Photo credit: panoramio.blogspot.com
Majlis Pertahanan Negara, Putrajaya
“BERI
saya tempoh 24 jam, Datuk Seri. Saya
akan dapatkan maklumat latar belakang lanun-lanun tu,” jawab Tuan Aziz.
“24 jam terlalu lama tu. Di mana
ejen BISIK yang paling dekat?”
Sekali lagi Tuan Aziz terdiam. Dia
tertunduk seraya menghembuskan nafasnya dalam-dalam. Dalam keadaan yang genting
itu, PM tidak mahu rasa terkilan menerawang lama di hatinya. Lantas beliau mengalihkan
pandangannya ke arah Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM
pula kerana terkilan, Tuan Aziz tidak dapat memberinya apa-apa maklumat yang
boleh membantu rancangan operasi menyelamat.
“Kita dah dapat pintas komunikasi
mereka, Datuk Seri. Kita dapat tahu ada tiga anak kapal kita yang cedera.
Cedera ringan,” kata pegawai tentera itu.
“Datuk Rauzah? Apa dah jadi dengan dia?”
soal PM.
“Menerusi percakapan ketua lanun tu,
kita dapat maklumat Datuk Rauzah kini dikurung di biliknya.”
“Apa tuntutan lanun-lanun tu?”
“Belum ada tuntutan, Datuk Seri.
Kami tak dengar apa-apa permintaan jumlah wang tebusan samada melalui perbualan
ataupun pengumuman daripada mereka.”
“Pelik!” kata PM.
“Kami sentiasa terima laporan
berkala daripada ibupejabat Petromal, Datuk Seri. Mereka pun tak terima apa-apa
gesaan daripada lanun. Mungkin lanun-lanun tu sedang menanti pengumuman
daripada ketua mereka,” celah Setiausaha Keselamatan Kementerian Tenaga dan
Komunikasi.
“Yang berdiri di pintu helikopter tadi
itulah ketuanya. Dia yang patut minta Datuk Rauzah suarakan pada Petromal
jumlah yang dia hendak!” celah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ramlee Awang
Murshid.
“Dah sejam berlalu. Tapi dia tak
minta apa-apa. Apa sebabnya? Apa yang mereka hendak?” bebel PM.
“Kita sedang mengawasi kapal itu,
Datuk Seri. 24/7. Anggota Paskal pun sudah ada berhampiran dengan kapal itu.
Menanti masa bertindak sebaik sahaja mendapat arahan,” jelas Datuk Amsyairi.
DI
SEPANJANG perbincangan itu, Tuan Aziz menekur ke komputernya sambil mencari
lokasi ejen-ejennya. Setelah tidak dapat memberi maklumat terkini kepada PM,
dia berasa tercabar. BISIK adalah agensi perisikan yang terkenal dengan
kehebatannya mendapat maklumat dan menumpaskan musuh. Tuan Aziz tidak mahu
BISIK menjadi agensi yang tercorot mendapat maklumat.
Setelah mengklik ikon ‘medan’ di
laman web BISIK, terpapar bintik-bintik
merah yang menunjukkan lokasi ejen-ejen BISIK di merata dunia. Afrika bukanlah
benua yang ada kepentingan buat negara. Kerana itu, BISIK hanya menempatkan
seorang ejen di sana. Namun, tiada titik
merah di situ.
‘Ke mana pulak engkau pergi, ni?’
rungut Tuan Aziz di dalam hati.
Tuan Aziz menekan butang ‘F5’ untuk refresh laman di komputernya.
Mengharapkan agar komputernya segera membuka halamannya. Tiba-tiba kelihatan
sebutir bintik merah yang baru kelihatan terkelip-kelip di peta negara Mesir.
Tuan Aziz mengeluh lega. Ejen yang dicarinya masih ada di benua Afrika. Dia mengklik
bintik itu dan skrin terus memapar wajah seorang ejen BISIK. Perlahan-lahan bibirnya
mengorak senyuman.
‘Hmm. Aku ingat engkau dah mati!’
Tuan Aziz terus mendail sambil
menanti dengut nada panggilan. Tiada jawapan. Dia mencuba sekali lagi. Tiada
jawapan juga. Akhirnya Tuan Aziz mengeluh seraya meletak fonselnya di sisi. Lantas
menghalakan kembali perhatiannya pada perbincangan dalam mesyuarat khas itu.
Photo credit: teleport-city.com
Hotel Hyatt
Regency, Sharm El Sheikh
HOTEL yang terletak di kawasan seluas 35 hektar di kawasan pantai Laut Merah ini adalah destinasi popular untuk aktiviti sukan laut dan menyelam. Para pelancong yang ke mari lazimnya adalah dari kalangan ekspatriat. Selepas bermesyuarat, mereka bersantai di hotel ini untuk bermandi manda di laut terutamanya pada waktu petang.
Di bilik Sea View, seorang lelaki berusia 47
tahun duduk berlunjur di katil sambil memangku kepala sambil menonton TV. Sesekali,
dia mengeluh kerana bosan. Kerana
matanya semakin layu, dia terus menekan alat kawalan jauh lalu mematikan TV.
Selimut terus ditarik menutup seluruh tubuhnya kerana dia hendak menyambung
tidur. Tiba-tiba matanya terkelip-kelip bila terasa getaran fonselnya.
Tangannya teraba-raba ke bawah selimut. Mencari fonselnya yang entah di mana.
“Helo…”
sapanya dengan suara yang parau sebaik sahaja fonsel itu dalam genggamannya.
“Jeff… Jeffri Zain…”
Suara itu
membuatkan dia mengeluh perlahan. Dia kenal suara itu. Skrin fonselnya ditatap.
Benar seperti agakannya. Keningnya terangkat apabila wajah Tuan Aziz terpapar
dengan wajah yang berkerut seribu.
“Bos…” gumam
Jeffri.
“Engkau, apa
khabar?” tanya Tuan Aziz. Dengan ejen yang senior, Tuan Aziz hanya ber’aku’ dan
ber’engkau’ sahaja.
“Baik aje,
bos.”
“Aku call
engkau semalam, pagi tadi, tengahari tadi… Tapi engkau tak jawab pun. Mana
pergi?”
“Saya tidur,
bos.”
“Boleh
percaya, ke?”
“Saya dah tak
buat kerja-kerja yang pelik sejak pergi Haji, bos. Dah taubat… betul, bos. Saya
ni dah tua… macam bos jugak! Ha, ha!”
“Hmm. Kau
buat apa kat Sharm-el-sheikh, tu. Sepatutnya engkau kat Dataran Tahrir!”
“Kat dataran
tu dah tak ada kerja penting, bos. Balik-balik berdemo. Dah tak membahayakan
keselamatan macam ketika Mubarak masih berkuasa. Lebih baik saya bercuti kat
sini. Releks aje. Goyang kaki. Makan gaji buta!”
“Hmm. Engkau tu, dah banyak sangat rehat. Aku
ada tugasan menarik…” ujar Tuan Aziz.
“Mana ada
tugasan menarik, kat negara Arab ni, bos? Kalau setakat nak tolong bawak
rombongan dari Malaysia pegi shopping,
macam selalu tu, pegawai kedutaan pun boleh buat, bos. Saya dah penatlah. Balik
Malaysia, lagi bagus.” Jeffri membebel.
“Straight to the point. Engkau kena terbang ke Somalia!”
“Somalia?”
Mata Jeffri terus mencerlang. “Nak buat apa? Nak suruh saya risik tentang
perang saudara kat sana ke?”
“Bila sampai
kat Somalia esok, aku akan beri maklumat seterusnya,” kata Tuan Aziz.
“Dekat sini,
dah nak tengahari, bos. Tak sempat nak ke airport,” Jeffri memberi alasan
seraya menguap panjang.
“Engkau
jangan kelentonglah, Jeff. Airport Sharm-el-sheikh tu 10 minit aje perjalanan
dari hotel tu. Aku pernah duduk kat sana.”
“Tak ada
tugasan kat tempat lain ke, selain daripada Somalia? London ke… Paris ke,
Hawaii…” Jeffri sengaja menyakat bosnya.
“Jangan
banyak songeh, Jeff. Bila engkau tiba di airport, pegi aje ke kaunter. Tiket ke
Somalia dah aku tempah.”
“Apa kes,
bos?”
“Aku akan
beri arahan bila engkau sampai kat sana.”
Mata Jeffri mencerlang.
Dia memandang wajah Tuan Aziz yang tersengih di skrin fonselnya. Tidak percaya
yang Tuan Aziz sudah mengatur kesemuanya. Pasti ada misi penting yang akan tiba
ke tangannya sebentar lagi.
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment