Photo credit: rotaryaction.com
Baraawe, Somalia
WEHLIYE
memandu sendiri kenderaan pacuan empat rodanya menuju ke lapangan terbang kecil
di mana terletaknya helikopter. Kenderaan yang tidak berbumbung itu kemek di
sana-sini. Bodinya berkarat dan berdebu kerana tidak pernah digilap. Dua orang
anggotanya berdiri di bahagian belakang sambil memegang rifel. Kerana jalan
yang tidak rata, kedua-dua petugas itu terangguk-angguk mengikut kontor jalan.
Jabril atau Jeffri Zain menaiki sebuah lagi
kenderaan di belakangnya. Abdool yang memandu kenderaan ini. Jeffri hanya berdiri
bersama tiga lagi rekrut Bad Holac yang
baru sepertinya. Sesekali, Jeffri menjeling ke arah rakan-rakan barunya.
Sesekali dia memandang jalan berdebu dan berbatu batan yang dilaluinya.
Mereka dalam perjalanan ke sebuah kawasan lapang di
mana helikopternya berada. Setelah mendapat maklumat terperinci mengenai harga
yang patut dituntut daripada pihak Petromal, Wehliye ingin segera terbang ke
kapal Lancang Kuning. Di sana, dia akan menyatakan jumlah yang dipinta kepada
Datuk Rauzah.
Bad
Holac kepunyaannya itu amat canggih operasinya. Setelah menahan kapal,
petugas-petugasnya di daratan bertindak sebagai penilai harta dengan memperoleh
segala maklumat mengenai kuantiti barangan, nilai insuran, nilai anak-anak
kapal dan identiti syarikat yang terlibat.
Wehliye tidak mahu membuang masa.
Maklumat Petromal sudah ada di tangannya. Jumlah tuntutan yang realistik sudah
diputuskan. Dia ingin menuntut jumlah yang optimum, yang mampu dibayar oleh
Petromal. Bukan meminta jumlah yang bukan-bukan.
Tuntutan pampasan yang di luar
kemampuan akan mengakibatkan perundingan demi perundingan terpaksa diadakan.
Ini mengambil masa sedangkan Wehliye mahu segala-galanya dibereskan secepat
mungkin agar dia boleh menawan kapal yang lain pula.
Dia adalah lanun profesional kerana
membuat keputusan berdasarkan fakta.
Baginya, melanun itu bukan
jenayah. Sebaliknya ia adalah satu kerjaya keusahawanan di mana
keputusan yang pantas, yang berisiko minima dengan pulangan optima menjadi
garisan panduan gerak kerjanya.
KENDERAANNYA
mula membelok. Kelihatan helikopternya sedang menanti. Kipasnya baru mula
berputar sebaik sahaja pemandunya nampak kemunculan kenderaan pacuan empat roda
Wehliye. Wehliye tersenyum lebar. Senyum puas dan bangga kerana helikopter itu
petanda yang dia sudah berjaya dalam usahanya.
Tiada kumpulan lanun lain yang mampu
membeli helikopter. Bad Holac adalah
kumpulan yang terkaya, termaju dan paling berjaya di antara kumpulan-kumpulan
lanun yang lain. Wehliye juga puas hati kerana dia lebih berjaya daripada
Saleem, abangnya sendiri.
“Wehhhhhhhhhh!” kedengaran laungan
suara salah seorang petugasnya di belakang menyeru namanya.
Wehliye menoleh dan memandang ke
langit. Petugas Wehliye menuding ke arah sebuah tompok hitam di celah awan.
Wehliye membuka kacamatanya. Matanya dipicingkan. Dia nampak sebuah helikopter
sedang bergerak ke mari. Tak semena-mena dia nampak pecutan-pecutan api muncul
daripada helikopter itu menuju ke kenderaannya!
‘Dup! Dup! Dup! Dup! Dup!’
Pasir berterbangan di kiri dan kanan
laluan kenderaan pacuan empat rodanya. Tanah pula membongkah kerana dihentam
peluru daripada senjata helikopter yang mendatang. Dia diserang!
Wehliye memecut kenderaannya dan memutar stereng ke
kiri dan kanan agar kenderaannya sukar menjadi sasaran. Namun kenderaannya
semakin dihujani peluru. Akhirnya Wehliye mendengus.
“Kurang ajar!” pekik Wehliye lalu membrek
kenderaannya secara mengejut.
Impak itu membuatkan kedua-dua petugas di belakang
berlaga kepala dan kedua-duanya jatuh tergolek. Kenderaan di belakang yang
dipandu Abdool turut berhenti. Mereka semua terjun dan berlindung di sebalik
kenderaan. Jeffri yang turut terjun melangut ke langit. Mindanya berputar
memikirkan siapakah pula mereka yang muncul dari angkasa ini.
Wehliye segera mengacu pistolnya ke arah helikopter
yang mendatang. Menunggu masa untuk memetik picunya. Namun, biasan cahaya
matahari mengganggu pandangannya. Matanya berpinar. Wehliye mendengus lagi. Dia
segera menoleh ke arah helikopternya untuk meminta bantuan.
“Wei!” Wehliye melaung kepada
pemandu helikopternya pula. Tangannya terkirai-kirai sambil menuding ke arah
helikopter di udara. Mengarahkan pemandu helikopternya terbang ke udara untuk menyerang
balas.
Namun, tiba-tiba matanya terbuntang
bila ternampak beberapa orang bersenjata berpakaian hitam berlari
bersimpang-siur ke arah helikopternya. Mereka bukan orang-orangnya. Masing-masing
terus menyasarkan senjata mereka ke arah helikopternya. Bersedia untuk menembak
seandainya helikopternya itu mula memanjat ke udara. Wehliye tahu, kini dia
terkepung.
‘Dup! Dup! Dup! Dup! Dup!’
Helikopter yang kini sedang
mengambang di atas kepalanya memuntahkan peluru lagi. Wehliye tidak dapat
berbuat apa-apa. Pistolnya dilepaskan gugur ke tanah. Dia mengangkat kedua-dua
tangannya tanda menyerah kalah. Tetapi dia merenung helikopter yang sedang
menurun itu dengan perasaan membengkak.
Kedua-dua petugasnya yang masih terpinga-pinga
kerana berlaga kepala hanya berdiri tegak. Senjata mereka entah ke mana. Mereka
juga nanti helikopter yang mendarat itu seperti juga ketua mereka.
Seorang lelaki mat saleh, berpakaian
kot dan tali leher turun daripada helikopter itu. Dia diiringi oleh seorang
lagi pengawalnya yang bertubuh, sendo lengkap bersenjata. Dengan penuh gaya,
dia melangkah dan berdiri berdepan dengan Wehliye. Dari celah kenderaan, Jeffri
memantaukan pandangannya. Merakam apa yang dipandang ke kotak memorinya.
Buat seketika lelaki mat saleh itu membiarkan
hembusan angin dari helikopter mengirai rambut kuningnya. Lelaki itu membuka
kacamatanya. Seulas senyuman terukir di bibirnya. Lalu dia menghulurkan
tangannya.
“Apa khabar… Wehliye Amare…”
Walaupun dengan perasaan yang
membungkam, kerana tetamu yang tidak diundang yang di depannya begitu kurang
ajar, Wehliye menyambut salam itu.
“Saya Abram William, CEO Extron Corporation…”
Lelaki itu memperkenalkan dirinya.
“Apa kau mau?” tanya Wehliye dengan
suara paraunya.
“Aku mau kau tolong aku…”
“Kalau aku tak mahu?”
“Kalau kau tak mahu….” Abram tersengih-sengih.
Matanya tepat memandang Wehliye. Kemudian dia mengunjuk ke arah helikopter
dengan hujung bingkai kacamatanya..
Wehliye menoleh. Mulutnya ternganga.
Matanya mencerlang.
“Abangggggggggggggg…” jeritan dan
kelibat Asiya yang mengendong anaknya di pintu helikopter amat meruntun
perasaannya.
“Kau culik isteri aku! Binatang!”
Tali leher Abram William ditarik.
Mukanya disua ke wajah Abram. Hidung mereka hampir-hampir berlaga.
“Hold
it, hold it…” Abram mengangkat kedua-dua tangannya seperti orang menyerah
kalah. Dia meminta Wehliye bersabar seraya menjeling ke arah pengawalnya yang
sudah bersedia meletupkan wajah Wehliye dengan senjatanya.
Perlahan-lahan Wehliye terpaksa
membuka genggamannya di tali leher Abram. Dia mendengus dan meludah ke tanah
meluahkan amarahnya.
“Mr.
Wehliye… let’s talk business!” kata Abram sambil tersenyum sumbing.
Drama di depan mata itu disaksikan
Jeffri dengan penuh persoalan. Nama Abram William dan Extron Corporation terus
lekat di mindanya. Dia mesti mendapatkan maklumat terperinci siapakah Abram
William. Mengapa dia menculik Asiya, isteri Wehliye. Dia mesti mendapatkan
jawapan teka-teki itu secepat mungkin agar maklumatnya dapat disalur ke BISIK
hari ini juga.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment