Photo credit: starstills.com
Weynee Restaurant, Baraawe, Somalia
BANDAR pelabuhan yang terletak di tenggara Somalia ini mempunyai pantainya yang cantik. Sayangnya, pantai yang indah ini nampaknya tidak terbela. Rumput rampai dan bangkai bot terdampar di merata tempat di persisiran pantai ini. Menggambarkan pihak berkuasa tempatan tiada wang untuk mencantikkan pantainya bagi tujuan pelancongan. Apa yang hendak diperkatakan lagi pada sebuah negara yang miskin ini?
BANDAR pelabuhan yang terletak di tenggara Somalia ini mempunyai pantainya yang cantik. Sayangnya, pantai yang indah ini nampaknya tidak terbela. Rumput rampai dan bangkai bot terdampar di merata tempat di persisiran pantai ini. Menggambarkan pihak berkuasa tempatan tiada wang untuk mencantikkan pantainya bagi tujuan pelancongan. Apa yang hendak diperkatakan lagi pada sebuah negara yang miskin ini?
Sudah
jam 2.00 petang sekarang. Lima jam sebelum ini, Jeffrisampai di Lapangan
Terbang Antarabangsa Mogadishu. Dari sana, beliau menaiki teksi ke bandar
pelabuhan ini. Tugasannya agak mudah. Cari perkampungan Wehliye dan dapatkan
maklumat di mana abangnya Saleem berada kini.
Dengan helahnya,
seorang saudara Wehliye datang ke restoran ini mencarinya. Dengan mudah juga
orang yang datang menemuinya akan memberitahunya mengenai Wehliye. Dia ada cara
mudah untuk memperoleh maklumat itu dengan cepat dan tepat.
Jeffri Zain
mendongak ke langit yang tiada berawan dari tingkap restoran yang menghadap ke
laut ini. Namun ekor matanya masih mengawasi lelaki yang duduk di hadapannya.
Lelaki tua berkulit hitam yang berambut kusut masai, berjambang dan berwajah
cengkung itu tampak gugup.
Nafas lelaki itu
bagai tertahan-tahan. Dia merenung Jeffri yang duduk di hadapannya. Tekaknya
mula berasa haus akibat terkejut. Gelas di atas meja dipandangnya. Dia ingin
mencapai gelas itu. Mahu meneguk air dari gelas itu hingga habis dengan sekali
nafas. Perlahan-lahan tangannya menggagau.
‘Klik!’ bunyi
pelantun peluru pistol terpasang.
Lelaki itu menarik
kembali tangannya. Jejarinya kini menutup mulutnya. Menyesal dengan tindakannya. Dia menelan
liur. Perlahan-lahan matanya menurun ke bawah meja lalu menjeling ke celah
pahanya. Dia tahu, ke situlah sasaran pistol yang sedang digenggam Jeffri.
Tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi bila pistol Jeffrimeledak dan
meletup di celah kelengkangnya!
Pagi tadi, lelaki
itu mendapat khabar ada seseorang yang datang ke kampungnya mencari
saudara-mara Wehliye Amare. Khabarnya, orangnya itu datang membawa pesan dan
wang dari Wehliye. Ketika itu, dia ke pekan.
Sebaik sahaja
berita itu dikhabarkan oleh orang kampung kepadanya, dia bergegas ke restoran
ini. Ingin sangat bertemu dengan orang yang membawa khabar mengenai Wehliye
yang sudah berbulan tidak pulang. Risau hatinya bukan kepalang memikirkan
untung nasib Wehliye. Mana tidaknya. Dia adalah ayah saudara Wehliye yang
membela lelaki itu sejak kecil.
Namun, tidak
menyangka bertemu dengan lelaki gila ini. Sebaik sahaja dia duduk, Jeffri menempeleng
pipinya. Belum sempat dia bertanya mengapa, Jeffri sudah mengacukan pistol ke
kepalanya. Sungguh tidak masuk akal apa yang dia hadapi. Fikirnya, tentulah
kedatangannya disambut dengan baik. Sebaliknya, dia berdepan dengan situasi
yang mendebarkan.
“Saya… saya datang
untuk dapat berita tentang Wehliye. Tapi… tapi… kenapa buat saya macam ni?”
Lelaki tua itu bertutur perlahan. Hampir-hampir tidak terkeluar suaranya.
Mujurlah restoran kecil ini tidak ramai pelanggannya. Jika tidak, suara lelaki
itu tidak kedengaran.
Jeffri Zain
menoleh. Menyasarkan pandangannya tepat ke wajah lelaki tua itu. Membuatkan dia
gugup dan tersandar kerana benar-benar takut. Persis melihat singa merenungnya.
“Di mana Wehliye?”
soal Jeffri.
Mata lelaki itu
terbelalak. “Tapi, saya dapat tahu, tuan ke kampung ini sebab hendak sampaikan
pesan daripada Wehliye kepada keluarganya. Tentulah tuan tahu di mana Wehliye.
Dan, sayalah, keluarganya. Nama saya Abdi, bapa saudara yang menjaga Wehliye
sejak kecil. Kenapa tuan tanya saya pula di mana Wehliye?”
“Kau jawab sajalah
soalan aku… Di mana Wahliye?” kata Jeffri seraya mengetap bibirnya.
Abdi mula
merintih. Entah apa yang diperkatakannya. Kalau boleh dia ingin menjauhkan
dirinya daripada Jeffri. Takut sangat dengan cara Jeffri memandangnya. Gerun
dengan pistol yang tersasar ke anunya. Semakin bingung dengan apa yang diingini
oleh Jeffri.
“Di mana Wehliye?”
jerkah Jeffri.
“Dia ke laut. Jadi
nelayan!” jawab Abdi, spontan.
Nampaknya Abdi
tidak tahu, Wehliye sebenarnya menjadi lanun, bukannya nelayan. Itu maklumat
yang Jeffri terima daripada BISIK. Mana mungkin seorang anak hendak memberitahu
penjaganya yang dia bekerja sebagai lanun?
“Kau tak bohong?”
“Tak. Betul.”
“Apa yang betul,
apa yang tidak?”
“Tak. Aku tak
bohong!”
“Kau tak bohong?”
“Ya…”
“Ya, kau bohong?”
“Tidak! Tidak! Aku
berbohong! Ahh…”
Abdi menghantukkan
kepalanya ke meja. Berdentum bunyinya. Dia meratap dan bergumam entah apa-apa.
Bahunya terhenjut-henjut. Melihatkan itu, Jeffri hendak tertawa. Mahu sahaja
dia meledakkan suaranya kerana geli hati melihat lelaki di depannya ini sudah
stres. Namun, dia mengulum senyumnya. Perlahan-lahan, Jeffri menyisip kembali
pistol ke belakang pinggangnya.
“Hei… hei… pandang
sini…” seru Jeffri dengan suara yang sehabis lembut. Bagai seorang jejaka
berbisik kepada kekasihnya.
Abdi mendongak
perlahan-lahan. Namun dia masih tidak berani bertentang mata dengan Jeffri.
Takutnya persis tikus yang berdepan dengan kucing.
“Aku percaya kata
kamu…” kata Jeffri seraya menepuk lengan lelaki itu perlahan.
Mendengarkan itu, Abdi
merenungnya. Dia meneguk liur kerana berasa lega. Ombak di dadanya kian
teratur.
“Sebenarnya,
aku bergurau aje tadi. Wehliye kata, dia akan pulang tak lama lagi. Dia beri
aku wang untuk disampaikan kepada kamu,” bisik Jeffri seraya menepuk-nepuk
poket seluarnya yang kembung. Sengaja menukar taktik dengan cara lembut agar
dia memperoleh kerjasama dari lelaki itu.
“Ye, ke?” Lelaki
tua itu bertanya inginkan kepastian. Wajahnya kelihatan berseri riang.
“Hmm… Wehliye
adalah kawan lama aku. Kamu pasti haus. Minum. Minumlah…” pelawa Jeffri lalu
duduk bersandar.
Lelaki itu
tersengih-sengih lalu mencapai gelas minuman. Rakusnya dia menelan minuman
hingga kedengaran bunyi berdegup-degup air mengalir di tenggoroknya. Mungkin
dia haus. Mungkin sahaja dia kering tekak kerana hilang semangat bila digempar
Jeffri sebentar tadi.
“Berapa adik
beradik Wehliye?”
“Tuan tak tahu?
Bukankah tuan kata, tuan kawan lama Wehliye? Tak mungkin Wehliye tak ceritakan
mengenai abangnya?” kata lelaki itu seraya menjeling perli.
Darah Jeffri
menyirap ke mukanya kerana ditempelak
begitu. Namun, dia tidak mahu menggertak lelaki itu semula. Biarlah dia menahan
sabar sekejap kerana dia boleh sahaja menggentarkan lelaki itu pada bila-bila masa.
“Ah… Wehliye cukup
berahsia dengan aku. Dari mana asal dia pun aku tak tahu. Kalau tidak kerana
dia ada hal, dan minta aku berikan duit untuk perbelanjaan keluarganya di sini,
mungkin dia tak akan beritahu aku di mana kampung halamannya. Wehliye ada ramai
adik beradik? Cantikkah adik perempuannya?” tanya Jeffri seraya mengenyitkan
matanya.
Orang tua itu tertawa
besar. Lama juga dia tertawa kerana memahami gurauan Jeffri. Setelah berhenti
tergelak, dia mengangkat jari telunjuknya.
“Seorang. Wehliye hanya
ada seorang abang. Namanya Saleem.”
“Ye, ke? Aku ingat
dia sebatang kara,” Mata Jeffri mencerlang kerana dia memperoleh maklumat baru.
“Di mana Saleem sekarang?”
“Saleem dah lama
tak balik kampung. Sejak dia serahkan bot nelayannya pada Wehliye, dia buka
syarikat bawak jemaah haji dan umrah dari Somalia ke tanah suci. Perniagaan dia
dah maju. Sekarang, dia dah ada syarikat haji dan umrah di Mekah dan Madinah.”
“Oh… jadi… semua
bot Wehliye itu asalnya kepunyaan Saleem?” Jeffri bertanya mahukan kepastian.
Abdi menggangguk.
“Kamu pernah
dengar nama Bad Holac?” soal Jeffri
mengenai kumpulan lanun yang diketuai Wehliye.
Mata orang tua itu
mencerlang. Tampak wajah ketakutan di mukanya. “Saya dengar, itu kumpulan lanun
yang ganas! Saya dengar. mereka semua
berasal dari kampung yang jauh di sebelah utara kampung ini.”
Keterangan Abdi
mengesahkan orang kampung Wehliye tidak tahu aktiviti sebenar lanun itu. Mereka
masih menganggap Wehliye adalah nelayan. Bukan ketua lanun yang kini menjadi
perhatian.
Jeffri bangun
seraya membetulkan bajunya. Poketnya diseluk dan dikeluarkan sekeping syiling
lima euro. Wang itu dijentiknya. Syiling itu jatuh berputar dan terhenti
betul-betul di hadapan lelaki itu.
“Aku perlu
berangkat sekarang. Terima kasih.”
“Bukankah tuan ada bawa wang dari Wehliye…
untuk kami?” Abdi teringat pesanan yang dikhabarkan oleh orang kampung
kepadanya sebelum dia bergegas ke restoran ini. “Wehliye biasa beri wang yang
banyak kepada kami. Apa yang kami nak makan dengan duit lima euro ini?”
“Itu saja wang
yang Wehliye berikan kepada aku…” jawab Jeffri seraya melangkah.
“Nanti dulu! Mana
cukup belanja dengan wang sebanyak ini?” lelaki itu pula menjerkah seraya
berdiri. Membuatkan Jeffri berhenti
melangkah. Kemudian dia menoleh dan merenung lelaki itu. Reaksi Jeffri itu
membuatkan lelaki itu terduduk semula. Perutnya kecut kembali.
“Kata Wehliye,
wang itu cukup untuk belanja minum kita! Kalau tak cukup, kamu tambah, ya?”
Dengan kata-kata
itu, Jeffri melangkah meninggalkan lelaki yang terpinga-pinga itu. Kemudian,
dia perlu sampaikan maklumat yang diperolehinya kepada Tuan Aziz. Sebelum itu,
dia harus lakukan sesuatu walaupun ia bukan arahan bosnya. Ya, dia akan
menyusup masuk ke dalam kumpulan Bad
Holac!
Bersambung Ahad depan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment