Photo credit: mforum3.cari.com.my
KLIA, Sepang
SAMBIL
menunggu bagasi dan dua tong air zam-zam untuk dibawa pulang, Fariz menoleh dan
merenung Nek Tijah yang duduk agak jauh di satu sudut. Neneknya itu kelihatan
merenungnya dari jauh. Sambil itu, mulutnya tidak henti-henti terkumat-kamit
melafazkan zikir.
Sejak mula bertugas di BISIK, Fariz jarang sekali dapat
pulang ke kampung di Rhu Teduh untuk menemui neneknya. Kalau pun sempat, dia
hanya pulang selama dua hari. Petang ini sampai, esok sudah hendak pulang ke
Kuala Lumpur.
Fariz tahu hati nenek yang memandangnya itu sayu kerana dia sudah
tidak dapat berbual panjang seperti ketika di zaman persekolahan dahulu. Namun
kerana tugas, Fariz terpaksa mengeraskan hatinya sekadar bertemu sekejap dengan
wanita itu. Sebab itulah, pada kesempatan bercuti panjang selepas bertugas, dia
bawa Nek Tijah menunaikan umrah.
Sebaik sahaja memperoleh bagasi, Fariz segera menolak troli menghampiri
neneknya. Dia tidak mahu Nek Tijah
menantinya lama-lama. Wanita itu memandangnya dengan penuh kasih. Sayangnya dia
dengan satu-satunya cucunya ini. Fariz cepat-cepat memaut lengan neneknya
membantu wanita itu berdiri dan memimpinnya seketika sebelum wanita itu turut
melangkah menuju ke luar ruang ketibaan.
“Farizzz…”
Dari jauh lagi Fariz sudah terdengar jeritan namanya. Dia
nampak Faryna terlambai-lambai di sebalik hadangan jalan ke luar. Fariz turut mengangkat
tangannya sebagai isyarat yang dia juga nampak Faryna. Dia mengeluh dalam. Rasa rindunya kepada gadis
itu tiba-tiba mendatang.
“Nenek sihat?” tanya Faryza sebaik
sahaja memeluk erat Nek Tijah.
Wanita itu tersenyum lalu mencium dahi gadis bakal tunangan
Fariz ini. Ibunya Puan Sri Salwa yang berdiri berhampiran turut bersalaman
dengan Nek Tijah. Fariz pula berbual-bual bertanya khabar dengan Tan Sri Daud. Ada
kelibat seseorang berdiri berhampiran di sisi tiang yang membuatkan Fariz
tertoleh.
Wanita itu mengangkat tangannya seketika lalu tersenyum
manis. Fariz membalas senyuman itu. Senyuman yang tidak ikhlas! Wajahnya lantas
dialihkan ke arah neneknya yang kini
sedang rancak berbual dengan Puan Sri Salwa. Dia menghela nafas yang panjang
dan dalam apabila memandang wajah neneknya dengan penuh kasih. Belum pun habis
rindu ditumpah, dia datang untuk memisahkan. Wanita yang berdiri itu hanya mampu
tersenyum melihat reaksi Fariz. Dia tahu Fariz terkilan akan kehadirannya.
“Kak Mala… apa khabar?” sapa Faryna.
“Baik, dik. Fariz sihat?” tanya Normala seraya melangkah
menghampiri.
Fariz hanya mengangguk. Dia tahu soalan Normala kerana hanya
berbasa-basi dengannya. Semata-mata untuk mengambil hati agar dia tidak
terkilan dengan apa yang telah diputuskan BISIK. Apa nak buat. Tatkala di
Jeddah lagi Normala telah menghubunginya…
………………………………….
Imbas
kembali:
Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah
Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah
HATI
Fariz terlonjak riang bila menerima panggilan dari Normala. Sudah lama benar
rasanya dia tidak berhubung dengan wanita yang menjadi rakan setugas dan juga
mentornya. Bila foto profil Normala terpapar di skrin fonselnya, Fariz terus melangkah
berjauhan dari orang ramai supaya dia dapat berbual dengan wanita itu dalam
suasana privasi.
“Kak Mala, apa khabar?”
“Eh, dia pulak yang tanya. Akak okey aje. Engkau tu sihat?”
“Saya sihat. Hari ketiga kat Mekah, saya mula batuk-batuk.
Nenek suruh saya banyak-banyak makan kurma dengan air zam-zam. Lepas dua hari
saya buat macam tu, saya tak batuk lagi.”
“Apa rancangan Fariz bila balik esok?”
“Saya nak balik kampung dulu lah, kak. Nak buat kenduri
sikit. Lepas tu saya nak jumpa kawan-kawan sekolah. Dah lama saya tak balik ke Terengganu.
Rasa-rasanya saya nak ambik cuti seminggu.”
“Bagus tu Fariz… tapi kalau Fariz tangguhkan dulu cuti tu,
macam mana?”
Pertanyaan itu menyentap sedikit perasaan Fariz. Setelah
mengenali Normala lebih dua tahun, Fariz tahu ada sesuatu yang cuba disampaikan
oleh wanita itu. Daripada nada suara Normala, Fariz dapat mengagak wanita itu
ingin berdiplomasi sebelum menyampaikan sesuatu.
“Ada OPS ke, kak
Mala?” soalan itu terpacul dari bibirnya.
“Hmm…” jawab Normala perlahan setelah beberapa saat
mendiamkan diri.
Fariz mengeluh. Dia memantaukan pandangannya ke seluruh
kawasan menanti di lapangan terbang ini. Matanya berlegar-legar memandang
bumbung, penunjuk arah dan para penumpang yang berada di sekelilingnya. Pandangannya
entah ke mana-mana.
Fariz bangkit dan memandang ke cermin kaca yang menembusi
ruang di lapangan terbang ini. Memandang sebuah kapal terbang yang menunggu
masa untuk berlepas. Bunyi deruman enjinnya mengaum panjang dan kapal terbang
itu mula bergerak. Semakin lama semakin laju dan akhirnya ia terbang membelah
awan. Fariz berasa seolah-olah dirinya sudah ada di dalam kapal terbang itu
menuju ke Rhu Teduh, Marang, Terengganu, Malaysia.
“Fariz…” kedengaran suara Normala setelah Fariz menyepikan
diri.
“Ya, kak Mala. OPS
apa pulak kali ni?”
“OPS
Lancang Kuning. Fariz dah terlibat pun bila terima arahan mencari Saleem Amare
di Madinah semalam.”
Mulut Fariz membulat seperti ‘O’ bila teringat pada tugas
yang dilaksanakan di Dataran Masjid Nabawi. Rupa lelaki Somalia yang berambut
putih dan separuh usia tertayang di layar mindanya semula.
“Apa tugasan awal?” tanya Fariz.
“Kena pergi ke Somalia.”
“Bila?”
“3.00 petang nanti.”
“Petang ni?”
“Petang ini!”
“Flight
saya ni sampai jam 2.00 petang. Proses turun kapal terbang… check-out… tunggu bagasi… ambil masa. Eh,
mana sempat saya buat semua tu dalam masa sejam?”
“Bukan ke sejam itu 60 minit masanya? Fariz pegi umrah,
bukan pegi haji. Akak tau, proses ketibaan tu tak lama. Jangan risau… BISIK dah
siapkan semua dokumen perjalanan, penginapan dan perbelanjaan Fariz.” Normala
memberi taklimat ringkas untuk meredakan kebimbangan Fariz.
“Hmm, okeylah... tapi…”
“Tapi apa, Fariz?”
“Tak apa-apalah, kak.”
Sebaik sahaja mematikan telefon, Fariz duduk melengung.
Hatinya tertanya-tanya bagaimanakah dia hendak sampaikan berita itu kepada Nek
Tijah yang amat dikasihi.
……………………………..
“PARIS…”
“PARIS…”
Fariz menoleh. Memandang Nek Tijah
yang sudah duduk. Tanpa berkata, Fariz duduk di sisi neneknya. Diperhati wajah
tua itu dengan penuh kasih. Sungguh. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan
neneknya.
“Somalia tu jauh ke?” tanya Nek
Tijah.
“Jauh jugak.” Walau pun tersentap,
dia jawab juga soalan neneknya. Dari mana dia tahu mengenai pemergiannya? “Jauh
daripada Mekah, nek. Tapi, mana nenek tau saya nak ke sana?”
“Ryna yang bagitau, bang…” sampuk
Faryna yang duduk di sebelah nenek.
Orang tua itu mengangguk mengiyakan.
Tangannya meraba wajah Fariz. Dia merelakan tanpa berasa segan dengan beberapa
orang penumpang lain yang memerhati. Biarlah. Apa nak dimalukan membiarkan
nenek menunjukkan kasih?
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment