Photo credit: allvoices.com
Lautan India, Perairan Somalia
SEMUA mata tertumpu ke arahnya. Imej wajah-wajah yang serius itu terpapar secara langsung dari Bilik Gerakan, Majlis Pertahanan Negara. Meskipun skrin komputernya kecil, Datuk Rauzah tahu mereka kesemuanya bimbang. Bimbang akan keselamatan Lancang Kuning dan seluruh anak-anak kapalnya. Pasang-pasang mata yang membulat memandangnya juga menzahirkan kerisauan mereka kerana dia seorang perempuan.
SEMUA mata tertumpu ke arahnya. Imej wajah-wajah yang serius itu terpapar secara langsung dari Bilik Gerakan, Majlis Pertahanan Negara. Meskipun skrin komputernya kecil, Datuk Rauzah tahu mereka kesemuanya bimbang. Bimbang akan keselamatan Lancang Kuning dan seluruh anak-anak kapalnya. Pasang-pasang mata yang membulat memandangnya juga menzahirkan kerisauan mereka kerana dia seorang perempuan.
Bila memikirkan itu,
Datuk Rauzah hanya mampu tersenyum di dalam hatinya. Mereka kesemua bukannya
kenal akan dirinya secara dekat. Mereka hanya tahu dia sebagai seorang tokoh
korporat. Tetapi mereka tidak tahu satu-satunya anak perempuan bekas anggota
polis, Korporal Paiman ini lasak bagai anak lelaki.
Meskipun dia anak
bongsu, Datuk Rauzah biasa diheret ke sana ke mari oleh abang-abangnya yang
berlima terjun sungai, melastik burung, memanjat pokok jambu, malah mencuri
sayur di kebun Cina di hujung Kampung Sawah Dato, Mersing.
Ketika di alam
persekolahan, Datuk Rauzah adalah Ketua Pengawas, Ketua Patrol Pandu Puteri,
pelumba lari jarak jauh 10 ribu meter, pelontar lembing dan pemain bola tampar
yang mewakili daerah.
Hanya setelah membesar,
Datuk Rauzah belajar memakai baju kurung untuk ke kuliah, berkawan dengan lebih
ramai pelajar perempuan daripada pelajar lelaki dan mengenal erti kasih sayang
di antara lelaki dan wanita.
Seluruh keluarganya bagai tak percaya apabila pada suatu
hari, Datuk Rauzah menyuarakan hasratnya untuk berkahwin! Dia masih ingat akan
raut wajah terkejut ayahnya kerana tidak percaya dia akan menamatkan zaman
bujang. Dia terimbau wajah ibunya yang tersenyum bangga kerana akhirnya Rauzah
yang jantan ini sudah ingin menjadi wanita sebenar.
Layar memorinya mula
menayangkan wajah suaminya Datuk Fazli, dan Azlena, anak remajanya. Kedua-duanya
sudah tahu apa yang terjadi terhadapnya. Malah, mereka telah menghubunginya
melalui Skype sebentar tadi. Mereka bimbang akan keselamatannya. Datuk Rauzah
mengetap bibirnya. Perlahan-lahan dia menghela nafas yang panjang. Kemudian dia
menekur ke skrin dan merenung tajam ke wajah-wajah yang masih memerhatinya
dengan mata yang tidak berkelip-kelip.
Majlis Pertahanan Negara,
Putrajaya
DI DEWAN ini, seluruh mata tertumpu ke arah Datuk Rauzah yang berada di
dalam bilik eksekutif Lancang Kuning. Sebaik sahaja mendapat khabar mengenai
tawanan kapal minyak itu dan masalah TUDM menghalang tindakan lanun, sebuah
mesyuarat tergempar diadakan untuk mencari strategi menyelamatkan Lancang
Kuning dan anak-anak kapalnya.
Mereka berasa lega kerana dapat menghubungi Datuk Rauzah
melalui Skype, perisian video maya yang
kemudiannya dipancar ke skrin layar lebar
bilik mesyuarat ini. Kini mereka semua menatap wajah Ketua Pengarah
Operasi Petromal itu. Pelbagai persoalan bersimpang-siur di fikiran mereka.
Kesemua persoalan itu perlukan jawapan. Jawapan adalah maklumat untuk membuat
pelan tindakan.
“Ceritakan apa yang terjadi,” ujar Tan Sri Ramlee Awang
Murshid, Ketua Setiausaha Negara.
“Saya rasa tak perlu, Tan Sri!”
Jawapan itu mengundang rasa tidak selesa mereka. Ditambah
pula dengan bibirnya yang tercebir ketika menjawab soalan itu. Maklumlah Datuk
Rauzah bercakap begitu kepada KSN yang juga Timbalan Pengerusi Majlis
Pertahanan Negara. Mengapa dia tiada rasa hormat kepada pegawai tertinggi
kerajaan itu?
“Saya percaya TUDM dah kirim video lengkap mengenai
serangan lanun tu. Apa lagi yang perlu saya cakapkan?”
Tan Sri Ramlee tersenyum seraya tergeleng-geleng. Bukannya
dia tidak menonton video yang dikirim TLDM semalam. Cuma dia ingin mendengar
versi serangan lanun-lanun itu dari mulut Datuk Rauzah sendiri. Namun, dia
tidak marah kepada wanita itu kerana mengerti Datuk Rauzah kini dalam keadaan
tertekan.
“Lanun-lanun tu ada mintak apa-apa wang tebusan ke, Datuk?”
soal Tuan Aziz pula. Suaranya sengaja dilembutkan agar Datuk Rauzah terheret
untuk berbual dengannya.
“Tak ada apa-apa,” jawab Datuk Rauzah dengan suara yang
mengendur.
“Tak ada apa-apa? Luar biasa, tu.”
“Itulah yang saya hairan, tuan. Setahu saya, lanun-lanun
Somalia ni tak menyempat nak mintak wang tebusan. Wehliye tak nampak nak mintak
apa-apa selepas membelasah saya,” jawab Datuk Rauzah.
Tuan Aziz menjeling ke arah KSN apabila nama Wehliye
disebut oleh Ketua Pengarah Operasi Petromal ini. Jelingan yang membawa maksud,
hebat juga wanita ini kerana dapat berkomunikasi dengan ketua lanun hingga
dapat mengetahui namanya.
“Ada apa-apa yang dia cakap selain dari mintak wang
tebusan?” soal Tuan Aziz lagi.
Datuk Rauzah menggeleng beberapa kali. “Dia suruh saya
masuk ke bilik ini dan tunggu sampai dia datang.”
“Kalau macam tu, kita kena tunggu sampai dia beritahu apa
yang dia mahu,” ujar Tuan Aziz.
“Nak tunggu sampai bila?” Datuk Rauzah tiba-tiba menyoal.
Suaranya tegang kembali. Mukanya didekatkan kepada kamera. Kini wajahnya
memenuhi skrin layar lebar yang sebesar 6 X 4 meter itu. Mempamerkan rupanya
yang garang.
“Kita kena tunggu…” jawab Tuan Aziz.
“Apa? Pihak Majlis Pertahanan Negara tak nak buat apa-apa
ke, selain menunggu?”
“Ya, kita kena tunggu sampai kita dapat maklumat lengkap
sebelum bertindak.”
Datuk Rauzah berdiri tegak. Kemudian bergerak ke hulu dan
ke hilir di dalam biliknya. Mereka yang memerhati pegawai tinggi Petromal ini
hanya mampu terjeling sesama sendiri dengan wajah kesal. Tak lama kemudian dia
menghampiri kamera semula. Wajahnya memenuhi skrin kembali.
“Tuan-tuan semua…” katanya seraya mengetap bibirnya.
“Apakah tuan-tuan tak peka dengan keadaan saya dan Lancang Kuning ini? Tak peka
dengan imej Petromal yang kini terjejas dan akan menjatuhkan sahamnya? Tak peka
imej kerajaan negara Malaysia yang berdaulat sebagai pemegang saham terbesar
Petromal?
Dunia dah tahu kapal kita ni ditawan lanun. Kita dah
tempatkan TLDM untuk menjaga kapal Malaysia di samudera. Kini dah dekat 36 jam
kapal ini dirampas. Tapi tak ada tindakan yang dibuat. Apakah TLDM pengecut?”
“Dum!” kedengaran bunyi permukaan meja ditumbuk.
Masing-masing tersentak dan menoleh ke arah Datuk Amsyairi Ismail, Ketua
Pengarah Operasi Khas ATM yang kini sedang menuding ke arah skrin. Dia berasa sungguh tercabar dengan kata-kata
Datuk Rauzah. “Jaga mulut tu! Jangan sekali-kali kata TLDM pengecut!”
“Saya tak kata TLDM pengecut. Saya hanya tanya apakah TLDM
pengecut? Itu soalan saya, bukannya kenyataan!” jawab Datuk Rauzah dengan
lantang berapi.
“Soalan ke… kenyataan ke… saya tak ada masa nak fikir. Yang
penting awak dah ada persepsi buruk
terhadap TLDM!” selar Datuk Amsyairi. Gelaran ‘datuk’ sudah tidak disebut lagi
oleh pegawai ATM itu kerana amarahnya.
“Terpulang pada datuk sama ada nak anggap saya ada persepsi
buruk terhadap TLDM. Saya tak kisah. Yang saya hendak tahu ialah kenapa TLDM
tak buat apa-apa sejak semalam?” jawab Datuk Rauzah.
“Tak buat apa-apa? In
the first place… kenapa awak tak beritahu kami jadual pelayaran Lancang
Kuning? Kalau kami diberitahu, kami boleh iring Lancang Kuning sampai selamat. Kerana tindakan awak, kita semua
susah!”
“Ada sebab mengapa kami tak beritahu TLDM rancangan kami.
Tapi, sebagai pasukan keselamatan, kenapa tidak terus hubungi kami atau pintas
pelayaran kami?” soal Datuk Rauzah kembali.
“Eh… dia yang tak ikut peraturan… kita pulak yang salah?”
bantah Datuk Amsyairi.
“Saya rasa, tak elok kira salah menyalah pada saat ini.
Pihak TLDM nampaknya hanya memerhati tapi tak buat apa-apa!”
“Mana awak tau kita tak buat apa-apa?”
“Then, tell me! Beritau saya supaya saya dapat sampaikan pada kesemua anak-anak kapal Lancang Kuning! Mereka kesemuanya dalam ketakutan, tau tak?”
“Then, tell me! Beritau saya supaya saya dapat sampaikan pada kesemua anak-anak kapal Lancang Kuning! Mereka kesemuanya dalam ketakutan, tau tak?”
Ada nada getaran dalam suara Datuk Rauzah. Datuk Amsyairi
terdiam seketika. Baharu dia tersedar, kemarahan Datuk Rauzah itu datang dari
ketakutan, bukannya kerana geram. Begitu juga mereka yang lain di dalam bilik
mesyuarat itu. Rasa simpati mula menjalar di hati mereka.
“Kalau dah cakap macam tu, bersabar ajelah!” kata Datuk
Amsyairi dengan nada suara yang kendur.
“Sampai bila?”
“You’ll all be back
in one piece. I promise!” tegas Datuk Amsyairi.
“Insya-ALLAH…” Tan Sri Ramlee mencelah. Tidak selesa dengan
janji Datuk Amsyairi yang tidak berlapik dengan keizinan-Nya.
“Insya-ALLAH…” Datuk Amsyairi memperbetul kata-katanya.
“Bersabarlah, Datuk,” KSN bersuara perlahan dengan nada
memujuk. “Pihak kami perlu tahu apa yang Wehliye mahu. Memang kita ada pelan
tindakan. Tapi, alangkah lebih baik kalau apa yang lanun itu mahu dapat kita
pertimbangkan sebelum kita bertindak?”
“Kami tahu semua
anak-anak kapal Lancang Kuning dalam ketakutan. Tapi tindakan kita umpama
menarik rambut dalam tepung… rambut tak putus, tepung tak berselerak. Bersabarlah,
Datuk ya?”
Datuk Rauzah terkelip-kelip mendengar penerangan Tan Sri
Ramlee. Ada bayang ketenangan di wajahnya. Pernafasannya kelihatan teratur bila
dia mengeluh dalam. Mungkin dia sudah tenang kembali. Malah, mereka yang
mendengar pujukan Tan Sri Ramlee pun turut berasa lega. Hanya Datuk Amsyairi
sahaja kelihatan masih belum dapat bersikap normal. Dia hanya tersenyum
sendirian seraya menggeleng.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment