Sunday, September 9, 2012

FRAGMEN 13: GERAK GEMPAR




Photo credit: 
kaherah-kaherah.blogspot.com 

FARIZ menghampiri lelaki yang kelihatan bersama dengan rombongannya itu. Ingin mengamati lelaki berkumis nipis itu dari dekat. Saleem Amare berkulit hitam, bertubuh tinggi dan sasa orangnya. Suaranya begitu parau dan merendah dalam kategori suara bernada
bass. Hinggakan mereka yang berada di sekelilingnya terpaksa membongkok sedikit memasang telinga untuk mendengar kata-katanya.

Saleem Amare sedang memberi taklimat mengenai Masjid Nabawi kepada para jemaah umrah dalam kumpulannya. Begitu bersungguh-sungguh dia memberi penerangan kepada mereka di sekelilingnya. Kadangkala, dia pula melangkah menghampiri para jemaah yang bertanyakan soalan kepadanya. Petanda dia seorang yang mengambil peduli terhadap kemusykilan mereka yang ingin memperoleh maklumat daripadanya.

Bagi Fariz, Saleem Amare adalah seorang lelaki yang prihatin. Tatkala bertutur, senyuman manis tidak lekang dari bibirnya.  Membuatkan mereka yang berada dekat dengannya begitu selesa bertanya pelbagai soalan.  Hinggakan ada jemaah lain yang lalu-lalang terhenti untuk mendengar taklimatnya.

‘Lelaki ini ada aura!’ desis hati Fariz lagi. ‘Aku kena beritahu Tuan Aziz, aku dah jumpa Saleem Amare… Tapi… aku tak akan lepaskan peluang…’

Dengan berhati-hati Fariz mencapai fonsel di poketnya. Niatnya, sebelum menghubungi BISIK, dia ingin merakam foto lelaki ini buat kenang-kenangan peribadi. Dia begitu teruja dengan ketrampilan lelaki ini. Perlahan-lahan, fonselnya diubah kepada mode  media supaya dia boleh mengambil foto lelaki ini.

Sambil memfokus, Fariz bergerak ke celah-celah ahli rombongan lelaki itu untuk mengambil sudut fotografi yang menarik. Kini, fonselnya sudah menghampiri mata kanannya. Mata kirinya dikecilkan. Butang untuk menangkap foto sudah hampir ditekan.

Dengan tidak disangka-sangka, Saleem Amare berpaling ke arahnya. Membuatkan Fariz tidak jadi mengambil foto lelaki itu. Fonselnya diturunkan. Kini mereka bertentang mata.

“Carry on... you can take my picture!”
Saleem Amare menyapa sebaik sahaja terpandang Fariz menyasarkan fonsel ke arahnya.

Fariz kantoi! Dia kaget seketika. Tercetus rasa kesal di hatinya. Seharusnya dia tidak boleh dilihat oleh Saleem kerana tugasnya hanyalah menyampaikan maklumat kepada BISIK di manakah lokasi lelaki itu.

Lantas dia merapatkan ibu jari dan jari telunjuknya membuat huruf ‘O’ tanda ‘okey.’ Saleem Amare tersenyum seraya mengangkat tangannya dan membuat huruf ‘O’ dengan jejarinya; serupa seperti yang dilakukan Fariz. Lalu masing-masing bertukar senyuman.

Kesediaan Saleem difotokan menjadikan Fariz berasa selesa kembali. Lantas dia mengambil beberapa shot lelaki itu. Kemudian dia melangkah menjauhi rombongan itu dan berpura-pura mengambil beberapa shot di sekitar dataran masjid. Seolah-olah dia adalah jemaah biasa yang sedang bersantai-santai mengambil foto. Tak semena-mena, Fariz terdengar sebuah tembakan!

“ALLAH!” kedengaran suara parau itu.

Fariz menoleh. Terpandang Saleem Amare tertunduk-tunduk seraya memegang dadanya. Beberapa orang jemaah tampil untuk memangkunya berdiri.

“Ya, ALLAH! Saleem Amare kena tembak!” gumam Fariz.

Dadanya berombak kencang. Fariz menoleh ke kanan dan kiri. Matanya cuba mencari pergerakan yang ganjil di kalangan mereka yang lalu lalang. Agak sukar baginya untuk mengecam mereka yang ada di kawasan itu. Hampir kesemua para jemaah berpakaian putih.

Tiba-tiba ekor matanya terpandang kelibat seseorang lelaki yang sedang bergegas melintasi dataran. Untuk mendapat kepastian, Fariz bertepuk tangan sambil berlari ke arah orang itu.

Memang sah! Benar seperti jangkaannya. Bunyi tepukannya berjaya menyergah emosi lelaki itu. Tanpa menoleh, lelaki itu membuka langkah seribu. Dengan pantas, Fariz menyingsing kaki jubah dan mengikatnya ke pinggang. Kini dia akan lebih pantas berlari mengejar lelaki yang nampaknya panik, bagai ayam yang tersesat ke dalam rumah!

SAMBIL mengejar, Fariz mentafsir perilaku si penembak. Dia berlari bagai tak tentu arah tujuan. Mengorak langkah seribu sambil menyelit di celah-celah para jemaah yang lalu lalang di dataran itu. Habis mereka yang berada di laluannya dirempuh. Membuatkan ramai yang tertolak menjerit-jerit memarahinya. Nampak sangat lelaki itu tidak tenang dalam bertindak.

‘Bukan profesional… mungkin sekali gengster tengik…’ desis hati Fariz.

Ketika berlari, Fariz cuba menelah hala tuju lelaki yang berjubah berbelang-belang itu. Yang pasti, dia tidak menuju ke dalam Masjid Nabawi. Sebaliknya berlari ke arah pintu keluar daripada dataran.

Jaraknya dengan lelaki itu hanya kira-kira 50 meter. Dan lelaki itu berada kira-kira 200 meter daripada pintu keluar. Fariz mesti segera mengejar. Andainya lelaki itu sempat mengeluskan dirinya ke luar dataran, dia sukar menjejaknya. Ribuan orang ramai yang berasak-asak di laluan yang penuh dengan para peniaga jalanan akan menghaibkan lelaki itu di celah-celah orang ramai.

Bunyi hon kenderaan kedengaran di belakangnya. Seperti para jemaah lain,  Fariz menoleh dan bergerak ke samping untuk memberi laluan. Lalu terpandang Sudirman sedang memandu lori kecil membawa tong air zam-zam.

‘Eh! Abang Man! Ini peluang baik!’ kata hatinya.

Sebuah idea melonjak di fikirannya. Lantas Fariz menahan lori kecil itu. Sudirman yang baru mengenali Fariz di penjuru dataran sebentar tadi terus memberhentikan lorinya.

“Bang… saya mintak tolong…”
“Ada apa?” Sudirman tertanya-tanya.“Pinjam lori sekejap! Penting, bang!”

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment