Photo credit: ehow.com
SUARA dari dalam bilik itu membuat Fariz mengubah fikiran. Lalu dia melangkah kembali ke rumah itu. Dia menguak daun pintu. Matanya mencerlang bila mendapati bilik itu dilengkapi dengan tiga buah komputer. Sebuah skrin TV juga terletak tinggi menghampiri siling di dinding.
SUARA dari dalam bilik itu membuat Fariz mengubah fikiran. Lalu dia melangkah kembali ke rumah itu. Dia menguak daun pintu. Matanya mencerlang bila mendapati bilik itu dilengkapi dengan tiga buah komputer. Sebuah skrin TV juga terletak tinggi menghampiri siling di dinding.
Di kiri kanan tembok bilik itu terdapat
berpuluh-puluh keping foto dan kertas-kertas dengan contengan rajah-rajah. Fariz
tidak memfokuskan pemerhatiannya. Kehilangan fonsel masih mengganggu
fikirannya. Kotak-kotak minuman dan makanan juga kelihatan terperuk di dalam
sebuah kotak besar yang dijadikan tong sampah.
Seorang
lelaki duduk menghadap dinding sambil menulis sesuatu di komputernya. Fariz
terpempan kerana berasa dia kenal tubuh siapakah itu.
“Apasal lambat?” tanya lelaki itu seraya menoleh
menghadap Fariz.
Mata Fariz mencerlang memandang lelaki itu. Lantas
dia tersenyum. “Hei, Suren! Engkau ke ni?”
“Abis tu, engkau ingat ini hantu Suren ke? Ha, ha!
Selamat datang ke Somalia!”
Sambil bersalaman, Suren memandang Fariz dari atas
ke bawah. Kemudian temannya itu tergelak-gelak. Membuatkan Fariz berasa tak
senang. Dia tahu Ketua Penyelidikan BISIK itu mentertawakan pakaiannya.
“Hei, ni apa kena ni… pakai baju macam warna badut!”
“Bukan ke, engkau orang jugak yang suruh aku pakai
baju warna-warni macam ni?”
“Sejak bila warna baju jadi kod rahsia, bro? Engkau
ni biar betul, Fariz!”
“Betul. Aku terima mesej yang mintak aku pakai baju
warna macam ni supaya mudah dikenali… Okey, kalau engkau tak percaya…” jawab
Fariz seraya meraba poket seluar mencari fonsel untuk menunjukkan mesej yang
diterimanya. Lantas teringat kembali fonselnya baru hilang.
“Aduh, Suren… aku dah hilang fonsel. Ada budak hitam
yang kebas! Elok-elok aku tengah hendak ambil gambar sendiri, dia sambar fonsel
dari tangan aku!”
Suren tidak menyahut. Dia sudah menumpukan kembali
perhatiannya mencari sesuatu maklumat di internet.
“Suren!”
“Hmm…”
“Engkau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?”
“Aku bukan pekak. Orang tengah sibuk ni. Tak nampak
ke, bro?”
“Okey. Kalau engkau tak mau tolong, aku nak pergi cari
jugak budak tu!” kata Fariz lantas bergegas keluar bilik.
“Budak tu
berseluar pendek dan tak pakai baju ke?”
tanya Suren walaupun matanya masih terfokus ke skrin komputer.
Langkah Fariz terhenti. “Engkau kenal ke budak tu,
Suren?”
“Tak.”
“Habis tu?”
“Aku pun pernah terkena macam engkau jugak. Semalam.
Kalau engkau hilang fonsel, aku pulak… hilang dompet. Tapi aku sempat rampas
balik dompet aku tu dari budak tu.
Budak tu memang lari ke kawasan ini. Lepas aku dapat
balik dompet aku, terus aku jumpa rumah ini. ”
“Habis tu?” soal Fariz ingin tahu lebih lanjut.
“Habis tu, three
lah! Ha, ha!” Suren melawak.
Fariz berasa bengang bila Suren tergelak-gelak.
Seolah-olah kehilangan barangan peribadi bukan satu benda yang besar buat rakan
sepejabatnya itu. Lantas dia melangkah
ke pintu hadapan. Mulutnya mula memuncung. Sakit hati kerana Suren
mempermainkannya. Dia berkira-kira hendak keluar dari situ mencari si pencuri
cilik.
Tombol pintu diputar. Pintu ditolak. Tetapi daunnya
tersekat tidak boleh dibuka. Ada seseorang di luar sana! Naluri Fariz sebagai
ejen terus menerjah ke dadanya. Adrenalin meluncur di pembuluh darahnya. Fariz
menginjak ke balik pintu. Bersedia untuk menerpa orang yang muncul itu.
“Fariz! Apa yang nak dipanikkan, tu? Keluarlah dari
belakang pintu tu!”
“Eh? Kak Mala?”
Matanya mengekori Normala yang menonong masuk tanpa
menoleh ke arahnya. Fariz mengorak senyuman. Tiba-tiba dia berasa begitu teruja
bila mendapati Suren dan Normala kini berada di bumi Somalia. Dia tidak
sendirian melaksanakan operasinya di sini. Dapat juga dia meluahkan masalah
yang sedang dihadapinya.
“Bila sampai sini, kak?”
“Akak naik satu penerbangan dengan Fariz,” jawab
Normala sambil membuka peti sejuk.
“Sori. Kalau saya tahu, mesti saya cari akak dalam
kapalterbang tadi.”
“Fariz ni kelakarlah. Kita bukannya pegi melancong
sampai nak bertegur sapa,” kata Normala seraya mengeluarkan dua botol minuman.
Sambil memegang botol minuman itu, dia berpaling
menghadap Fariz. Berkira-kira hendak memberi sebuah botol minuman kepada ejen
muda itu. Namun, demi terpandang pakaian Fariz, Normala terus tertawa mengekek. Suren yang serius bertugas pun tertawa
kembali kerana tahu apa yang menggelikan hati Normala. Membuatkan Fariz semakin
memuncung.
“Siapa yang suruh engkau pakai macam ni?” tanya Normala
sambil menghabiskan sisa tawanya.
“Saya dapat mesej dari kontak yang suruh saya pakai
macam ini supaya dia mudah kenal.”
Wajah Normala bertukar serius. “Mana kontak Fariz tu?”
“Entah. Saya tak tahu. Tapi ada budak kecil
berseluar pendek yang kebas fonsel saya. Saya kejar dia sampai ke mari. Mungkin
kontak itu gunakan budak untuk bawa saya ke mari sebab ada persamaan modus
operandinya antara saya dengan Suren.”
“Apa maksud Fariz?”
“Semalam, ada budak mencopet dompet Suren. Suren
kejar budak tu sampai ke mari. Hari ini, saya pulak yang hilang fonsel. Yang
peliknya, budak itu bawa saya ke mari jugak. Mungkin budak yang sama buat kerja
tu. Saya tak rasa ini kebetulan.”
“Aku pun tak rasa ini kebetulan,” sampuk Suren.
“Mungkin kontak itu sengaja sembunyikan diri kerana
suasana bahaya kat sini. Mungkin dia tak akan muncul sampai ke sudah, sebab
yang penting dia dah bawa saya ke mari,” jelas Fariz.
“Mungkin dia sengaja nak mengusik aku semalam. Hari
ini, dia nak uji engkau pulak, Fariz.” Suren mengeluarkan pendapatnya.
“Walau apa
pun, kontak ini hendak merahsiakan identitinya daripada kita. Dia tak perlu
muncul pun tak mengapa, asalkan tugasnya membawa Fariz ke mari selesai, itu
sudah memadai,” kata Normala pula.
“Mungkin juga dia
informer biasa. Tak penting untuk kita kenal, pun,” jawab Fariz.
“Siapa kata, dia tak penting?” kedengaran satu suara
dari luar.
Fariz, Suren dan Normala kenal dengan suara itu.
Mereka mendengar bunyi tapak kasut menghampiri. Pintu pun terkuak. Muncul Tuan
Aziz dengan potret wajah biasanya. Serius.
“Orang yang awak semua sebut sebagai
kontak atau informer tu adalah orang
penting,” katanya sambil melangkah masuk.
“Tiada siapa dalam BISIK yang pernah jumpa kontak
ini. Saya kira, awak bertiga bertuah dapat berjumpa dengan dia nanti. Dia sudah
bertugas dengan BISIK sejak ia ditubuhkan. Dia juga seorang pakar. Pakar
memusnah yang tak ada tolok bandingnya dalam BISIK.
CIA dan MI6 pernah mendapat khidmatnya. Malah, CIA dan MI6 pernah melamar dia menjadi
ejen mereka. Dah berbelas tahun dia tak balik ke Malaysia. Dah dua tahun dia tidak diaktifkan kerana tiada
keperluan.
Tapi sejak dia menerima tugasan, kontak kita ini
sudah bergerak pantas seperti bayang-bayang, menyusup ke kawasan musuh. Dia
akan bantu kita dalam Ops Lancang Kuning ini,” jelas Tuan Aziz panjang lebar.
‘Dum!’ kedengaran bunyi di luar bilik.
Normala, Fariz dan Suren menoleh ke pintu.
“Oh, nampaknya kontak kita tak sabar-sabar nak
tunjukkan diri… Jeff! Jeffri… masuklah!”
Masing-masing terpaku menanti kemunculan kontak
bernama Jeffri yang dikatakan oleh Tuan Aziz. Pandangan mereka tersorot ke
pintu masuk rumah itu. Bila-bila masa sahaja Jeffri akan muncul. Selepas
beberapa ketika, Jeff masih tidak kelihatan.
Lantas Fariz menjeling kepada Tuan Aziz. Memohon
agar dia menyiasat mengapa Jeff tidak muncul-muncul. Tuan Aziz mengangguk tanda
memberi keizinan. Dan Fariz melangkah ke luar bilik. Masing-masing menunggu.
“Hei!” kedengaran suara Fariz setelah beberapa
ketika.
“Kenapa, Fariz?” tanya Normala dengan suara sedikit
bimbang. “Fariz…”
“Ya…” jawab Fariz sambil melangkah masuk. “Tengok
apa yang saya dapat, ni!”
Fariz mengangkat tangannya sambil tersenyum.
Menayangkan fonselnya dalam genggaman.
“Hmm…” ujar Tuan Aziz. “Mungkin sekali Jeffri yang
dapatkan fonsel itu untuk Fariz. Tapi, mungkin Jeffri belum bersedia untuk jumpa
kita hari ini.”
Fariz, Normala dan Suren saling berpandangan bila
mendengar komen Tuan Aziz.
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...