Saturday, October 27, 2012

FRAGMEN 20: GERAK GEMPAR



Photo credit: takmirpenang.blogspot
Dataran Masjid Nabawi, Madinah

FARIZ terlari-lari sebaik sahaja tiba ke dataran ini. Sesampainya ke tiang tempat biasa dia menunggu Nek Tijah, Fariz mematikan langkah. Wanita itu masih tiada di situ. Fariz memandang ke sekeliling. Pandangannya singgah dari satu tiang ke satu tiang yang lain. Mengagak dan mengharap kalau-kalau Nek Tijah menantinya di salah sebuah tiang berhampiran.
Sebentar tadi, sebaik sahaja dia pulang dari hospital, Fariz terus pulang ke bilik hotel. Sangkanya, Nek Tijah sudah pulang. Namun, neneknya tiada. Dia bertanya dengan rakan-rakan rombongannya. Mereka semua tidak tahu di manakah Nek Tijah.
Fariz memantaukan pandangannya ke segenap dataran Masjid Nabawi. Akhirnya, pandangan Fariz tertancap ke arah seorang wanita yang sedang duduk berdoa di tepi tembok.
‘Oh, dekat situ rupanya nenek aku ni…’
Fariz melangkah menghampiri. Lalu perlahan-lahan dia duduk di sisi wanita yang sedang khusyuk berdoa itu. Sedikit di bahagian belakang Nek Tijah kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi wanita itu.
‘Kesian, nenek. Walau pun aku tak ada kat sini tadi, dia tak panik pun tercari-cari aku. Sempat sembahyang dan berdoa panjang lagi. Maafkan aku, nek…’ kata hati Fariz.
Pandangannya tidak teralih langsung dari wanita itu. Bahagianya hati Fariz kerana dapat menemani Nek Tijah menunaikan umrah. Walaupun dia sibuk dengan kerjanya, Fariz tidak sekali-kali mahu menghampakan harapan Nek Tijah. Sebaik sahaja neneknya menyuarakan hasrat ingin ke Mekah dua bulan lalu, Fariz terus memohon cuti untuk bersama-sama wanita ini menunaikan ibadah ini.
            Fariz merenung neneknya yang mula merapatkan kedua-dua tapak tangan ke wajahnya. Dia tergeleng perlahan kerana rupa-rupanya Nek Tijah masih belum habis berdoa lagi. Walaupun kedua-dua tapak tangan Nek Tijah sudah menekup mukanya, masih ada lagi doa yang dipohon. Entah apa lagi yang dikumat-kamitkan neneknya itu.
            Bila Nek Tijah meraup wajahnya, Fariz menghulur tangannya untuk bersalaman. Sebuah senyuman sudah sedia di bibir sebagai hadiah untuk neneknya. Hatinya sudah bersedia untuk mengucapkan maaf kerana membuat Nek Tijah ternanti-nanti.
            ‘Nek…’
            Fariz menggapai dan menggenggam tangan neneknya. Wanita itu tersentap kerana jejarinya dipegang begitu. Lantas dia menoleh. Senyuman yang terukir di bibir Fariz hilang tiba-tiba. Kedua-dua tangannya ditarik.
            ‘Astagfirullah. Salah orang!’ kata hatinya. ‘Nasib baik makcik ni pakai sarung tangan!’
            “Anak ni, siapa?” soal wanita itu.
            “Maaf… maafkan saya. Salah orang. Saya ingat makcik, nenek saya!”
            Wanita itu menguntum senyuman. Geli hati melihat gelagat Fariz yang serba salah kerana bersalaman dengannya.
            “Tak apa, nak. Bukannya sengaja…” kata wanita itu.
            “Maafkan saya… maafkan saya…”
            Dengan wajah yang serius kerana menahan malu, Fariz bangkit lalu berundur. Meninggalkan wanita itu yang masih tersengih-sengih mengekori langkah Fariz dengan pandangan matanya.

FARIZ menyeluk sakunya. Mengeluarkan fonsel lalu mendail wanita itu. Bila dengut tanda panggilan berbunyi, Fariz melekapkan fonsel itu ke telinganya. Matanya terkelip-kelip menanti jawapan Nek Tijah. Namun, seperti tadi, sebelum dia ke hospital menemui Saleem, panggilannya tetap tidak berjawab.
            ‘Ke mana nenek ni? Dia dah hilang ke?’
            Rasa kesal mula menyelinap di sanubari Fariz. Seharusnya dia tidak meninggalkan neneknya begitu sahaja. Tetapi, apa pilihannya? Sebentar tadi Sudirman yang mengajaknya ke hospital untuk menemui Saleem.
Kerana itu, dia mesti merebut satu-satunya peluang yang ada. Dia hanya menjalankan tugas sebagai ejen BISIK. Jika dia menolak ajakan Sudirman, tentu dia tidak dapat menghubungi lelaki separuh abad itu. Dan tugasnya akan tergendala pula. Lagipun, dia sudah cuba menghubungi neneknya. Bukannya sekali, malah banyak kali. Panggilannya tidak berjawab. Kerana itu dia bertawakkal sahaja. Tapi itu tadi. Ketika dia perlu segera mengikut Sudirman ke Al-Mouwasat Hospital. Kini?
Fariz bergegas kembali ke hotel Durrat Fayrouz. Dia mesti pulang ke bilik hotel. Mana tahu neneknya sudah pulang. Jika neneknya masih belum ditemui, dia perlu mencari ketua rombongan untuk mengkhabarkan kehilangan neneknya.
Kelihatan beberapa orang jemaah sedang bersantai dan bersembang di hadapan hotel.  Fariz melangkah ke lobi. Pandangannya melilau memerhati beberapa orang para jemaah yang sedang berehat di sofa sambil menonton televisyen.
‘Mana nenek aku ni?’
Fariz segera ke pintu lif. Butangnya ditekan. Sebaik sahaja pintunya terbuka, Fariz melangkah masuk. Namun sebelum pintu tertutup, seorang wanita menyusul.
“Tolong tekan tingkat lima, nak…” pinta wanita itu.
“Nek!”
Itulah kata-kata yang terpacul dari lidah Fariz.
“Nek!”
Fariz terus merangkul tubuh neneknya lalu pipi wanita itu dicium semahu-mahunya. Nek Tijah terkejut dan terpinga-pinga. Tidak sangka sama sekali Fariz sudah ada di sisinya. Baginya, Fariz juga telah hilang. Dia juga tercari-cari Fariz. Luluh hatinya bila cucu yang dinanti tak kunjung tiba. Puas dia menunggu.
Setelah dipujuk rakan-rakan rombongan, barulah dia hendak ikut kembali ke hotel dengan perasaan kehilangan. Kehilangan satu-satunya cucu yang amat disayanginya. Mahu sahaja dia bermalam di dataran Masjid Nabawi hingga Fariz muncul.
“Alhamdulilah, Paris… Alhamdulilah… Puas nenek berdoa, Paris… nenek takut sangat Paris hilang!” lafaz Nek Tijah dengan suara yang tersekat-sekat. Dia juga mencium pipi Fariz semahu-mahunya.
‘Ya, ALLAH… rupanya nenek aku bukannya susah hati kerana takut sesat, tapi dia susah hati kerana bimbang aku hilang. Dia lebih risaukan aku daripada dirinya sendiri. Ampunkan aku, ya ALLAH kerana menyusahkan hatinya…’ detik hati Fariz.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH..

No comments:

Post a Comment