Photo credit: Barzey.com
Hotel Hyatt
Regency, Sharm El Sheikh
KEHIDUPAN sebagai perisik
bukannya sentiasa menarik seperti ejen perisik fiksyen James Bond yang hidup
penuh aksi. Sebagai ejen yang ditugaskan di zon timur tengah, tidak banyak
aktiviti perisikan yang boleh dibuat
melainkan sebagai pemberi maklumat mengenai aktiviti kumpulan-kumpulan
jihad yang disyaki mempunyai rangkaian di Malaysia.
Demonstrasi yang
menjatuhkan pemimpin-pemimpin negara Arab yang dikenali sebagai Arab Spring
turut menjadi perhatiannya. Jeffri ditugaskan untuk memantau samada terdapat
rakyat Malaysia yang terlibat dalam demonstrasi itu. Kerja-kerja memerhati
tanpa aksi amat membosankannya. Malah, Jeffri tidak suka melakukan kerja-kerja
sebegitu.
Setelah berbulan
terperap di negara Mesir, Jeffri semakin jemu bertugas di sana. Bila suasana di
negara-negara Arab kembali tenang, Jeffri mati kutu kerana hidupnya terlalu
relaks. Jadi, apabila Tuan Aziz menghubunginya lalu memberi arahan supaya
segera ke Somalia, Jeffri dapat mencium sesuatu yang penuh aksi dan debar akan
diharunginya.
Sambil menghirup
kopi sejuk, Jeffri membuka TV dengan alat kawalan jauh. Matanya mencerlang bila
terpandang nama ‘Lancang Kuning’ terpapar di skrin. Fokus kamera mula zoom-out dan mempamerkan kapal minyak
Petromal itu.
Jeffri meninggikan
suara TV. Ulasan pemberita saluran WorldLiveLine didengar dengan teliti.
Laporan terkini keadaan kapal minyak yang ditawan lanun Somalia dilaporkan oleh
pemberita.
Meskipun imej-imej
di skrin hanya memaparkan video rakaman majlis pelancaran penghantaran minyak
dari Ganezuela ke Kenya di pelabuhan Bahara dua minggu lalu. Kemudian, foto
Presiden Ganezuela, Alberto Chimo dan Perdana Menteri Malaysia dipaparkan
sebagai back-story sebelum kejadian.
Foto Menteri Minyak Ganezuela Quando Jabuti pula terpapar diikuti dengan foto
Datuk Rauzah Paiman, Ketua Pengarah Operasi Petromal.
Nafas Jeffri terhenti
sesaat. Wajah Datuk Rauzah menyentap
hatinya. Memorinya mula berlari-lari menayangkan imej-imej Datuk Rauzah dalam pelbagai mood. Jeffri menggeleng
untuk menghentikan tayangan wajah-wajah Datuk Rauzah
yang bersilih ganti di layar mindanya kerana ada satu lagi perkara yang lebih
penting yang sepatutnya dia fikirkan sekarang ini.
“Eh! Mana dia
gambar lanunnya? Tak mungkin dia orang tak dapat gambar ketuanya untuk
hebahan?” gumam Jeffri.
Jeffri menukar
saluran TV. Pelbagai saluran TV dibuka untuk melihat kalau-kalau ada
menayangkan wajah lanun-lanun itu secara dekat. Pada setiap saluran yang
dibuka, Jeffri menanti kalau ada yang memaparkan saat-saat serangan lanun itu.
Namun, tiada satu pun yang menayangkannya.
“Semua saluran TV
tak ada montaj video peristiwa tu. Yang ada foto aje. Hmm… mungkin
saluran-saluran TV belum lagi dapat videonya,” Jeffri bergumam.
Jeffri menutup TV.
Dia mengeluh dan menekur ke lantai. Berfikir sejenak. Kini Jeffri semakin yakin
arahan bosnya Tuan Aziz, agar segera ke Somalia itu ada kaitan dengan peristiwa
rampasan kapal minyak Malaysia. Tugasan di Somalia nanti tentunya akan mengubah
pola kehidupannya yang rutin, yang lembab dan yang lesu itu kepada kehidupan
yang penuh cabaran, penuh debar dan penuh aksi. Akhirnya, apa yang
diidam-idamkannya bakal menjelma.
“Somalia? Yes!” Jeffri menjerit secara tiba-tiba.
Senyuman terukir
di bibirnya. Selimutnya ditolak. Gebar itu terkibar dan melayang ke sudut
tilam. Jeffri melonjak bangun dan melompat ke lantai. Dia hinggap ke situ dalam
kedudukan kedua-dua tangan dan kakinya melekap ke lantai. Senaman pumping terus dilakukan bertubi-tubi.
Jeffri mahu
mengalirkan hormon adrenalin ke pembuluh darahnya. Otot-otot di tubuhnya perlu
diregang supaya mantap semula. Sudah terlalu lama otot-ototnya kendur. Dia
perlu bersedia mempercepat dan mempertepat berfikir. Caranya ialah dengan
bersenam secara pantas.
Seketika sahaja
peluh merembes dan mengalir di tubuhnya meskipun pendingin udara di bilik ini
masih menderu-deru meniupkan angin sejuk. Sambil melakukan senaman sit-up pula, Jeffri sempat tersenyum
melihat susuk tubuh sasanya yang tidak berbaju. Menampakkan otot-otot pejal
yang masih kelihatan berselirat dengan urat meskipun usianya hampir menjangkau
ke separuh abad.
Jeffri berhenti
bersenam. Lalu mengambil sebotol air mineral di meja sisi katilnya. Sebentar
sahaja 500ml airnya berpindah dari dalam botol ke kerongkong langsung ke dalam
perutnya. Tanpa menoleh, dia membaling botol plastik itu ke arah bakul sampah.
Dia tidak menoleh
pun. Bunyi gemersik plastik yang disentuh botol itu cukup menandakan
balingannya tepat masuk ke bakul sampah. Jeffri menghembus nafas melepas
lelah. Perlahan-lahan dia melangkah ke
jendela. Langsir dikuak. Menampakkan lampu-lampu yang menghiasi persekitaran
taman hotel itu. Dia memandang ke kejauhan. Kerlipan-kerlipan lampu kapal yang
berlabuh di Laut Merah bagai bintang-bintang dalam kegelapan.
Wajah Datuk Rauzah menjelma kembali. Memaparkan sebuah
insiden yang seolah-olah baru terjadi semalam. Jeffri melihat dirinya pula
melangkah menghampiri wanita itu. Mereka kelihatan berkata-kata. Serius. Mereka
tidak bertukar senyuman pun. Jeffri nampak Datuk Rauzah berpaling dan melangkah pantas
meninggalkannya. Hati Jeffri tersentap kembali. Dia teringat bila dan mengapa
insiden itu terjadi. Nafasnya bagai tertahan-tahan bila memorinya mengetuk
sanubarinya.
Bunyi deringan
fonselnya menarik perhatian Jeffri ke suasana kini dan di sini. Wajah Rauzah
dan dirinya hilang dari layar mindanya. Jeffri segera melangkah ke katilnya.
Fonselnya digapai. Ada mesej dari Tuan Aziz.
Imej Lancang
Kuning terpapar. Jeffri menekan punat video. Kelihatan insiden serangan lanun
Somalia ke atas kapal itu. Kini, dia mendapat gambaran yang lebih jelas
bagaimana serangan itu terjadi. Jeffri meneliti video itu dengan teliti.
Video kini
menayangkan wajah seorang lelaki kulit hitam yang sedang berdiri di pintu
helikopter sambil terjerit-jerit memerintah. Daripada gaya lelaki itu
mengarah, Jeffri dapat mengagak lelaki itu adalah ketua lanun. Video
dihentikan. Jeffri memperbesar imej wajah lelaki itu. Muka lelaki itu terus
dicam dan dirakam ke kotak ingatannya.
“Mana aku nak cari
Pak Hitam, ni?” gumam Jeffri.
Sekali lagi
fonselnya berlagu. Menandakan ada sebuah lagi mesej dari Tuan Aziz yang tiba ke
telefonnya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment