nenek saya di antara mereka yang membawa Islam ke sana pada kurun ke-17. Mereka
juga membina masjid yang paling tua di pulau itu; Masjid Bayan Beleq. Masjid
itu sudah tidak digunakan lagi kecuali apabila datang Ramadan,” jelas Sudirman
tanpa ditanya.
Fariz menyimpan senyuman bila
Sudirman bercerita dengan panjang lebar latar belakang desanya. Sedikit sahaja
soalannya, tetapi orang tua itu bercerita dengan penuh terperinci sejarah
kampungnya. Sesungguhnya, memang Sudirman amat bangga dengan tempat
kelahirannya.
“Sudah lama pakcik kerja kat sini?”
“Sudah lebih lima tahun.”
Mereka rancak berbual seperti
kenalan lama. Mungkin kerana serumpun, mereka mudah mesra walaupun baru mengenali
di antara satu sama lain. Sudirman juga bertanya Fariz, dengan siapa dia datang
untuk menunaikan umrah. Dan, Fariz tidak ketinggalan bertanya kepada orang tua
separuh usia itu mengenai tugas sebagai pembawa air zam-zam di masjid yang mulia
ini.
SUDAH dekat 11.00 malam. Bererti
hampir sejam dia menunggu. Fariz mengeluh lagi. Lalu dia bangun bersiar-siar di
dataran untuk melancarkan peredaran darah di kakinya sambil terjeling-jeling kembali
ke tempat duduknya. Mana tahu, Nek Tijah sudah sampai. Dia tidak mahu wanita
itu tercari-carinya pula.
‘Kenapa
nenek tak sampai lagi, ni? Dia terpisah dari kumpulan ke? Dia sesat jalan, ke? Entah-entah…
capal dia hilang…’ detik hati Fariz yang kian bimbang.
Fariz
teringat peristiwa semalam. Hampir sejam Nek Tijah yang ditunggu tidak
muncul-muncul. Apabila rasa resahnya kian mengganggu hatinya, Fariz bergegas ke
masjid. Di ruang masuk pintu untuk jemaah wanita, dia terintai-intai mencari
Nek Tijah. Mereka yang satu rombongan dengannya pun dicarinya. Namun, tiada
seorang pun orang Malaysia yang lalu berhampirannya itu dikenali.
Akhirnya setelah penat menunggu, Fariz kembali ke tiang, tempat asal dia menanti. Rasa bimbang
di hati terbang menghilang apabila ternampak Nek Tijah duduk bersimpuh sambil berwirid
sendirian di situ. Bila teringatkan insiden semalam, Fariz tak jadi ke
mana-mana. Biarlah dia menunggu dan menunggu. Pokoknya, dia perlu bersabar. Dan
bersabar di tanah haram adalah satu ujian yang harus dihadapi dengan tenang dan
bersahaja.
Getaran fonselnya
menarik perhatian. Fariz segera membukanya. Wajah Tuan Aziz jelas terpapar.
“Fariz… apa
khabar? Dah solat?” tanya bosnya itu.
“Dah, bos,” jawab
Fariz ringkas.
“Maaf mengganggu
awak. Tapi kita sedang mencari orang penting…”
“Siapa dia, bos?”
“Saleem Amare… pengendali
syarikat Hedaya Travel and Tours. Orang Somalia.”
“Orang Somalia?”
tanya Fariz. Dahinya berkerut kurang mengerti.
“Kita ada maklumat
yang dia kini berada di Madinah; membawa jemaah dari negaranya. Cari dia.
Sahkan kehadirannya. Hubungi saya. Urgent.
Itu saja.”
“Itu saja?”
“Tugas seterusnya,
biar ejen lain bereskan. Saya tak mahu ganggu ibadah awak.”
“Umrah
saya dah selesai, bos. Esok saya balik ke Malaysia…”
“Tak mengapa. Saya
belum bercadang nak minta awak bertugas lebih daripada yang patut. Okey, tunggu
kiriman imej Saleem Amare. Kemudian laksanakan tugas.”
Fonsel dimatikan.
Seketika sahaja kiriman MMS berupa foto Saleem Amare tiba ke fonselnya. Fariz
tidak mengambil masa yang lama untuk meneliti raut wajah lelaki kulit hitam
yang bersongkok berbunga-bunga itu. Setelah pengecaman dibuat, Fariz menutup
fonselnya.
‘Kat mana aku nak
cari dia? Masjid ni besar,’ cetus hatinya.
Fariz menoleh ke
kawasan luar dataran. Di sana terdapat berpuluh-puluh bangunan-bangunan
pejabat, gedung dan hotel. Bagaimana dia hendak mencari pejabat Hedaya Travel
and Tours pada malam buta ini?
Sekumpulan jemaah
kulit hitam melintasinya. Fariz mahu sahaja bertanya kalau-kalau mereka orang
Afrika daripada Somalia. Bila memikirkan, cara begitu terlalu cerewet, Fariz
tak jadi menegur mereka. Dia melangkah ke hulu ke hilir mencari idea.
‘Aku kena cari
balai polis… atau pejabat pentadbiran umrah Arab Saudi… mungkin Tabung Haji pun boleh bantu,’ bicara hatinya lagi.
‘Hmm… baik aku tanya ustaz yang jadi mutawwif aku… tapi di mana dia?’
Fariz menggaru
kepalanya. Hatinya mula tidak sabar untuk memulakan tugas. Dia tidak mahu
menanti hari esok. Kerja hari ini, harus dibereskan hari ini. Akhirnya, Fariz melangkah
menuju ke masjid.
‘Baik aku jalan
aje. Mana tau, tiba-tiba Saleem Amare mendatangi aku, bukannya aku mencarinya.
Hal-hal ajaib memang biasa terjadi kat tanah haram…’ kata hatinya penuh
harapan.
Sambil berjalan,
dia memerhati ke sekeliling kalau-kalau Saleem Amare benar-benar ada
berhampiran dengannya. Gerombolan-gerombolan jemaah yang bergegas melintasinya
terus diamati. Tercari-cari wajah Saleem Amare. Wajah Nek Tijah kian pudar
daripada layar mindanya.
Satu suara parau
menarik deria pendengarannya. Lalu Fariz menoleh. Matanya mencerlang. Mulutnya
terbuka sedikit kerana takjub. Lantas dia menarik nafas. Memang dia tidak
sangka sama sekali apa yang dilihatnya.
‘Saleem Amare!’
jerit hatinya apabila ternampak lelaki yang dicarinya. Dia hampir tidak percaya,
betapa mudahnya mencari Saleem Amare. Belum pun dia menapak lebih daripada
sepuluh langkah, orang yang dicarinya sudah muncul di depan mata!
‘Alhamdulilah.
Keajaiban berlaku di bumi Madinah. Orang yang aku rasa susah dicari boleh muncul
di depan mata…’ kata hatinya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment