Majlis Pertahanan
Negara, JPM, Putrajaya
1.30
PAGI. Meskipun bilik ini sunyi dan dingin, suasananya sudah membahang. Berikutan
dengan berita tawanan Lancang Kuning oleh lanun Somalia, ahli-ahli Majlis
Pertahanan Negara dipanggil untuk menghadiri sebuah sidang tergempar.
Kini, kesemua ahli majlis sudah berada
di tempat masing-masing. Mereka sibuk mendapatkan maklumat terkini melalui
komputer yang terpasang di meja mereka. Ada yang mencatat sesuatu di komputer
tablet peribadi. Tidak kurang juga yang sedang membaca mesej pesanan ringkas daripada
fonsel masing-masing.
Wali Sembilan. Inilah gelaran yang
diberi oleh PM kepada mereka. Di tangan sembilan orang ahli Majlis Pertahanan
Negara inilah terletaknya keselamatan negara. Mereka mengetuai bahagian
masing-masing untuk melaksanakan fungsi mempertahankan negara daripada ancaman
musuh dalam bentuk fizikal, mental, spiritual mahupun siber.
Ketua Setiausaha Negara, Setiausaha Keselamatan
Kementerian Kewangan, Setiausaha Keselamatan Kementerian Tenaga dan Komunikasi,
Setiausaha Keselamatan Kementerian Luar, Setiausaha Keselamatan Kementerian
Dalam Negeri, Setiausaha Keselamatan Kementerian Pemakanan, Ketua Pengarah Cawangan
Khas Polis DiRaja Malaysia, Ketua Pengarah Operasi Khas Angkatan Tentera
Malaysia dan Ketua Pengarah Biro Risikan
Negara adalah pasukan tindak cepat yang diilhamkan oleh PM.
Majlis yang mendapat arahan dan
mandat terus daripada PM ini ternyata dapat bergerak pantas menggembleng tenaga
daripada unit masing-masing pada bila-bila masa. Jika soal-soal politik
memerlukan tindakan yang penuh diplomatik dan berhemah, soal-soal keselamatan
pula memerlukan tindakbalas yang pantas, jitu dan padu. Ia merentasi sempadan
jabatan yang penuh birokrasi.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumsalam!” Mereka menjawab
salam PM secara spontan sebelum mengangkat kepala seraya membetulkan duduk
masing-masing.
Kerana asyik tertunduk-tunduk dengan
tugas, mereka tidak menyedari sejak bila PM masuk ke bilik mesyuarat ini. PM
memandang wajah-wajah mereka seorang demi seorang. Ada garis senyuman di
wajahnya kerana bangga melihat pasukan harapannya. Dia tahu Wali Sembilannya
sudah bersedia untuk sekian kalinya memerah dan mencerah minda.
“Mari kita mulakan…” ujar PM
perlahan.
Mereka semuanya tertunduk perlahan.
Bibir mereka terkumat-kamit membaca ummul kitab. Perlahan-lahan seorang demi
seorang mendongak semula setelah menamatkan bacaan.
“Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang
berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah
mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh,” PM menterjemah Surah as-Saff, ayat
4 dengan perlahan dalam suasana yang hening.
Masing-masing memejam mata.
Menghayati apa yang dilafaz PM. Ayat al-Quran bukan sahaja penyembuh penyakit.
Ia juga adalah ayat-ayat penenang mereka yang berbolak-balik hatinya. Ayat 4,
Surah as-Saff itu membarakan semangat dan memperteguh minda ahli-ahli Majlis
Pertahanan Negara kerana mereka akan berbincang dan membuat keputusan penting
untuk memacu sebuah misi menyelamat.
“Saudara-saudara sekalian… sekali
lagi kita berdepan dengan peristiwa serangan lanun Somalia. Selama ini, kita
berjaya menumpaskan mereka. Bagaimana pula kali ini? Modus operandi serangan
dan tawanan mungkin sama, tetapi lanun-lanun yang terlibat adalah orang yang berbeza.
Kerana itu, kita mesti bersedia.
Kita harus melihat peristiwa ini di
luar paradigma. Rekod kejayaan terdahulu atau pola tindakan menyelamat kita mesti
berlainan daripada yang sebelum ini. Cabaran kita ialah mengekalkan rekod
kejayaan tanpa ada nyawa rakyat kita yang melayang!”
Sekali lagi PM memandang wajah-wajah
mereka seorang demi seorang. Masing-masing mengangguk apabila mata mereka
bertentang dengan PM. Tanda setuju dan akur dengan iltizam Perdana Menteri.
PM menekan butang tetikus. Dan skrin
besar di bilik itu terus memaparkan secara langsung imej kapal Lancang Kuning
di peraiaran Somalia melalui pancaran satelit perisikan Mysat-4. Kesemua ahli MPN
memandang ke arah skrin dengan mata yang tidak berkelip-kelip.
“Kejadian berlaku pada jam 7.30
malam waktu tempatan atau jam 12.30 pagi waktu Malaysia. Lima buah bot lanun
Somalia yang dilindungi sebuah helikopter menyerang kapal Lancang Kuning,”
jelas Setiausaha Keselamatan Kementerian Luar tanpa menanti PM memberi isyarat.
“Lanun sekarang dah guna helikopter.
Hebatnya mereka!” ujar PM secara sinis. “Kenapa
tak ada pasukan komando yang bertugas di atas kapal itu?”
“Masalah logistik,
Datuk Sri…” celah Datuk Amsyairi.
“Maksud Datuk?”
“Kita tak dapat
maklumat awal daripada Petromal yang mereka perlukan bantuan anggota kita.”
“Maksud Datuk?”
“Pelayaran kapal
Lancang Kuning itu diputuskan tanpa pengetahuan kita.”
“Kenapa macam tu?”
“Kami tak pasti,
Datuk Sri. Pelayaran itu tampaknya seperti tergesa-gesa. Kami pun tak ada
maklumat kontrak di antara Petromal dan GOC telah ditandatangani.”
PM menggeleng
kesal. “Kita nak jaga mereka sebaik mungkin, mereka pulak tak mahu beri
kerjasama. Sekarang, siapa yang susah?”
Kata-kata PM itu
turut dipersetujui oleh ahli majlis. Mereka sama sekali tidak menyangka
Petromal akan membelakangkan soal keselamatan dengan belayar tanpa penyertaan
anggota TLDM sebagai pengawal keamanan.
“Ada
maklumat lain?” tanya PM seraya menjeling ke arah Datuk Badruldin Zakaria,
Ketua Pengarah Cawangan Khas.
“Saya masih hubungi pihak Somalia
untuk dapatkan maklumat latar belakang kumpulan lanun yang terlibat. Agak sukar
mendapat kontak, Datuk Seri,” kata Badruldin dengan wajah gusar.
“Kat Somalia tu tak ada ke, cawangan
risikan?” soal PM.
“National Secret Service Somalia dah
bubar sejak 1990. Masalah perang saudara, Datuk Seri. Sebab itu kita sukar nak
dapat maklumat.”
“Interpol?”
“Masih belum ada jawapan, Datuk
Seri…”
“CIA? Mereka kan, ada perisik di
merata dunia? Dia orang tak ada info, ke?”
“Dengan CIA pun, kita sedang cuba,
Datuk Seri…” jawab Badruldin.
“BISIK? BISIK ada maklumat?” soal PM
seraya memandang Tuan Aziz.
Tuan Aziz dan PM bertentang mata.
Ketua Pengarah BISIK itu masih belum memperoleh
apa-apa maklumat. Kerana itu, dia mengeluh dalam. Menyedari keadaan itu,
PM berpaling ke arah layar lebar.
Merenung kapal minyak yang
terapung-apung di laut bagai sabut yang terbiar. Hatinya tersayat bila
memikirkan untung nasib anak-anak kapal Lancang Kuning. Dan jiwanya juga
tersentap apabila Tuan Aziz tidak dapat menjawab soalannya.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment