Photo credit: film.com
LAMA juga Fariz membiarkan lelaki di depannya ini mengelamun. Entah apa yang difikirkan oleh lelaki itu. Mahu sahaja dia mengalih perhatian lelaki itu kerana BISIK perlukan maklumat sesegera yang mungkin. Seketika kemudian, Saleem mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa. Terkumat-kamit bibirnya. Setelah dia meraup wajahnya, Saleem merenung tepat ke wajah Fariz.
“Aku tahu kamu
bukan rakyat Somalia. Kamu ini siapa? Bertugas di negara mana? Apa jawatan
kamu?”
“Nama saya Fariz.
Saya bertugas di sebuah agensi keselamatan di Malaysia….” kata Fariz.
“Oh… kamu seorang
perisik. Aku tahu,” ujar Saleem seraya mengukir senyuman.
Kata-kata itu
membuatkan Fariz terpana. Tidak menyangka bagaimana lelaki itu tahu jenis
tugasnnya. Mungkinkah dia hanya menyerkap jarang? Tetapi, tutur kata dan
jelingan matanya menggambarkan dia tahu apa yang dia perkatakan.
“Kalau kamu bukan
bertugas di bahagian risikan di negara kamu, bagaimana kamu boleh mencari aku,
abang Wehliye? Kerana itu, aku tabik dengan agensi kamu kerana begitu cepat mencari
aku di kota Madinah. Tapi, jangan gusar,
Fariz…
Sebenarnya, dulu
pun aku bertugas dengan National Security Service Somalia. Ia sama macam CIA,
KGB atau agensi tempat kamu bertugas sekarang. Kerana salah guna kuasa,
Presiden kami diguling dalam satu pemberontakan yang tak berkesudahan hingga ke
hari ini. Agensi tempat aku bertugas turut dibubarkan.
Aku terpaksa
menganggur, bekerja dengan kawan, kemudian jadi nelayan, jadi lanun dan jadi
usahawan setelah bertaubat. Ah, cerita aku bukannya menarik, Fariz! Hmm… apa
pertolongan yang kau mahu dari aku?”
“Kami hendak
berhubung dengan Wehliye…” ujar Fariz.
“Oh,
apa yang susah sangat? Telefon saja dia…”
“Dia tidak mahu jawab
panggilan! Sudah banyak kali kami cuba bercakap dengannya!” kata Fariz.
Dahi Saleem
berkerut seribu. Dia menekur memandang balutan di dadanya. perlahan-lahan dia mengusap
dadanya. Mungkin bisa tembakan mula terasa kerana kesan bius ubatnya sudah
berkurangan.
“Mustahil Wehliye
tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Biasanya, dia akan menanti pihak yang
ditawan menghubunginya. Selalunya, dia hendak lekas-lekas tamatkan episod
tawanan supaya dia cepat dapat habuan,” gumam Saleem.
Saleem meraba ke
bawah bantalnya. Sebuah fonsel berwarna keemasan kini dalam genggamannya. Hati
Fariz terus lega. Nampaknya tugas menghubungi Wehliye begitu mudah. Mungkin,
bila abangnya sendiri yang menghubungi, Wehliye akan melayani.
Sambil terjeling
dan tersenyum kepada Fariz, Saleem mula mendail. Kemudian dia melekapkan fonsel
itu ke telinganya. Matanya terkelip-kelip menanti nada dering tanda panggilan
diterima.
Beberapa ketika
dia begitu. Kemudian dia memandang fonselnya. Fariz dapat mengagak, Saleem pun
tidak dapat menghubungi adiknya itu. Saleem mencuba lagi. Kali ini, wajahnya
berubah serius. Kerut seribu di dahinya kian menyerlah. Dia sendiri
tertanya-tanya mengapa Wehliye tidak mahu menjawab panggilannya.
Saleem
menekan-nekan lagi butang di fonsel. Nampaknya dia hendak menghubungi nombor
yang lain. Atau mungkin juga orang lain.
“Asiya!”
Suara parau Saleem
menarik perhatian Fariz. Siapa Asiya?
“Asiya? Di mana
suami kamu?”
Dari soalan
Saleem, Fariz dapat mengagak Asiya adalah isteri Wehliye.
“Panggil dia! Aku
nak bercakap dengannya!”
‘Nampaknya,
Wehliye kini ada bersama Asiya,’ kata hati Fariz.
“Apa? Oh… hmm…”
kata Saleem lalu menutup fonselnya.
Saleem mengeluh
dalam. Seolah-olah menyampaikan rasa terkilannya kerana adiknya tidak mahu
menjawab panggilan. Rasa keterujaan di hati Fariz mula menjunam. Hatinya bertanya
lagi, bagaimanakah cara dia hendak
menghubungi Wehliye.
Mereka
berpandangan. Fariz mengharapkan Saleem berkata sesuatu, atau mencadangkan
jalan menghubungi adiknya. Namun, Saleem berpaling lalu memandang kembali ke
luar jendela. Tangannya kembali mengusap-usap lukanya yang berbalut di dada.
‘Lukanya sakit,
atau hatinya yang pedih?’ tanya Fariz di dalam hati.
Baraawe, Somalia
“KENAPA abang tak bercakap
dengan bang Saleem?” tanya Asiya seraya menghampiri suaminya sambil mengelek
anak bongsunya yang berusia setahun. Mata si kecil kelihatan kuyu. Sesekali puting
susu di mulutnya bergerak-gerak dinyonyot kanak-kanak itu.
Wehliye
hanya membatu. Dia duduk tersandar dan berlunjur di kerusi malasnya. Namun,
dadanya kelihatan naik turun menahan amarah. Tidak suka isterinya campur tangan
dengan segala urusannya. Pandangannya tidak berkelip memandang ke laut lepas
yang membiru di depan matanya. Tidak memandang pun Asiya yang merenungnya.
“Dia
darah daging abang. Sepatutnya abang jawab panggilannya. Tak patutlah dengan
abang sendiri pun tak mahu bertegur sapa. Abang sebagai adik harus hormat pada darah
daging sendiri!”
Sambil
berleter, lengannya digoyang-goyang untuk mendodoi si kecil. Ternyata
kanak-kanak itu sudah terbang ke alam mimpi. Seketika sahaja dia terlentuk di
bahu ibunya. Wehliye tidak kisah dengan keadaan anaknya itu. Malah dia juga
tidak peduli dengan apa yang terhambur dari mulut Asiya.
“Apakah
awak dah sibuk sangat sampai tak sempat lagi nak melayan bang Saleem? Masa kita
susah dulu, dialah yang tolong kita. Dialah yang belikan susu untuk anak-anak kita
Abas dan Amani yang sekarang semuanya dah besar panjang. Apa, abang tak ingat
lagi?”
Wehliye
hanya memekakkan telinga. Satu perkataan pun tidak masuk ke dalam fikirannya.
Dia sudah biasa mendengar Asiya berleter. Kerana itu dia sudah mangli. Wehliye
bersiul-siulan. Jejarinya mengetuk-ngetuk meja kecil di sisinya. Satu
gerak-geri tidak peduli yang cukup menyakitkan hati Asiya.
“Huh!”
kata Asiya sambil mendengus dan berlalu.
Perlahan-lahan
Wehliye menoleh. Memandang punggung bulat isterinya yang melangkah pantas ke
dapur. Sebuah senyuman terukir di bibir Wehliye.
“Bos!”
sapa Abdool.
“Hmm!”
jawab Wehliye seraya bangkit. Pandangannya dicerunkan ke tanah.
Tidak
sedar sejak bila Abdool sampai. Orang kanannya yang gempal itu segera menaiki
anak-anak tangga. Empat orang lelaki mengekorinya. Mereka tidak mengikut Abdool
naik ke beranda. Sebaliknya mereka berempat berdiri sebaris di tanah. Abdool
tunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada ketuanya. Kemudian dia mendepangkan
tangannya ke arah empat lelaki yang mengekorinya itu.
“Saya
ada bawak empat pekerja baru, bos!” kata Abdool. “Saya dah pilih betul-betul.
Semuanya sesuai dengan kehendak bos!”
Wehliye
melangkah sambil memeluk tubuhnya. Menuruni anak-anak tangga, langsung ke tanah
untuk menghampiri keempat-empat lelaki. Sambil menapak, dia memandang
wajah-wajah lelaki itu. Bagai seorang jeneral membuat pemeriksaan perbarisan.
Direnungi seorang demi seorang. Kesemua lelaki-lelaki itu tegap-tegap belaka.
Kesemuanya muda-muda belaka kecuali lelaki yang terakhir. Dia kelihatan
berusia.
“Aku
tak mahu orang tua, Abdool!” tegas Wehliye.
“Betul,
dia berusia,” jawab Abdool yang kini mengekori Wehliye. “Tetapi dia kuat! Tadi,
aku tengok sendiri dia bergaduh dengan lima orang budak-budak kita! Semuanya
tergolek, dia kalahkan!”
“Hmm?”
Begitulah reaksi
Wehliye dengan keningnya yang terangkat. Dengan bibir tercebirnya, dia merenung
lelaki berusia di depannya. Lelaki itu membalas renungannya. Pandangannya
sengaja dipanah terus ke dalam mata Wehliye. Hati Wehliye tidak tergugat pun.
Malah dia menguntum senyuman.
“Siapa nama kamu?”
“Jabril!”
“Kenapa kulit kamu
tidak gelap seperti kulit aku?”
“Aku berdarah
campuran. Emak, orang Somali, ayah keturunan Arab.”
“Siapa ayah kamu?”
“Aku tak tahu!”
“Tak tahu?”
“Aku tak pernah
kenal dia!”
“Oh, maknanya kau
ni…”
“Ya. Aku anak
haram!”
Jawapan itu
membuatkan Wehliye tertawa terbahak-bahak. Semua yang lain tertawa termasuklah
Jabril. Namun dengan ekor matanya satu perasaan amarah terpancar.
Ya, Jabril atau
nama sebenarnya Jeffri Zain hanya menanti masa yang sesuai untuk bertindak!
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment