Photo credit: awdalnation.com
Majlis Pertahanan
Negara, JPM, Putrajaya
AHLI-AHLI
Majlis Pertahanan Negara kini sudah makan tengahari di bilik rehat. Mereka masih
lagi berkampung di kompleks Majlis Pertahanan Negara untuk menangani krisis
rampasan kapal Lancang Kuning kepunyaan Petromal Malaysia di lautan Somalia.
Ada di antara ahli-ahli majlis duduk tersandar
sambil bersembang. Ada di antara mereka sedang menyuap betik sebagai pembasuh
mulut. Tidak kurang juga yang sedang menghubungi pejabat masing-masing dengan
fonsel atau 1Pad masing-masing.
‘Assalamualaikum. Minta perhatian. Minta perhatian,’
kedengaran pengumuman dari alat siaraya.
‘Tan Sri KSN meminta tuan-tuan ke Bilik Gerakan.
Saya ulangi… Tan Sri KSN meminta tuan-tuan ke Bilik Gerakan sekarang! Ada
berita tergempar! Ada berita tergempar!’
Masing-masing bercakap sesama sendiri sebelum
bergegas memasuki dewan. Di kerusi hadapan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Ramlee Awang Murshid sudah menanti. Sambil menuju ke tempat duduk
masing-masing, pandangan mereka semua tertumpu ke arah skrin yang perlahan-lahan
bergerak turun dari celah siling. Semakin lampu disuramkan, degupan jantung di
dada masing-masing semakin melaju. Tertanya-tanya kerana tidak tahu apakah yang
bakal ditayangkan sebentar lagi.
“Assalamualaikum,” ucap Tan Sri KSN.
‘Ini maklumat terkini. Secara langsung. Akhirnya pihak lanun beritahu kita
mereka hendak katakan sesuatu. Mari kita tengok sama-sama…”
Imej dari atas dek Lancang Kuning kini terpancar di
skrin. Kelihatan dua orang lanun berwajah bengis sedang berdiri berpeluk tubuh
di kiri dan kanan sebuah kerusi yang kosong. Imej kamera beralih ke sisi untuk
merakam imej seorang lelaki yang melangkah dengan wajah angkuh lalu duduk di
kerusi itu.
“Wah. Dia nak buat video conference macam al-Qaeda pulak!”
komen Setiausaha Keselamatan Kementerian Luar Negeri.
“Lanun sekarang dah canggih,” celah Setiausaha
Keselamatan Kementerian Kewangan pula.
“Nampaknya mereka tiru teknik perang
psikologi al-Qaeda,” sampuk Tan Sri KSN. “Mungkin ada pihak yang ajar mereka
guna teknik yang macam tu.”
Masing-masing mengangguk mengiyakan pandangan Tan
Sri Ramlee Awang Murshid itu. Bad Holac
bukan calang-calang kumpulan lanun. Gerakan mereka nampaknya tersusun. Mereka
merompak dengan taktik yang kemas. Mereka gempar dan kemudiannya gempur sebelum
menawan.
Pandangan mereka terus tertumpu ke skrin melihat
Wehliye Amare duduk tersandar ke kerusi dengan wajah seriusnya.
“Salam sejahtera kepada dunia,” seru Ketua Lanun itu
dengan wajah yang bengis. Bibirnya tercebir dan matanya dibeliakkan apabila
kamera memfokus shot close-up
wajahnya. Kemudian, kamera mengundur dan memaparkan Wehliye bersama dua orang
pengawalnya. Beberapa orang pengawal yang lain turut berdiri sebaris di
belakangnya.
Benar seperti andaian awal Tan Sri KSN. Jelas
sekali, kumpulan Bad Holac adalah
lanun canggih yang menggunakan teknologi untuk menarik perhatian. Mereka
menggunakan medium elektronik untuk mempermain emosi penontonnya.
“Salam sejahtera kepada semua pengamal media yang
sedang melihat sidang akhbar ini dari seluruh pelosok dunia. Saya berada di
atas kapal Lancang Kuning kepunyaan Syarikat Petromal dari Malaysia.
Sudah 48 jam saya tawan kapal yang bawa minyak
bernilai US50 juta ini. Saya tahu dunia ingin tahu berapa banyak yang saya
mahu. Berapa banyak yang saya mahu? Sebenarnya saya pun tak tahu… he, he!”
“Ceh! Apa ni? Dia nak permainkan kita!” kata Datuk
Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM. “Cepatlah bagi tahu! Jangan
menyusahkan orang!”
Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara terpaku memandang
skrin. Wajahnya yang serius pada mulanya boleh berubah riang. Tidak percaya
Wehliye Amare melengah-lengahkan pula permintaan wang tebusan. Biasanya lanun
Somalia akan segera meminta sejumlah wang dengan segera kerana tahu, proses
menyediakannya juga memakan masa.
“Pihak Petromal jangan bimbang,” ujar Wehliye dengan
wajah yang besahaja. “Saya akan beritahu berapakah jumlah yang saya mahu pada
hari esok. Jangan risau. Jumlahnya tak sebanyak yang anda sangkakan.
Anda semua boleh siarkan kenyataan saya ini. Saya
nak tengok muka saya terpapar di seluruh dunia. Sekian!”
Dengan kata-kata itu, siaran media itu ditamatkan
dan skrin pun terpadam. Meninggalkan Ahli-ahli Majlis Pertahanan Negara dalam
keadaan yang terpinga-pinga kerana belum memperoleh klu untuk bertindak.
“Nampaknya, kita berdepan dengan sekumpulan lanun
yang bukan sembarangan.” Begitulah reaksi Tan Sri KSN.
“Sepatutnya, kitalah yang cuba lengah-lengahkan
masa. Tapi mereka pulak yang cuba bermain tarik tali. Apa hal?” kata Datuk
Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas.
“Mereka releks aje. Macam menunggu sesuatu. Soalnya,
apa yang mereka tunggu? Siapa yang mereka nantikan? Mereka nak bermain
teka-teki dengan kita!” kata Datuk Amsyairi Ismail
“Mana Tuan Aziz? Mungkin dia boleh bagi input. Pagi
tadi, dia ada. Tapi, bila makan tadi, dia dah tak ada. Dia ke mana? ” ujar
Datuk Badruldin seraya memandang ke sekeliling.
“Dia ada urusan.” Ringkas sahaja jawapan Tan Sri
KSN.
Masing-masing malas bertanya lanjut. Fikiran mereka
masih tertumpu pada percaturan yang ditimbulkan Wehliye.
Kapal Lancang Kuning, Lautan Somalia
WEHLIYE mengangkat punggungnya lalu meninggalkan kawasan dek kapal yang dijadikan set sidang media. Wayar yang berselirat di lantai dikuis sahaja dengan kakinya ketika melangkah. Membiarkan jurukamera tertunduk-tunduk mengemas kawasan itu. Beberapa orang pengawalnya bergegas mengekori.
Seketika melangkah, dia berhenti. Kemudian menoleh
ke pintu kamar Datuk Rauzah. Daun pintu dihampiri. Tanpa mengetuk, dia menguak pintu
itu. Datuk Rauzah tampak terkejut dengan kehadiran yang tidak diundang itu.
Lantas dia berdiri. Wajahnya masam mencuka. Mempamerkan rasa benci terhadap lelaki
itu. Tidak rela Lancang Kuning ditawan lebih lama.
“Helo, puan okey ke?” sapa Wehliye.
“Kenapa awak tak sebut berapa yang awak mahu?”
tengking Datuk Rauzah. Sidang media Wehliye telah ditonton dari komputernya.
“Relakslah puan. Saya belum dapat ilham berapa saya
nak mintak dari syarikat puan. Tunggulah esok,” jawab Wehliye seraya
tersengih-sengih.
“Kenapa lambat sangat? Sebutkan berapa yang awak
mahu. Kami akan bayar. Kami berniaga. Tiap saat penting buat kami. Awak jangan
buang masa kami!”
Wehliye tertawa tanpa suara. Para pengawalnya turut
tergelak-gelak. Membuatkan Datuk Rauzah semakin meluat.
“Okey, kalau kau tak ada apa-apa nak cakap… keluar
sahaja dari bilik aku ni! Keluar!” pekik Datuk Rauzah seraya menuding jari ke
arah pintu.
Wehliye tertawa besar mendengar arahan Datuk Rauzah
itu. Sesuatu telah menarik perhatian Wehliye bila dia menghampiri ke meja tulis
Datuk Rauzah. Di sisi komputer itu terdapat sebuah bingkai foto dirinya bersama
suami, Datuk Fazli dan anaknya Azlena.
Menyedari apa yang dipandang Wehliye, wajah Datuk
Rauzah terus berubah. Dia dapat mengagak niat jahat Wehliye. Benar. Wehliye
mencapai bingkai foto itu. Darah Datuk Rauzah menyirap bila Wehliye menyentuh
barangan peribadinya.
“Letak balik foto tu…” Suara Datuk Rauzah sedikit
bergetar. Meskipun apa yang disentuh Wehliye hanya sekeping bingkai foto dia
dan keluarganya, wanita itu beremosi seolah-olah Wehliye sudah mengganggu privasinya.
“Letak balik!” pekik Datuk Rauzah seraya merampas
bingkai foto itu dari tangan Wehliye.
Wehliye hanya membiarkan Datuk Rauzah meletakkan
foto itu ke dalam laci. Dia berdiri membatu di situ. Seketika kemudian dia
menoleh dan tersenyum.
“Jangan risau, puan. Kalau saya lambat mintak wang
tebusan, saya juga harus menjaga kapal ini. Masa saya pun terikat di sini. Kerana
itu, puan akan selamat di bawah jagaan saya. Kami hanya mahu duit. Kami tak
mahu bunuh orang. Berdosa!”
Dengan kata-kata itu, dia melangkah keluar dari
kamar itu diikuti dengan para pengawalnya. Jabril atau Jefri Zain turut
mengekori Wehliye. Datuk Rauzah tidak sedar akan kehadiran Jeffri Zain, orang amat
dikenalinya itu.
WEHLIYE
baharu sahaja menaiki helikopter menuju ke daratan bila dia menerima panggilan.
Wajahnya berubah murung sebaik sahaja terpandang nombor yang tertera di skrin
fonselnya. Ada raut kebimbangan terlukis di rautnya. Mengapa? Mengapa ketua
lanun yang paling ganas di perairan Somalia ini berubah watak? Mengapa dia
bertukar jadi orang yang gusar pula?
“Helo…” ucapnya perlahan.
“Bagus. Aku tahu kau bijak bila
ambil keputusan untuk ikut arahan aku!”
“Aku dah ikut arahan kau. Sekarang
lepaskan isteri dan anak aku!” kata Wehliye.
“Aku akan lepaskan bila
segala-galanya beres!”
“Bila boleh selesai? Kalau kau mahu,
hari ini juga aku boleh selesaikan. Cakap aje apa lagi yang kau mahu. Aku boleh
bunuh semua anak kapal Lancang Kuning. Aku boleh bawa wanita itu kepada kau.
Aku boleh sahaja bakar kapal minyak itu. Tapi kau kena lepaskan keluarga aku!”
Bertubi-tubi Wehliye bertutur sambil
menyelitkan perasaan bimbang ke atas keselamatan anak dan isterinya, Asiya. Dia
mahu mereka dibebaskan walaupun dia tahu tidak semudah itu mereka akan
dilepaskan.
“Kau kena tunggu…”
“Sampai bila?” desak Wehliye.
“Kau biasa menculik dan minta pampasan… kau pun
biasa mempermainkan mangsa dengan masa supaya semua pihak akur dengan
permintaan kau. Sekarang, bila kau pula yang jadi mangsa, ikut aje perintah aku
dengan patuh!”
“Arghhhh…”
pekik Wehliye seraya membaling fonselnya ke dinding helikopter.
Seorang petugasnya sempat mengelak daripada terkena balingan
itu. Sempat dia melihat fonsel itu berkecai. Wehliye sudah tidak peduli lagi.
Dia melangkah ke pintu helikopter dan terus duduk berjuntai kaki. Pandangannya
menerawang jauh ke lautan luas dan juga jauh ke dalam memorinya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment