Sunday, September 30, 2012

FRAGMEN 16: GERAK GEMPAR



Photo credit:  networkoverseas.cc
Al-Mouwasat Hospital, Madinah

SUDIRMAN memang kenal ramai orang. Sebaik sahaja melangkah ke dalam bangunan hospital, ada sahaja orang yang ditegurnya. Ada sahaja orang yang menyapanya. Beberapa kali juga langkah mereka terhenti apabila ada kakitangan hospital yang mengajaknya berbual barang seketika. Fariz yang mengekori Sudirman sesekali tersenyum sendirian melihat keramahan lelaki ini.

Mungkin, oleh kerana Masjid Nabawi adalah pusat ibadah, ramai kakitangan hospital yang datang ke masjid itu pasti akan terpandang Sudirman melakukan tugas-tugasnya. Dari situ, mereka berkenalan dan menjalin persahabatan. Menjadikan Sudirman orang yang terkenal di hospital ini.

“Abang Man sememangnya kenal Saleem Amare. Dia tuanpunya syarikat haji dan umrah. Dalam setahun, sekurang-kurangnya sekali dia akan datang ke Madinah bersama para jemaah haji dan umrah ke sini…” kata Sudirman ketika mereka menanti lif.
“Setiap kali ke mari, Saleem pasti pinta abang Man kirim air zam-zam untuk jemaahnya di hotel.”
‘Perbuatan itu, haram!’ bentak hati Fariz.

Dahi Fariz berkerut mendengar penerangan Sudirman. Apakah Sudirman mengambil tong-tong air zam-zam yang digunakan di masjid untuk jemaah Saleem Amare? Jika itu yang dilakukan lelaki itu, sesungguhnya tindakan itu menyalahi kerana Sudirman mengambil barangan masjid untuk kegunaan orang lain.

“Nggak! Saya tidak gunakan tong-tong daripada syarikat saya…” jawab Sudirman. Seolah-olah dia mendengar bisikan di hati Fariz. “Saya beli tong-tong saya sendiri. Air zam-zam itu saya ambil melalui pertolongan kawan-kawan saya yang berkunjung ke kota Mekah!”

Fariz mengukir senyuman. Malu juga rasanya kerana su’u dzan dengan lelaki ini.

SEBAIK sahaja pintu kamar terkuak, Saleem Amare menoleh. Fariz lihat wajahnya tampak tenang sambil duduk berlunjur di katilnya. Dadanya berbalut. Terdapat tompok berwarna merah berbalam-balam di kain balutan itu. Wajahnya sedikit terkejut melihat kedatangan Sudirman bersama dirinya. Tiga orang lelaki yang menemaninya bergerak ke samping memberi ruang.

“Hei! Mana kamu tahu aku ada di sini? Sudirman… marilah duduk kat sini…” kata Saleem seraya mengunjuk kerusi berhampiran dengan katilnya. Seorang lelaki yang menduduki kerusi itu lantas bangun untuk memberi peluang Sudirman pula melabuhkan punggungnya.

Sudirman bersalaman dan memeluk lelaki itu. Kemudian tiba pula giliran Fariz berjabat salam dengan lelaki berusia lebih separuh abad itu.

“Hei… saya kenal awak!” kata Saleem sebaik sahaja menyambut salam Fariz. “Tadi, awaklah yang datang untuk mengambil foto saya bersama para jemaah…”

Fariz terangguk-angguk mengiyakan seraya tersenyum. Dia teringat kembali arahan yang diperoleh dari BISIK sebaik sahaja mengkhabarkan insiden tembakan ke atas Saleem. Dia perlu memperkenalkan dirinya kepada lelaki itu untuk meminta bantuan segera.
“Kami datang dengan satu tujuan penting,” kata Sudirman perlahan. 

Ketika dalam perjalanan ke hospital, Fariz telah menceritakan serba sedikit mengenai tujuannya menemui Saleem Amare dan meminta bantuan Sudirman untuk menyampaikan hasratnya.

“Apa yang pentingnya? Boleh saya tahu?” soal Saleem dengan tenang. Di wajahnya tergambar sedikit rasa hairan kerana Sudirman tidak pernah berbicara dengannya perkara yang lain, selain daripada urusan penghantaran air zam-zam ke hotelnya.

“Rakan saya ini ingin bertanya sesuatu..” ujar Sudirman.
“Sesuatu? Sesuatu apa?” soal Saleem seraya mengintai Fariz yang kebetulannya berdiri di belakang Sudirman.
Fariz lantas menghampiri Saleem dan berbisik, “Saya nak bercakap mengenai Wehliye! Wehliye Amare!”

Kening Saleem perlahan-lahan terangkat. Dia merenung Fariz dengan dahinya yang berkerut. Bagai tidak percaya apa yang dituturkan Fariz. Saleem mengeluh dalam. Kemudian mengisyaratkan kepada lelaki-lelaki yang berada di kamar itu untuk keluar daripada bilik itu.
Dengan isyarat mata, Sudirman pula memandang Fariz sebelum dia juga melangkah perlahan meninggalkan kamar itu.

“TUAN mesti bantu kami!” ujar Fariz dengan nada perlahan tetapi mendesak. “Kapal kami…”
“… diserang lanun yang diketuai oleh adik saya, Wehliye Amare? Betul?” sampuk Saleem menyudahkan mukadimah Fariz.
Fariz mengangguk.

Sebuah senyuman kecil terukir di bibir Saleem. Seketika kemudian dia tergeleng perlahan. Tampak sekali dia kecewa dengan khabar yang Fariz bawa. Lalu dia menoleh ke luar jendela. Memandang kenderaan yang melintasi jalanraya di hadapan hospital.
Beberapa ketika dia bagai berkhayal. Tidak peduli dengan kehadiran Fariz di sisinya. Sesekali matanya terkelip-kelip. Barangkali mengimbau kenangan lalu ketika dia sendiri menjadi seorang ketua lanun.

Fariz hanya membiarkan Saleem tenggelam dalam lautan fikirannya. Biarlah dia bertenang dan mengambil sedikit masa. Mudah-mudahan, setelah fikiran tenang, Saleem akan dapat membantu dengan sebaik-baiknya.
Sejak diberhentikan kerja berikutan dengan pemansuhan jabatannya, Saleem kembali ke kampung halamannya di bandar pelabuhan Baraawe. Rakan sekampung yang kasihan kepadanya yang menganggur menawarkannya kerja mengangkut kargo kapal.

Minatnya terhadap laut membuatkan dia bertukar haluan kerjaya menjadi nelayan pula. Dengan sebuah bot yang dibeli dengan wang simpanannya, mulalah dia meneroka ke lautan bersama adiknya, Wehliye dan beberapa orang anak-anak buahnya. Namun, masa depannya sebagai nelayan menjadi kelam apabila lautan Somalia tempat dia mencari rezeki sering dipenuhi dengan tumpahan minyak dari pelbagai kapal antarabangsa yang tidak peduli langsung dengan alam.

Malah, seluruh masyarakat nelayan sakit hati apabila rungutan-rungutan mereka terhadap pihak berwajib tidak dihiraukan. Kalau adapun tindakan diambil terhadap kapal yang melanggar undang-undang maritim, rasuah kepada mereka yang menguatkuasakan peraturan itu begitu berleluasa. Mereka yang bersalah, terlepas begitu sahaja kerana undang-undang boleh dijual-beli.

Akhirnya, apabila lautan dipenuhi minyak, apabila ikan-ikan pun mati dan para nelayan marah kerana tiada masa depan, mereka bertindak sendiri kerana dendam. Kapal-kapal perdagangan yang melalui lautan Somalia diserang. Segala harta benda anak-anak kapal dirampas sebagai balasan.

Lama kelamaan, kegiatan merompak kapal menjadi satu mata pencarian. Rompakan biasa di tengah laut berubah menjadi satu kegiatan yang menguntungkan bila mana bukan sahaja anak-anak kapal yang dirompak, malah anak-anak kapalnya dijadikan sebagai tebusan. Wang jadi pertukaran komoditi yang dibawa kapal.  Inilah fenomena sebenar mengapa banyaknya lanun di lautan Somalia.

Saleem bersama anak-anak buahnya juga terlibat. Dengan keuntungan yang diperoleh, Saleem menambah empat lagi bot dan menggajikan nelayan-nelayan yang menganggur untuk menjadi lanun. Banyak wang yang diperoleh dengan cara itu. Namun, kehidupan sebegitu bukannya pilihan sebenar Saleem. Dia sering mengalami igauan ngeri kerana sentiasa menghimpun dosa. 

Dalam satu kejadian yang tidak diingini, Saleem tertembak dua orang anak kapalnya dalam satu kejadian tembak menembak dengan pihak tentera Russia yang mengawal kapal dagang mereka. Kesal dengan apa yang terjadi, Saleem meratapi kematian mereka. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Kekesalan tidak boleh mengubah keadaan. Akhirnya, Saleem mengundur diri dari kegiatan melanun.

Kesemua bot-botnya dibakar di tengah laut. Harta benda rampasannya diberikan sahaja kepada lanun-lanun yang lain. Adiknya Wehliye juga dipujuk untuk berhenti menjadi lanun. Namun, Wehliye berdegil. Dia menyertai sebuah kumpulan lanun yang lain. Saleem pula naik ke darat dan mencuba nasib sebagai seorang usahawan hingga berjaya pada hari ini.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment