Photo credit: syafiqakram.fotopages.com
MESKIPUN terpinga-pinga, bila
Sudirman melihat wajah cemas Fariz, dia segera turun daripada lorinya. Belum
sempat dia bertanya, Fariz melompat dan memulakan pemanduan. Meninggalkan
Sudirman yang berdiri kaku sambil menggaru kepala kerana bingung.
Pandangan Fariz
menyorot jauh. Mencari lelaki berjubah berbelang yang mula tenggelam timbul di
celah-celah orang ramai. Fariz melajukan
kenderaan bila kelibat lelaki itu kelihatan. Kawasan di hujung dataran agak
lengang. Memudahkan Fariz melajukan lorinya. Seketika sahaja dia sudah
menghampiri lelaki yang kini hanya melangkah pantas. Fariz tahu lelaki itu
mengagak dia sudah tidak dikejar lagi.
‘Wei, kau nak pegi
mana tu? Jangan lari!’ kata hati Fariz.
Dia memberhentikan
lori kira-kira lima meter dari lelaki itu. Ingin mengejar dan menangkap lelaki
itu. Namun, sebaik sahaja dia turun daripada lori, lelaki itu terasa dia
diekori. Lantas dia menoleh dan memecut kembali.
“Ceh!”
Fariz menghela
nafas. Dia naik kembali ke atas lori. Lori yang masih hidup enjinnya mula
bergerak. Berdecit tayarnya. Meninggalkan kesan hitam yang panjang di permukaan
dataran. Lelaki itu berlari semakin laju. Seolah-olah dia seorang pelari jarak
jauh yang tidak tahu penat. Kini, dia semakin hampir dengan pintu. Penjenayah
itu mesti dipintas. Kalau tidak, dia akan terlepas. Fariz mesti lakukan
sesuatu.
‘Aku langgar dia?’
Fariz bertanya dirinya.
‘Tak boleh. Nanti
kotor masjid dengan darah!’ jawabnya juga di dalam hati.
Dalam keadaan
begitu, Fariz tak sempat berfikir logik soal jawab yang terlintas di
fikirannya. Apa yang harus dia lakukan? Fariz tertoleh ke belakang. Terpandang
tong-tong penuh berisi air zam-zam yang kelihatan bergegar kerana gerakan laju
kenderaan. Satu lagi idea terlonjak di mindanya. Fariz menekan minyak.
Enjin lori
mengaum. Lelaki itu semakin dihampiri. Sebaik sahaja lori itu berada seiring
dengan lelaki itu di sebelah kanannya, Fariz cepat-cepat memutar stereng ke
arah kiri. Membuatkan lori itu turut terbelok ke kiri. Dia terus menarik selak
penghadang tong-tong menyebabkan dua biji tong air zam-zam seberat 20 liter
setiap satu jatuh ke atas dataran. Seperti yang dijangka Fariz, kedua-dua tong
itu bergolek laju lalu menghentam kaki dan seterusnya melenyek kaki lelaki yang
tersungkur itu.
“ALLAH…”
Itu sahaja jeritan
lelaki itu sebelum dia tergolek dan terlentang. Beberapa orang para jemaah yang
berada berhampiran menerpa untuk membantu lelaki itu. Dua orang daripada mereka
mengangkatnya. Fariz nampak mulutnya berdarah. Dia turun dari lori lalu
menghampiri.
“Artukuhu…” tegur Fariz dalam bahasa Arab meminta
mereka membiarkan sahaja lelaki itu.
Belum pun sempat
Fariz menyentuh lelaki itu, tangannya ditepis oleh seorang anggota polis.
“Yuzibu baiedan,” jerkahnya sambil menguis-nguis jejarinya
menyuruh Fariz pergi dari situ.
“Atlaq anar alaihi rajil,” jelas Fariz menyatakan lelaki itu telah
menembak seorang lelaki.
Mata anggota polis
itu terbeliak.
“Hala sahiyah?” Dia bertanya pinta kepastian.
“Hunaka…” kedengaran satu suara.
Fariz dan anggota
polis itu menoleh. Sudirman muncul.
“Hazal rujlu huasadi qaie,” kata Sudirman lagi sambil memaut bahu
Fariz.
“Naam?” Anggota polis itu mengangguk-angguk dan tersenyum pula. Nampaknya dia
kenal dengan Sudirman.
“SIAPA lelaki itu?” tanya Sudirman ketika mereka berdua melangkah menuju ke kenderaan.
“Perampok!” jawab
Fariz ringkas.
Dia tidak mahu
memanjangkan cerita.
“Perampok di Madinah?
Mana mungkin ada perampok di bumi ini kalau tidak dipotong tangannya? Tadi, Abang
Man nampak seseorang terjatuh di hujung sana sebelum lihat kamu mengejar perampok
itu,” ujar Sudirman.
“Apa yang berlaku
sebenarnya? Apakah lelaki itu mencederakan teman kamu lantas kamu mengejar
orang itu? Katakan sahaja. Kalau kepingin pertolongan, abang Man bisa
membantu.”
Kata-kata itu
membuatkan Fariz terkelip-kelip memandangnya. Fikirannya laju sekali berputar-putar
mencongak baik buruk dia menceritakan apa yang sebenarnya terjadi. Setelah
mempertimbangkan, Fariz berkata, “Orang yang saya cederakan itu telah tembak seorang
lelaki.”
Terbeliak mata
Sudirman mendengarnya, “Apa, benar kata-katamu?”
“Saya tidak
berbohong, bang. Dan lelaki yang tertembak itu adalah orang yang saya
cari-cari!”
“Kalau begitu…
mari!”
Sudirman tidak
bertanya lanjut mengapa Fariz mencari lelaki itu. Baginya, biarlah dia
bertindak dahulu. Yang penting baginya ialah ke tempat di mana Saleem Amare
tertembak. Dia akan bertanya lagi mengapa Fariz mencari lelaki itu bila tiba
masanya.
Enjin kenderaan
dihidupkan. Sebentar sahaja kenderaan itu tiba di tempat Saleem Amare
tertembak. Namun, tempat itu sudah seperti biasa. Tiada lagi orang ramai
berkerumun.
Kelihatan seorang
pekerja sedang mengelap lantai. Fariz segera menekur ke dalam baldi.
Tertanya-tanya andainya air yang mencuci lantai itu berwarna merah kerana
bercampur dengan kesan darah. Namun, oleh kerana suasana tidak terang, dia
tidak nampak warna air di dalam baldi itu.
“Waqatala syahkh ma huna. Hal ta’rafal
anhu?” Sudirman bertanya
kepada seorang anggota polis sama ada dia tahu siapakah yang tertembak di situ.
Dialah anggota polis yang sama di tempat lelaki jubah berbelang itu tersungkur.
“Naama. Qala li ahaduhum anihi Saleem Amare!” jawab anggota polis itu.
“Saleem Amare?”
tanya Sudirman kepada anggota polis itu. Pegawai itu mengangguk lagi. “Kata pak
polisi itu, lelaki yang tertembak itu Saleem Amare,” ujar Sudirman seraya
menoleh kepada Fariz.
“Ya, memang dialah
orangnya.” Fariz mengangguk perlahan.
“Mari!” kata
Sudirman seraya mengheret lengan Fariz.
“Ke mana?”
“Ah… ikut aje! Aku
tahu dia kini di mana…”
Sambil bergegas
mengekori Sudirman, Fariz teringatkan Nek Tijah. Bagaimana kalau neneknya itu
tercari-carinya? Namun, hatinya cepat memujuk.
‘Ah, tentu nenek
tau jalan balik,’ kata hatinya pula.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment