Photo credit: wales.ac.uk
Bilik Mesyuarat, Majlis Pertahanan Negara,
Putrajaya
SESI mesyuarat malam tadi disambung lagi pada pagi ini. Kesemua ahli majlis tidak pulang ke rumah kerana mereka memang disediakan bilik menginap. Kes-kes besar seperti bencana alam, malapetaka dan soal keselamatan memerlukan mereka berada di Kompleks Perdana di sepanjang waktu. Selagi tugas tidak selesai, selagi itulah mereka akan berkampung di sini.
Kesemua ahli
majlis membetulkan duduk apabila skrin mula diturunkan dari celah siling. Pada
sesi ini, Ketua Setiausaha Negara mengambil tempat Perdana Menteri untuk meneruskan
mesyuarat. Lampu-lampu di bilik ini mula diredupkan. Menjadikan suasana yang
sudah sedia dingin menjadi sejuk. Kesemua mata tertumpu ke wajah yang terpancar
di skrin.
Raut seorang
lelaki kulit hitam yang berikat kepalanya dengan kain berwarna-warni menarik
perhatian para hadirin. Lelaki berkaca mata hitam itu kelihatan tersenyum,
menampakkan barisan giginya yang memutih. Di tangan kanannya tergenggam sebuah
pistol, sementara tangan kirinya pula memegang seketul paha ayam goreng.
“Inilah Wehliye
Amare… Ketua lanun Somalia dari kumpulan Bad
Holac atau bermaksud, Api Lautan. Pihak Interpol baru hantar maklumat ini
pada saya.” Datuk Badruldin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas PDRM
memulakan taklimat.
Kedengaran suara
mereka di dalam bilik ini berbisik-bisik.
“Muka dia nampak
baik, aje… macam badut pun, ada!” komennya lagi hingga mengundang mereka di
dalam bilik ini tertawa serentak. “Tapi jangan tak tahu, ya? Dia inilah ketua
lanun yang paling licik. Dah lapan buah kapal dagang ditawannya. Kapal Jepun,
Perancis, Amerika, Filipina, India, Korea, Australia dan Malaysia kesemua
dibahamnya.
Modus operandi Bad Holac tak pernah sama. Selain
daripada menyamar sebagai kumpulan nelayan sebelum menyerang, dia orang pernah
menyamar seolah-olah kapal yang mereka naiki mengalami kerosakan. Bila kapal
dagang yang menjadi sasaran itu mendekat, mereka tawan kapal itu.
Masa mereka serang
kapal dagang Australia bulan lepas, mereka hampiri kapal itu dengan menggunakan
kapal Korea yang ditawan sebelum itu. Memang kapal dagang Australia tertipu
kerana tidak menyangka kapal Korea yang datang mendekat itu sebenarnya dinaiki
anak-anak buah Wehliye yang licik.
Serangan ke atas Lancang Kuning adalah modus operandi
Wehliye Amare yang pertama menggunakan helikopter. Dia dah kaya… sebab itulah
dia ada stail bila melanun! Setakat ini, itu saja yang saya dapat bentangkan…”
“Saya pun baru
dapat video dari heli TUDM…” celah
Datuk Amsyairi, Ketua Pengarah Operasi Khas ATM. “Izinkan saya tayangkan
video ini di skrin, Tan Sri…” katanya lagi seraya menekan butang di
komputernya.
Tayangan slaid di skrin besar kini bertukar
kepada tayangan video. Memaparkan adegan mencemaskan dari udara. Kelihatan
helikopter Wehliye Amare mula mengambang dan meninggalkan Lancang Kuning.
Semakin lama, lampu merah yang berkelip-kelip di perut helikopter itu kelihatan
semakin menjauh.
Kamera video
segera bergerak menghampiri kapal. Lensa visi malam mula menayangkan imej-imej
mereka di atas dek.
“Kalau tuan-tuan perhatikan…
terdapat imej-imej merah di atas kapal,” ujar Datuk Amsyairi. “Imej-imej merah
itu menunjukkan ada lapan orang lanun di atas kapal itu.”
“Macam mana Datuk
tahu?” soal Ketua Setiausaha Pemakanan.
“Kamera khas kita
akan memaparkan imej berwarna merah ke atas mereka yang hampir dengan sulfur
iaitu komponen utama peluru. Lanun-lanun itu membawa rifel yang mempunyai
belerang.
Dalam
keadaan-keadaan di mana kita pasti mereka adalah musuh, kita boleh sahaja
tembak mereka. Tapi, buat masa sekarang, pantauan kamera hanyalah untuk
membantu kita mengenalpasti kekuatan musuh,” jelas Datuk Amsyairi lagi dengan
panjang lebar.
Seiring dengan
kata-kata itu, lampu bilik mesyuarat dicerahkan kembali. Skrin yang terbentang
perlahan-lahan menaik dan bergulung secara automatik. Mereka kini menumpukan
perhatian kepada Tan Sri KSN yang kini duduk tersandar memerhati mereka seorang
demi seorang. Matanya tercari-cari siapakah di kalangan anggota mesyuarat yang
akan mula bersuara memberi idea.
“Apa
status terkini?” soal KSN.
“Tan Sri… ada
maklumat menarik, ni…” Datuk Badruldin menyampuk. Jejarinya menekan-nekan
komputer tab peribadinya. “Interpol baru saja kirim maklumat terbaru.” jelas
Datuk Badruldin.
“Interpol dapat maklumat, kampung asal Wehliye
ialah di Baraawe, sebuah kampung nelayan kat Somalia,” jawab Datuk Badruddin.
“Nampaknya, maklumat kita ni sikit sangat. Ada
maklumat lain?” soal KSN seraya memantaukan pandangannya ke setiap mata yang
memandangnya.
“Ya, ada…” kedengaran
suara Tuan Aziz perlahan memulakan bicara.
Kesemua mata menoleh ke
arahnya. Masing-masing ingin tahu apakah idea Tuan Aziz sebagai bos BISIK.
“Enam jam daripada
sekarang…” ujar Tuan Aziz seraya menekur ke jam tangannya sebelum menyambung
kata, “… ejen BISIK akan tiba di Somalia. Saya akan arahkan dia terus ke
kampung Wehliye di Baraawe untuk mendapat maklumat tentang kumpulan Bad Holac.”
“Wah, awak memang
cekaplah…” puji Datuk Badruddin.
“Memang hebat…” sampuk
Datuk Amsyairi pula.
“Hmm…” ujar Tan Sri KSN
seraya mengangkat keningnya. “That’s good
news… but I want to hear better news. I want to know the results in 24 hours!”
“Okey. Saya terima
cabaran itu,” jawab Tuan Aziz. Serius.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment