Photo credit: traveladventures.org
Banda Merca, Somalia
KAWASAN
perniagaan di selatan bandar Merca begitu sibuk. Asap dan debu berterbangan di mana-mana. Fariz terpaksa
menutup mulutnya dengan skaf. Namun, sebahagian besar daripada mereka kelihatan
selamba dan bersahaja menjalankan urusan seharian sambil menghirup udara yang
kotor ini.
Fariz bersandar di tiang kaki lima. Memerhati
jalanraya yang berdebu. Melihat kereta-kereta buruk melintasi hadapannya.
Mereka yang lalu lalang di sekitarnya tidak nampak sibuk seperti mereka di
mana-mana bandar lain di Asia. Masing-masing seperti bersantai sahaja ke sana
ke mari.
Cuaca yang amat panas ini ditambah dengan pakaian
warna-warni penduduk tempatan. Warna-warna yang garang, merah, kuning, oren dan
hijau memenatkan mata Fariz. Kalaulah dia boleh berkacamata hitam, memang dia
hendak menyarungnya.
Tetapi dia diarahkan untuk tidak memakai kacamata
hitam. Arahan? Ya, arahan BISIK agar dia mudah dikenali bila tidak berkacamata.
Arahannya pelik. Tetapi Fariz mengikut sahaja tanpa soal kerana banyak lagi
persoalan seperti mengenai Lancang Kuning, Datuk Rauzah, Bad Holac, Wehliye Amare dan Saleem Amare yang belum terjawab.
Persoalan-persoalan itu sudah begitu besar dan
banyak. Soal diarah tidak berkacamata hitam hanya perkara kecil. Mujur juga Fariz
baru sahaja menunaikan umrah di Makkah dan Madinah. Jadi, matanya boleh tahan
dengan sinar matahari panas terik begini.
Fariz terfikir, bukankah mudah sahaja kalau dia
berkomunikasi dengan orang yang hendak ditemuinya dengan fonsel? Mengapa mesti
ikut acara lama bertemu kontak dengan mempamerkan pakaian yang dikehendaki sebagai
klu kepada kontak?
Fariz menekur memandang pakaiannya pula. Dia terpaksa
mengenakan baju kemeja lengan panjang. Memang memanaskan. Tetapi terasa lebih
panas lagi kerana baju ini berwarna merah, berseluar hijau dengan skaf berwarna kuning! Menyarung pakaian
yang berwarna-warni ini juga arahan! Seingatnya dalam bertugas dan menyamar,
inilah penyamaran yang paling kelakar baginya.
Kalau dia berpakaian begini di Malaysia, memang sah
dia akan ditertawakan. Mujurlah dia memperaga begini di Somalia. Warna garang
dan ceria sepertinya kini berada di mana-mana di sekelilingnya. Fariz tertawa
sendirian bila dia menoleh ke cermin kedai gunting yang membalik imejnya yang
berfesyen seperti orang Afrika.
Puas memerhati ke kawasan sekeliling, dia teringat
sesuatu. Lalu dia menyeluk poket seluarnya. Fonselnya dikeluarkan. Ikon ‘kamera’
di fonselnya disediakan. Perlahan-lahan
dia menghalakan lensa kamera ke wajahnya. Fariz memandang kedai gunting rambut
di belakangnya.
‘Cantik jugak untuk latar buat kenang-kenangan…’
katanya di dalam hati.
Fariz menelengkan wajahnya untuk berposing di depan
kamera fonselnya. Tangannya didepakan. Dia membetul-betulkan senyumnya sebelum
suis dipetik. Tiba-tiba…
“Woi!” jerit Fariz.
Fariz sempat melihat tapak tangannya. Fonselnya
sudah tiada di situ! Dia terpempan seketika. Bila menoleh, Fariz terpandang
seorang budak berseluar pendek dan tidak berbaju sudah berlari menjauhinya. Budak
yang berusia sekitar sepuluh tahun itu menggenggam fonselnya.
“Woi!”
Kanak-kanak itu terus berlari melintasi jalan raya.
Fariz mengejar. Tidak menyedari sebuah motorsikal yang dinaiki oleh empat orang
lelaki tiba-tiba membrek di hadapannya. Akibat membrek dengan mengejut,
motorsikal itu tumbang. Keempat-empat lelaki itu jatuh bergelimpangan.
“Adiga dogon!”
jerit salah seorang lelaki yang bangun dan menunjuk-nunjuk ke arahnya. Jelas
sekali dia begitu marah dalam bahasa Somali.
‘Alamak! Dia kata aku bodoh!’ kata Fariz yang baharu belajar sepatah dua bahasa Somali dalam kapalterbang
sebentar tadi.
“Sorry! Masaamax! Masaamax!”
ujar Fariz sambil mengangkat tangannya memohon maaf dalam bahasa Somali juga.
Kemudian dia menoleh dan berlari mengejar budak yang sudahpun di seberang
jalan.
Tidak peduli dengan orang ramai yang tertoleh-toleh
memandangnya. Tidak peduli juga dengan bunyi hon kenderaan yang menjerit bila
pemandunya terkejut dengan kehadiran Fariz secara tiba-tiba di jalanraya, Fariz
terus mengejar.
Budak itu kini membelok memasuki lorong yang sempit
lagi hapak. Sambil berlari, Fariz sempat menjeling ke kanan dan kirinya. Dia
nampak pintu-pintu berdebu yang bertutup menandakan dia sedang merentasi
bahagian belakang kawasan rumah kedai. Fariz menyasarkan pandangannya ke
hadapan. Penghujungnya tidak kelihatan.
‘Woi, budak! Jalan mati! Mana engkau nak lari?’ kata
hati Fariz.
Benar jangkaannya. Budak itu terhenti berlari dan
berpaling ke arahnya. Dia terkinja-kinja sambil menanti kedatangan Fariz. Mula
tersengih-sengih menayangkan sebaris gigi yang putih semakin Fariz menghampirinya.
Lalu dia menjulurkan kedua-dua tapak tangannya. Kosong. Tiada apa-apa.
“Maxay fal ku
rab?” soal budak itu sambil melenggang
lenggok kepalanya.
“Aku nak kamera akulah,” Fariz menjawab pertanyaan
budak itu dalam bahasa Melayu meskipun dia tahu budak itu tidak faham dengan
bahasanya. “Mana dia?”
Budak itu mengangkat bahunya seraya tersengih lagi. Hati
Fariz mula membengkak. Mahu sahaja dia melempang kanak-kanak ini andainya dia
tidak memulangkan fonselnya. Sebaik sahaja Fariz mahu menyentap lengan kanak-kanak
itu, budak itu menunjuk ke pintu yang paling hampir dengan Fariz.
“Kubisha kwamba
mlango,” katanya.
‘Ketuk? Ketuk pintu?’ tanya Fariz dalam hati. ‘Apasal?’
“Kubisha kwamba
mlango,” ulang kanak-kanak itu seraya mengangguk-angguk.
Fariz melangkah dan mengetuk pintu itu. Beberapa
kali mengetuk, namun tiada jawapan. Dia memulas tombolnya. Dan pintu itu
terbuka. Ruang di dalamnya gelap, tidak bertingkap. Tetapi di dalamnya, ada
sebuah pintu bilik yang sedikit terbuka. Membiaskan sedikit cahaya terang dari celah
daunnya.
“Masuklah, Fariz.”
Kedengaran satu suara lelaki.
‘Eh, siapa pulak yang panggil aku? Biar betul…’ tanya
hatinya sedikit keliru.
Fariz mahu melangkah masuk. Tetapi kemudian dia
teringatkan fonselnya. Lantas dia menoleh. Namun kanak-kanak itu sudah menghilang!
‘Mana budak tu? Mana fonsel aku?’ Fariz menyumpah di
dalam hati sambil tertoleh kanan dan kiri mencari kelibat kanak-kanak itu.
“Oi, kau buat apa kat luar tu, Fariz?” panggil suara
itu lagi.
Bersambung Ahad hadapan, in sya Allah...
No comments:
Post a Comment