Photo credit: treehugger.com
Ibupejabat Extron, Houston, Amerika
ABRAM WILLIAM merenung ke luar jendela. Memantau pandangannya ke seluruh panorama bandaraya Houston. Sebuah demi sebuah bangunan pencakar langit singgah di matanya. Setiausaha Peribadinya, Theo Simon hanya membiarkan bosnya diam menyepi.
ABRAM WILLIAM merenung ke luar jendela. Memantau pandangannya ke seluruh panorama bandaraya Houston. Sebuah demi sebuah bangunan pencakar langit singgah di matanya. Setiausaha Peribadinya, Theo Simon hanya membiarkan bosnya diam menyepi.
Theo tahu perangai
Abram. Lelaki itu akan memandang ke luar jendela setiap kali dia mahu berfikir
panjang. Setelah puas dia bersoal-jawab dengan dirinya sendiri ketika memantau
panorama sekeliling, baharulah dia melahirkan pandangannya.
Sebagai Ketua
Pegawai Eksekutif, Extron Corporation, berita yang disampaikan Theo itu
memeranjatkan. Dia tidak menyangka Datuk Rauzah menjadi mangsa penculikan lanun
di laut. Baru dua minggu lalu dia di pejabat Quando Jabuti, Menteri
Petroliam Ganezuela. Dalam pertemuan itu, nama Datuk Raudhah disebut-sebut.
Bukan dalam konotasi yang indah. Sebaliknya, dalam nada keras dan tegang.
Imbas kembali: Pejabat Petroliam Ganezuela, Bandaraya Bahara
PINTU bilik dikuak. Abram William melangkah masuk tanpa mengetuk pun. Menyebabkan Quando berdiri dengan mulut tercebir.
“Saya tak rasa, kita ada temu janji,
Mr. William...” katanya.
Abram tidak mempedulikan kata-kata
itu. Malah, dia terus melangkah sambil mencekak pinggangnya. Mempamerkan
wajahnya yang memerah kerana amarahnya. Dia menapak mundar-mandir di dalam
bilik itu. Seolah-olah dia seorang sahaja yang berada di sini. Seolah-olah
bilik ini dia pula yang punya. Quando
jelas tidak selesa dengan perangai Abram. Dia berdiri berpeluk tubuh. Menanti
masa untuk menyuarakan ketidaksenangannya terhadap sikap kurang ajar pegawai
minyak Amerika itu.
“Mengapa awak begitu mudah mungkir
janji?” selar Abram. Pandangannya tidak tertancap pun ke arah Quando.
Sebaliknya dia hanya memandang sebuah lukisan abstrak di dinding bilik itu.
“Janji apa yang awak maksudkan, Mr.
William?” soal Quando kembali dengan suara tenang.
“Nampaknya awak juga seorang yang
pelupa!”
“Kalau saya pelupa, awak patut
ingatkan saya!” tingkah Quando.
Abram berpaling. Dia memanahkan
pandangannya ke wajah Quando. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri Menteri
Petroliam Ganezuela itu. Quando tidak beranjak. Malah, dia juga sudah bersedia
untuk berlawan kata dengan Ketua Pegawai Eksekutif Extron itu.
“Okey... kalau begitu, biar saya
ingatkan, Mr. Quando...”
Quando mahu sahaja tertawa kerana
Abram seperti orang gila meroyan. Bukannya dia tidak tahu apa yang hendak
dibebelkan oleh lelaki itu. Tetapi,
biarlah. Biarlah Abram meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Selepas mendengar
segala, biar dia pula membelasah lelaki itu dengan hujah-hujah balasan.
“Lima tahun lalu, kami datang ke
negara awak untuk menunjukkan di manakah terdapatnya emas hitam yang terpendam
di perut bumi Ganezuela. Ketika itu, tiada seorang pun pemimpin di negara ini
yang tahu Ganezuela mempunyai minyak. Malah, tiada sesiapa pun yang percaya.
Kami ditertawakan pada waktu itu.
Tetapi kami datang juga membawa teknologi eksplorasi. Kami meneroka jauh
ke dalam hutan Ganezuela untuk membuktikan apa yang kami tahu. Akhirnya kami
menemui kekayaan yang boleh mengubah Ganezuela dari sebuah negara miskin
menjadi negara yang terkaya di benua Amerika Selatan ini.
Malangnya setelah segala-galanya
hampir menjadi kenyataan, Ganezuela memungkiri janjinya! Segala jerih perih
kami diketepikan begitu sahaja. Sebaliknya Ganezuela membuka tawaran kepada
syarikat-syarikat lain hingga Petromal mendapat hak komprehensif!
Di manakah janji kerajaan Ganezuela
kepada kami... bahawa segala usaha sama kita selama ini akan berterusan hingga
minyak yang digali dapat diproses dan dijual lalu keuntungannya dibahagi sama
rata? Apakah Ganezuela tidak mempunyai etika untuk menghormati kami sebagai
pengusaha asal? Mengapa kerajaan awak mengadakan rundingan dengan Petromal dan
menamatkan kontrak carigali dengan kami? Adilkah?”
“Adil!” jawab Quando, ringkas. “Kita
hanya tandatangani perjanjian penerokaan untuk tujuan eksplorasi sahaja, Mr.
Abram. Tidak ada perjanjian carigali, tidak ada perjanjian memproses, tidak ada
perjanjian mengeksport. Dan tentu sekali tidak ada apa-apa perjanjian bertulis
agar keuntungannya dibahagi sama rata!”
Jawapan itu membuatkan mata Abram
terbelalak. Marahnya kian membuak-buak. Mahu sahaja muka Quando yang separuh
botak itu diluku sekuat hatinya. Mulutnya ternganga-nganga ingin menyatakan
sesuatu. Namun, tiada satu perkataan pun yang terhambur.
“Tapi bukankah kita sudah sama-sama mengadakan perbincangan demi
perbincangan mengenai eksplorasi, memproses dan mengeksportnya?” soal Abram.
“Kita hanya ada perjanjian eksplorasi. Tidak lebih dan tidak kurang
daripada itu.” Quando mengembalikan hujah kepada pokok persoalan. “Yang
lain-lain hanyalah perbincangan.”
“Tidak adil! Tidak adil bila
Ganezuela membawa kami berbincang tetapi kemudian membuka tender carigali,
memproses dan mengeksportnya kepada semua pihak! It doesn’t make sense!”
“We are always sensible,
Mr. William... Extron juga menyertai tender terbuka ini. Tetapi akhirnya kabinet
Ganezuela mendapati syarikat Malaysia, Petromal menawarkan pakej komprehensif
kepada kami. Petromal bukan sahaja menawarkan kos carigali percuma.
Malah mereka menjanjikan perkongsian keuntungan yang berpatutan, membantu
membangunkan industri minyak Ganezuela serta memindahkan teknologi petroliam
kepada rakyat Ganezuela. Perkongsian menang-menang inilah yang membuat Petromal
menjadi syarikat carigali minyak favourite
bagi Ganezuela, sedangkan Extron dan lain-lain syarikat minyak hanya mahu
berkongsi hasil pengeluaran semata-mata.
Kalau awak dalam kedudukan kami, saya percaya awak juga akan memilih
Petromal!”
Abram tertunduk. Matanya terkelip-kelip memandang lantai. Liurnya
ditelan. Seketika kemudian dia memandang Quando. Lantas dia menghampiri dan
duduk. Membuatkan Quando juga turut duduk di kerusinya.
“Saya tahu perjanjian belum lagi ditandatangani...” bisik Abram lantas
tersenyum-senyum. “Apa kata kalau Extron tawarkan apa yang Petromal janjikan?
Extron akan bangunkan industri minyak Ganezuela, lakukan pemindahan teknologi
petroliam dan kami sanggup lupuskan semua kos eksplorasi yang lebih US 500 juta
itu.
Maknanya, Ganezuela tidak berhutang apa-apa dengan Ekstron sebelum
perjanjian carigali ditandatangani. Setuju?”
“Setuju!” jawab Quando.
“Wow!” Abram tergelak-gelak bila mendengar respon Menteri Petroliam
Ganezuela itu. Hatinya melonjak riang.
“Saya setuju kalau perkara ini dinyatakan sebelum kami membuka tender
tempohari...” jawab Quando dengan senyuman perli. “Bukankah itu yang kami pinta
sebelum ini kepada Extron? Tapi kamu tidak melayaninya. Kini segala-galanya
sudah terlewat!”
Abram menumbuk meja! Berdentum bunyinya. Dengan wajahnya yang masih
memerah, dia bangkit berdiri.
“Petromal! I hate that group!”
jerit Abram. “Saya akan lakukan apa yang saya boleh untuk gagalkan perjanjian
di antara Ganezuela dan Petromal! You just
be careful!”
‘Klik’
Pintu sisi di bilik Quando terkuak. Datuk Rauzah kelihatan berdiri
berpeluk tubuh! Mata Abram terbelalak. Dia tidak menyangka Ketua Pegawai
Operasi Petromal itu ada di bilik sebelah. Pasti wanita itu mendengar apa yang
terlontar di antara dia dengan Quando.
“Err... Datuk Rauzah...” sapa Quando. Sebenarnya dia juga turut terkejut
bila wanita itu membuka pintu. Sebentar tadi ketika mendapat tahu akan
kedatangan Abram, dia menangguhkan perbincangan dengan wanita itu lalu
memintanya menanti sahaja di bilik sebelah.
“Tak mengapa, Mr. Quando...” kata Datuk Rauzah.
“Err... Datuk Rauzah... Kami hanya berbincang mengenai industri minyak,”
tiba-tiba Abram bersuara. “Tahniah kerana Petromal terpilih dan akan
menandatangani perjanjian dengan Ganezuela. Extron turut berbesar hati kerana
kita bakal melihat Ganezuela maju sebagai negara pengeluar minyak. Saya ke mari
untuk mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Mr. Quando.”
“Oh, ya ke?” jawab Datuk Rauzah dengan senyuman paling manis. “Saya tidak
sedar awak datang ke mari. Saya ke bilik ini tadi kerana menjawab panggilan
peribadi.”
Kata-kata Datuk Rauzah itu membuat Quando tertawa berdekah-dekah di dalam
hati. Wanita itu pandai sekali menjaga air muka Abram yang kelihatan
menggelabah bila tembelangnya pecah!
....................
‘KRINGGGGGGGG...’
Deringan
telefon menyedarkan Abram dari lamunannya. Matanya menekur ke skrin kecil di
telefon mejanya. Nombor itu amat dikenalinya. Dengan segera Abram mengangkat
gagangnya.
“Ya, tuan...”
“Saya tahu awak dah tahu mengenai
serangan lanun ke atas kapal Petromal tu...” Kedengaran satu suara parau di
hujung talian.
“Ya, tuan...”
“Sekarang, aku hendak kau lakukan
sesuatu. Jangan cakap apa-apa. Kau dengar aje arahan ini...”
Dengan mata terkelip-kelip Abram
mendengar dengan teliti apa yang disampaikan oleh si pemanggil. Sesekali dia
terangguk-angguk tanda faham apa yang diingini oleh si pemanggil. Seketika
kemudian Abram meletakkan gagang telefon.
Buat beberapa ketika tapak tangannya
menangkup mukanya. Setelah mengusap wajahnya, Abram mematah-matahkan
jejarinya sambil menghela nafasnya dalam-dalam. Pandangannya teralih ke luar
tingkap Dia memerhati pemandangan bandaraya Houston buat sekian kalinya. Namun
fikirannya masih berputar dan mencari jalan untuk melaksanakan arahan yang baru
diterimanya dari seseorang yang jauh lebih berkuasa dari dirinya.
Perlahan-lahan bibirnya meleretkan senyuman. Lantas, dia menekan butang
intercom.
“Theo!” Abram memanggil
Setiausaha Peribadinya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment